AFSHIN 50

Fantasy Completed 7268

"Ibu... "


Tubuh tua itu dipandang dengan penuh sebak. Sebak kerana tidak menyangka dia akan memiliki kesempatan untuk bertemu dengan insan yang melahirkannya ke dunia ini lagi. Tatkala Rycca melihat kedua-dua belah tangan itu naik mendepa ke arahnya berserta senyuman dan tangisan bangga, Rycca terus memperlajukan langkah ke arah ibunya.


"Ibu... Tskk... Kita berjaya ibu... Tsk... Kita berjaya." Sekelip mata sahaja Rycca sudah berada di dalam pelukan Tengku Maanika bersama esakan halus. Ingin bercerita kepada ibunya tentang kemenangan yang dibawa pulang oleh tentera mereka.


"Ibu bangga... Ibu bangga sangat dengan Rycca. Rycca hebat! Anak ibu hebat!!" Tengku Maanika memuji bersama air mata yang bercucuran jatuh.


"Sekarang ibu tak payah takut dengan Dahak. Tiada lagi Dahak yang berkuasa. Tiada lagi Dahak yang memberontak. Afshin sudah selamat ibu... " Tangan Rycca naik mengelap air mata yang berada di wajah sang ibu. Mereka mula mengambil tempat duduk atas sofa lembut yang berada di ruangan itu.


"Ibu tahu nak... Ibu tahu semuanya... Khabir sudah ceritakan kepada ibu. Rycca dah buat yang terbaik." Kali ini tangan dibawa pula mengusap rambut hitam anaknya. Wajah Rycca yang comot dilap dengan penuh kasih.


"Jadi ibu dah tahu tentang Tengku Rafan?" Rycca membetulkan duduk agar lebih selesa. Wajah yang mendung tadi mula bertukar serius.


Bagaikan tahu apa yang bermain di benak fikiran Rycca, Tengku Maanika sekadar menghadiahkan senyuman kelat. "Tak sangka sampai macam tu sekali Rafan sanggup bertindak."


"Dia terlalu sayangkan Tengku Sari. Rycca faham perasaan dia ibu. Sanggup lakukan apa sahaja demi orang yang dia sayang. Termasuklah membunuh." Rycca membuang pandang jauh ke hadapan.


"Ibu tak salahkan dia. Kalau ibu dekat tempat dia sekalipun, pasti ibu akan lakukan perkara yang sama. Cuma kesalahan yang dia lakukan selama ini terlalu berat dan salah dari segi undang-undang Afshin. Membunuh dan membuat kacau bilau kepada orang yang tidak berdosa." Tengku Maanika berdiam seketika.


"Bagaimana dengan Tengku Azman? Pasti susah untuk dia terima semua ini." Soal Tengku Maanika kembali dengan nada risau.


"Buat pertama kali Rycca melihat seorang lelaki menangis seteruk itu. Entahlah ibu. Rycca pun tak tahu sama ada tangisan itu merupakan tangisan sedih atau kecewa. Tetapi Rycca yakin sejahat-jahat Tengku Rafan, pasti mereka berdua akan turut berasa kehilangan. Rycca harap Tengku Azman faham dan dapat menerima pemergian anaknya." Jari-jemari runcing Rycca bermain sesama sendiri. Dia juga risau memikirkan keadaan Tengku Rayyan dan Tengku Azman sekarang.


Sedang ralit Rycca termenung, terasa bahu kirinya disentuh. Berkerut dahi Rycca menahan pedih apabila lukanya ditekan.


"Kamu cedera? Ibu baru perasan! Kamu tak apa-apa Rycca? Khabir tidak beritahu ibu pun kamu cedera." Bahu Rycca dibelek berkali-kali. Baru Tengku Maanika perasan bahu kiri anaknya berbalut kemas.


"Sikit sahaja ibu. Nek Galyn sudah merawat luka ini sebentar tadi. Ibu jangan risau." Rycca bertindak menggenggam tangan Tengku Maanika. Cuba membuang perasaan risau di hati wanita tua itu. Sebentar tadi, dia sudah menemui Nek Galyn yang bertanggungjawab merawat tentera yang cedera. Menjerit sakan dirinya apabila ubat cecair yang digunakan Nek Galyn untuk mencuci lukanya bersentuh dengan kulit. Pedih sungguh!


Baru sahaja Tengku Maanika mahu bertanya lebih lanjut, ayatnya terhenti dengan kehadiran Khabir.


"Tengku..." Khabir menunduk hormat kepada mereka berdua. Tengku Maanika memberi isyarat untuk Khabir meneruskan kata.


Khabir mengangguk sekali sebelum mula mengeluarkan segulung kertas yang terselit dalam poket baju melayunya. Surat itu dihulur kepada Tengku Maanika penuh sopan.


"Utusan dari istana." Ringkas Khabir memberitahu.


Tanpa membuang masa, pantas Tengku Maanika mengambil surat itu sebelum dibukanya. Kiri kanan bebola mata Tengku Maanika bergerak membaca setiap bait yang ditulis oleh Raja Dayyan.


"Kenapa ibu?" Rycca menyoal apabila dilihat Tengku Maanika menggulung surat itu kembali.


"Raja mahu kamu bersama tentera lain untuk pergi ke Kawasan Dahak. Tangkap semua golongan Dahak yang tersisa untuk dihadapkan ke istana. Tuanku juga akan mengirim pengawal dari istana untuk membantu kamu." Jelas Tengku Maanika seraya memberikan surat tersebut untuk Rycca membacanya sendiri.


Seperti tadi, Rycca pula mengamati tulisan itu. Wajahnya agak terkejut dengan arahan yang dikeluarkan. "Maksudnya..." Rycca sengaja menggantungkan ayatnya sambil menoleh ke arah Tengku Maanika.


"Raja mahu hapuskan Kawasan Dahak. Menjadikan rakyat Dahak yang masih tinggal sebagai tahanan dan hamba di istana." Tengku Maanika merenung tepat ke hadapan.


"Tetapi ibu... bukan semua golongan Dahak yang jahat. Bagaimana dengan keadaan budak-budak yang masih kecil, wanita-wanita tua yang tinggal disana jika dipaksa bekerja di istana? Mereka hanya mangsa keadaan. Bukankah tidak adil menjatuhkan hukuman kepada rakyat Dahak lain yang tidak terlibat sama dalam peperangan ini?" Soal Rycca dengan nada membantah. Dia merasakan tindakan Raja Dayyan itu sangat tidak wajar.


"Rycca... Tuanku akan menimbang sebaik mungkin keputusan yang dibuat sebelum Baginda mengeluarkan arahan kepada kita. Dan arahan ini pasti demi kebaikan Afshin pada masa hadapan." Terang Tengku Maanika dengan penuh tenang.


"Kebaikan? Rycca tak nampak kebaikan apa yang Baginda cuba lakukan sekarang." Sinis Rycca menjawab penuh kesal.


"Kamu yakin anak kecil yang kamu katakan itu tidak akan membesar menjadi seorang insan pendendam seperti Tengku Rafan? Kamu yakin rakyat Dahak yang tersisa sekarang tidak akan membalas dendam demi menebus kekalahan mereka hari ini? Dan kamu yakin puak Dahak yang mati dibunuh oleh Essam di medan perang hari ini tidak mempunyai keluarga yang menunggu kepulangan mereka? Jika ada, kamu yakin keluarga kepada si mati itu tidak akan menuntut bela nanti? Kamu..." Tengku Maanika menekan jari telunjuknya di dada Rycca sebelum menyambung kata.


"Boleh jamin semua itu tidak akan terjadi?"


Rycca terpempam. Bagaikan tersedar dari tidur lenanya. Soalan demi soalan yang diajukan Tengku Maanika satu pun tidak dapat dijawab kerana dia mula dapat merasakan kebenaran dari kenyataan ibunya itu.


"Tindakan Baginda untuk hapuskan Kawasan Dahak, buang Dahak dari kerajaan ini adalah satu tindakan yang wajar bagi ibu. Supaya kita tidak berhadapan dengan masalah sama di kemudian hari. Biarlah Dahak dianggap pupus asalkan tiada lagi hati-hati hitam yang akan membuat kecoh dan membunuh sana sini selepas ini. Sekurang-kurangnya Baginda boleh memantau segala gerak-geri banduan Dahak di istana. Berwaspada sebelum terkena." Jelas Tengku Maanika dengan panjang lebar. Senyuman manis diberikan buat Rycca apabila dilihat anaknya hanya mendiamkan diri.


"Seperti yang ibu katakan tadi. Baginda sudah memikirkan segala baik buruk keputusan yang bakal dibuat. Semestinya keputusan itu memberi keberuntungan kepada Afshin dan seluruh rakyat jelatanya."


Kepala Rycca diusap lagi. Menunggu keputusan anaknya untuk melaksanakan utusan dari istana. Apabila dilihat anak mata hitam yang tadinya membulat terkejut mula bertukar hening, Tengku Maanika dapat mengagak perkataan yang bakal keluar dari dua ulas bibir merah Rycca.


"Baiklah ibu! Rycca akan pergi ke Kawasan Dahak!" Akhirnya keputusan dibuat dengan penuh nekad.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience