AFSHIN 12

Fantasy Completed 7262

"Di sini kamu harus bahasakan diri kamu sebagai hamba ketika berbicara bersama tengku. Mulakan percakapan dan teguran dengan tunduk hormat kepada mereka." Mama Dayang berulang-alik di hadapan Rycca sambil memegang rotan kayu di tangan. Sudah sejam dia menceritakan segala adab dan sikap yang boleh dan tidak boleh ditunjukkan di hadapan tengku kepada Rycca.


Merah muka Rycca menahan sakit di kaki. Dia dihukum berdiri sambil menjujung buku tebal di atas kepala oleh Mama Dayang. Berdiri sebelah kaki pula tu. Jika kakinya tidak dapat mengimbangi diri, pasti sahaja rotan itu mencium bontotnya.


"Jika kamu menghadapi keadaan seperti tadi, hanya perlu meminta maaf kepada tengku. Tidak usah kamu cuba membela diri walaupun diri kamu tidak bersalah. Kerana di sini kita sebagai kuli tiada hak untuk bersuara." Jelas Mama Dayang lagi.


"Ha?! Habistu saya kena berdiam diri kalau saya dipijak atau dimarahi sesuka hati oleh tengku sekalipun? Ini tak adil!" Rycca mula memprotes. Buku di atas kepala dibawa turun sebelum dia mula menepuk kulit buku itu dengan kuat.


Mama Dayang berdecit ke arah Rycca. Menyuruh Rycca mengangkat kembali buku itu ke atas kepala.


Rycca memuncungkan mulut sebelum melepaskan nafas panjang. Dia menurut sahaja arahan Mama Dayang sebelum rotan itu mendarat di atas tubuhnya lagi.


"Itu peraturan yang sudah termaktub sejak dahulu. Ikut sahaja atau tubuh kamu yang akan menerima padahnya. Kamu beruntung kerana tengku menyerahkan kamu kepada saya hari ini. Perbuatan kamu itu boleh menyebabkan kamu di sebat dan mendapat hukuman yang lebih berat." Mama Dayang bersuara tegas. Dia berhenti betul-betul di hadapan Rycca. Cuba menyedarkan gadis itu agar tidak mengambil mudah dengan amarannya.


"Saya tidak tahu bagaimana peraturan, pergaulan dan bahasa yang digunakan di tempat asal kamu, tetapi saya minta kamu tinggalkan semua itu. Kerana sekarang kamu berada di Kawasan Kautsar dengan peraturan baharu." Mama Dayang menasihati Rycca. Dia sudah menyayangi Rycca seperti dayang-dayang yang lain. Jadi dia tidak mahu gadis itu ditimpa masalah kelak.


"Saya akan cuba." Perlahan Rycca menjawab. Sedikit sebanyak nasihat yang diberi Mama Dayang menggetarkan hatinya.


"Baguslah jika begitu. Satu jam lagi saya akan melepaskan kamu." Mama Dayang tersenyum puas. Puas kerana Rycca mengalah dan akan mengikuti ajarannya. Dia berharap Rycca akan lebih berhati-hati lagi selepas ini ketika bertemu Tengku Rayyan.


"Tapi.. " Rycca mahu meminta simpati dari Mama Dayang supaya menghentikan hukuman ke atasnya sekarang. Mama Dayang hanya menjongketkan kening sambil tangan bermain-main dengan rotan kayu itu. Tahulah Rycca akan maksud yang ingin disampaikan Mama Dayang. Punggungnya - bakal - dirotan - jika - minta - untuk - menghentikan - hukuman.


"Tak apalah Mama Dayang." Rycca kembali menundukkan kepala. Mama Dayang tersenyum lucu melihat gelagat Rycca.

BATU hitam disepak kuat menghamburkan rasa sakit di hati. Kini dia berada di kawasan membasuh pakaian dan pinggan mangkuk. Hanya dirinya seorang sahaja di sini kerana dayang yang lain masih sibuk mempersiapkan minum petang di dapur dan membersihkan kawasan pembesar di hadapan.

Rycca membawa tangan mengetuk-ngetuk bahunya yang terasa lenguh. Mulutnya tidak berhenti membebel itu ini sambil membuat muka menyampah. Dia masih tidak puas hati dengan peraturan yang diceritakan Mama Dayang sebentar tadi.


"Meoww.. " Bunyi itu membuatkan Rycca berpaling tiga ratus enam puluh darjah. Rasanya dia tidak tersalah dengarkan tadi?


"Meoww.. " Sekali lagi bunyi itu kedengaran. Rycca mula berlegar-legar mencari sumber suara itu.


"Meoww.. "Kali ini bunyi itu semakin jelas. Rycca mendongak memandang pohon yang terletak di tepi pagar kawasan itu. Dengan jelas dia melihat seekor anak kucing berwarna oren berada di atas pokok. Anak kucing itu kelihatan takut dan matanya sesekali melihat ke bawah seperti ingin memberitahu bahawa dia tidak berani turun.


"Kau naik reti, turun tak reti pula." Sempat Rycca memarahi kucing itu walaupun dia tahu anak kucing tersebut tidak memahami tutur bicaranya.


"Tunggu sekejap. Aku cuba selamatkan kau." Rycca melihat sekeliling. Matanya akhirnya tertancap pada buluh yang bersandar di belakang bilik mandi.


Seketika kemudian Rycca kembali bersama buluh di tangan. Buluh itu disuakan kepada anak kucing yang berada di atas pokok dengan harapan kucing itu memanjat buluhnya untuk dibawa turun.


"Turunlah. Kau panjat buluh tu, lepastu nanti aku turunkan buluh tu dan kau boleh turun sekali." Rycca memberi arahan kepada anak kucing apabila dilihat anak kucing itu tidak bergerak.


"Meoww.. " Hanya bunyi ketakutan yang kedengaran.


"Kalau kau tak bagi kerjasama dengan aku, macam mana aku nak tolong kau." Rycca sudah bersuara geram. Dirinya dah macam orang gila sekarang kerana bercakap dengan haiwan.


Tengku Rayyan yang sedang membaca buku di atas titi kolam ikan berasa sedikit terganggu dengan suara itu. Suara seperti orang sedang membebel di kawasan belakang pembesar. Pantas sahaja dia mengatur langkah ingin melihat apa yang terjadi. Takut jika pekerjanya bergaduh sesama sendiri atau berlaku hal kecemasan yang memerlukan rawatan dengan segera.


Langkah kaki terhenti apabila matanya terpandangkan satu batang tubuh yang sedang memegang buluh panjang di balik pokok. Tengku Rayyan mengamati insan itu.

"Dia? Apa yang cuba dilakukannya?" Tengku Rayyan mendekatkan dirinya untuk melihat dengan jelas apa yang dilakukan Rycca.


"Wahai anak kucing, aku cakap baik-baik dengan kau. Kalau kau tak nak aku tinggal kau sorang-sorang dekat sini, baik kau panjat buluh tu cepat." Rycca meluruskan jari telunjuknya tepat ke arah anak kucing itu. Bagaikan memberi amaran kepada haiwan itu. Kucing oren memang suka membuat masalah.


Tergelak Tengku Rayyan mendengarnya. Sekarang tahulah dia bahawa Rycca cuba menyelamatkan anak kucing yang tersesat di atas pokok. Dia tiada niat mahu membantu Rycca dan hanya menyandarkan tubuhnya pada tiang laluan pejalan kaki sambil berpeluk tubuh.Ingin melihat gelagat Rycca seterusnya. Hatinya berasa senang dan tercuit dengan pemandangan di hadapan mata.


"Ha! Macam tu la." Rycca mula menjerit riang apabila dilihat anak kucing itu sudah mula memanjat buluh. Dengan berhati-hati Rycca menurunkan buluh itu ke atas tanah. Pantas sahaja dia mendapatkan anak kucing itu sebelum membelai bulunya. Rycca sungguh tidak perasan dengan kehadiran Tengku Rayyan.


Tengku Rayyan masih berada di tempatnya sambil merenung wajah Rycca yang ceria itu. Hati bagaikan menyuruh dirinya untuk terus kekal di situ dan melihat Rycca bersama dunianya.


"Mesti kau lapar kan? Mari aku bagi kau makan." Rycca masih belum berhenti membelai bulu kucing oren yang lebat itu. Tetapi entah di mana silapnya, kaki yang baru melangkah tersepak buluh yang digunakannya sebentar tadi. Rycca hanya mampu pasrah apabila tubuhnya sudah mahu menyembah bumi.


"Hati-hati!" Pantas sahaja tangan Rycca dipegang seseorang untuk menahan dirinya daripada terjatuh. Rycca menoleh ke arah suara itu. Dia tersenyum melihat Ferran menjadi penyelamatnya.


Tengku Rayyan yang baru sahaja mahu melangkah untuk mendapatkan Rycca terus menyembunyikan dirinya di balik dinding. Takut dirinya dilihat oleh Ferran dan Rycca.


"Kamu tidak apa-apa? Apa yang kamu lakukan di sini?" Ferran menyoal sambil matanya membelek-belek wajah Rycca. Mengesan sebarang kecederaan yang mungkin sempat bertamu di situ.

'Nampak mesra sahaja mereka berdua.' Tengku Rayyan mengetap gigi kuat. Lama sebelum dia kembali tersedar ke dunia.


"Mengapa aku harus peduli tentang hal itu? Lagipun bukan urusan aku memikirkan hal yang tidak penting seperti ini." Tengku Rayyan menghembuskan nafas cuba menenangkan diri. Dia melangkah meninggalkan tempat itu. Tidak mahu membiarkan diri hanyut dengan perkara yang tidak penting.


"Saya tak apa-apa. Awak tengok. Saya jumpa anak kucing atas pokok. Sebab tu saya cuba nak selamatkan dia tadi." Terang Rycca ringkas.


"Sungguh comel sekali." Ferran bertindak mengambil anak kucing itu dari tangan Rycca.


"Baru kali ini saya dapat memegang anak kucing yang comel begini." Ferran tersenyum gembira.


"Kenapa? Awak tak pernah tengok kucing ke sebelum ini?" Rycca pelik apabila mendengar Ferran berkata begitu.


"Bukan begitu. Saya pernah melihat, cuma sudah lama saya tidak menyentuhnya kerana kawasan pembesar mempunyai pagar dan sukar untuk kucing ini memboloskan diri memasuki kawasan ini." Tanpa sedar kata-kata Ferran itu membuatkan Rycca risau.


"Mari, kita beri dia makan." Ferran menggamit Rycca.


"Tunggu! " Rycca sempat menahan sebelum Ferran mula menjauh.


"Kalau awak cakap kawasan ni susah untuk masuk, macam mana kucing ni boleh terlepas ke sini. Mustahil dia boleh panjat pagar dengan tubuhnya yang kecil. Melainkan.. " Rycca memandang Ferran dengan pandangan misteri.


"Melainkan ada kawasan pagar yang rosak atau laluan lain yang membolehkan kucing ni masuk ke kawasan pembesar." Kenyataan itu menyentakkan Ferran. Betul apa yang dikatakan Rycca. Pagar itu terlalu tinggi untuk kucing yang kecil memanjatnya. hanya satu laluan keluar masuk ke kawasan pembesar iaitu melalui pintu pagar sahaja.


"Atau laluan yang sengaja di buat oleh orang luar." Ferran menggenggam penumbuk. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena di sini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience