AFSHIN 44

Fantasy Completed 7262

Pedang emas yang hampir mengenai muka ditahan dengan pedang miliknya. Mata bertentang mata. Kedua-duanya mengeluarkan desah nafas berat menandakan kemengahan berlawan sesama sendiri sejak tadi. Agha mula menekan pedang miliknya dengan lebih kuat sehingga Rycca terundur ke belakang. Riak wajah Rycca jelas terkejut dengan hal itu. Sempat dia mengerling ke arah Khabir dan Tengku Rayyan yang turut berlawan dengan dua orang musuh lagi tidak jauh darinya.


"Kenapa? Kau terkejut aku boleh lawan kekuatan kau?" Sinis sekali soalan yang dilontarkan Agha.


Rycca tidak memberikan sebarang reaksi. Dia cuma merenung wajah Agha dengan pandangan tajam bak belati.


"Sememangnya darah milik kau mampu mengubah insan yang lemah seperti aku untuk menjadi lebih kuat! Hahahahaha!!" Seperti orang gila Agha mentertawakan Rycca yang jelas terpinga-pinga dengan kenyataannya. Dia rasa seronok melihat wajah itu berkerut tidak mengerti apa-apa.


"Darah? Sejak bila aku..." Ayat Rycca tergantung sendiri. Dia mula teringatkan sesuatu. Dalam banyak-banyak pertempuran, hanya satu perlawanan menyebabkan kulitnya terluka. Malam dia dan Tengku Rayyan diserang di Kawasan Kautsar.


"Takkanlah..." Rycca berdesis perlahan.


"Kau nampak tak? Walaupun hanya sedikit darah kau yang masuk ke dalam badan aku, tetapi aku boleh merasai kekuatan yang luar biasa! Terima kasih untuk itu." Agha masih dengan tawa jengkelnya. Dia mula teringat kejadian pada malam dia menjilat darah Rycca yang melekat di keris emas miliknya.


Hidung Rycca mula kembang kempis. Dia mendengus-dengus marah dan terasa jijik dengan apa yang diperkatakan lelaki jahanam itu. "Tak guna..."


Kaki dihayun pantas berlari ke arah Agha sebelum Rycca memusingkan badan dan melibas pedang tepat ke perut Agha. Agha sempat menahan dengan pedangnya sebelum melepaskan sepakan ke wajah Rycca. Kuat sehingga Rycca jatuh terbaring. Kepalanya terasa berdenyut sebentar.


"Rycca!!!" Tengku Rayyan menikam keris di perut lawannya. Serta-merta tubuh itu tumbang menyembah tanah. Kemudian, dia berlari merampas pedang milik Rycca sebelum berdiri di hadapan menjadi benteng di antara Rycca dan Agha.


"Jangan jadi pengecut! Lelaki bertarung sesama lelaki! Kalau kau lelaki sejati, maju bertarung dengan aku!" Pedang dihala tepat ke wajah Agha.


"Tiada istilah pengecut di sini! Aku cuma mahukan kekebalannya. Kau tidak perlu masuk campur kalau tak nak nyawa kau melayang!" Nada Agha sedikit bergetar memarahi Tengku Rayyan.


"Bunuh dia.." Suara halus itu membuatkan Agha tercengang. Bukan terkejut mendengar arahan yang keluar tetapi, terkejut melihat mata Rycca tepat memandang ke arahnya. Seperti arahan tersebut ditujukan kepadanya dan bukan Tengku Rayyan.


"Aku cabar kau untuk bunuh Tengku Rayyan..." Kali ini bukan Agha sahaja terkejut tetapi Tengku Rayyan juga nampak keliru dengan arahan itu. Tengku Rayyan menoleh sekilas ke arah Rycca tetapi gadis itu jelas sedang memandang Agha dengan pandangan seperti...


Menguji?


"Ka... Kau ingat aku tak berani?" Agha mula mengemaskan cengkaman pada hulu pedang. Nafas panjang ditarik sebelum dia memulakan serangan dahulu terhadap Tengku Rayyan.


Serangan demi serangan dapat ditepis. Tumbukan serta sepakan dapat dielak Tengku Rayyan dengan mudah. Begitu juga Agha tidak kurang hebatnya. Nampaknya memang darah Rycca sangat-sangat bertindak balas dalam badan Agha. Tetapi ada sesuatu yang membuatkan Tengku Rayyan pelik. Serangan Agha tidak seganas dia berlawan dengan Rycca sebentar tadi.


Baru sahaja Tengku Rayyan mahu melepaskan lelah, terasa dadanya disepak kuat. Dia tersungkur sebelum terbatuk kecil mengeluarkan cecair pekat di celah bibir. Tubuh yang ingin berdiri semula terhenti apabila ditahan oleh Rycca.


"Nampaknya kau masih ada perasaan kasih dalam hati kau..." Kenyataan itu membuatkan dua pasang mata terpasung ke arah Rycca. Agha dan Tengku Rayyan. Semestinya mata Agha yang kelihatan resah.


Rycca tunduk mengutip kayu panjang tidak jauh dari situ. "Betul tak apa yang aku cakap?" Rycca menyoal Agha bersama kening yang terjongket sebelah.


Agha mengetap rahangnya kuat. Dia dapat merasakan bahawa Rycca sudah mengetahui identitinya. Dan dia pasti Rycca mahu mendedahkan dirinya yang sebenar kepada Tengku Rayyan. Jika itu apa yang ingin dilakukan Rycca, nyawa gadis itu harus dirampas sebelum perkara tersebut berlaku. "Tak guna kau perempuan!!" Serentak itu Agha melompat tinggi ke arah Rycca.


Dengan mudah Rycca mengelak lalu menghentak kuat celah ketiak Agha dengan kayu ditangan sehingga terlepas pedang yang digenggam Agha. Kemudian Rycca memukul badan Agha bertubi-tubi sehingga kayu itu dibawa menghentak kepala Agha. Agha akhirnya tersungkur betul-betul di hadapan Tengku Rayyan. Melihat musuh yang sudah pening-pening lalat, Rycca pantas menyilangkan kedua-dua belah tangan Agha ke belakang lalu ditindih dengan sebelah lututnya.


Tanpa amaran, rambut Agha dicengkam sehingga kepala itu terdongak ke atas dan kain yang terikat kemas menutupi separuh muka direntap kasar. Terus terpampang wajah Agha dihadapan Tengku Rayyan.


"Betul tak apa yang aku cakap... Tengku Rafan?" Rycca mengulang kembali soalannya sambil memandang Tengku Rafan yang sedang menahan kesakitan akibat cengkamannya.

Tengku Rayyan terpempam. Dunia seakan berhenti berputar buat sementara waktu. Kesakitan di dada terasa lebih mencucuk berbanding tadi membuatkan seluruh badan Tengku Rayyan bergetar hebat. Ya! Bergetar sehingga dia dapat merasakan nafasnya tersekat di kerongkong. Tak mungkin!!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience