AFSHIN 22

Fantasy Completed 7268

"Anakandaku Rayyan!!" Tengku Azman lantas berlari memeluk Tengku Rayyan yang baru tiba sambil diiringi pengawal-pengawal lain.


"Ayahanda.. " Tengku Rayyan membalas pelukan ayahnya dengan kemas. Dia berasa tenang dan amat lega kerana terselamat daripada pertempuran itu.


"Anakanda tidak apa-apa kan? Tiada kecederaan teruk?" Tengku Azman membelek-belek tubuh Tengku Rayyan ingin mencari cacat cela yang mungkin singgah di tubuh anaknya itu.


"Anakanda baik-baik sahaja. Ayahanda tidak perlu risau." Suara lemah Tengku Rayyan menghentikan perbuatan Tengku Azman yang cemas.


"Kakanda!!" Datang pula Tengku Rafan berlari bagaikan tidak cukup tanah. Suaranya menempik nyaring cukup membingitkan suasana pembesar sekarang.


"Kakanda masih hidup." Tengku Rayyan menerangkan keadaan dirinya terlebih dahulu sebelum sempat adiknya bertanya. Dia tahu Tengku Rafan juga risau dengan keadaannya sekarang.


Tengku Rafan mengurut dada menunjukkan bahawa dia berasa lega mendengar kenyataan dari mulut abangnya itu.


"Baguslah kalau anakanda tidak apa-apa. Ayahanda risau sangat tadi apabila menerima pengkhabaran duka daripada Anakanda Rafan tentang keadaan kamu di sana."


"Anakanda bersama pengawal yang lain berjaya menumpaskan mereka. Cuma.. " Bicara Tengku Rayyan terhenti di situ. Wajahnya bertukar mendung dan tangannya dikepal erat di sisi.


"Cuma kita kehilangan beberapa orang pengawal semasa pertempuran tadi termasuk Ferran." Perlahan sahaja Tengku Rayyan memberitahu ayahnya. Hati tiba-tiba dihurung sebak mengenangkan dia sudah kehilangan satu-satunya pengawal yang rapat dan berdedikasi yang selama ini sentiasa melindunginya. Dia rasa dirinya gagal menjadi seorang ketua. Gagal kerana tidak dapat menyelamatkan nyawa pengawalnya yang lain sedangkan dirinya sihat walafiat di sini.


"Anakanda sudah cuba yang terbaik. Keputusan anakanda untuk tidak meninggalkan medan pertempuran cukup menunjukkan anakanda seorang yang berani dan pahlawan. Jadi anakanda jangan salahkan diri begini di atas kematian mereka." Lembut Tengku Azman memujuk bagaikan faham dengan gundah yang Tengku Rayyan rasai sekarang.


"Anakanda melihat sendiri mereka dibunuh di hadapan mata. Tetapi, anakanda masih tidak mampu untuk selamatkan mereka. Sungguh lemah diri ini sehingga tidak boleh berbuat apa-apa sedangkan nyawa mereka diragut dari badan. Anakanda kesal sekali." Air mata jantan Tengku Rayyan akhirnya menitis jua. Tengku Rayyan tidak malu menunjukkan segala kesedihan yang bertamu di hati di hadapan keluarganya. Dia rasa itulah pertempuran yang paling ngeri pernah berlaku dalam hidupnya.


"Kakanda tetap wira di hati mereka. Keberanian kakanda sudah cukup menunjukkan kakanda mengambil berat tentang mereka. Buktinya kakanda masih mahu untuk menentang musuh bersama pengawal yang lain. Kakanda sudah cuba yang terbaik. Jadi berhenti salahkan diri kakanda seperti ini. Jika kakanda berduka begini, pengawal lain apatah lagi." Tengku Rafan memeluk bahu Tengku Rayyan erat. Cuba menyalurkan semangat dalam diri Tengku Rayyan. Dia tidak mahu semangat abangnya itu merudum kerana peristiwa hitam tadi.


"Tengku." Azzan datang menghadap mematikan suasana sayu yang mengulit mereka bertiga.


"Katakan." Tengku Azman memberi izin kepada Azzan untuk melaporkan keadaan semasa.


"Semua pengawal yang cedera sudah ditempatkan di bilik sakit sepertimana yang Tengku arahkan tadi. Nek Galyn dan anak buahnya juga sudah sampai untuk memeriksa keadaan mereka yang cedera." Terang Azzan dengan penuh hormat.


Tengku Azman mengangguk tanda berpuas hati dengan kepantasan pengawal itu melaksanakan arahannya.


"Bagaimana pula pengawal lain?" Tengku Rayyan menyoal serius.


"Pengawal yang gugur dalam pertempuran itu diletakkan di halaman kawasan pembesar. Semuanya sepuluh orang dan pengawal-pengawal lain sudah diarahkan untuk pergi memberitahu ahli keluarga mangsa yang meninggal untuk datang ke sini." Azzan berkata bersama suara yang bergetar. Dia juga turut terkesan dengan kematian itu kerana semua yang terlibat adalah rakan seperjuangannya.


Tengku Rayyan menarik nafas panjang sambil memejamkan mata. Cuba mengumpul kekuatan dan tidak mahu terlihat lemah di hadapan Azzan. Dia tahu sepuluh orang yang dikatakan Azzan termasuklah Ferran sekali.


"Baiklah. Ada perkara lagi yang kamu mahu laporkan?" Tengku Azman bertanya kembali.


"Perkara ini sudah dimaklumkan kepada Raja Dayyan. Semua pengawal istana sudah dikerah untuk datang mengurus dan membersihkan mayat musuh yang menyerang kita di kawasan hutan." Terang Azzan lagi.


Tengku Azman mengangguk-angguk tanda bersetuju dengan tindakan yang diambil oleh Raja Dayyan itu. Bantuan pengawal istana amat diperlukan sekarang.


"Itu sahaja perkara yang ingin disampaikan oleh hamba. Hamba minta diri dahulu." Azzan menunduk hormat sebelum berkira-kira mahu pergi dari situ. Ada banyak perkara yang perlu diuruskan.


"Tunggu!" Tengku Rayyan menahan Azzan kembali. Tindakan itu membuatkan semua mata terarah pada Tengku Rayyan sekarang.


"Bagaimana dengan keadaan Dayang Rycca? Dia di mana sekarang?" Mata Tengku Rayyan memandang tepat muka Azzan yang berubah sedikit. Disebabkan kesedihan yang melanda dirinya tadi membuatkan Tengku Rayyan lupa tentang keadaan Rycca.


Azzan serba salah mahu menjawab soalan Tengku Rayyan. Dia meneguk liur sambil sesekali pandangannya terarah kepada Tengku Azman.


"Kamu boleh pergi." Tengku Azman bertindak menghalau Azzan kembali. Azzan mengangguk sebelum laju-laju menghilang dari ruangan itu. Lebih baik soalan itu dijawab sendiri oleh Tengku Azman.


"Kenapa ayahanda? Di mana ayahanda tempatkan Rycca? Anakanda mahu melihat keadaannya sekarang." Perubahan dan pandangan antara Azzan dan ayahnya tadi dapat dikesan. Dia dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena di sini.


"Ayahanda sudah kurung dia di bilik bawah tanah!" Tengku Azman bersuara garang.


"Ha?! Tapi kenapa ayahanda? Bukankah Dayang Rycca pengsan sekarang dan juga memerlukan rawatan seperti pengawal lain? Mengapa ayahanda mengambil tindakan dengan mengurungnya di situ?" Tengku Rayyan nyata buntu. Dia tidak tahu mengapa Tengku Azman berubah marah apabila soal Rycca dibangkitkan.


"Dia memang patut berada di situ dari awal! Kita sudah tertipu dengan lakonannya selama ini!!" Tengku Azman kembali membentak.

"Dayang Siti menjumpai loket ini di bawah bantal Dayang Rycca." Tengku Rafan mengeluarkan sesuatu dari poket baju melayunya. Dia mengambil tindakan untuk menerangkan situasi sebenar kepada Tengku Rayyan supaya abangnya itu faham kenapa mereka mengurung Rycca kembali.


"Kamu tahukan loket ini hak milik kawasan mana?! Nasib baik ada dayang yang menjumpai loket ini. Jika tidak, pasti sahaja perempuan itu akan membuat onar nanti!" Tengku Azman nyata marah dengan penemuan itu. Dia tidak menyangka selama ini musuh yang digeruni berada dekat di sisi mereka. Nasib baiklah Rycca tidak berbuat apa-apa yang jahat ke atas mereka.


"Kawasan Dahak!!!" Ya. Tengku Rayyan amat mengenali ukiran dan bentuk loket itu. Loket yang hanya dipakai oleh rakyat Dahak. Tetapi bagaimana pula loket ini boleh berada pada Rycca? Bagaimana identiti musuh mereka boleh terlepas ke sini?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience