AFSHIN 13

Fantasy Completed 7262

Malam itu, Azzan mengarahkan lebih banyak pengawal untuk menjaga kawasan pembesar. Sejak petang tadi dia dan anak buahnya berusaha mencari tebukan lubang di pagar yang boleh menghubungkan kawasan dalam dengan kawasan luar, namun pencarian mereka menemui jalan buntu. Tiada satu pun perkara yang mencurigakan di situ.


"Bagaimana? Kamu ada terjumpa sesuatu?" Azzan menyoal kumpulan Ferran yang baru muncul di hadapannya.


"Tidak tuan. Semuanya dalam keadaan baik sahaja." Muka Ferran jelas menunjukkan riak hampa. Hampa kerana pencarian mereka selama berjam-jam hanya sia-sia.


"Mungkin kita sahaja yang terlebih curiga. Bisa jadi kucing itu terlepas masuk ketika pintu pagar hadapan dibuka. Ataupun dia bisa memanjat pagar kawasan ini untuk masuk ke dalam." Azzan mula meluahkan firasatnya.


"Bagaimana jika ada perkara yang kita terlepas pandang? Hamba bimbang berlaku sesuatu di luar jangkaan kita kelak." Ferran runsing. Selagi dia tidak menemui punca utama, selagi itulah dia tidak boleh duduk senang.


"Beginilah, buat masa sekarang kita lebihkan bilangan pengawal menjaga kawasan pembesar. Jika masih tidak berlaku apa-apa kita kembali kepada sedia kala." Azzan akhirnya membuat rancangan. Sekurang-kurangnya dengan bilangan pengawal yang banyak mampu menenangkan hati mereka tentang marabahaya.


Ferran hanya mengangguk lemah kepada Azzan. Bersetuju dengan cadangan ketuanya itu. Dia tahu buat masa sekarang mereka perlu bersedia dengan segala hal.


"Sudahlah, suruh semua pengawal yang terlibat dalam pencarian untuk bersurai. Hanya pengawal yang dilantik untuk menjaga kawasan pembesar sahaja tidak perlu pulang." Arah Azzan kepada mereka.


Ferran kembali mengorak langkah ke arah rumah pembesar. Ingin memberitahu dan melaporkan kejadian pada malam ini kepada Tengku Azman.

KEJADIAN pada malam itu nyata menjadi buah mulut seluruh penghuni di dalam kawasan pembesar. Ke mana sahaja Rycca pergi, pasti sahaja perkara yang sama didengarinya.


"Eh! Kamu dengarkan berita yang tersebar sekarang? Nampaknya kawasan pembesar sudah tidak selamat lagi." Dayang Siti mula berbisik dengan dayang-dayang yang lain. Rycca yang turut berada di situ hanya memasang telinga sahaja.


"Benar sekali. Haih! Tidak dapat tidur nyenyak saya malam ini." Dayang Asiah pula bersuara disambut dengan anggukan Dayang Raihana.


"Tetapi tertanya-tanya juga saya, siapakah yang berani membuat onar di kawasan pembesar? Adakah mereka mahukan sesuatu daripada keluarga tengku?" Dayang Raihana pula menyoal.


Terhenti tangan Rycca yang sedang mengacau sup. Dia juga tertanya-tanya akan hal itu. 'Kalau betul ada orang berniat jahat, siapa agaknya? Adakah orang itu datang dari rakyat Kautsar sendiri ataupun dari kawasan lain?' Rycca bermonolog di dalam hati.


"Sudah pasti harta yang mereka mahukan. Tak akanlah mereka mahu datang menculik kamu pula." Sempat Dayang Asiah mengusik. Tercetus gelak tawa mereka bertiga di situ.


Rycca kembali meneruskan kerjanya. Malas mahu berfikir lebih-lebih. Dia mendekati kabinet kayu yang terletak di sebelah pintu dapur. Ingin mengambil beberapa piring dan pinggan untuk digunakan nanti.


Tanpa Rycca perasan dia sudah terlanggar paku yang terkeluar sedikit dari birai pintu dengan bahu kanannya.


"Aduh." Rycca mengaduh sakit sambil memegang bahunya yang terasa perit. Mama Dayang yang baru muncul di situ juga terkejut melihat keadaan Rycca. Pantas sahaja dirinya mendapatkan Rycca untuk melihat keadaan dayangnya itu. Sekarang semua mata tertumpu ke arah Rycca.


"Kenapa?" Mama Dayang mengangkat tapak tangan Rycca yang masih memegang bahunya. Dapat dilihat dengan jelas darah yang keluar daripada luka panjang di bahu Rycca. Tidak dalam tetapi cukup membuatkan baju kurung yang dipakai Rycca terkoyak.


"Sekejap saya bawakan ubat untuk kamu." Setelah itu Mama Dayang hilang dari pandangan. Mungkin pergi mengambil ubat yang dikatakannya.


"Sakit sikit sahaja. Sengaja mahu mencuri perhatian Mama Dayang!" Dayang Siti mencebik meluat ke arah Rycca. Dia tidak suka melihat perhatian yang diberikan Mama Dayang kepada Rycca. Cemburu dirasakan kerana dahulu Mama Dayang hanya melayannya seorang sahaja.


Rycca malas mahu bertekak dengan Dayang Siti. Bukan dia tidak tahu jika dia mengambil keputusan untuk membalas kata-kata itu, pasti kerjanya akan diganggu selepas ini.


Mama Dayang kembali bersama minyak angin dan cebisan kain batik di tangan. Belum sempat Mama Dayang ingin menyapu ubat itu, Rycca merampasnya dari tangan Mama Dayang.


"Tak apa, biar saya sendiri yang buat." Rycca tersenyum manis. Lebih baik dia buat sendiri sebelum dirinya dicop mengada-ngada oleh Dayang Siti.


"Baiklah." Mama Dayang hanya menurut sahaja kehendak Rycca. Dia menyambung pekerjaan Rycca dengan mengambil pinggan di dalam rak dan disusun satu persatu di atas meja.


Rycca membawa diri ke dalam rumah dayang. Dia menyenteng lengan baju kurungnya untuk memudahkannya mencuci luka di bahu. Minyak angin dituang sedikit ke jari telunjuk lalu dibawa menyentuh bahunya.


Rycca mula meraba-raba bahagian bahunya. Namun luka yang dicari masih tidak dijumpai. Pantas Rycca mendapatkan cermin yang terletak di meja solek. Melalui pantulan cermin itu, dia dapat melihat bahunya berada dalam keadaan yang elok sahaja. Tiada kecederaan mahupun isi terkoyak seperti tadi. Hanya sedikit darah merahnya yang menghiasi tempat itu.


"Tak mungkin!" Nafas Rycca mula tidak teratur. Sungguh dia cemas sekarang. Kali ini dia pasti dengan apa yang dilihatnya.


"Macam mana? Macam mana boleh jadi begini?! Tak mungkin!" Rycca meraup wajahnya berkali-kali. Cuba menstabilkan jantung yang mula berdegup kencang.


Jadi betullah apa yang dilihatnya sebelum ini. Luka di badannya sembuh sendiri dan hanya meninggalkan kesan darah di tempat itu. Rycca bagaikan tidak percaya dengan kejadian itu. Sungguh tidak masuk akal!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience