AFSHIN 14

Fantasy Completed 7268

Angin yang bertiup malam itu terasa sungguh dingin sekali. Seperti membawa khabar angin yang dia sendiri tidak pasti baik buruknya. Tengku Rayyan mula membuang pandang ke dada langit yang penuh dengan kerlipan bintang. Cuba menghayati keindahan malam bagi menghilangkan penat yang melanda diri setelah seharian menguruskan hal berkaitan Kautsar.


Kini tubuhnya berdiri di tengah-tengah halaman kawasan pembesar. Terselit sebilah keris di pinggangnya yang sengaja dibawa bersama kerana takut berlakunya kejadian yang tidak diingini sementelah beberapa hari lepas Ferran melaporkan mungkin akan berlaku pencerobohan di kawasan ini. Jadi lebih baik dia bersiap siaga dan berhati-hati sekarang.


Sedang asyik melayan perasaan, Tengku Rayyan terdengar derap langkah seseorang dari arah belakang. Dengan pantas Tengku Rayyan berpaling untuk melihat empunya diri, tetapi tiada satu pun tubuh manusia di situ selain dirinya. Hanya pokok-pokok berbunga yang sesekali bertiup mengikut arah angin.


"Siapa?!" Tengku Rayyan menjerit lantang. Dia tahu apa yang didengarnya tadi bukan khayalan semata-mata.


Derap kaki itu sekali lagi berbunyi dari arah kolam. Tanpa membuang masa, Tengku Rayyan berkalih memandang ke arah itu. Kini dia dapat melihat dengan jelas tubuh yang berdiri kaku di atas titi kolam. Dari gayanya kelihatan seperti seorang pemuda dan mukanya tidak dapat dilihat dengan jelas kerana ditutupi topeng muka. Yang pasti gerangan itu sedang memerhati ke arahnya.


"Siapa kau?!" Suaranya lebih nyaring dari tadi. Walaupun Tengku Rayyan tahu serba sedikit tentang seni mempertahankan diri, tetapi dia tidak yakin dengan kekuatan musuh yang dihadapinya sekarang. Boleh jadi lelaki itu lebih handal berlawan darinya.

"Pengawal! Pengawal!!" Tengku Rayyan menjerit berkali-kali. Matanya masih tidak lepas dari memandang pemuda itu. Bagaimana orang luar boleh masuk ke sini?


"Tengku! Jauhkan diri!" Ferran yang baru muncul bersama dua orang lagi pengawal bertindak berdiri di hadapan Tengku Rayyan. Bertindak melindungi Tengku Rayyan dari ancaman lelaki itu. Malam ini cuma tinggal tiga orang pengawal sahaja termasuk dirinya kerana yang lain sudah dihantar pulang oleh Azzan setelah mereka melihat kawasan pembesar berada dalam keadaan selamat selama tiga hari berturut-turut. Jadi mereka berpikir semuanya baik-baik sahaja.


"Tangkap dia!!!" Tengku Rayyan memberi arahan kepada Ferran dan pengawal yang lain. Mereka bertiga mula membuka langkah untuk menyerang pemuda itu.


"Arghhh!!! " Dengan tidak semena-mena muncul lima orang pemuda yang berpakaian sama dengan pemuda itu dari balik pokok. Dua daripada mereka memegang kayu panjang dan tiga orang lagi memegang parang. Kini Tengku Rayyan, Ferran dan dua orang lagi pengawal dikelilingi oleh lima pemuda itu. Tahulah Tengku Rayyan bahawa mereka sudah diserang hendap oleh musuh.


"Serahkan kunci rumah pembesar!! Nescaya engkau akan aku lepaskan." Suara pemuda itu mula kedengaran garang. Tengku Rayyan pasti lelaki itu merupakan ketua yang memberi arahan kepada lima orang anak buahnya itu.


"Tidak!! Langkah mayat aku dahulu sebelum engkau mahu merampas hak milik Kautsar!!" Tegas Tengku Rayyan. Dia akan mempertahankan jantung atau kepunyaan Kautsar sehingga titik darah terakhir. Kawasan Kautsar adalah di bawah tanggungjawabnya. Jadi dia harus memelihara hak itu dengan penuh amanah.


"Nampaknya engkau mahu menempah maut malam ini." Pemuda itu mula tergelak sinis. Tawanya semakin lama semakin kuat membelah kesunyian malam.


Tengku Rayyan cuba mengusir rasa takut di dalam hati. Dia tahu malam ini mereka berempat perlu bertempur dengan lima orang musuh itu. Dia tidak akan menyerahkan kunci rumah pembesar kepada mereka. Hanya kunci itu yang mampu memberi mereka pelepasan masuk ke dalam rumah pembesar. Dan hal itu tidak akan dibiarkan Tengku Rayyan.


"Habiskan mereka." Sejurus pemuda itu memberi arahan, kelima-lima anak buahnya menyerang Tengku Rayyan secara serentak. Fokus mereka hanya untuk merampas kunci rumah pembesar dari Tengku Rayyan.


Parang yang dilibas ke arah Tengku Rayyan pantas ditahan oleh Ferran dengan lembingnya. Dengan sekuat tenaga, parang itu ditolak sekuat hati dengan lembing di tangan. Terdorong pemuda yang memegang parang itu ke belakang.


"Lindungi tengku!" Sempat Ferran memberi arahan kepada dua orang lagi pengawal. Mereka akhirnya bertindak berdiri di sekeliling Tengku Rayyan untuk menjaga tuan mereka itu.


Segala libasan dan serangan cuba dielak sedaya mampu. Sehingga satu tahap terlepas desahan kuat dari ketiga-tiga mulut pengawalnya itu. Tengku Rayyan tahu, amat lelah apabila pengawalnya terpaksa menepis serangan tanpa henti. Dilihatnya pemuda yang berdiri di atas titi itu hanya diam berdiri memerhatikan mereka berlawan. Dia seperti sedang menunggu masa yang sesuai untuk turut masuk campur.


"Ini tidak boleh jadi! Biarkan saya turut serta melawan musuh!" Tengku Rayyan menapak satu langkah ke hadapan.


"Tidak boleh tengku. Amat bahaya kerana mereka bersenjatakan parang sedangkan tengku hanya memegang keris." Ferran mengilas tangan salah seorang pemuda sebelum mula membantingnya ke tanah. Sempat dia memandang sekilas ke arah Tengku Rayyan untuk melihat keadaannya.


"Jadi, biar saya uruskan musuh yang tidak bersenjata tajam, dan kamu uruskan sahaja yang bersenjata bahaya." Tengku Rayyan memberi cadangan. Dilihatnya pemuda yang dibanting oleh Ferran tadi sudah mula bangun dan bersiap sedia untuk menyerang semula.


"Baiklah tengku." Ferran akhirnya mengubah arah serangannya ke arah tiga orang pemuda bersenjata yang sedang berlawan dengan dua orang lagi pengawal. Dia terpaksa tinggalkan Tengku Rayyan bersama dengan dua orang musuh yang memegang kayu. Dirasakan itulah keputusan paling tepat supaya mereka boleh selamatkan diri dari serangan ini.

Tengku Rayyan menarik nafas panjang sebelum mula membuka kekudanya. Serangan demi serangan sedaya upaya cuba dielakkan. Dengan ekor mata dia dapat melihat tiga orang pengawalnya sudah mula cedera akibat terkena libasan parang di tubuh mereka. Dan seorang musuh sudah tewas ditikam lembing di bahagian dada.


Tengku Rayyan tidak berputus asa. Dia menahan kayu yang dihayun ke arahnya dengan keris di tangan. Tumbukan padu dilepaskan ke dada pemuda itu dengan sekuat tenaga. Terlepas genggaman kayu daripada tangan pemuda itu sebelum mula tersungkur ke belakang.


Namun, entah di mana silap Tengku Rayyan, tubuhnya pula menjadi mangsa sepakan dan tumbukan daripada seorang lagi pemuda. Kerisnya terpelanting jauh dari genggaman. Dapat dirasakan ada cecair hangat mengalir keluar dari mulutnya.

Ferran dan pengawalnya yang lain juga tidak mampu untuk bertahan lama apabila mereka mula tersungkur ke tanah. Kini mereka hanya mampu memandang lemah dua orang musuh yang berlawan dengan mereka sebentar tadi mendekati Tengku Rayyan bersama parang yang dipenuhi darah.


Salah satu parang dilibas ke arah Tengku Rayyan. Tengku Rayyan hanya mampu memejamkan mata membenarkan parang itu membelah dagingnya. Dia pasrah jika malam itu merupakan kali terakhir dia melihat dunia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience