"Ya! Jika mereka minum darah kamu, semua kekuatan akan berpindah badan. Dan itulah yang mereka mahukan sekarang!" Tengku Maanika sudah mula serius. Tangan Rycca tiba-tiba menggigil memikirkan hal itu. Tidak dapat dia bayangkan dagingnya disiat-siat dan darahnya disedut sehingga kering.
Kedua-dua tangan Rycca digenggam erat oleh Tengku Maanika. Cuba menyalurkan kekuatan kepada anaknya. Dia tahu pahit untuk Rycca menelan kebenaran yang terbentang di hadapan mata. Tetapi dia tidak punya cara lain selain memberitahu anaknya itu tentang situasi sebenar anaknya diburu. Agar Rycca lebih berhati-hati dan tidak bertindak melulu.
"Kelebihan ini diwarisi dari nenek moyang kamu. Ibu juga mempunyai kekuatan yang sama dengan kamu dahulu. Oleh sebab itulah ibu menjadi pembesar di Kawasan Essam kerana ibu yang paling berkuasa di sini." Jelas Tengku Maanika.
"Semasa berlaku kekecohan di Afshin dahulu juga disebabkan oleh Dahak, ibu bersembunyi di dalam sebuah gua sebelum terkeluar dari alam ini. Hanya dua orang pelayan ibu tadi sahaja yang tahu kejadian itu dan ibu memilih untuk melarikan diri ke dunia sana buat sementara waktu. Dan semasa itulah ibu bertemu dengan ayah dan memulakan rumah tangga. Ayah tahu segala-galanya. Ayah tahu asal-usul ibu!" Tengku Maanika berjeda seketika.
"Sepanjang ibu di dunia luar, dua dayang itulah yang menjadi pengantara dan menyampaikan berita tentang apa yang berlaku di sini. Sehinggalah ibu melahirkan kamu. Kerajaan Afshin sudah menjadi huru-hara pada waktu itu. Oleh kerana khidmat ibu masih diperlukan dan memikirkan tanggungjawab ibu untuk melindungi rakyat Essam serta seluruh kerajaan ini, ibu terpaksa pulang semula. Berat hati ibu untuk tinggalkan kamu dan kakak kamu yang masih kecil. Berat hati ibu untuk tinggalkan suami yang memahami penat lelah ibu selama ini. Ibu terpaksa memilih antara dua." Setitis air mata Tengku Maanika sudah mula keluar membasahi pipi. Rycca juga turut tenggelam dalam suasana sayu itu tanpa berkata apa-apa. Dia tekun mendengar cerita ibunya.
"Ayah juga turut sedih tika itu. Tetapi dia jugalah yang memberi semangat kepada ibu untuk membantu kerajaan ini. Dialah yang menghantar perjalanan ibu pulang ke sini. Dengan sokongan dan semangat dari ayahlah ibu mampu bertahan sampai sekarang. Ibu juga berjanji kepada ayah untuk pulang semula setelah semuanya selesai, tetapi apakan daya, ibu terlupa bahawa semua kekebalan dan kuasa ibu makin hari makin berkurang kerana sudah berpindah tuan kepada kamu dan Rissa, kakak kamu." Terang Tengku Maanika dengan panjang lebar.
'Patutlah ayah selalu naik angin jika kami bertanya soal ibu. Bukan sebab dia marahkan ibu tetapi dia tak nak kami mencari ibu dan berdepan bahaya.' Rycca mula faham situasi sebenar.
"Akhirnya berbekalkan kekuatan tentera Essam dan skill berlawan ibu, kami berjaya juga mengembalikan keamanan Afshin dari genggaman Dahak. Tetapi ibu cedera dalam pertempuran itu dan ramai rakyat Essam serta golongan Dahak terkorban. Golongan Dahak terpaksa mengaku kalah dan mereka kembali ke kawasan mereka semula. Mereka tahu ibu sudah tidak punya kuasa dan tiada guna jika mereka membunuh ibu pada waktu itu. Mungkin juga mereka membuat rancangan untuk menunggu pewaris sebenar muncul untuk dikorbankan." Air mata yang mula lebat diseka dengan belakang tangan.
"Maksud ibu, mereka tahu kuasa ibu sudah berpindah badan?" Rycca akhirnya menyoal.
Tengku Maanika mengangguk menjawab pertanyaan Rycca. "Kerana ibu kelihatan lemah dan tak berdaya sewaktu berlawan dengan mereka. Pada saat itu mereka tahu ada orang lain mewarisi kuasa ibu. Kamu ingat dengan mantera yang kamu kirimkan kepada Azzim tadi?"
Rycca menganggukkan kepala menjawab pertanyaan ibunya. Mantera itulah yang membuatkan dirinya dapat berjumpa dengan ibu kandungnya semula sekarang.
"Mantera itu digunakan golongan Dahak untuk mencederakan ibu. Hanya tinggal baca dan menggunakan benda tajam berusul dari emas maka pufff!! Kamu boleh cedera dan mengalami kesakitan yang tidak terperi sepertimana ibu rasa selama bertahun-tahun. Ibu ditikam di tulang belakang sehingga tidak mampu berjalan dengan betul dan mereka juga memberi racun untuk ibu minum pada hari itu. Racun itulah yang menjadikan tubuh ibu semakin lemah dan tidak mampu berlawan lagi."
"Tak guna! Kerana kuasa, mereka sanggup bertindak kejam! Tak ada hati perut langsung!" Rycca mengetap giginya kuat. Dia memandang Tengku Maanika dengan pandangan sayu. Bagaimanalah ibu boleh hadapi semua ini seorang diri? Kuatnya ibu.
"Maafkan ibu sayang. Ibu terpaksa menghilangkan diri sejak kamu dan Rissa masih kecil lagi. Tetapi ayah selalu mengirim surat dari sana menceritakan keadaan kamu berdua bagi mengubati rindu ibu. Cuma ibu yang memilih untuk tidak berjumpa dengan ayah lagi kerana takut Dahak mengetahui kewujudun kamu dan Rissa. Tetapi nyata ibu silap, mereka sudah lama mengetahui hal ini!" Tengku Manika kembali tenggelam dalam tangisan.
"Ibu tak salah! Ibu cuma mangsa keadaan. Rycca faham ibu! Rycca faham." Rycca kembali membawa tangannya mengusap air mata yang sudah memenuhi ruang wajah Tengku Maanika.
"Ibu jangan sedih, Rycca dah ada depan mata ibu. Ini semua terjadi bukan salah ibu." Rycca memujuk Tengku Maanika berkali-kali. Dia tahu betapa sakitnya menahan rindu kepada seseorang selama bertahun-tahun tetapi akhirnya khabar kematian yang menyapa telinga. Sungguh harapan setinggi gunung pasti merudum jatuh, semangat yang dibina selama ini pasti roboh jika dihadapkan dengan situasi begitu. Rycca simpati dengan nasib ibunya.
"Ibu gembira sangat dapat berjumpa Rycca sebelum ibu menutup mata. Tetapi, bahaya jika Rycca terus tinggal di alam ini. Ini bukan tempat Rycca yang sebenar. Mereka akan cuba sedaya upaya untuk membunuh Rycca dan ibu tak nak semua itu terjadi." Tengku Maanika cuba menyedarkan diri daripada terus tenggelam dalam kesedihan. Soal anaknya lebih penting sekarang.
Share this novel