AFSHIN 03

Fantasy Completed 7268

Rycca memandang google maps di telefon bimbit. Ikutkan koordinat yang dimasukkan di ruangan 'search' sebentar tadi, kesinilah arah yang dibawa. Keretanya dimatikan dan Rycca mula berjalan keluar membuang pandang ke sekeliling kawasan. Kini keretanya dipakir di atas jalan, dikelilingi pokok-pokok besar dengan daun-daun merimbun hampir menutupi pandangan langit dari bawah.


"Kalau ikut betul-betul arah dalam maps ini, aku kena berjalan masuk ke dalamlah gamaknya. Tapi.." Rycca menelan air liur yang dirasakan berpasir. Mana mungkin ada orang tinggal di kawasan yang sebegini. Hari yang sudah menginjak senja menambahkan lagi perasaan takut dalam diri Rycca.


"Aduh Rycca, kau mesti berani. Mana tahu ibu kau memang tinggal di sini. Kau ikut sahaja arah maps itu. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam." Rycca berbisik perlahan. Beg galas bewarna pink dicapai di tempat duduk belakang. Nafas panjang ditarik cuba mengumpulkan semula kekuatan sebelum Rycca mula mengorak langkah berani.


Kaki dibawa berjalan mengikut laluan kecil yang terdapat di antara pohon-pohon besar. Rycca betul-betul mengikut arah maps tanpa terpesong sedikit pun. Semakin lama dirasakan sekelilingnya semakin gelap. Tahulah Rycca bahawa dirinya kini berada jauh ke dalam hutan. Hanya sedikit sahaja cahaya yang memancar dari arah langit. Rycca mula melihat jam di tangan. Tepat pukul enam petang. Dia harus cepat menyelesaikan urusannya sebelum hari berganti malam.


Setelah sepuluh minit berjalan, akhirnya Rycca sampai ke destinasi yang ditujui. Apa yang dilihatnya sekarang bukan apa yang digambarkan sebelum datang ke sini. Harapannya terdapat sebuah rumah atau paling kurang pun perkampungan di lokasi ini, tetapi lain pula yang dijumpainya. Apa yang terhidang di hadapan matanya sekarang adalah satu kawasan fun fair atau taman hiburan yang sudah usang dan berlumut.


"Pasti kawasan ini sudah lama ditinggalkan." Rycca membuka torchlight yang terselit di tepi beg galasnya. Dia mula meninjau-ninjau taman hiburan itu.


"Banyak juga permainan di sini." Satu-persatu tempat dilawati Rycca. Sky rider yang sudah pun tercabut tali-tali buaiannya. Jets ride yang bagaikan mahu menyembah bumi. Kids Roller Coaster dengan tempat duduknya yang sudah hilang entah ke mana. Dodgem Car yang setengahnya sudah hancur, manakala setengah lagi sudah terbalik ke bawah dan macam-macam lagi. Semuanya sudah rosak dan dilingkari akar-akar kayu yang agak tebal menunjukkan tempat itu tidak pernah dilawati oleh sesiapa selama bertahun-tahun.


"Pasti tempat ini menjadi tarikan orang ramai suatu ketika dahulu." Rycca bagaikan lupa dengan tujuan asalnya ke mari. Kini kakinya berjalan melintasi beberapa buah booth games yang sudah koyak rabak dan pudar warnanya.


Sungguh Rycca tertarik dengan tempat itu. Walaupun suasananya mati dan agak menyeramkan, tetapi hati Rycca masih memberontak untuk melawat kawasan itu sehingga akhir. Dan disebabkan keinginan hatinya nan satu itu, dirinya kini berdiri betul-betul di hadapan permainan Merry-Go-Round.


Dalam banyak-banyak permainan dilihatnya tadi, hanya Merry-Go-Round berada dalam keadaan terjaga. Kawasan itu terlihat cerah daripada yang lain seperti terbias dengan cahaya yang entah dari mana datangnya. Lama Rycca memerhati setiap kuda yang bergantungan di situ. Bentuk dan rekaan yang unik membuatkan Rycca tidak dapat mengalihkan pandangan daripada tempat itu. Entah apa yang merasuk diri, Rycca memanjat pagar yang mengelilingi permainan itu.


Pantas sahaja kakinya dibawa menaiki platform yang menempatkan kuda-kuda tersebut. Terdapat empat warna berbeza pada kuda-kuda itu. Biru-putih, merah-koko dan hijau-putih. Namun, yang lebih menarik perhatian Rycca adalah satu-satunya kuda yang bewarna emas. Kulit kuda emas itu nampak berkilat dan agak menyilaukan apabila terkena biasan cahaya torchlightnya.


"Tak salah kan aku cuba naik sekejap. Lagipun sini free tak payah bayar." Rycca tersenyum sendiri. Dia mula memanjat kuda itu sambil menyapukan sedikit habuk yang melekat di kepala kuda emas tersebut.


"Eh! ada tulisan." Rycca cuba mengfokuskan cahaya ke arah ukiran di kepala kuda yang ditungganginya.


"Dalam ufuk yang luas, sosokku ditenggelami senja, hadir terbuai di benua sebalik alam." Sejuruh Rycca melafazkan perkataan terakhir, secara tiba-tiba Merry-Go-Round itu diterangi cahaya berwarna-warni. Kuda-kuda di sekelilingnya juga mula bergerak dan platform yang dinaiki mula berpusing.


Rycca terkedu di atas kuda emas. Semakin lama dirasakan kuda itu berpusing semakin laju. Rycca mula cemas kerana tidak mungkin kawasan yang sudah lama ditinggalkan mempunyai sumber elektrik untuk menghidupkan permainan itu. Rycca turun dari tunggangannya dengan kalut-kalut, namun kerana kelajuan pusingan yang semakin laju membuatkan kepala Rycca mula berpinar-pinar. Dia terduduk sambil mencengkam ubun-ubun kepala dengan kedua-dua belah tangannya.


"Arghhh!!!" Rycca menjerit nyaring apabila dirasakan kepalanya berdenyut-denyut seperti mahu pecah. Pandangannya mula betukar kabur dan tubuh badan Rycca terjelopok jatuh di atas platform itu sebelum tidak sedarkan diri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience