AFSHIN 08

Fantasy Completed 7268

Rycca menggedik-gedikkan kaki sambil memandang Mama Dayang yang turut merenungnya. Lama mereka berkeadaan begitu membuatkan Rycca panasaran sendiri.


"Sebelum saya mengajar kamu apa-apa, lebih baik jikalau kamu rapikan diri kamu dahulu." Mama Dayang memandang Rycca atas bawah. Tangannya dibawa menutup hidung menunjukkan yang dia tidak tahan dengan bau Rycca.


"Saya tak nak kerja dekat sini. Saya nak balik!" Rycca bingkas bangun dari duduknya. Kini dirinya sudah tidak terkurung lagi dan tangannya juga sudah tidak digari. Inilah peluangnya untuk keluar dari kawasan Kautsar dan mencari jalan pulang ke rumahnya. Pasti kakaknya sedang risau kerana sudah dua hari tidak dapat menghubungi dirinya.


"Kamu tidak boleh keluar dari kawasan pembesar jika tiada pelepasan dari tengku sendiri. Pengawal yang menjaga pagar tidak akan membenarkan kamu pergi." Mama Dayang memegang kemas tangan Rycca, menahan gadis itu daripada keluar.


"Apa?! Tak lawaklah." Rycca mula membentak.


"Lawak?" Mama Dayang kelihatan bingung. Dirasakan bahasa yang digunakan Rycca sangat pelik.


Rycca mendengus. "Jadi saya memang akan terkurung di sini sampai bila-bila?" Rycca meluahkan rasa tidak puas hati. Matanya membulat melihat Mama Dayang mengangguk menjawab pertanyaannya.


"Melainkan kamu mendapat pelepasan dan kebebasan mutlak dari tengku." Mama Dayang mula berjalan ke arah almari yang terdapat di penjuru bilik. Mereka sekarang berada di rumah dayang-dayang atau pelayan yang terletak di belakang rumah pembesar. Rumah itu masih berada di dalam pagar kawasan pembesar. Di sinilah tempat semua dayang-dayang berehat apabila penat bekerja seharian.


Mama Dayang mengeluarkan beberapa helai baju kurung yang terlipat elok sebelum diserahkan kepada Rycca.


"Pergilah membersihkan diri dan kenakan pakaian ini di tubuhmu. Kemudian hadirlah ke sini kembali untuk memulakan pelajaran pertama kamu sebagai dayang." Mama Dayang bersuara tegas. Dia tidak mahu berkeras sangat dengan Rycca setelah mengetahui bahawa gadis itu hilang ingatan.


Rycca hanya memandang kosong pakaian di tangan. Dia tidak menyangka hidupnya berubah seratus peratus apabila hadir ke kerajaan ini. Daripada seorang gadis yang menganggur tiba-tiba sahaja dipaksa menjadi orang gaji kepada ahli golongan bangsawan. Sungguh mengarut dan tidak masuk akal.


"Pergi. Turuti sahaja kemahuan tengku kerana dia lebih berkuasa di sini. Kamu tidak akan boleh lari daripadanya." Mama Dayang menolak sedikit bahu Rycca menyuruhnya bersiap. Dia sudah tidak sanggup melihat Rycca yang seperti orang tidak siuman. Rambut berserabai dan terdapat tompokkan debu atau arang memenuhi wajah gadis itu.


Rycca mengeluh. Betul apa yang dikatakan Mama Dayang. Orang berkuasa seperti Tengku Rayyan, Tengku Azman dan Tengku Rafan pasti akan mencarinya sehingga ke lubang cacing jika melarikan diri. Jadi lebih baik dia turuti sahaja apa yang disuruh. Mungkin dengan cara itu mereka dapat membuang prasangka buruk terhadap dirinya.


"Erk.. " Rycca kelihatan terpinga-pinga mahu memanggil wanita tua itu. Tidak tahu panggilan apa yang patut digunakan.


"Mama Dayang. Panggil sahaja Mama Dayang. Ketua yang menguruskan dayang-dayang di sini." Mama Dayang tersenyum.


"Mama Dayang... Hmm.. sedap panggilan tu." Rycca menggumam sendiri.


"Bilik mandi berada di belakang bilik ini sahaja." Terang Mama Dayang tanpa dipinta.

SETELAH membersihkan diri, Rycca kembali ke rumah dayang itu semula. Hampir sahaja dia tersesat sebentar tadi lantaran kawasan belakang rumah pembesar itu juga terdapat beberapa buah rumah kayu. Jika dilihat secara kasar, betullah rumah pembesar yang diduduki oleh tengku-tengku terletak betul-betul di tengah dan dikelilingi oleh rumah kayu dan kolam ikan.


Rycca terpandangkan Mama Dayang yang masih setia menunggunya di situ. Pantas sahaja dia menyembunyikan tangan kanannya di bawah baju yang telah ditukar. Takut jika Mama Dayang melihat apa yang dipegangnya.


Mama Dayang menoleh ke arah Rycca. Dia agak terkejut melihat wajah Rycca kelihatan lain setelah dibersihkan. Baju kurung biru lembut yang tersarung di tubuh menaikkan lagi seri wajah Rycca. Sungguh jelita gadis ini! Puji Mama Dayang di dalam hati.


"Mari." Mama Dayang membetulkan sedikit letak duduk baju kurung di tubuh Rycca supaya kelihatan kemas sebelum mula menggamit Rycca untuk mengikutnya.


Rycca tidak langsung mengikut Mama Dayang. Dia menyembunyikan loket di tangan di bawah bantal. Loket yang dikutip daripada lelaki misteri yang mencuri masuk ke rumahnya beberapa hari lepas.


Rycca lupa langsung tentang loket itu yang disimpan di dalam poket seluar sewaktu dia mahu keluar mencari lokasi ibunya. Tadi sewaktu dia mahu mandi, barulah dia perasan bahawa loket itu ada bersama sepanjang dia ke sini. Jadi untuk mengelakkan salah faham, lebih baik dia menyembunyikan loket itu dari pengetahuan sesiapa. Takut dengan kewujudan loket itu, akan membawa takdir buruk kepada hidupnya.


Mama Dayang membawa Rycca meninjau kawasan pembesar. Menunjukkan fungsi setiap rumah kayu yang terdapat di situ. Sekarang mereka berada di halaman depan di mana terdapat deretan rumah kayu di sebelah kanan. Tiga buah kesemuanya.


"Rumah pertama digelar kutub khanah dimana terdapat pelbagai buku-buku dan bahan bacaan yang tersimpan. Disinilah Tengku Rafan dan Tengku Azman menghabiskan masa bersama ketika matahari mulai turun." Jelas Mama Dayang.


"Apa hubungan Tnegku Azman dan Tengku Rafan?" Ryca bertanya. Sedari tadi dia ingin mengetahui hal itu.


"Tengku Azman merupakan ayahanda kepada Tengku Rayyan dan Tengku Rafan. Manakala Tengku Rayyan merupakan putera sulung dan Tengku Rafan pula putera bongsu." Mama Dayang menerangkan secara ringkas salasiah keluarga pembesar di Kautsar.


"Ohh.. Patutlah muka bila marah sama sahaja bengisnya." Rycca berkata perlahan cukup hanya dirinya sahaja yang dengar. Kenyataannya merujuk kepada Tengku Rayyan dan juga Tengku Azman.


"Rumah kedua adalah penyimpanan alatan perang untuk dijadikan pameran kepada pembeli luar. Andai terdapat kunjungan dari pembesar kawasan lain, pasti mereka akan berada di bilik itu atas urusan jual beli."


"Kenapa tak simpan sahaja di dalam rumah utama? Bukankah itu lebih selamat?" Tanpa sedar Rycca mula menunjukkan minat dengan semua itu. Seperti dia sudah bersedia untuk menjadi dayang di rumah pembesar.


"Kerana tengku tidak mahu orang luar masuk ke dalam rumah utama yang banyak menyimpan rahsia keluarga dan juga hal-hal sulit Kautsar. Mereka menjaga utuh hal peribadi kerana bimbang terdapatnya penyamaran yang cuba memecah masuk dan merampas hak milik Kautsar." Mama Dayang berhenti berjalan sebelum mengalihkan pandangan menghadap Rycca.


"Dan ini rumah ketiga. Rumah penyambut tetamu. Di sinilah tengku akan menghidangkan minuman dan makanan kepada tetamu yang hadir."


"Maksudnya memang orang luar yang masuk kawasan pembesar tidak dijemput masuk ke rumah utama?" Rycca membuang pandang ke arah rumah besar yang dimasukinya tadi untuk menghadap Tengku Rayyan.


"Benar. Dan kita sebagai dayang mahupun pengawal tidak dibenarkan masuk melainkan tengku sendiri yang mahukan kita untuk pergi menghadap." Mama Dayang menjawab segala persoalan Rycca. Dia tahu Rycca masih belum memahami peraturan di sini kerana setiap kawasan mempunyai cara tersendiri.


Rycca mula faham dengan situasi di kawasan pembesar. Nampaknya sistem di sini sungguh ketat dan dijaga rapi. Tidak seperti di kawasan luar ketika dia dibawa oleh Ferran keluar dari bilik kurungan tadi. Kawasan di luar pagar rumah pembesar ternyata tidak dijaga dan agak berserabut dibandingkan di sini.


"Inilah tempat dimana dayang menyiapkan segala santapan untuk tengku. Sebentar nanti kamu akan diajar kaedah mempersiapkan makanan untuk dihidangkan." Mama Dayang berjalan memantau dayang-dayang lain menyiapkan minum petang. Setelah itu, dia merasa sup dan kuih yang masih belum dihidangkan. Kepalanya terangguk-angguk seperti berpuas hati dengan keenakkan masakan itu.


Rycca hanya memandang kawasan dapur yang agak luas. Dapur itu terletak di sebelah kanan rumah dayang, maksudnya di belakang rumah pembesar juga. Dia dapat melihat gadis-gadis di situ yang mungkin sebaya dengannya ataupun lebih tua sedang kalut melakukan tugas masing-masing. Hanya kayu api yang digunakan sebagai sumber api serta pinggan yang dilapisi dengan daun pisang. Sungguh Rycca merasa seperti hidup di zaman dahulu kala.


Tidak lama Rycca berdiri di situ kerana Mama Dayang sudah menggamitnya ke bahagian kiri belakang rumah pembesar. Rycca baru perasan terdapat longkang yang agak lebar tetapi tidak dalam menghiasi kawasan itu. Air jernih yang mengalir menghasilkan bunyi tenang seperti berada di air terjun.


"Di sini tempat untuk mencuci pakaian dan juga pinggan mangkuk yang telah digunakan. Semua hal-hal mencuci akan dikerjakan di sini."


Rycca menunduk sebelum mencelupkan sedikit tangannya menyentuh air yang jernih itu Terasa sejuk sehingga ke tulang.


"Air ini merupakan tali air dari kawasan gunung dan sudah pasti bersih untuk dijadikan bahan basuhan." Terang Mama Dayang tanpa dipinta.


"Jadi.. " Mama Dayang menyentuh kedua-dua bahu Rycca supaya menghadapnya. Rycca hanya terkebil-kebil memandang Mama Dayang.


"Sudahkah kamu bersedia memulakan tugas sebagai seorang dayang?"


Mendengarkan soalan itu, Rycca pantas meneguk air liur yang terasa kelat. Betulkah apa yang dia lakukan sekarang?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience