"Sa.. Saya tak fa.. ham apa yang Nek Galyn cuba sampaikan." Rycca merasakan nafasnya sudah tidak teratur.
"Kamu tak patut berada di alam ini. Ini bukan tempat asal kamu!" Tegas Nek Galyn lagi.
"Dunia? Alam?!" Rycca masih terpinga-pinga.
"Kamu tidak tahu atau berpura-pura sahaja?" Nek Galyn mengendurkan sedikit cengkamannya pada bahu Rycca. Dia mula curiga dengan reaksi yang dipamerkan Rycca.
"Apa yang Nek Galyn tahu tentang diri saya?" Rycca menegakkan badannya di hadapan Nek Galyn. Sekarang biarlah Nek Galyn merungkaikan segala anggapannya selama ini.
Nek Galyn diam. Dia masih mengamati wajah Rycca dengan pandangan tajam. Cuba mencari kejujuran di sebalik wajah itu.
"Semasa saya sedarkan diri, saya sudah berada di bawah taklukan Kerajaan Afshin. Bahasa, adat dan suasana di sini sungguh lain dari tempat saya mula-mula pengsan. Saya juga pernah terfikir, adakah saya masih berada di tempat tinggal saya ataupun..." Rycca menghentikan bicaranya. Ya! Dia pernah was-was dengan apa yang dilaluinya sekarang. Perasaan itu semakin menebal apabila Ferran menceritakan tentang kerajaan ini.
'Setiap rakyat dan pembesar disini hadir dari Kerajaan Afshin. Tiada kerajaan lain yang bernaung di sini.' Keterangan itu yang membuatkan Rycca mula berfikir bahawa dia sudah masuk ke alam lain. Alam yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar.
"Betul. Kamu sekarang berada di dimensi lain. Dimensi keenam di mana dunia ini tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Hanya masa dan orang tertentu sahaja yang boleh masuk ke sini. Dan kamu salah seorang darinya." Nek Galyn melepaskan tangannya dari bahu Rycca. Dia mula menunjukkan riak simpati kepada Rycca.
"O..Okay. Nek Galyn tak buat lawak kan sekarang?" Rycca sudah mula cuak. Walaupun dia sudah sedia menerima jawapan itu, tetapi masih sahaja tidak dapat diterima dek akal.
"Tidak. Semasa saya memegang tangan kamu sebentar tadi, saya boleh merasakan darah yang mengalir dalam badan kamu. Tidak sama dengan rakyat di sini. Aura kamu lain. Hanya manusia yang bukan dari alam ini sahaja mempunyai aura seperti kamu." Nek Galyn menerangkan dengan lebih lanjut.
"Semua ini dirasakan mengarut. Tak masuk akal!" Rycca menggenggam rambutnya dengan kedua-dua belah tangan. Habis berserabai rambut yang tersanggul kemas sebentar tadi.
"Kamu kena dengar cakap saya! Tinggalkan dunia ini secepat mungkin. Aura kamu sangat kuat. Saya dapat rasakan ada seseorang yang sedang memburu dan memerhatikan kamu dalam diam. Tinggalkan dunia ini sebelum terlambat!" Nek Galyn bersuara keras.
Entah mengapa Rycca gerun mendengar kenyataan itu. Percakapan Nek Galyn menusuk jauh ke jiwanya. Dia tahu Nek Galyn bukan calang-calang orang. Rycca mula teringatkan sesuatu.
"Tetapi saya belum temui apa yang saya cari di sini." Rycca teringatkan tentang ibunya. Dia yakin ibunya masih berada di sini. Alang-alang dia terlepas masuk ke alam ini, lebih baik dia teruskan sahaja pencarian ibunya sehingga akhir. Jika ibunya sudah tiada, Rycca mahu melihat kuburnya. Jika ibunya masih hidup, biarlah Rycca melihat jasadnya.
"Mungkin disebabkan keinginan kamu yang satu itu membolehkan pintu dua alam itu terbuka. Jika kamu masih berada di sini dalam tempoh masa yang lama, nyawa kamu pasti dalam bahaya dan mungkin akan memberi kesan buruk kepada persekitaran kamu." Nek Galyn tetap memberi amaran. Dia berharap Rycca tidak mengambil mudah dengan semua ini.
"Macam mana Nek Galyn boleh tahu semua itu?" Rycca menyoal bersama kerutan di dahi. Nek Galyn bagaikan seorang penilik yang sedang menilik kisah hidupnya.
"Saya boleh melihat serba sedikit kehidupan yang bakal kamu lalui. Tetapi semuanya hanya samar-samar. Apa yang saya tahu, kamu diburu seseorang tetapi saya tidak tahu apa tujuan sebenarnya." Nek Galyn memegang dagu. Cuba mengingat kembali apa yang menerjah memorinya tadi semasa memegang tangan Rycca.
"Nek Galyn boleh melihat masa depan?!" Rycca membulatkan mata. Tidak percaya dengan semua itu.
"Ya! Tetapi hanya sedikit sahaja yang saya dapat lihat tentang perkara yang bakal berlaku dalam hidup kamu dalam masa terdekat. Jadi kamu perlu berhati-hati, kerana ada seseorang yang ingin membunuh kamu." Nek Galyn bersuara tegas.
"Jadi apa yang patut saya lakukan Nek Galyn?"
"Jika kamu masih berdegil mahu tinggal di sini, hadapi sahaja semuanya. Mana tahu apa yang terjadi nanti mungkin membawa kamu kepada kebenaran yang kamu cari selama ini? Kebenaran tentang siapa diri kamu dan apa kaitan kamu dengan dunia ini." Nek Galyn menggenggam tangan Rycca. Cuba menyalurkan kekuatan kepada anak gadis itu.
Rycca menarik nafas dalam. 'Aku perlu kuat. Aku perlu berani melalui semua ini. Demi ibu! Aku sanggup lakukan apa sahaja sehingga aku dapat bertemu dengan ibu! Apa nak jadi, jadilah!' Rycca bersuara nekad.
Share this novel