AFSHIN 51

Fantasy Completed 7260

Dua hari masa yang diambil oleh Rycca dan tenteranya untuk menangkap semua rakyat Dahak dan diserahkan kepada raja. Tembok dan perumahan Dahak juga dirobohkan sehingga tiada yang tersisa. Harta dan longgokkan emas yang dijumpai juga dirampas. Hanya pakaian penting sahaja dibenarkan ambil oleh tahanan tersebut. Kini, secara rasminya Kawasan Dahak sudah pupus dari peta dunia Afshin. Kawasan itu menjadi padang jarak padang terkukur.


Sepanjang dua hari itu juga Rycca tidak bertemu dengan Tengku Rayyan. Entah bagaimanalah keadaan putera asal Kautsar itu?Entah bagaimanalah keadaan Tengku Azman, dia sendiri tidak tahu. Rycca tidak pula bertanya lebih kerana dia sibuk dengan urusan Dahak.


"Ibu... Tugas Rycca di sini sudah selesai. Sudah tiba masanya kita pulang menjadi sebuah keluarga semula." Malam itu, Rycca duduk bersantai bersama Tengku Maanika merenung langit yang indah dihiasi bintang dan bulan penuh.


Tangan Tengku Maanika dibawa ke atas ribanya. Rycca memandang sang ibu dengan senyuman indah. "Ibu mahu ikut Rycca pulang?" Tanpa mukadimah, Rycca bertanya terus.


Tengku Maanika membalas senyuman itu sebelum menjawab pertanyaan Rycca tanpa ragu. "Cukuplah sebelum ini ibu sia-siakan hidup tanpa kehadiran kamu dan Kak Rissa. Sekarang, ibu mahu tebus masa itu untuk hidup bahagia. Bawa ibu bersama. Ibu mahu menjaga kamu berdua dan melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya ibu buat dari dahulu. Sebagai seorang emak, sebagai seorang ibu yang telah melahirkan kamu." Penuh emosi Tengku Maanika membalas. Dia sudah membuat keputusan. Sebelum ini, tanggungjawabnya adalah untuk Afshin, tetapi sekarang tidak lagi.


Terserlah senyuman lebar di wajah Rycca mendengarkan keputusan ibunya. Lantas leher Tengku Maanika dipeluk sebelum dia menghadiahkan kucupan mesra dipipi. Sungguh inilah perkara yang paling diingini dalam hidup. Mendapat kasih sayang ibu!


"Bagaimana dengan Essam jika ketiadaan ibu nanti?" Terlupa akan hal itu. Rycca kembali bertanya.


"Jangan risau. Ibu boleh serahkan urusan di sini kepada dua dayang ibu. Seperti dahulu, mereka akan mencari ibu jika berlaku sesuatu kepada Essam atau Afshin. Tetapi, ibu yakin dunia ini sudah selamat sekarang. Semuanya kerana keberanian dan kekuatan Rycca menumpaskan Dahak. Ibu sangat berterima kasih kepada kamu, Rycca." Dahi Rycca dicium penuh kasih. Dia lega kerana anaknya itu mewarisi sifat beraninya.


"Tetapi Rycca tak tahu macam mana nak kembali ke dunia sana." Rycca meluahkan kegusarannya sedari tadi. Tengku Maanika hanya tertawa melihat kerunsingan anaknya.


"Rycca lupa ke ibu pernah terkeluar dari dunia ini dan berkahwin dengan ayah? Semestinya ibu tahu cara keluar dari sini. Rycca tak perlu risau. Apa yang patut Rycca risau sekarang adalah tentang Kak Rissa. Macam mana kamu nak terangkan semuanya dekat dia nanti. Pasti kakak kamu tengah gelabah cari kamu sekarang."


"Hahahahaha. Rycca takut dia tak percaya sahaja dengan apa yang Rycca cerita nanti. Susah perkara ni nak terima dek akal." Rycca menyambut tawa ibunya. Sepanjang dia berada di Afshin, sekalipun dia tidak berfikir tentang Kak Rissa. Tetapi Rycca sangat pasti kakaknya sudah melaporkan kehilangannnya kepada pihak polis. Yalah, sudah lebih dua puluh empat jam dia menghilangkan diri. Siapa sahaja yang tidak risau.


"Kita akan balik esok pagi." Putus Tengku Maanika setelah tawanya reda.


"Ya, esok!" Dan Rycca menyambut gembira.

PAGI itu terasa cukup hening dan sunyi. Seperti bumi Afshin sedang menangisi pemergian dua insan yang telah banyak berbakti untuk kerajaan itu. Rycca memegang tangan kiri Tengku Maanika untuk diberikan sokongan. Manakala tangan kanan Tengku Maanika pula menggenggam tongkat. Mereka berjalan perlahan melepasi pintu gerbang Essam diiringi dua dayang yang masih setia berdiri di samping Tengku Maanika sejak dahulu.


Baru beberapa langkah mereka menjauhi pintu gerbang Essam, terasa nama Rycca diseru seseorang. Pantas mereka berempat berkalih ke belakang untuk melihat gerangan yang memanggil.


"Nek galyn? Tengku Rayyan?" Ryccca berbisik perlahan.


"Sempat juga Nek berjumpa dengan kamu sebelum kamu pergi." Nek Galyn bersuara girang. Tanpa amaran tubuh Rycca didakap erat.


"Nek? Bagaimana...?" Belum sempat Rycca bertanya Tengku Rayyan sudah memintas.


"Nek Galyn datang ke Kautsar semalam memberitahu saya tentang pemergian kamu. Nek kata dia melihat semua itu di dalam mimpinya." Terang Tengku Rayyan ringkas dengan wajah sugul. Wajah itu tiada seri mahupun gembira.


Rycca hanya mengangguk ke arah Tengku Rayyan sebelum mengembalikan pandangan kepada Nek Galyn semula. Tengku Maanika dan dua dayangnya hanya memerhati di sisi.

"Kenapa kamu tidak beritahu Nek? Kamu tak nak jumpa Nek buat kali terakhir?" Nek Galyn menyoal hiba. Air matanya sudah menitis di pipi.


Rycca tersenyum mendengar pertanyaan itu sebelum membalas pelukan Nek Galyn. "Bukan begitu Nek. Rycca tak bermaksud begitu. Rycca sudah menganggap Nek seperti keluarga. Cuma keputusan untuk pulang ini adalah satu perkara yang perlu dirahsiakan dari orang lain kerana tidak semua tahu asal-usul kami. Sebab itu, kami memilih untuk tidak beritahu sesiapa." Lembut Rycca menjelaskan. Dia juga sedih untuk berpisah dengan insan-insan yang banyak membantunya di sini.


"Nek faham Rycca. Nek faham." Nek Galyn membalas sebelum melonggarkan pelukan. Kini tumpuannya ke arah Tengku Maanika pula. Ingin mengucapkan selamat tinggal kepada pembesar Essam itu.


Manakala Rycca mendekati Tengku Rayyan dan membiarkan dua wanita itu berbual sesama sendiri. Hanya beberapa langkah dia sudah berdiri tepat dihadapan Tengku Rayyan.

"Bagaimana dengan Tengku Azman?" Rycca memula bicara.


"Tidak baik dan tidak buruk. Ayahanda demam panas sejak kejadian itu tetapi dia mampu untuk menerima segala yang berlaku. Mungkin demam kerana terkejut." Tengku Rayyan membalas. Dia memandang tepat anak mata Rycca penuh perasaan.


Rycca mengangguk lagi. Dia membalas pandangan mata Tengku Rayyan tanpa gentar. Lelaki ini yang dulu membenci dirinya kini datang mengucapkan selamat tinggal. Sungguh cepat masa berlalu.

"Jadi... kamu akan kembali ke dunia kamu semula? Dan tidak akan ke sini lagi?" Lambat-lambat Tengku Rayyan bertanya memecahkan kesunyian yang tercipta antara mereka buat seketika waktu tadi.

"Mungkin. Melainkan sesuatu berlaku kepada Afshin. Maka Tengku akan melihat wajah saya di sini lagi." Rycca menjongketkan bahu bersama senyuman kelat. Dia tidak mampu menjamin bahawa dirinya akan kembali ke sini.

"Kalau begitu, ini mungkin menjadi pertemuan terakhir kita..."

"Mungkin juga..." Masih sama jawapan yang diberi Rycca.


Apabila dilihat Tengku Rayyan diam merenung dirinya, Rycca terus mengangkat tangan menepuk bahu lelaki itu. "Terima kasih Tengku." Ikhlas Rycca mengucap kata bersama senyuman manis. "Terima kasih..." Sekali lagi dia berkata.


"Untuk apa?" Polos Tengku Rayyan bertanya.


"Untuk segalanya. Semuanya!" Rycca menunduk hormat kepada Tengku Rayyan. Seperti seorang rakyat yang hormatkan pembesarnya.


"Saya akan kenang jasa Tengku sampai bila-bila." Sambung Rycca lagi.


Tengku Rayyan masih diam. Tiada sebarang emosi dan kaku berdiri di hadapan Rycca. Hanya mata lelaki itu yang tidak henti-henti merenung wajah Rycca tanpa jemu.


Melihat keadaan Tengku Rayyan yang begitu, Rycca menunduk. Tidak lama sebelum bibirnya kembali dibuka. "Selamat tinggal... Tengku Rayyan." Serentak dengan ucapan itu, Rycca memusingkan badan ke belakang untuk mendekati Tengku Maanika yang masih bersembang dengan Nek Galyn.


Setapak. Dua tapak.


"Saya cintakan kamu Rycca."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience