AFSHIN 21

Fantasy Completed 7268

"Tidak!!!" Ferran bertindak melindungi Rycca dengan tubuhnya. Parang yang dilibas terkena belakang badan Ferran. Namun mereka tidak berhenti di situ sahaja apabila salah seorang dari mereka kembali menikam belakang Ferran.


"Arghhh!!! " Ferran menjerit kesakitan dan badannya mula terkulai layu ke atas Rycca.


Dengan pantas Rycca menyambut batang tubuh Ferran dengan tangannya. Sungguh Rycca terpana melihat keadaan Ferran yang sudah lemah. Dia tidak menyangka Ferran sanggup menggadai nyawa untuknya sebegini rupa.


Tanpa membuang masa, Tengku Rayyan melompat dan menentang musuh-musuh itu semula. Dia juga terkejut dengan kejadian itu. Pengawal yang paling terlatih di Kautsar berjaya ditumpaskan oleh musuh. Tengku Rayyan berasa marah!


"Ferran!!!" Terketar-ketar tangan Rycca memangku kepala Ferran di ribaannya. Darah yang mula membasahi bajunya tidak dipedulikan. Apa yang lebih penting sekarang adalah keadaan Ferran yang sudah nyawa-nyawa ikan.


"Ferran?! Awak kena kuat! Awak kena lawan kesakitan tu! Saya akan bawa awak pulang dengan selamat!" Rycca sudah mula menangis tersedu-sedan di sisi Ferran. Sesekali dia mengusap darah yang memenuhi pipi Ferran dengan telapak tangannya. Sungguh dia takut kehilangan satu-satunya kawan yang dia ada di sini.


"Rycca.. Saya dapat rasa.. kan perjuangan sa.. saya sam.. sampai di sini saha.. ja." Ferran menggenggam tangan Rycca bersama senyuman hambar. Peluh mula membasahi dahi Ferran, menunjukkan badannya cuba menahan kesakitan yang melampau.


"Tidak!! Tidak Ferran. Saya tak izinkan awak pergi dari hidup saya. Awak sahaja kawan yang saya ada dekat sini! Awak.. " Kata-kata Rycca tenggelam di balik esakan.


"Awak tak boleh mati!" Rycca kembali mengongoi. Kekecohan di sekelilingnya lansung tidak dipeduli.


"To.. tolong lindungi Teng.. Tengku. Saya ta.. hu kamu.. pandai ber.. lawan." Ferran memandang Tengku Rayyan menentang dua orang musuh yang menikamnya sebentar tadi.


"Semua ni terjadi disebabkan saya! Saya yang bersalah dalam hal ni! Kalau.. Kalau saya tak ajak Tengku Rayyan ke Kawasan Essam, pasti awak tak jadi macam ni. Pasti semua ni tak akan berlaku!!" Rycca menuturkan hal itu dengan penuh kekesalan. Dapat dilihat kedua-dua belah telapak tangannya sudah dipenuhi darah. Anak mata Rycca juga bergerak ke kiri dan kanan menunjukkan bahawa dia tidak mampu menerima hakikat yang dia bakal kehilangan Ferran.


"Tidak.. Jangan salah..kan diri kamu. Sekarang kamu sam.. bung perjuangan saya." Ferran menggenggam tangan Rycca cuba memberi semangat. Dia tidak mahu Rycca terus-terusan menyalahkan diri. Ferran mengambil pedang yang terletak di sisi lalu diberikan kepada Rycca.


"Bunuh, atau kamu dibunuh." Serentak itu nafas Ferran terasa berat. Dadanya berombak kencang sebelum perlahan-lahan genggamannya di tangan Rycca menjadi longgar. Mata Ferran mula tertutup rapat dan kepalanya terkulai layu di ribaan Rycca.


"Ferran!!! Ferran!!!" Rycca meraung kuat memanggil Ferran. Berharap lelaki itu bakal membuka matanya kembali. Tapi Rycca tahu semua itu tidak akan terjadi. Ferran sudah pergi. Pergi meninggalkannya terkontang-kanting seorang diri di dunia yang asing ini.


Perasaan sedih yang bertamu di hati perlahan-lahan digantikan dengan amarah yang memuncak. Rycca meletakkan kepala Ferran perlahan-lahan di atas tanah sebelum dia bangun melihat sekeliling.


"Ferran mati disebabkan kau orang semua! Aku akan tebus kematian Ferran!! Aku akan bunuh kumpulan kau sampai tiada seorang pun yang tersisa di sini." Rycca mengetap gigi bersama dada yang berombak kencang. Matanya merah menyala, tangannya menggenggam pedang dengan kemas sehingga timbul urat-urat hijau di situ. Renungannya sungguh tajam ibarat helang yang sedang mengawasi musuhnya.


Tanpa amaran, Rycca meluru ke arah musuh dengan begitu gagah. Satu demi satu musuh dilibas, ditikam dan dikelar tanpa belas kasihan. Ketakutan yang menguasai diri Rycca awal pertempuran tadi sudah terbang jauh bersama Ferran. Kini, Rycca berlawan dengan lebih kejam. Dia membunuh tanpa noktah.


Hampir semua musuh dibantai oleh Rycca. Tengku Rayyan mahupun pengawal-pengawal yang masih tersisa cukup gerun melihat Rycca berlawan. Gadis itu mengamuk dan menikam tanpa henti. Bagaikan ingin memberitahu kepada semua betapa marah perasaaannya sekarang.


Akhirnya, musuh yang terakhir berjaya ditumbangkan oleh Rycca. Walaupun Rycca tahu lawannya itu sudah tidak bernyawa, Rycca masih menikam perut lelaki itu sehingga hancur.


"Arghhh!!!" Bersama jeritan itu, Rycca bangun berjalan menuju ke arah Ferran yang terbaring kaku. Langkahnya lemah dan badan mula tehuyung-hayang bagaikan mahu menyembah bumi.


"Ferran, saya dah tebus kematian awak. Awak tengoklah. Tengoklah sekeliling awak. Saya dah bunuh semua musuh untuk awak." Rycca tergelak kecil sambil menunjuk ke arah musuh yang dibunuhnya satu-persatu. Dia senyum dan ketawa seorang diri. Keadaannya tidak ubah seperti orang gila.


"Rycca.. Ferran dah tak ada." Tengku Rayyan bersuara lembut cuba menyedarkan Rycca. Dia tahu Rycca amat terkesan dengan kematian Ferran, tetapi dia tidak suka melihat Rycca berkeadaan begitu.


Rycca mengetap rahangnya kuat. Pedang yang digenggam dilempar ke tepi. Rycca terkulai lemah di sisi Ferran.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience