AFSHIN 18

Fantasy Completed 7268

"Bagaimana Nek Galyn?" Tengku Rayyan bertanya apabila melihat kelibat Nek Galyn dan Rycca berjalan menuju ke arahnya.


"Tiada kecederaan yang teruk pada badannya. Hanya lebam dan luka sedikit sahaja." Nek Galyn berpandangan dengan Rycca. Pandangan yang hanya difahami oleh mereka berdua.


"Jika tiada apa-apa, hamba meminta diri dahulu. Hamba akan datang melihat keadaan Tengku dari semasa ke semasa." Nek Galyn tunduk hormat kepada Tengku Rayyan sebelum mula meninggalkan ruangan itu.


Kini fokus Tengku Rayyan kembali kepada Rycca. Rycca mula bermain-main dengan tangannya apabila dilihat Tengku Rayyan tidak lepas dari merenung wajahnya.


"Kenapa kamu selamatkan saya?"


Rycca mengangkat kepalanya yang menunduk sedari tadi. Tidak menyangka soalan itu yang bakal diutarakan oleh Tengku Rayyan.


"Siapa kamu sebenarnya?"


Sepi membelenggu ruangan itu. Tiada sesiapa yang bersuara. Hanya bunyi desahan nafas dari kedua-dua insan yang saling menatap antara satu sama lain.


"Hamba hanya seorang wanita biasa yang bernama Rycca Aulia." Suara Rycca akhirnya memecahkan suasana. Dia sendiri tidak pasti jawapan yang bagaimana harus diberikan kepada Tengku Rayyan. 'Aku sendiri tidak tahu siapa diri aku yang sebenar. Kenapa aku terpilih untuk datang ke sini? Apa keistimewaan yang aku miliki sehingga aku terpaksa lalui semua ini?'


"Betulkah kamu bukan sebahagian dari mereka?" Tengku Rayyan kembali menyoal.


"Jika hamba rakan subahat mereka, pasti sahaja hamba tidak akan menyelamatkan Tengku sebentar tadi." Rycca membalas yakin.


Tengku Rayyan mengetap giginya kuat. Separuh hatinya mahu mempercayai Rycca, tetapi separuh lagi masih mengesyaki gadis itu. Entah mengapa segala yang dilakukan oleh Rycca pada malam ini jelas menunjukkan bahawa gadis itu bukan orang jahat.


"Hamba sudah pernah cakap kepada Tengku sebelum ini yang hamba tidak ingat dari mana asal-usul hamba. Hamba tidak menipu. Dan apa yang hamba lakukan sebentar tadi hanyalah untuk melindungi Tengku daripada diserang oleh musuh. Itu sahaja." Rycca menjelaskan duduk perkara sebenar. Dia sendiri tidak percaya dirinya sungguh berani melawan musuh-musuh itu tadi. Mungkin kerana memikirkan tubuh bdannya yang kebal dari sebarang objek tajam membuatkan Rycca terus ikut campur dalam pertempuran itu.


"Baiklah. Tetapi saya masih was-was dengan kemunculan kamu secara tiba-tiba di Kawasan Kautsar. Sehingga saya betul-betul yakin bahawa kamu adalah orang baik, barulah saya akan lepaskan kamu dari kawasan pembesar." Tengku Rayyan berdecit sedikit apabila dirasakan lebam di perutnya semakin berdenyut. Mungkin ubat yang diberikan Nek Galyn sebentar tadi sudah mula menunjukkan tindak balas.


"Disebabkan keberanian kamu malam ini, saya akan berikan ganjaran kepada kamu. Katakan sahaja apa yang kamu mahu. Saya akan tunaikan permintaan kamu sebagai tanda membalas budi."


Hati Rycca mula berlagu riang. Dia tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada Tengku Rayyan tetapi, jika lelaki itu ingin memberi ganjaran apa salahnya dia menerima. Rycca mula menimbang-nimbang hadiah yang ingin diminta.


"Tetapi hanya satu sahaja yang kamu boleh minta." Tengku Rayyan kembali mengingatkan.


"Hamba.. " Rycca menghentikan ayatnya. Cuba memikirkan baik buruk permintaannya itu. Fikiran mula teringatkan amaran daripada Nek Galyn. Amaran yang tersemat utuh dalam sanubarinya.


"Hamba mahu merantau ke Kawasan Essam.. " Perlahan sahaja suara Rycca menyuarakan keinginannya.


"Apa?!!!" Alangkah terkejutnya Tengku Rayyan mendengarkan hal itu sehingga dia terbangun dari kerusinya. Tidak menyangka itu yang dipinta oleh Rycca.


"Tengku sudah berjanji mahu tunaikan segala permintaan hamba. Jadi hamba mahu ke Kawasan Essam. Itu sahaja!" Rycca bersuara tegas. Dia mahu Tengku Rayyan tahu bahawa dia tidak main-main soal itu.


"Kenapa?! Kenapa kamu sangat tertarik dengan kawasan itu?!" Tengku Rayyan menguatkan dirinya untuk berjalan mendekati Rycca. Kesakitan yang mula mencucuk tubuh badannya cuba ditahan sebaik mungkin.


"Kerana hamba yakin hamba datang dari kawasan itu. Jadi biarlah hamba pergi mencari kebenaran. Mungkin selepas melihat suasana di kawasan itu, ingatan hamba kembali pulih." Rycca berbohong lagi. Dia rasa bukan masanya lagi untuk dia memberitahu Tengku Rayyan bahawa dia mahu pergi mencari ibunya. Biarlah lelaki itu ingat dia mahu ke situ untuk mengingat kembali masa lalu.


Tengku Rayyan mengerutkan dahi. Dia mula menimbang kewajaran kenyataan Rycca. Lama dia berdiam diri memikirkan hal itu. Akhirnya Tengku Rayyan mengeluh berat.


"Baiklah. Saya akan bawa kamu ke kawasan itu. Tetapi kamu harus berjanji sepanjang kita berada di sana, kamu perlu mendengar segala arahan dari saya. Kamu tidak boleh bertindak sesuka hati kerana kawasan itu ada pantang larangnya sendiri." Pandangan Tengku Rayyan semakin tajam menikam anak mata Rycca. Bagaikan ingin memberitahu gadis itu bahawa segala arahan yang keluar dari mulutnya perlu dipatuhi.


Senyuman lebar mula teroles di wajah Rycca. Sungguh hatinya bersorak riang apabila Tengku Rayyan bersetuju dengan permintaannya itu.


"Terima kasih Tengku. Terima kasih sangat-sangat. Jika tiada apa-apa hamba minta diri dahulu." Rycca tidak menyembunyikan rasa terujanya. Dirinya tidak ubah umpama kanak-kanak yang baru dapat gula-gula. Hatinya rasa sangat gembira sekarang.


"Rycca.. " Tengku Rayyan menyeru nama itu dengan lembut. Sungguh lembut sehingga menaikkan bulu roma Rycca.


Rycca yang baru sahaja mahu melangkah pergi kembali menolehkan pandangan kepada Tengku Rayyan. Keningnya dijongket sebelah memberi isyarat kepada Tengku Rayyan untuk meneruskan kata-katanya.


"Jika kamu melihat saya berada dalam situasi bahaya selepas ini, pergi sahaja minta bantuan dari sesiapa. Tolong jangan bertindak seperti malam ini lagi. Saya tidak suka.." Tengku Rayyan tidak berkelip merenung Rycca. Dia tidak tahu kenapa dia berpesan begitu kepada Rycca, tetapi apa yang dia tahu dia betul-betul tidak suka melihat Rycca menggadaikan nyawa sendiri berlawan dengan musuh-musuh tadi.


Rycca terkedu sebentar. Entah mengapa dia merasakan perangai Tengku Rayyan agak pelik malam ini. Sejak tadi lelaki itu tidak membentak atau memarahi dirinya. Mungkin Tengku Rayyan masih berasa terhutang budi dengan apa yang dilakukan Rycca. Lambat-lambat Rycca mengangguk sebagai tanda dia akan patuhi segala larangan daripada Tengku Rayyan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience