AFSHIN 27

Fantasy Completed 7262

"Tak sangka.. kau masih ingat aku." Jawab lelaki itu sarkastik.


Lelaki itu mula membuka langkah mendekati Rycca dan Tengku Rayyan setapak demi setapak.


Rycca yang perasan akan hal itu tanpa membuang masa terus berdiri di hadapan Tengku Rayyan. Dia tahu buat masa sekarang dirinya harus menjadi pengawal lelaki itu dan melindunginya.


"Siapa kau sebenarnya?" Rycca menyoal tegas.


"Aku rasa semua orang tahu siapa aku. Takkanlah Tengku kesayangan kau tidak bercerita siapa punya angkara melakukan semua ini?" Mata lelaki itu kembali mengecil menandakan bahawa dia sedang tersenyum sinis ke arah Rycca.


"Bukan itu maksud aku. Macam mana kau boleh muncul di rumah aku dahulu? Apa yang kau nak sebenarnya? Dan macam mana kau boleh tahu perihal ibu aku?" Rycca kembali menyoal. Tengku Rayyan memilih untuk berdiam diri memerhatikan perdebatan dua insan di hadapannya ini.


Lelaki misteri itu tidak menjawab. Malah dia mula bergerak perlahan-lahan ke arah kiri cuba untuk mendekati mereka berdua. Keris yang terselit di pinggang mula dikeluarkan.


"Apa yang kau mahu sebenarnya dari aku?!" Rycca sudah mula panas hati melihat kebisuan yang dicipta. Dia juga turut mengikut rentak tapak kaki lelaki itu. Tidak mahu lelaki itu mencari peluang untuk menyerang mereka.


"Jawab!!! Apa kaitan hidup aku dengan kau setan?!" Rycca menjerkah lagi.


"Aku mahukan nyawa kau!!" Akhirnya kedengaran juga suara garau di sebalik topeng muka yang dipakai. Serentak dengan itu muncul dua orang lelaki bersenjata dan berpakaian sama berdiri di belakang lelaki misteri itu.


Lantas Tengku Rayyan menarik Rycca berlindung di belakangnya. "Mereka semua bersenjata, sedangkan kita hanya berbekalkan sebilah pedang. Pergi minta bantuan sementara saya tarik perhatian mereka." Tengku Rayyan berkata cemas.


"Tidak Tengku! Nyawa hamba yang mereka mahukan! Dan hamba takkan sesekali tinggalkan Tengku berseorang!" Rycca enggan mengikut cadangan Tengku Rayyan.


"Cabut sahaja sampin Tengku. Itu juga boleh dijadikan senjata. Cukup untuk hamba melindungi diri." Rycca mengangguk yakin kepada Tengku Rayyan. Ini sahaja cara yang ada sekarang.


"Cepat Tengku!!" Rycca menggesa apabila Tengku Rayyan kelihatan was-was memandangnya. Apabila dilihat tiga lelaki itu mula ingin menyerang, Tengku Rayyan segera mencabut sampinnya lalu dilemparkan ke arah Rycca. Dia kemudian berlari untuk bertempur dengan tiga jahanam itu.


Rycca tanpa membuang masa mengoyak sampin yang diberi sebelum digulungnya menjadi panjang persis selendang. Pantas sekali tindakannya sambil sesekali dia mengawasi pergelutan di antara Tengku Rayyan dan musuh.

Rycca menggangtung sampin tersebut dilehernya. Mata dipejamkan dan dia berusaha mengingat kembali jurus selendang yang pernah dipelajarinya di dunia sana. Segala buah dan teknik untuk berhadapan dengan musuh cuba disingkap satu persatu. Setelah yakin, Rycca kembali mencelikkan matanya.


Kini berdirilah lelaki misteri itu di hadapannya sekarang. Sementara dua orang lagi musuh sedang cuba dijatuhkan oleh Tengku Rayyan.


"Aku akan pastikan kau mati hari ini!" Lelaki itu mula berlari sambil menghunuskan keris ke arahnya.


Setelah hampir keris itu mengenai tubuh, Rycca melibas tangan sang lelaki dengan sampin sebelum menendang dada lelaki itu kuat sehingga terundur ke belakang. Namun, dalam sekelip mata lelaki itu bangun untuk menyerang kembali.


Kali ini, serangan yang dilakukan lebih pantas dari tadi. Rycca masih berjaya mengelak ke kanan dan dia membawa sampin tersebut melilit leher sang lelaki sebelum ditarik kebelakang sehingga rebah. Rycca memijak pergelangan tangan lelaki itu yang masih memegang keris dengan kakinya. Lilitan di leher itu diperkuatkan lagi sehingga kedengaran lelaki itu terbatuk-batuk mencari nafas.


"Rycca!!" Jeritan dari Tengku Rayyan membuatkan Rycca menoleh ke belakang. Dan dilihat seorang musuh ingin menyerangnya dengan parang. Pantas dia melepaskan pegangan dan bangun mengelak.


Serangan demi serangan dielak sehabis mungkin. Sementara itu, dia dapat melihat lelaki misteri itu sudah berjaya meloloskan diri dari lilitan sampinnya dan mula menyerangnya kembali. Maka, dia terpaksa berhadapan dengan dua orang musuh tanpa sebarang senjata.


Entah di mana silapnya, muka Rycca berjaya ditumbuk sehingga dia terbaring di tanah. Lelaki misteri itu tidak memberi peluang walaupun sesaat kepada Rycca. Dia menyepak perut Rycca berkali-kali tanpa belas kasihan. Setelah dilihat Rycca berada dalam keadaan lemah, dia mula mengangkat tinggi kerisnya.


"Dalam ufuk yang luas, sosokku ditenggelami senja, hadir terbuai di benua sebalik alam!!" Lelaki itu menjerit nyaring sebelum mula membawa keris tersebut ingin menikam Rycca.


Walaupun masih dalam keadaan lemah, Rycca mengerahkan seluruh tenaganya menangkap mata keris dengan kedua-dua belah tangan. Dia menggenggam kemas keris tersebut daripada menembusi kulit dagingnya. Darah mula menitik dari telapak tangan akibat terkena belahan keris itu.


"Rycca!!" Tengku Rayyan yang melihat kejadian itu pantas berlari dan menendang bahu lelaki misteri itu sehingga jatuh. Badan Rycca diheret untuk menjauhi lelaki-lelaki itu.


"Tak guna!!" Lelaki misteri itu menjerit marah sebelum mengutip kembali kerisnya yang terpelanting akibat tendangan tadi. Dia berura-ura ingin menyerang semula sebelum..


"Hoii!!!" Satu suara yang menjerkah ke arah mereka menghentikan niat tiga musuh itu. Azzan bersama pengawal yang lain sudah mara ke hadapan untuk membantu Tengku Rayyan dan Rycca.


Melihat sahaja bilangan pengawal yang lebih ramai dari mereka membuatkan mereka sudah kecut perut.


"Mundur! Mundur!" Lelaki misteri itu memberi arahan kepada anak buahnya. Mereka segera meninggalkan tempat tersebut dan hilang di balik kegelapan.


"Tengku tidak apa-apa?" Azzan bertanya gusar apabila mendekati dua insan itu.


"Saya tidak apa-apa. Tetapi Dayang Rycca cedera semasa cuba menyelamatkan saya tadi. Bawakan Nek Galyn ke sini dengan segera!" Tengku Rayyan kembali memeriksa keadaan Rycca yang separuh sedar.


"Baiklah Tengku." Azzan kembali semula ke tempat mereka berkumpul tadi untuk mendapatkan Nek Galyn. Beberapa anak buahnya dikerahkan untuk mengikut dan mengejar tiga musuh itu yang melarikan diri. Walau apa pun terjadi, tiga musuh yang datang dari golongan Dahak itu harus ditangkap dan mereka perlu membayar segala kerosakkan yang telah dilakukan!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience