Mata itu terbuka apabila dirasakan pipinya seperti dijilat sesuatu. Muncullah seekor kucing bewarna oren menyapa pandangannya. Rycca pantas bangun dari pembaringan dengan wajah yang cuak. Dia memerhatikan sekeliling untuk memastikan dirinya tidak ditangkap sewaktu tertidur. Nyata dia masih di tempat yang sama. Nafas lega dihembuskan sambil tangan mula mengutip segala alatan yang dibawa. Kucing tadi sudah menghilang entah ke mana.
Rycca memandang dada langit yang masih gelap. Mungkin sekarang jika diikutkan pukul empat atau lima pagi, dia sendiri tidak pasti. Dan Rycca juga dapat melihat bentuk bukit atau gunung samar-samar nun jauh di sana. Tetapi bukan gunung itu yang ingin ditujuinya. Dia mula meneruskan perjalanan dengan meyelusuri hutan yang tumbuh hampir dengan dinding milik Kautsar itu.
Sebelah tangan menggenggam erat kayu panjang dan sebelah lagi memegang bungkusan kain batik. Setelah agak lama berjalan beralaskan daun kering, berbumbungkan pohon-pohon yang tumbuh melangit, bertemankan bunyi cengkerik, akhirnya Rycca tiba di tempat dia pernah diserang dahulu. Tempat di mana dia kehilangan seorang rakan bernama Ferran.
Langkah dibawa mendekati tengah-tengah kawasan itu. Dia duduk melutut menekur daun buluh kering yang luruh menutupi hampir keseluruhan tanah. Tangan perlahan-lahan menggenggam daun kering dengan erat seperti ingin menceritakan sakit hatinya sekarang.
"Maafkan aku Ferran. Kau mati disebabkan kebodohan aku.." Mata Rycca berkaca-kaca mengenangkan momen-momen terakhirnya bersama Ferran sebelum mereka diserang.
'Kamu jangan risau. Kawasan Essam hanya terletak bersebelahan dengan Kawasan Kautsar. Dan di belakang Kawasan Essam terletak Kawasan Syafia, tempat Nek Galyn. Kita hanya perlu menyulusuri jalan kecil di tengah hutan sehingga ke hujung dan mengikut arus sungai sehingga ke pintu gerbang Kawasan Essam.' Kata-kata Ferran dahulu mula membuatkan Rycca tersedar tentang tujuan asalnya melarikan diri.
"Jalan kecil dan arus sungai..."
Rycca meneruskan lagi perjalanannya tanpa berlengah. Dia perlu cepat sebelum dirinya ditangkap oleh Tengku Rayyan dan pengawal yang lain. Setelah mengikut arah yang pernah diberitahu Ferran, dari kejauhan Rycca dapat melihat dinding tinggi seperti dinding yang mengelilingi Kawasan Kautsar. Hari yang menginjak pagi membolehkan Rycca melihat beberapa pengawal berbaju melayu hitam bersama tombak, busur dan anak panah yang mengawal di pintu gerbang.
Rycca mebghembuskan nafas perlahan-lahan bersama debaran di dada. Dia yakin kawasan tersebut merupakan Kawasan Essam kerana hanya Kawasan Essam yang dijaga ketat oleh pengawalnya.
Tubuh mula dibawa mendekati pengawal itu dengan perasaan yang berbelah-baur. Dia takut! Takut tidak mendapat kebenaran daripada pengawal untuk masuk ke sana.
"Siapa?!" Salah seorang lelaki menahan langkah Rycca dengan busur bersama kerutan di dahi. Dia pelik dengan kehadiran seorang gadis yang muncul secara tiba-tiba di balik hutan.
"Hamba datang berkelana dari Kawasan Kautsar. Bolehkah hamba bertemu dengan pembesar Kawasan Essam?" Rycca bertanya lembut namun wajahnya cuba dikawal sehabis mungkin.
Dilihat lelaki itu mencari-cari sesuatu di belakangnya sebelum bersuara. "Kamu sendiri? Di mana pengawal dari kawasan kamu? Tidakkah mereka mengiringi kedatangan kamu di sini?" Kini semua perhatian pengawal yang berada di situ tertumpu ke arahnya.
Rycca mula meneguk air liur. "Hamba hanya berseorangan sahaja." Jelas Rycca lagi.
"Dalam keadaan kerajaan yang kucar-kacir sekarang? Bukankah Kawasan Kautsar diserang oleh golongan Dahak juga? Bagaimana kamu boleh berani untuk keluar bersendiri dari kawasan itu? Tidakkah kamu takut berhadapan dengan mereka?" Rycca mula mengetap gigi melihat soalan demi soalan yang diasak.
"Oleh sebab itu hamba berkelana ke sini. Ada perkara yang hamba ingin bincangkan dengan pembesar Kawasan Essam. Soal hidup dan mati!" Tegas Rycca.
"Kamu tahukan bagaimana keadaan pembesar Essam? Maka, kami perlu memastikan kamu bukan dari orang jahat dan perlu meminta izin daripada pembesar Essam sendiri. Jika Tengku tidak membenarkan kamu masuk ke dalam, jadi kamu perlu melupakan hasrat kamu dan pulang sahaja." Pesan pengawal itu lagi. Rycca mengangguk-angguk kepalanya menandakan dia faham dengan kerja yang dilakukan mereka.
"Azzim! Pergilah kamu memberitahu kepada pembesar tentang kedatangan gadis ini serta tujuannya." Lelaki yang bersoal jawab dengan Rycca tadi mula memberi arahan.
"Baiklah Tuan Khabir." Dilihat seorang pemuda yang mungkin bernama Azzim itu sudah mula menaiki kuda dan mereka membuka sedikit pintu gerbang muat-muat untuk Azzim dan kudanya memboloskan diri.
Rycca sudah gementar di tempatnya. Dia amat yakin pembesar Essam itu tidak mahu berjumpa dengannya kerana kedatangannya tidak diketahui. Sementelah pembesar itu tidak pernah berjumpa dengannya sebelum ini. Rycca menggedik-gedikkan kakinya memikirkan cara untuk meyakinkan pembesar itu. Tiba-tiba sesuatu terlintas di fikiran.
"Tunggu!! Ada sesuatu yang hamba mahu katakan kepada pembesar Essam." Rycca menahan Azzim yang baru sahaja ingin berlepas pergi. Azzim segera memalingkan kudanya mendekati Rycca.
Rycca membisikkan sesuatu kepada Khabir. Lelaki itu hanya menurut kehendak Rycca lalu menyampaikan pesanan tersebut kepada anak buahnya, Azzim. Azzim cuma mengangguk sebelum kembali menyambung tugasnya. Dilihat pintu gerbang itu ditutup semula setelah itu.
Rycca menanti dengan sabar. Semua pengawal di situ kembali menyambung tugas mereka untuk mengawal seperti tadi. Sedang Rycca berdiri termangu di situ, tiba-tiba telinganya berdesing dengan kuat. Sangat kuat sehingga menyakitkan kepalanya. Kali ini dia tidak menunggu lama sebelum menjerit.
"Ada musuh menyerang!!" Pantas Rycca berpaling ke belakang dan bersedia dengan kayu panjang yang dibawa bersama. Semua pengawal mula memandangnya hairan sebelum mereka turut terkejut dengan kehadiran beberapa orang asing yang tiba-tiba muncul di situ.
Share this novel