"Jadi, aku mula membuat rancangan. Menghantar pasukan untuk membunuh kau sewaktu kau mahu berkelana ke Essam dan cuba melengah-lengahkan bantuan tetapi semuanya berakhir kegagalan." Tengku Rafan mempamerkan wajah kecewa seperti sedih kerana rancangannya tidak berjaya.
Semakin mendidih hati Rycca melihat wajah itu. Patutlah kepergian Tengku Rafan meminta bantuan tiada khabar selepas itu. Sehingga akhirnya tiada pengawal yang dihantar dan mereka terpaksa mempertahankan diri sendiri sehingga banyak yang terkorban.
Terkorban? Tiba-tiba terlintas satu nama dan wajah seseorang dalam otak fikiran Rycca. Seseorang yang sudah menjadi mangsa dalam rancangan gila itu! Kedua-dua tangannya mula dikepal dengan kuat. "Ferran.." Tercetus jua nama tersebut dibibir Rycca.
"Ferran? Lelaki itu mungkin masih hidup kalau dia tidak cuba untuk selamatkan kau! Sekarang kau sedar? Kau dan bonda kau sama sahaja! Menyebabkan orang lain terkorban kerana kepentingan diri sendiri..." Dapat dilihat hujung bibir Tengku Rafan terjongket sedikit seperti mentertawakan Rycca dalam diam.
Rycca terasa ingin ketawa mendengar semua itu. Pandai Tengku Rafan memutar kata seolah-olah Rycca punca kepada semua masalah. Pandai lelaki itu menampakkan bahawa Rycca yang paling jahat dalam hal ini sedangkan dia tidak tahu apa-apa. Nampaknya Tengku Rafan tidak nampak kesalahan diri sendiri dan memilih untuk meletakkan kesalahan tersebut kepada orang lain.
"Aku tidak berhenti di situ sahaja. Aku cuba masukkan kau dalam bilik kurungan semula. Aku perlihatkan loket milik Dahak yang ada bersama kau pada ayahanda dan kakanda dengan harapan kau bakal dihukum dan senang untuk aku membunuh kau di sana. Tetapi disebabkan abang aku terlalu kasihkan kau, dia merayu kepada ayahanda untuk menyiasat perkara tersebut." Fikiran Tengku Rafan kembali menerawang pada peristiwa itu. Dia masih ingat betapa sakit hatinya melihat Tengku Rayyan berlutut di hadapan ayahanda demi Rycca. Untuk tidak menimbulkan syak wasangka dalam hati Tengku Azman, maka dia juga turut berbuat demikian.
"Walau berkali-kali aku cuba bunuh kau selepas itu masih juga berakhir dengan kegagalan! Dan hari ini aku akan pastikan kau mati di tangan aku sendiri!" Nekad Tengku Rafan penuh amarah.
"Kakanda... Ini sahaja peluang untuk kita tuntut keadilan buat bonda. Jangan percaya dengan cerita yang dibawa Tengku Maanika selama ini. Dia pembunuh sebenar!" Tengku Rafan kembali mendapatkan abangnya. Bahu abangnya disentuh perlahan.
"Ke..adilan..?" Bibir itu mula mengeluarkan bicara setelah beberapa lama mendiamkan diri. Lebih memilih untuk mendengar dan mencerna apa yang berlaku dengan cerita yang disajikan. Mata itu digerak memandang wajah sang adik dengan penuh hiba. Wajah yang sama serta tubuh yang sama, tetapi mengapa dia seperti tidak kenal dengan Tengku Rafan sekarang.
Segaris senyuman mula terbit pada wajah Tengku Rafan. Berfikir bahawa abangnya berminat dengan tawaran itu. "Ya kakanda! Keadilan buat bonda. Keadilan buat ayahan..." Namun, sangkaannya meleset apabila mukanya sekali lagi menjadi tempat persinggahan penumbuk Tengku Rayyan.
Bukk!! Tumbukan pertama. "Ini balasan untuk serangan pada malam itu!"
Bukk!! Tumbukan kedua. "Ini balasan sebab kau dah cederakan aku!"
Bukk!! Tumbukan ketiga. "Ini balasan sebab kau cuba membunuh Rycca!!"
Bukk!! Tumbukan keempat. Sangat kuat berbanding yang lain. "Dan ini!!" Dada Tengku Rayyan berombak kuat melepaskan marah. "Untuk Ferran..."
Empat penumbuk itu cukup membuatkan mulut Tengku Rafan dipenuhi dengan darah sehingga giginya juga berubah merah apabila tersengih. Tersengih memandang Tengku Rayyan seolah-olah dia tidak merasa apa-apa dengam tumbukan itu.
"Agha!!!" Konconya yang berlawan dengan Khabir sejak tadi datang menendang Tengku Rayyan. Khabir pula dilihat sudah terbaring di atas tanah dengan wajah kesakitan. Konco itu kemudian membantu Tengku Rafan bangun sebelum menghulur pedang emas kepada ketuanya itu.
Pedang disambut dan Tengku Rafan mula mengelap darah di pinggir bibir sambil bersuara. "Jadi.. Kau lebih memihak kepada perempuan itu melebihi adik kandung kau sendiri?" Tengku Rafan bersuara jengkel.
Tengku Rayyan juga sudah mengambil pedangnya semula sebelum membuka kekuda. Rycca turut berbuat perkara yang sama. Mereka berempat kembali berdiri bersabung mata.
"Aku lebih memilih kebenaran daripada dusta! Aku lebih memilih setia daripada khianat! Akan aku hapuskan sesiapa yang mengkhianati Afshin demi sumpah taat aku pada kerajaan ini! Dan demi nyawa rakyat Kautsar yang telah kau ragut!" Tajam mata hitam Tengku Rayyan menjeling Tengku Rafan bak helang.
"Hutang nyawa dibayar nyawa!!!" Jeritan Tengku Rayyan bergema bersama langkah maju ke hadapan. Tangkas sekali hujung pedang merodok angin menuju ke arah tubuh Tengku Rafan. Tengku Rafan berjaya mengelak ke tepi menyebabkan hanya sedikit kulit perutnya terkoyak.
Jelas wajah terkejut Tengku Rafan tatkala memandang abangnya. Tidak menyangka lelaki itu bertindak garang. Tengku Rayyan menyerang lagi dan lagi. Serangannya bertukar semakin ganas. Sesekali kaki Tengku Rafan terundur ke belakang beberapa kali.
Manakala konco Tengku Rafan juga sedang sedaya upaya menahan serangan demi serangan daripada Rycca. Sehingga parang yang dipegang konconya terpatah dua dan tanpa sebarang amaran perut itu dirodok dengan penuh selamba oleh Rycca.
Terdengar deruan angin datang ke arah Tengku Rafan. Dia berkalih dan melihat Tengku Rayyan kembali melibas pedang di tangan. Pedang emas terus dibawa menahan pedang tersebut dari terkena tubuhnya. Nafas kedua-duanya mula tercungap-cungap. Masih beradu tenaga dengan menekan pedang sesama sendiri.
"Jika ini keadilan yang kau maksudkan, aku lebih rela digelar lemah daripada berjuang bersama kau." Tengku Rayyan bersuara.
"Kenyataannya kau memang lemah kerana tidak mampu melindungi pengawal kau sendiri. Ferran? Aku masih boleh nampak kebodohan lelaki itu semasa melindungi Rycca. Bodoh kerana sanggup mati demi perempuan itu!" Tengku Rafan membidas bersama senyuman sinis.
"Tak guna!!" Tengku Rayyan menendang dada Tengku Rafan dengan kuat. Dia melempar pedang di tangan sebelum mengeluarkan keris di pinggang. Berlari ke arah Tengku Rafan sepantas kilat sebelum...
Zupp!! Mata keris yang berkilat terbenam menembusi kulit daging itu. Mata Tengku Rafan terbeliak sambil tangan dibawa menggenggam tangan Tengku Rayyan yang masih melekat di bilah keris. Darah mula keluar membuak-buak membasahi badan dan tanah tandus itu.
"Sam.. Sampai hat.. hati kau..." Tersekat-sekat Tengku Rafan mengeluarkan suara. Terasa nafasnya tersekat di kerongkong.
"Hutang nyawa dibalas nyawa... Kau memilih untuk menjadi pengkhianat. Aku memilih untuk melaksanakan tugas aku!" Tengku Rayyan berbisik di telinga kanan Tengku Rafan. Setitis air matanya mula mengalir jatuh ke bahu adiknya. Dia tidak menyeka. Hanya merenung kosong ke hadapan.
Keris dicabut dengan kasar. Lama-kelamaan tubuh itu jatuh menyembah bumi bersama mata yang terbeliak memandang langit. Satu saat. Dua saat. Tubuh itu kaku tidak bernyawa!
Share this novel