AFSHIN 52

Fantasy Completed 7262

Langkah termati sendiri. Rycca pantas memusingkan badan menghadap Tengku Rayyan semula. Wajahnya tidak menunjukkan sebarang riak terkejut dengan luahan itu.


"Saya tak sangka Tengku memilih untuk beritahu saya hari ini." Wajah Tengku Rayyan terus berubah mendengarkan hal itu.


"Kamu... Tahu?" Tengku Rayyan pula yang terkejut melihat wajah selamba Rycca. Sangkanya Rycca akan terkedu dan tidak mampu bereaksi. Tetapi dia silap sama sekali!


"Butalah saya jika tidak mampu melihat layanan yang Tengku berikan kepada saya selama ini. Betapa Tengku mahu melindungi saya dari dibunuh."


Tengku Rayyan terdiam tanpa kata. Tidak menyangka isi hati yang tersimpan kemas sebelum ini rupanya sudah diketahui oleh gadis itu. Nyata Rycca memang bijak dalam membaca dan menilai seseorang.

"Cuma saya tidak sangka akan mendengar kalimat itu hari ini. Hari di mana saya akan meninggalkan dunia kehidupan Tengku untuk pulang ke dunia kehidupan saya." Suara Rycca semakin perlahan. Jelas sedang menahan getaran di dada.

"Jadi, mengapa kamu tidak menyuruh saya untuk berterus terang sahaja selama ini? Bukankah itu lebih baik?" Soal Tengku Rayyan sedikit tidak puas hati. Tidak puas hati kerana Rycca berlagak bodoh dan buat tidak tahu dengan perasaannya.

Rycca menarik nafas berat sebelum tersenyum tenang ke arah Tengku Rayyan. Mata hitam milik Tengku Rayyan ditenung makin dalam cuba memberitahu lelaki itu bahawa apa yang bakal keluar dari mulutnya nanti adalah bicara hati yang sudah lama disimpan.


"Kerana saya tidak mahu Tengku memilih diantara dua. Tanggungjawab dan cinta."


Setapak Rycca melangkah.


"Tanggungjawab untuk terus kekal di sini dan menjaga seluruh rakyat Kautsar. Menjaga Tengku Azman dan semestinya menguruskan perkara di Kautsar yang menjadi lebih sukar selepas kematian Tengku Rafan."


Setapak lagi Rycca mendekat.


"Tetapi, kalau Tengku memilih cinta, Tengku mesti ikut saya pulang ke dunia sana kerana saya... tidak mahu terus kekal di sini. Itu akan membuatkan Tengku meninggalkan tanggungjawab Tengku sebagai pembesar."


Langkah terakhir diambil. Kini, Rycca kembali di posisi seperti awal-awal tadi. Betul-betul berdiri di hadapan Tengku Rayyan.


"Saya pernah menjadi saksi dua jiwa dari alam berbeza menjalin cinta. Namun, pada akhirnya mereka menderita kerana salah seorang terpaksa pergi demi tanggungjawab yang digalas. Sampaikan pasangannya meninggal dunia sekalipun, dia tidak tahu." Rycca berjeda seketika.


"Jujur saya tak mampu lalui kehidupan seperti itu. Sekarang... Tengku faham kan mengapa saya memilih untuk mendiamkan diri dan buat tidak tahu sahaja?" Mata Rycca mula berkaca. Dia teringatkan cerita ibu dan arwah ayahnya. Biarlah ibu bapanya menjadi pasangan terakhir yang melalui kehidupan itu.


Tengku Rayyan terngadah mendengar hujah Rycca. Separuh hatinya bagai mengiakan kenyataan gadis itu tetapi separuh lagi berteriak ingin memiliki Rycca.


"Saya... " Tidak terkeluar rasanya apa yang ingin dikatakan. Akhirnya Tengku Rayyan hanya mampu merenung dan terus merenung.


"Jalan terbaik adalah untuk lupakan rasa itu terhadap saya. Anggap sahaja kehadiran saya selama ini adalah sebuah mimpi." Mereka mula beradu pandangan sebelum sayup-sayup kedengaran suara Tengku Maanika menggamit Rycca.


"Mari Rycca. Hari sudah mahu terang. Ibu takut lebih ramai yang melihat pemergian kita."


"Sebentar ibu." Rycca membalas pendek. Dia kembali memandang Tengku Rayyan.


"Sudah tiba masanya kita pulang ke kehidupan masing-masing. Saya harap Tengku jaga diri selepas ini. Saya pergi dulu." Tangan diangkat lalu dilambai ke arah Tengku Rayyan beserta kaki yang terundur ke belakang. Kemudian, Rycca memusingkan badan sebelum sekali lagi langkahnya termati mendengar soalan yang diaju secara tiba-tiba oleh lelaki itu. Kali ini dia tidak berkalih ke arah Tengku Rayyan. Hanya memandang tepat ke hadapan.


"Saya mahu tahu perasaan kamu sebelum pergi. Adakah getaran di dalam hati ini.. " Tengku Rayyan menekan bahagian dadanya walaupun tahu Rycca tidak dapat melihat perbuatannya itu.


"Juga ada dalam hati kamu?" Lancar Tengku Rayyan menyoal. Mungkin rasa takut melihat Rycca pergi memaksanya untuk membuka mulut.


Rycca tersenyum kelat sebelum menjawab. Masih dalam posisi merenung ke hadapan. "Sejujurnya saya tidak merasakan apa-apa terhadap Tengku. Mungkin kerana selama ini saya hanya memikirkan tentang ibu dan Afshin sampaikan saya terlupa untuk beri perhatian kepada perasaan itu. Tetapi jika diberi lebih masa untuk kita berkenalan, saya pasti akan jatuh suka kepada Tengku." Kata Rycca tanpa ragu.


Nyata pengakuan itu sedikit meremukkan hati lelaki Tengku Rayyan namun segera diusir perasaan itu. Tengku Rayyan tahu Rycca tiada masa untuk memikirkan soal cinta kerana kehidupan gadis itu dikelilingi pelbagai masalah sebelum ini. Siapa sahaja yang sempat fikir untuk bercinta saat nyawa menjadi buruan orang jahat?


Tanpa menunggu balasan Tengku Rayyan, Rycca meneruskan langkah. Tidak mahu lagi disekat oleh lelaki itu. Seketika, Rycca sudah sampai di sisi sang ibu.


"Selamat tinggal Tengku. Selamat tinggal Nek." Rycca terus melambai kepada dua insan tersebut. Ucapan selamat tinggal tidak putus-putus dari mulut comel Rycca dan Tengku Maanika.


"Mari ibu." Tangan Tengku Maanika dipegang. Mereka meneruskan perjalanan meninggalkan Nek Galyn dan Tengku Rayyan yang berdiri tegak di hadapan pintu gerbang Essam.


Lama kelamaan kelibat Rycca, Tengku Maanika dan dua dayang itu semakin menjauh lalu hilang dari pandangan. Nek Galyn dan Tengku Rayyan kekal melihat ke hadapan. Akhirnya setitis air mata jantan Tengku Rayyan jatuh jua di atas kepergian Rycca.


"Adakah kita akan berjumpa lagi?" Tengku Rayyan berdesis.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience