AFSHIN 47

Fantasy Completed 7268

Keris yang dipenuhi darah terlepas dari genggaman. Tengku Rayyan memandang kedua-dua tapak tangannya dengan getaran hebat. Tidak menyangka tangan itu bakal meragut nyawa adiknya sendiri!


"Ra.. fan.." Nama adik diseru penuh kasih. Setapak. Dua tapak. Kaki dibawa melangkah mendekati jasad itu.


"Jangan Rayyan!!" Rycca menegah Tengku Rayyan dari mendekati Tengku Rafan. Dia tidak percaya semudah itu Tengku Rafan dibunuh kerana lelaki itu sudah meminum darahnya. Tubuh itu pasti mampu bertahan.


Nyata halangan itu tidak dipedulikan Tengku Rayyan. Tengku Rayyan seperti tenggelam dalam dunianya sendiri. Dia semakin mendekat sehingga berdiri betul-betul di tepi Tengku Rafan. Tidak lama, apabila dia merasakan kakinya dicengkam seseorang sebelum tubuhnya jatuh melayang dan terhentak kuat ke atas tanah.


"Nampaknya kau memang nekad untuk membunuh aku! Kalau ini yang kau mahu, aku juga tak akan teragak-agak untuk bunuh kau Rayyan!" Entah bila Tengku Rafan sudah berdiri tegak di hadapan Tengku Rayyan. Pedang emas kembali dikutip dan diangkat tinggi ke arah Tengku Rayyan.


"Pergi mampus!!!" Jerit Tengku Rafan.


Tengku Rayyan mula menelan air liur dan membiarkan sahaja dirinya menjamah senjata itu. Belum sempat pedang itu menghampiri tubuh Tengku Rayyan, ada pedang lain yang menghalang. Semestinya insan tersebut adalah Rycca.


"Menyerah sahaja Rafan." Rycca cuba memujuk.


Tercetus gelak sinis dari Tengku Rafan "Hanya kematian menjadi penentu siapa yang akan menang. Dan aku akan pastikan kau berdua mati dalam genggaman aku!" Terketap-ketap Tengku Rafan memberi amaran kepada Rycca. Wajahnya kembali bengis dan terlihat merah padam.


"Arghhhh!!!!" Tengku Rafan menjerit seperti cuba mengumpulkan semula kekuatannya. Tikaman dari abangnya tadi seolah-olah tidak memberi kesan langsung.


Serentak dengan jeritan tersebut Tengku Rafan memusingkan pedang Rycca lalu ditolak kasar ke tepi. Nasib baik Rycca memegang kemas pedangnya. Jika tidak, pasti pedang itu sudah terpelanting jauh. Tengku Rafan tidak berhenti di situ sahaja, dia menyerang lagi. Pedang emas dibawa untuk menikam perut Rycca tetapi berjaya dielak. Kemudian dia melibas kepala dan kaki Rycca berkali-kali, juga dapat dielak oleh perempuan itu.


Rycca tidak duduk diam. Apabila puas mengelak segala serangan, dia mencari peluang untuk menyerang pula. Pedang di dalam genggaman dibawa mencucuk dada Tengku Rafan. Melihat Tengku Rafan berjaya mengelak ke kanan, Rycca terus memusingkan badan lalu menghadiahkan sepakan padu ke belakang lutut Tengku Rafan. Terus lelaki itu hilang imbangan dan jatuh melutut ke atas tanah. Tanpa membuang masa, Rycca menghentak kepala Tengku Rafan dengan hulu pedang.

"Bodoh!!" Tengku Rafan sempat memaki Rycca dan berguling di atas tanah sebelum kembali berdiri membuka kekuda. Kepalanya yang sakit tidak dipedulikan.

"Kenapa kau tidak memancung sahaja kepala aku? Kau ada peluang untuk lakukan itu tadi!" Tengku Rafan bertanya garang. Dia tahu Rycca sengaja tidak menyerangnya dengan mata pedang yang tajam.


"Aku..." Ayat Rycca bagaikan tersekat di kerongkong. Tindakannya tadi adalah kerana mengikut kata hati. Kata hati yang menghalang dirinya dari mengambil nyawa Tengku Rafan.


"Atau kau takut?"


Rycca tidak membalas.


"Tidak aku sangka rupanya ketua tentera Essam pengecut, seperti ibunya sendiri yang berselindung dibelakang orang lain!" Sengaja Tengku Rafan membangkitkan kemarahan Rycca.


Nyata kenyataan tersebut membuatkan Rycca mendengus geram. Tidak suka soal ibu disentuh dan dihina sebegitu rupa. Langkah gagah mula diatur beberapa tapak ke arah Tengku Rafan. Kekuda dibuka kemas. Pedang diangkat separas matanya menggunakan tangan kanan. Seketika, Rycca mula melurut belakang pedang menggunakan dua jari kirinya. Seolah-olah memberi kekuatan kepada senjata itu.


Serangan bermula dengan Rycca melompat sebelum melibas pedang ke bahagian kaki. Tengku Rafan sempat mengelak. Rycca terus menampung tubuhnya dengan tangan membuatkan kakinya ke atas dan dihentak di kepala Tengku Rafan. Terundur lelaki itu beberapa langkah ke belakang. Selepas itu, Rycca menyerang lagi dan lagi. Sangat agresif dan semuanya dapat dielak oleh Tengku Rafan.


Sampai satu tahap, Rycca berjaya mengunci pergerakan Tengku Rafan dan mula mengangkat senjata untuk menikam lelaki itu. Namun, tindakan itu terhenti dan perlahan tangan Rycca kembali dibawa jatuh ke sisi.


"Bunuh aku! Apa yang kau tunggu lagi?!" Tengku Rafan mula geram melihat perilaku perempuan itu. Dia tidak suka melihat Rycca seperti teragak-agak untuk mengambil nyawanya. Seperti Rycca sedang cuba mempermainkan kekuatannya sekarang.


"Aku tak boleh..."


Tengku Rafan agak terkejut mendengar perkara itu.


"Aku tidak mahu menjadi penyebab kedua setelah apa yang terjadi pada Tengku Sari. Aku tidak mahu keturunan kami berdosa dengan Tengku Azman lagi!" Mata Rycca mula bertukar redup. Dia cuba untuk membunuh, tetapi kisah silam seperti mengulit perbuatannya itu.


Tengku Rayyan yang memerhati sejak tadi juga terkejut mendengar kenyataan Rycca. Patutlah Rycca menyerang dan berlawan dengan cukup berhemah. Tidak mengambil peluang yang ada untuk membunuh Tengku Rafan. Sekarang barulah dia tahu sebabnya. Tengku Rayyan mula bangun dari pembaringan dengan wajah berkerut menahan sakit.


Tanpa Rycca sedar, Tengku Rafan berjaya melepaskan diri dan menghentak tangannya sehingga terlepas pedang dari genggaman. Kemudian, kepalanya pula menerima habuan hentakan hulu pedang Tengku Rafan. Berpinar matanya sebelum rebah ke bumi. Tengku Rafan terus duduk di atas Rycca dan mengangkat tinggi pedang emas ke arah Rycca. Tanpa amaran pedang itu ditikam tepat pada bahu kiri Rycca.


"Arghh!!!" Rycca menjerit kesakitan. Nasib baik dia sempat mengelak sedikit ke tepi. Jika tidak pasti lehernya menjadi mangsa tadi.


"Aku sudah bagi amaran pada kau! Jangan sebut nama bonda aku!" Amarah Tengku Rafan memuncak kembali. Terlihat mulutnya mula terkumat-kamit membaca sesuatu.


Rycca dapat merasa tikaman tersebut semakin lama semakin menyiat-nyiat kulit dagingnya. Sakit bukan kepalang. Pasti Tengku Rafan sedang membaca mantera untuk menghapus kekebalan dalam diri Rycca.


Pedang dicabut kasar dan dibawa mengarah ke leher Rycca pula. Tidak dipeduli bunyi erangan yang dihasilkan gadis itu. Rycca hanya mampu memejam mata apabila melihat hujung mata pedang bersinar ke arah lehernya.


"Akhirnya kau akan mati di tangan ak..."


Tiba-tiba suara itu terdiam seribu bahasa. Rycca dapat merasakan ada cecair terpecik pada wajah. Mata dibuka perlahan. Terkaku dirinya menjamah pemandangan di hadapan mata. Pedang yang menembusi dada Tengku Rafan dilihat dengan perasaan terkejut.


Rycca mengangkat kepalanya sedikit ke hadapan. Ingin menatap insan yang menikam lelaki itu. Wajah Tengku Rayyan menyapa mata. Tahulah Rycca siapa yang menyelamatkannya sekarang.


"Selamat tinggal... Rafan." Tengku Rayyan mencabut semula pedang itu sebelum menikam sekali lagi belakang badan Tengku Rafan. Tersembur darah merah dari mulut adiknya. Tengku Rayyan memalingkan kepala ke tepi bersama renungan kosong.


Peluang itu diambil oleh Rycca untuk melepaskan diri daripada kedudukan tadi. Bersama kecederaan di bahu, dia bangun mendekati Tengku Rayyan.


"Dia adik kau Rayyan..." Dengan mata berkaca-kaca Rycca menyentuh bahu Tengku Rayyan dengan lembut.


"Dahulu Rycca... Bukan sekarang! Mengkhianati Afshin sama seperti dia mengkhianati aku. Dan lebih teruk, dia menjadi sebahagian daripada mereka yang membunuh ibu... " Pedang dicabut semula dan dilempar jauh.


Tubuh itu akhirnya jatuh menyembah tanah bersama darah yang mebuak-buak. Kaku buat kali kedua. Dan kali ini mereka berdua pasti, bahawa tubuh itu kaku buat selamanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience