IKS 7

Romance Series 9656

Anara tidak memejamkan mata sepanjang malam. Fikirannya ligat merancang sesuatu yang dirasakan mampu menyelesaikan ‘masalah’ yang kini tinggal di rumah mereka—Hani dan anak-anaknya.

Awal pagi, aroma tumisan bawang memenuhi ruang dapur. Hani sedang sibuk menyediakan sarapan, manakala anak-anaknya masih lena dibuai mimpi. Anara memanfaatkan peluang itu untuk berbicara dengan Azri yang baru sahaja selesai menunaikan solat Subuh.

“Abang...” Anara memulakan perbualan sambil menuang kopi ke dalam cawan untuk suaminya.

Azri memandang wajah isterinya yang kelihatan bersungguh.

“Ada apa, sayang?”

Anara duduk di sebelahnya. Wajahnya serius.

“Kita dah bagi tempat tinggal yang selesa untuk Hani dan anak-anaknya. Tapi... takkan kita nak biarkan dia duduk sini lama-lama tanpa arah tuju? Apa kata kita aturkan supaya Hani kerja di pejabat Dato’ Hans?”

Azri angkat kening. “Dato’ Hans? Kawan abang tu?”

Anara mengangguk. “Ya, Dato’ Hans pun masih single. Dah berumur tapi sangat berjaya dan baik hati. Kalau Hani dan Hans berjodoh... elok juga kan? Hani dapat masa depan yang terjamin, abang pun tak perlu nak bertanggungjawab pada dia.”

Azri diam. Fikirannya berputar.

“Sayang... abang tahu niat sayang baik. Tapi kita tak boleh main atur hidup orang macam tu saja.”

Anara membalas, “Saya tak paksa pun. Tapi... kalau mereka selesa, tak salah kita buka jalan. Lagipun, Hani perlukan seseorang untuk lindungi dia dan anak-anak. Dato’ Hans pun selalu cakap dia sunyi. Abang cubalah cakap sikit-sikit dengan Hans, Umur Hans, 40 tahun Kan, Dan umur Hsnin28 tahun sesuai la mereka berdua tu.

Azri mengeluh perlahan. Dia tahu, apabila Anara sudah merancang sesuatu, pasti akan ada rentetan kejadian yang tidak terduga.

Dan di dapur, tanpa mereka sedar, Hani terhenti mengacau nasi goreng. Telinganya menangkap dengan jelas nama “Dato’ Hans” dan “jodoh” dalam perbualan pasangan itu. Wajahnya berubah. Hatinya mula bergolak.

Apakah ini maksud sebenar Anara membawanya ke rumah ini?

Anara tersenyum lebar selepas Azri mengangguk bersetuju untuk ‘cuba-cuba’ memperkenalkan Hani kepada Dato’ Hans.

“Kalau mereka berjodoh... fuh! Kita kena panggil dia Datin Hani lepas ni,” ujar Anara dalam nada ceria, separa bergurau.

Namun, tanpa disedari, Hani yang baru sahaja keluar dari dapur dengan pinggan nasi goreng di tangan, terdengar ayat itu dengan jelas.

Langkahnya terhenti. Dadanya berdebar, tapi dia terus melangkah perlahan, meletakkan pinggan itu di atas meja makan tanpa sebarang ekspresi.

Azri menyapa seperti biasa, “Hani, terima kasih sediakan sarapan.”

“Ya, sama-sama,” jawab Hani perlahan.

Anara pula senyum sambil berkata, “Kita kena start panggil dia Datin Hani la Abang, Datin Hani, nanti kalau ada masa lapang, kita keluar minum ya. Nak sembang-sembang... pasal kerja.”

Hani angguk perlahan, tapi dalam hatinya, gelora sudah membuak.

Jadi... ni maksud sebenar Anara? Dia nak aku keluar dari rumah ini. Nak bagi aku pada lelaki lain. Sebab aku menyusahkan?

Namun Hani tidak bersuara. Dia tidak mahu menimbulkan huru-hara. Dia hanya mengatur senyuman palsu, mencatat setiap patah kata Anara dalam hati.

Dan malam itu, buat pertama kalinya sejak dia tinggal di rumah itu, Hani menangis diam-diam di dalam bilik.

Kalau aku keluar, ke mana aku akan pergi? Tapi aku takkan jadi boneka dalam rancangan orang lain..., Tapi Datin Hani?, macam menarik juga tu.

Restoran mewah di tengah kota itu kelihatan tenang pagi itu. Azri telah menetapkan temu janji kononnya untuk membincangkan projek baru bersama Dato’ Hans. Namun, secara ‘kebetulan’, Anara mengajak Hani ikut serta kerana katanya, “sekali-sekala kita kena keluar dan jumpa orang luar.”

Hani tahu ada udang di sebalik mee. Dia sudah meneka rencana Anara, namun dia hanya membalas ajakan itu dengan senyuman manis senyuman yang tersembunyi makna.

Saat mereka tiba, Dato’ Hans sudah menunggu. Lelaki berusia awal 40-an itu kelihatan segak dengan blazer biru gelap dan jam tangan mahal di pergelangan tangan. Wajahnya tenang, berkarisma.

Azri memperkenalkan, “Dato’, ini Hani. Kawan lama kami. Sekarang dia tinggal bersama kami.”

Dato’ Hans mengangguk dan menghulur tangan dengan senyum mesra.

“Puan Hani, selamat berkenalan.”

Hani membalas senyuman itu — sopan, ayu, dan... penuh taktik.

“Dato’, saya hanya Hani saja. Belum layak dipanggil ‘Puan’.”

Mereka duduk dan berbual santai. Anara sengaja meninggalkan mereka berdua sebentar, memberi ruang ‘kenal-kenal’.

Hani menyedari setiap gerak laku Dato’ Hans diperhatikan oleh Anara dari jauh. Jadi, dia mula berlakon—senyuman manis, ketawa kecil, dan sesekali mengangguk perlahan setiap kali Hans bercerita.

Namun dalam hatinya...

Kalau ini permainan kamu, Anara... aku akan mainkan watak yang kamu mahukan. Tapi jangan harap aku akan kalah.

Dato’ Hans tampak tertarik. “Kalau Hani berminat, saya boleh bantu dapatkan kerja di pejabat saya. Bahagian pentadbiran. Gaji okey, waktu fleksibel.”

Hani tersenyum lagi, kali ini dengan nada manja yang disengajakan. “Saya tak pandai sangat kerja pejabat, Dato’. Tapi kalau Dato’ sanggup ajar, saya SANGGUP belajar.”

Anara di hujung meja hampir terlopong.

Azri terkedu.

Dan Hani hanya tunduk, sambil menyembunyikan senyuman licik di sebalik cawan kopi.

Hari-hari selepas pertemuan itu menjadi berbeza.

Hani bukan lagi wanita yang hanya membantu di dapur dan duduk diam di rumah. Setiap pagi, dia keluar ‘menghadiri temuduga’ dan ‘melawat pejabat Dato’ Hans’ kononnya untuk proses pengambilan kerja.

Anara tersenyum puas setiap kali melihat Hani bersolek nipis dan berpakaian kemas.

“Hani makin serasi dengan dunia luar. Cantik hari ni,” usik Anara sambil menghirup teh.

“Yalah... saya cuba biasakan diri. Tak selamanya saya boleh duduk menumpang, kan?” balas Hani dengan suara lembut.

Tapi di sebalik suara lembut itu, hatinya mendidih.

Kalau mereka fikir aku akan mudah dijual pada lelaki lain, mereka silap.

Di pejabat Dato’ Hans, Hani mula mengatur gerak. Dia pandai berbual, tahu bila perlu tersenyum, bila perlu menjeling manja. Dia membuat Hans ketawa, kagum dan... tertarik.

“Awak ni lain dari wanita yang saya pernah kenal,” ujar Hans suatu hari. “Lembut, penuh misteri.”

Hani membalas dengan senyum simpul. “Dato’ belum kenal saya sepenuhnya.”

Dan malamnya, Hani pulang ke rumah dengan bungkusan makanan mewah, kononnya ‘tanda terima kasih’ dari Dato’ Hans kerana membantunya mengenal dunia pekerjaan.

Anara terpinga.

Azri hanya diam.

Tapi Hani tahu — dia sedang menguasai pentas kecil yang Anara cipta.

Dan apabila Anara cuba bertanya lebih jauh, Hani hanya menjawab perlahan:

“Dato’ Hans baik. Saya selesa kerja dengan dia. Tapi kalau jadi lebih dari itu... kita tak tahu kan, apa yang Allah tentukan.”

Sekali lagi, Anara terdiam. Dan untuk pertama kalinya, dia merasa tidak selesa dengan senyuman Hani yang dulu tulus — kini seperti senjata yang menusuk perlahan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience