AFSHIN 42

Fantasy Completed 7268

"Patuhlah dan hormatilah dia sepertimana kamu semua memandang saya dahulu! Selagi ketua kamu tidak berundur, selagi itulah kamu harus terus bertahan sehingga nafas terakhir! Bersumpahlah! Bersumpah bahawa kamu semua akan berjuang habis-habisan dan tidak lari dari medan perang!!" Suara Tengku Maanika melantun kuat membelah barisan-barisan rakyatnya yang sedang berdiri tegak di hadapan. Wajah mereka penuh dengan azam dan tidak langsung menunjukkan riak gentar. Tengku Maanika bersama Rycca di sisi berdiri di atas pelantar agak tinggi sambil menghadap angkatan rakyat di hadapan.


Kini tiba masanya mereka gunakan segala ilmu yang telah dipelajari di tempat yang sebetulnya. Setelah menerima surat titah dari Raja Dayyan untuk menghantar bantuan memerangi golongan Dahak di kawasan istana semalam, dengan segera Tengku Maanika dan Rycca mengumpulkan seluruh rakyat yang ingin berperang. Mereka akan menghadapi sesuatu yang amat dahsyat nanti. Dahak dan kematian!


"Bersaksikan langit dan bumi, bersaksikan seluruh rakyat Afshin, aku Rycca!" Rycca pula melangkah ke hadapan sedikit daripada ibunya.

"Akan memberikan kemenangan dan menghapuskan kuasa jahat di kerajaan ini! Demi mengembalikan keamanan yang telah diragut pergi oleh Dahak! Hanya dengan bersenjatakan parang! Bernadikan keturunan Essam! Itu janji aku!" Suara Rycca penuh ketegasan. Matanya bertukar hitam penuh kekuatan. Tangan yang sedia menggenggam pedang Tengku Maanika diangkat tinggi ke atas. Pedang yang pernah dibawa bersama ibunya dan meragut ramai nyawa musuh dahulu kini, bakal beraksi semula.


"Arghhhhh!!!!" Sejurus mendengar pertuturan ketua mereka, semua yang berada di situ mula menjerit penuh semangat juga menjulang segala alatan yang dipegang ke langit. Seperti menyokong kata-kata ketua mereka.


"Ibu... " Rycca membawa diri ke pelukan Tengku Maanika. Menzahirkan segala rasa di hati sebelum dia pergi ke dunia luar. Menghadap kekejaman dan kekacauan yang terjadi. Sebelum dia pergi dan mungkin takkan kembali. Jadi, biarlah dia memeluk ibunya untuk kali ini sahaja.


"Bertahan sayang. Kamu harus bertahan. Ibu percaya dengan kamu." Tangan Tengku Maanika bertindak mengusap lembut belakang Rycca. Penuh syahdu. Sedaya upaya dia menahan air mata dari gugur. Tidak mahu kepergian Rycca dihantar dengan pandangan sayu.


"Rycca janji ibu. Rycca akan pulang dan bawa ibu keluar dari sini. Rycca janji..." Rycca akhirnya melonggarkan pelukan dan menyeka air matanya. Dia kembali menghadap ke hadapan bersama wajah serius.


"Mari!!" Suara Rycca kembali menggamit semangat angkatan tenteranya. Terus disahut kuat oleh semua.


"Hiaaargghhhh!!!!" Mereka menjerit lantang sebelum pintu gerbang Essam yang terletak di belakang Rycca terbuka sedikit demi sedikit dan akhirnya luas memaparkan kawasan luar. Rycca memusingkan badan dan berjalan sambil diikuti dengan tentera handal di barisan hadapan serta berpuluh-puluh yang lain di belakang.


Langkah mereka gagah dan tidak terpasung. Penuh keinginan dan rasa terdesak. Pemergian mereka dihantar dengan seribu satu harapan daripada keluarga masing-masing yang berdiri dikiri-kanan.


Hari itu, setelah bertahun-tahun lamanya, Essam membuka pintu gerbang mereka semula. Membuka pintu yang selama ini ditutup ketat demi keselamatan rakyatnya. Membukanya demi perjuangan yang satu iaitu..


Selamatkan Afshin!!

RYCCA menghentikan langkah bersama mata merenung tajam ke hadapan. Angin bertiup kencang di kawasan lapang yang seperti padang jarak padang terkukur itu tidak dipedulikan. Dia mengecilkan kelopak mata cuba menghalang habuk tanah daripada memasuki mata. Semua tenteranya juga bertindak demikian. Mereka juga tajam memandang ke hadapan.


Nun jauh di seberang sana, terlihat barisan manusia yang tidak kurang banyaknya sedang berjalan mendekati mereka. Ada yang menutup separuh wajah dengan kain, ada yang memakai topeng dari kepala kerbau dan ada yang berwajah bengis. Aura kehitaman dan kejahatan mereka seperti dapat dihidu oleh angkatan Rycca. Rycca tahu kumpulan tersebut merupakan golongan Dahak.


Semakin lama semakin hampir, tetapi Rycca masih berdiri tegak tidak bergerak. Masih mengamati dan meneliti wajah-wajah musuh yang bakal dihadapi mereka. Dapat dilihat tiga orang lelaki menunggang kuda dengan separuh wajah tertutup. Rycca pasti itu merupakan ketua mereka kerana dia kenal sinaran dan lirikan mata salah seorang daripada tiga lelaki itu. Mata lelaki yang ingin membunuhnya selama ini! Lelaki yang berjaya disakiti sewaktu berada di pintu gerbang Essam beberapa hari lepas.


"Jadi, selama ini ketua mereka sendiri yang turun padang untuk membunuh aku... Sungguh tak sangka!" Rycca bercakap perlahan bersama senyuman sinis. Dia ingatkan lelaki misteri itu menerima arahan daripada sesiapa, rupa-rupanya lelaki itu sendiri yang mengetuai golongan Dahak.


Pasukan Dahak juga mula menghentikan langkah apabila ketua mereka mengangkat tangan sebagai arahan. "Mengapa Agha berhenti?" Lelaki yang berada di sebelah kanan menyoal. Panggilan 'Agha' digunakan merujuk kepada ketua mereka. Bukan nama sebenar kerana tidak mahu identiti ketua mereka diketahui.


"Aku mahu lihat apa yang dirancang oleh perempuan itu!" Jelas lelaki yang dipanggil Agha itu dengan dahi berkerut. Dia pelik kerana Rycca hanya melihat mereka dari jauh. Tidak bergerak walau sedikitpun.


"Mungkin dia takut untuk menyerang dahulu." lelaki disebelah kiri pula bersuara.


Tercetus tawa Agha mendengar komen itu. "Takut? Dia bukan takut, tetapi dia sedang menunggu kita untuk masuk ke perangkap mereka!" Agha bersuara keras. Dia tak bodoh untuk membaca permainan Rycca.


"Nampaknya kau taklah bodoh sangat.. " Rycca bersuara sinis kembali. Perlahan tapi masih boleh didengar oleh Khabir dan Tengku Rayyan yang berdiri di kiri kanannya. Mereka berdua menoleh ke arah Rycca dengan pandangan pelik. Pelik kerana Rycca masih boleh ketawa dalam situasi begini. Kata-kata itu sebenarnya ditujukan kepada Agha. Rycca bagaikan tahu apa yang dibualkan oleh mereka bertiga di sana.


"Kalau kau tak nak mulakan, biar aku sahaja... Biar aku tunjuk siapa yang lebih kuat di sini. Sifat setia atau sifat khianat!" Rycca mula mencabut pedang dari sarung. Dia berada di posisi bersedia. Semua angkatan yang melihat juga turut sama membetulkan langkah.


"Serangggggg!!!!!" Rycca akhirnya mengeluarkan arahan. Suaranya melantun nyaring membelah angin kencang yang mengiringi mereka sejak tadi.


Serentak itu, Rycca dan lima baris hadapan sahaja berlari merapati kumpulan Dahak. Sementara tentera yang lain berjaga-jaga di belakang. Agha memandang agak pelik hal itu, tetapi dia tidak peduli kerana tujuannya hanya untuk membunuh Rycca. Hanya Rycca yang diiginkannya.


Tangan Agha yang sedari tadi terangkat mula dijatuhkan. Semua ahli golongan Dahak yang sememangnya sudah teruja sejak awal tanpa menunggu lama turut meluru ke hadapan. Penuh dengan senyuman dan wajah-wajah ngeri. Tidak lupa dengan jeritan penuh semangat. Tidak sabar mahu membunuh pihak lawan. Agha dan dua orang pendampingnya mengambil langkah untuk menunggu di tepi dan membiarkan sahaja anak buah mereka berseronok. Agha mahu melihat sejauh mana kemampuan Rycca mendepani mereka.


Apabila melihat sahaja golongan Dahak turut maju dan berada di jarak yang agak sesuai, Rycca mula memandang Tengku Rayyan. "Sekarang" Rycca mengelipkan mata kepada Tengku Rayyan untuk melaksanakan tugasnya. Tengku Rayyan mengangguk sebelum mula menarik tali panah lalu melepaskan anak panah tinggi ke langit. Ke arah bukit panjang yang terletak dibahagian kanan mereka.Terdapat satu kain merah panjang yang diikat pada bahagian ekor anak panah itu.


Melihat sahaja kain merah itu diudara, maka keluarlah pasukan memanah dari balik bukit. Bersama panah di tangan yang diangkat tinggi sebelum dilepaskan serentak ke satu arah. Walaupun bilangan mereka tidak ramai, tetapi kehebatan dan ketepatan mereka mengawal anak panah tidak ada siapapun boleh tandingi. Itulah mereka, pasukan memanah yang terlatih di Essam!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience