"Kita berjalan kaki pergi sana?" Perlahan sekali suara Rycca berbisik kepada Ferran. Kini dia dalam perjalanan ke Kawasan Essam bersama Tengku Rayyan, Tengku Rafan dan pengawal-pengawal yang lain. Agak ramai pengawal yang mengiringi mereka atas arahan Tengku Azman.
Walaupun sudah seminggu kejadian pahit itu berlalu, tetapi Tengku Azman masih risau dengan keadaan Tengku Rayyan yang belum pulih sepenuhnya. Tambahan pula anaknya itu membuat keputusan untuk keluar dari kawasan pembesar, lagilah Tengku Azman tidak senang duduk. Nasib baik Tengku Rayyan tidak memberitahu Tengku Azman tentang tujuan sebenar mereka ke Kawasan Essam. Jika tidak, pasti sahaja Rycca bakal dimarahi dan dijatuhkan hukuman daripada Tengku Azman.
"Kita hanya rakyat biasa. Tidak mampu membeli kuda untuk dijadikan sebagai alat pengangkutan." Suara Ferran mematikan lamunan Rycca. Ferran juga berbisik seperti Rycca tadi.
Rycca mengalihkan pandangan ke arah Tengku Rayyan dan Tengku Rafan yang sedang menunggang kuda sambil dikelilingi oleh beberapa pengawal termasuknya yang hanya berjalan kaki. Mulut dicebikkan tanda tidak berpuas hati dengan undang-undang di kawasan ini yang dirasakan berat sebelah.
"Sampai minggu depan pun kita tak sampai kalau hanya berjalan kaki. Kenapa tidak diberikan sahaja kuda kepada semua orang? Bukankah itu lebih cepat?" Rycca kembali memandang Ferran. Suaranya masih dikawal supaya tidak didengari oleh orang lain.
Ferran ketawa lepas. "Kamu jangan risau. Kawasan Essam hanya terletak bersebelahan dengan Kawasan Kautsar. Dan di belakang Kawasan Essam terletak Kawasan Syafia, tempat Nek Galyn. Kita hanya perlu menyulusuri jalan kecil di tengah hutan sehingga ke hujung dan mengikut arus sungai sehingga ke pintu gerbang Kawasan Essam." Terang Ferran dengan panjang lebar.
Rycca hanya mengelip-ngelipkan matanya memandang Ferran. Sepatah haram pun dia tak mampu membayangkan kedudukan kawasan itu. Biarlah dia melihat sendiri nanti semasa dalam perjalanan.
"Ehem!" Suara seseorang berdeham membuatkan Rycca dan Ferran berpusing tiga ratus enam puluh darjah. Mereka melihat Tengku Rayyan sudah berada di hadapan mereka bersama kuda yang ditungganginya.
"Kamu!" Tengku Rayyan menunjukkan jari telunjuknya tepat ke arah Rycca.
"Mari berjalan di sisi saya. Saya tidak mahu kamu mengambil peluang ini untuk melarikan diri nanti." Tengku Rayyan bersuara tegas. Ferran dijeling sekilas sebelum dia kembali membawa kudanya ke sisi Tengku Rafan. Entah mengapa hatinya sakit melihat gelak ketawa Rycca bersama Ferran sebentar tadi. Bagaikan dicarik-carik sehingga dia sendiri tidak sedar bila masa dia sudah menuju ke arah Rycca.
"Haih!!!" Rycca mendengus kuat. Tidak suka diberi arahan sebegitu. Namun begitu, Rycca hanya menurut sahaja kehendak Tengku Rayyan kerana tidak mahu dengan sikap keras kepalanya itu nanti membuatkan perjalanan mereka dibatalkan. Rycca harus sampai ke Kawasan Essam walau apapun yang berlaku.
"Berdiri di sini diam-diam." Tengku Rayyan sempat mengarah kepada Rycca. Dia tersenyum senget apabila melihat Rycca menurut sahaja kehendaknya.
"Hai Dayang Rycca." Tengku Rafan melambai ke arah Rycca. Rycca hanya tersenyum nipis membalas seadanya.
"Kamu beruntung kerana kakanda Rayyan sudi membawa kamu ke sana." Tengku Rafan cuba berbasa-basi dengan Rycca.
Rycca hanya menunduk hormat ke arah Tengku Rafan. Dia tidak sangka Tengku Rafan peramah juga orangnya.
"Saya harap penyakit kamu boleh pulih sepenuhnya nanti." Tengku Rafan mula memberi kata-kata semangat kepada Rycca.
"Erkk.. Tengku?" Rycca memanggil Tengku Rafan lambat-lambat. Ada perkara yang ingin dia tanyakan sedari tadi.
Tengku Rafan menjongketkan sebelah kening memandang Rycca. Tengku Rayyan juga sudah mula mengalih pandang menunggu Rycca memulakan bicara.
"Boleh hamba bertanya serba sedikit tentang Kawasan Essam?" Rycca menyoal naif.
Tengku Rafan berpusing memandang Tengku Rayyan semula. Bagaikan ingin meminta persetujuan abangnya untuk membuka cerita tentang kawasan itu.
Tengku Rayyan akhirnya mengangguk memberikan kebenaran. Setelah itu dia kembali fokus dengan jalan yang dilalui mereka sekarang.
"Apa yang kamu ingin tahu? Katakan sahaja kepada saya." Tengku Rafan mula menumpukan sepenuh perhatian kepada Rycca.
Disebabkan kedudukan Tengku Rafan yang berada di atas kuda membuatkan Rycca terpaksa mendongakkan kepalanya sedikit.
"Adakah Kawasan Essam juga berstatus tinggi seperti Kautsar? Apa keistimewaan yang ada pada kawasan itu sehingga ia dikawal ketat jika dibandingkan dengan kawasan lain?" Tiada mukadimah dalam pertanyaannya, Rycca terus bertanya dengan yakin.
"Benar sekali. Kawasan Essam juga berstatus tinggi seperti Kautsar kerana mereka bertanggungjawab melindungi Kerajaan Afshin daripada musuh. Mereka merupakan kawasan yang menyediakan dan melatih rakyatnya untuk berperang. Disebabkan itu Kawasan Kautsar berhubung rapat dengan Essam kerana kami menyediakan segala alatan perang untuk mereka." Terang Tengku Rafan.
"Bukankah di sini hanya terdapat Kerajaan Afshin sahaja? Jadi dari mana datangnya musuh-musuh itu?" Rycca menyoal pelik.
"Musuh dalam selimut atau lebih tepat musuh dari kalangan rakyatnya sendiri."
"Maksud Tengku, rakyat Afshin sendiri?!" Rycca jelas terkejut mendengar kenyataan itu.
"Ya. Selalunya rakyat yang berbuat masalah datangnya dari kawasan yang berstatus rendah seperti Kawasan Dahak, Kawasan Asyar, Kawasan Baghiah dan banyak lagi. Tetapi yang paling digeruni adalah Kawasan Dahak kerana mereka mempunyai satu misi iaitu untuk menaungi seluruh Kerajaan Afshin di bawah genggaman mereka." Tengku Rafan mengetap rahangnya kuat apabila memikirkan kembali tentang segala kerosakkan yang dilakukan oleh golongan Dahak sejak dahulu.
"Kenapa tidak hapuskan sahaja kawasan-kawasan itu? Biar mereka menerima hukuman yang setimpal?"
"Bukan semua rakyat mereka berhati hitam. Dan kita tidak boleh membuat onar di kawasan orang lain melainkan mereka datang sendiri ke kawasan kita. Lebih tepat, kita hanya boleh menyerang jika kawasan-kawasan itu membuat masalah di luar kawasan mereka. Itulah peraturan yang sudah ditetapkan oleh Raja Dayyan sejak dahulu. Jika arahan itu dilanggar dan orang itu ditangkap, maka nyawanya bakal diragut tanpa belas." Tengku Rafan memandang tepat ke arah Rycca seperti memberi amaran agar Rycca menjaga tingkah lakunya selepas ini.
"Jadi pemuda-pemuda yang menyerang Tengku Rayyan pada malam itu.. " Rycca tidak jadi meneruskan kata. Dia gerun memikirkan hal itu.
"Mungkin mereka sudah tidak bernafas lagi di dunia ini. Hanya Raja Dayyan dan orang-orangnya sahaja yang tahu bagaimana keadaan mereka." Tengku Rafan bersuara lemah. Betul apa yang dikatakannya, setelah mereka menyerahkan pemuda-pemuda itu kepada pengawal diraja, mereka yakin semua pemuda itu bakal dibunuh. Raja Dayyan sangat tegas dalam hal itu.
"Tengku, kita akan mulakan perjalanan kita memasuki kawasan hutan sebentar lagi. Mohon Tengku berwaspada dan bersedia dengan segala kemungkinan." Ferran datang mencelah perbualan mereka. Tengku Rayyan dan Tengku Rafan hanya mengangguk tanda mereka mendengar laporan yang diberikan Ferran tadi.
Kini mereka sudah berdiri di hadapan pintu gerbang tembok yang mengelilingi Kawasan Kautsar. Tembok itu lebih tinggi dibandingkan dengan kawasan pembesar kerana itu merupakan tembok yang menutupi seluruh Kawasan Kautsar. Cukup tinggi separas pokok kelapa.
Rycca dapat melihat dua orang pengawal membukakan pintu gerbang buat mereka keluar. Setelah itu mereka meneruskan perjalanan menyulusuri jalan kecil yang dikelilingi hutan tebal. Benarlah apa yang dikatakan Ferran sebentar tadi.
"Dan mengapa Kawasan Essam dikawal ketat? Itu kerana Kawasan Essam sudah tidak percaya dengan pelawat-pelawat yang datang dari kawasan lain. Pembesar Essam yang dulunya kuat, kental dan digeruni kini sudah terlantar sakit menunggu masanya tiba. Kesakitan yang dirasainya sekarang dipercayai akibat daripada perbuatan khianat golongan Dahak juga. Mereka sengaja menjatuhkan pembesar Essam kerana mereka tahu dengan tindakan itu sistem ketenteraan Essam semakin lemah dan mudah untuk mereka menyerang kawasan itu." Suara Tengku Rafan memecahkan suasana dan menghalau lamunan Rycca.
"Kasihannya. Sampai macam tu sekali mereka sanggup bertindak semata-mata untuk mendapatkan kuasa?" Rycca mula gentar dengan golongan Dahak yang diceritakan Tengku Rafan.
"Mereka bukan sahaja jahat, tetapi kejam dan tiada belas kasihan. Sesiapa sahaja yang mengahalang misi mereka pasti dicantas tanpa sempat membela diri. Cuma tiada sesiapa yang mampu menarik rakyat Dahak ke muka pengadilan kerana mereka sangat licik dan pandai berlawan."
Rycca tidak menyangka masih wujud manusia sebegitu di dunia ini. Dia berharap sepanjang dia berada di sini, dirinya tidak bertemu dengan rakyat Dahak yang menggerunkan itu.
Setelah agak lama mereka berjalan melalui kawasan hutan itu, telinga Rycca menangkap bunyi aliran air. Rycca pasti mereka sudah semakin hampir dengan Kawasan Essam. Hatinya mula berbunga riang.
"Kamu sudah tiada soalan mahu bertanya?" Tengku Rafan bertanya lembut. Rycca hanya tersengih seperti kerang busuk kerana dia tahu Tengku Rafan sedang memerlinya.
Baru sahaja Rycca mahu membuka mulut, tiba-tiba telinganya berdesing dan berdengung. Sangat kuat sehingga memaksa Rycca untuk memejamkan mata. Dalam kegelapan dia dapat merasakan kehadiran orang lain selain mereka di situ. Kehadiran pemuda-pemuda yang sedang berselindung di sebalik hutan tebal bersama parang yang digenggam kemas di tangan. Pantas Rycca membuka mata sambil menempik.
"Hati-hati!!! Ada musuh di sana!!!"
Share this novel