AFSHIN 43

Fantasy Completed 7262

Kawasan yang tadinya dihadiri tiupan angin bertukar menjadi hujan pula. Hujan panah! Semestinya hujan itu hanya memberat pada pasukan Dahak. Agha jelas terkedu melihat berpuluh angkatannya di bahagian hadapan jatuh hampir serentak. Jatuh tanpa sempat mereka membuka langkah serangan. Jatuh tanpa sempat parang dan pedang yang dipegang memakan darah pihak lawan. Dia mula mengetap gigi dengan kuat.


Walaupun melihat banyak puak Dahak yang jatuh satu-persatu, Rycca tidak bersorak senang. Dia dan barisan yang berlari tadi mula mengendurkan langkah. Apabila hujan panah berhenti, matanya kekal fokus ke hadapan. Masih ada beberapa golongan Dahak yang selamat dari mata panah tadi. Dan berpuluh lagi yang berada di belakang sedang berlari ke arah mereka. Masih ramai kerana panah itu hanya menumbangkan musuh dari jarak yang mampu sahaja.


Rycca perlahan-lahan tersenyum melihat pasukan itu maju. Senyuman yang sangat menggerunkan dan penuh makna. "Sekarang... perlawanan sebenar baru bermula..."


"Maju!!!" Rycca menjerit pula. Mendengar ketua mereka mula menggamit, pasukan belakang yang berada di posisi asal tadi mula berlari. Mereka menjerit kuat dan sekelip mata sahaja berlari melepasi Rycca. Tidak lupa pasukan memanah yang turun dari arah bukit. Mereka juga turut menyertai perlawanan di atas tanah.


Akhirnya puak Rycca bertemu dengan puak Dahak. Mereka berlawan sesama sendiri, tidak kira lelaki atau perempuan. Semuanya berjuang demi tujuan masing-masing. Bunyi pedang berlaga sana-sini membingitkan telinga. Darah memercik mula berbau hanyir. Alatan perang yang pada awalnya bersih dari sebarang cela mula ternoda dengan darah. Ya! Mereka sedang beraksi di medan perang sekarang!


Rycca bersama barisan hadapan mula masuk menyertai. Mereka menghulurkan bantuan buat pasukan belakang. Pasukan yang agak lemah. Apabila dilihat ada orang yang tidak mampu berlawan, Rycca akan membantu. Semakin lama semakin banyak mayat yang bergelimpangan di atas tanah. Tidak kira puak Dahak mahupun puak Essam.


Agha yang melihat dari jauh mula mendekati bersama dua pengiringnya. Dia menghentak kaki membiarkan kudanya berlari masuk ke dalam kumpulan itu. Fikirannya untuk duduk tepi dan melihat sahaja tadi diabaikan kerana dia tahu jika dibiarkan pasti Dahak akan kalah. Tangan kanan utuh menggenggam pedang emas panjang yang bila-bila masa sahaja akan dihayunkan ke pihak lawan. Seperti tadi, fokusnya hanya untuk membunuh Rycca.


"Lindungi ketua Rycca!" Khabir yang melihat ketua Dahak maju mula memberi arahan. Tidak sampai sesaat, semua pasukan hadapan mengambil posisi dekat dengan Rycca. Tidak terkecuali Tengku Rayyan yang turut tergolong sebagai seorang pahlawan yang handal.


Walaupun tangan ligat menendang, melibas, menikam dan bertumbuk dengan musuh, mata mereka kekal mengawasi pergerakan ketua Dahak. Mereka masih melindungi Rycca daripada sebarang serangan yang mampu membunuh. Kerana di medan perang, jika tumbangnya ketua sesuatu puak bagaikan menarik separuh semangat mereka untuk terus berjuang. Jadi, mereka takkan biarkan itu berlaku.


"Aku akan bunuh kau perempuan!" Agha mula mendekat. Di belakangnya terlihat dua orang pengiring setia yang masih menunggang kuda sepertinya. Puak Essam yang menghalang semua dibunuh tanpa rasa bersalah. Matanya merah saga menandakan dia tidak main-main.


Pasukan handal mula maju. Tidak kurang hebatnya tetapi agak sukar berlawan kerana lawan mereka menunggang kuda. Pergerakan mereka agak terbatas dan pincang sedikit.


Rycca mengacip rahang dengan kuat. Ternaik urat hijau di dahinya. Dia tahu pasukan hadapan mula hilang tenaga kerana terpaksa mengelak dari ditendang kuda dan libasan musuh pada waktu yang sama. Rycca mula melihat sekeliling. Apabila ternampak objek yang dicarinya, dia pantas berlari mencabut anak panah di badan mayat rakyat Dahak yang tumbang awal-awal tadi.


"Rayyan!!" Rycca berlari ke arah Tengku Rayyan pula yang sedang bergelut dengan musuh. Tengku Rayyan pantas memandang Rycca sambil tangan sedang mengunci pergerakkan lawan. Rycca berlari ke arahnya dan melempar tiga batang anak panah ke arah Tengku Rayyan. Setelah itu dia mengambil pedang lalu menikam lawan yang dipegang Tengku Rayyan.


Tengku Rayyan menyambut anak panah yang dilempar dengan kemas, dia mengambil alatan memanahnya sebelum mula diangkat tinggi ke arah tiga ekor kuda itu. Tiga anak panah dilepas serantak dan bingo! Tepat memanah ke kaki tiga ekor kuda tersebut.


Agha dan dua orang pengiringnya melompat turun dari kuda apabila sedar kuda mereka mula hilang kawalan. Kini kaki mereka sudah menjejak tanah di tengah-tengah pasukan handal Essam.


"Ciss!" Agha berdecit marah. Dadanya berombak ganas menahan amarah yang memuncak. "Hapuskan mereka, tetapi perempuan dan lelaki ini aku punya!" Agha mula memberikan arahan. Lelaki yang dimaksudkan adalah Tengku Rayyan. Dan rakyat Dahak yang lain mula datang menyerang mereka serentak. Kerana terlalu ramai, pasukan handal yang melindungi Rycca sebentar tadi mula berpecah. Rycca tidak peduli kerana dia yakin, dia boleh melindungi diri sendiri.


Kini tinggallah Rycca, Khabir dan Tengku Rayyan menghadapi Agha dan dua konconya. Tengku Rayyan sudah melempar jauh alatan memanahnya dan digantikan dengan keris yang terselit di pinggang. Arahan Agha tadi tidak dipedulikan walaupun dia agak pelik asbab lelaki itu turut menginginkannya.


"Kau tidak malu? Masih menggunakan orang lain untuk melindungi kau!" Agha memulakan bicara. Rycca dapat melihat lelaki itu sedang tersenyum mengejek ke arahnya di sebalik kain yang menutupi separuh muka.


"Dan kau tidak takut? Jika menerima nasib yang sama seperti Tengku Sari?! Dibiarkan terbunuh dan mati untuk menyelamatkan ketua mereka sendiri?! Sedangkan ketua mereka mempunyai kelebihan dan kebal dengan senjata tajam!" Pertanyaan itu ditujukan pula pada Tengku Rayyan. Tengku Rayyan jelas tersentak dengan soalan itu. Api kemarahan mula menyerang di setiap salur darah Tengku Rayyan. Tidak suka soal ibunya diungkit.


"Jangan sebut nama ibu aku dengan mulut jijik kau! Ibu aku mati kerana pertahankan Afshin dari manusia berhatikan binatang macam kau! Bukan mati kerana Essam!" Tengku Rayyan membalas garang. Namun, balasan itu mengundang ketawa Agha.


"Kau ni bodoh! Bodoh kerana percayakan mereka! Ibu kau pasti masih hidup sekarang kalau Maanika itu melindunginya! Tetapi apa yang akhirnya kau dapat?! Hanya jasad tanpa roh yang dibawa pulang, sedangkan Maanika masih hidup seperti tiada apa-apa berlaku sampai sekarang!" Suara itu berbunyi lagi. Bagai menyiat-nyiat sekeping hati Tengku Rayyan. Bukan shaja Tengku Rayyan, tetapi Rycca juga turut merasai kesakitannya.


"Katalah apa pun yang kau nak kata! Tetapi hati aku masih berpihak kepada yang benar! Kau tak tahu apa-apa! Cuma tahu menyalak sahaja! Lemah!" Tengku Rayyan membidas. Dia dapat melihat Agha mencengkam kedua-dua belah tangan di sisi. Mata lelaki itu mula bertukar lebih garang.


"Kita lihat siapa yang lemah sekarang.." Sejurus itu, Agha dan dua konconya menyerang serentak. Khabir, Rycca dan Tengku Rayyan mula menahan serangan demi serangan. Tidak mahu kalah dengan serangan mengejut itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience