AFSHIN 48

Fantasy Completed 7262

Melihat sahaja ketua mereka sudah tumbang menyembah bumi, mereka mula panasaran. Tahu bahawa kekalahan sudah berpihak pada mereka. Tidak sampai tiga puluh orang bilangan golongan Dahak yang masih tersisa.


"Menyerah sahaja atau kamu semua bakal dibunuh seperti ini!" Suara Rycca menjerkah kuat ke arah pihak lawan yang masih tinggal. Tidak dipeduli rasa sakit yang semakin menyengat di bahu. Dia dan Tengku Rayyan sekarang berdiri betul-betul di tepi mayat Tengku Rafan. Semua yang melihat terkaku di tempat masing-masing. Perasaan takut mula mengulit diri puak Dahak.


Akhirnya pedang dan parang ditangan dilempar jauh ke atas tanah. "Kami menyerah kalah..." Kata salah seorang rakyat Dahak sebelum disambut dengan suara yang lain.


"Tolong jangan bunuh kami... Kami cuma mengikut arahan Agha." Kata mereka lagi. Semuanya duduk meninggung sambil mengangkat kedua-dua belah tangan ke atas sebagai tanda menerima kekalahan mereka. Wajah mereka cuba dipamerkan sesedih yang mungkin untuk menarik perhatian Rycca supaya kasihankan mereka.


Khabir datang menghampiri Rycca bersama badan yang tertunduk-tunduk menahan senak di perut akibat dipukul konco Tengku Rafan sebentar tadi. "Bagaimana sekarang?" Dia memandang ketuanya menunggu arahan.


"Tangkap dan bawa mereka kepada Raja Dayyan. Jangan biarkan sesiapa terlepas." Tegas sekali Rycca berkata. Khabir dilihat menganggukkan kepala sekali sebelum mula pergi untuk menyampaikan arahan tersebut kepada pasukan tentera Essam yang lain.


Selang beberapa minit semua pasukan Essam mula bergerak mengikat tangan pasukan Dahak. Keadaan mereka tidak ubah seperti banduan yang digari tangan. Perang dan pedang yang bergelimpangan di atas tanah dikutip kesemuanya.


"Bawa mereka menghadap raja dan uruskan mayat pejuang kita yang terkorban. Pastikan kesemua pejuang Essam dibawa pulang bersama kita." Sekali lagi arahan dikeluarkan kepada Khabir. Ada nada sedih yang terselit disebalik arahan itu. Walaupun pasukan Rycca yang gugur dalam peperangan ini tidaklah sebanyak pasukan Dahak, tetapi Rycca turut terkesan dengan kehilangan itu. Mana mungkin dia tidak sedih melihat anak buah yang bersusah payah selama ini sudah gugur di medan perang. Bagaimana penerimaan keluarga mereka yang menunggu khabar berita di rumah? Bagaimana seorang anak yang menunggu kepulangan ayah dan ibu mereka? Adakah mereka sudah bersedia dengan khabar bahawa keluarga mereka sudah tiada?


Khabir yang perasan dengan perubahan pada air muka Rycca pantas merapati gadis itu. Dia menepuk bahu Rycca dengan lembut. "Mereka tidak mati sia-sia. Mereka mati kerana mempertahankan keamanan Afshin. Kau dah buat yang terbaik!" Khabir bersuara lembut persis seorang abang yang sedang memujuk adiknya.


Kepala Rycca yang tertunduk sedari tadi dipanggung tepat ke arah Khabir. Mata itu merah bak delima tetapi tiada tangisan yang keluar. "Bagaimana dengan keluarga mereka? Aku takut mereka akan menyimpan dendam dan menyalahkan aku sepertimana Tengku Maanika disalahkan dahulu..." Tercetus jua persoalan yang bermain di benak Rycca sedari tadi. Jujur dia takut dengan hal itu.


"Tidak... Mereka tidak akan menyalahkan kau. Keadaan sekarang tidak sama seperti dahulu. Kau telah membawa kemenangan kepada Essam. Kau telah selamatkan seluruh Essam, bukan... tetapi seluruh rakyat Afshin dari genggaman Dahak! Kau sudah selamatkan kami!" Khabir mengangguk yakin ke arah Rycca. Dia bangga dengan keberanian Rycca menghadapi musuh.


"Kami setuju dengan Khabir! Lagipun lebih daripada separuh tentera kita yang selamat. Rancangan kau untuk meletakkan pasukan memanah pada barisan hadapan membuatkan kami mampu melawan Dahak! Jika tidak, pasti lebih ramai yang akan mati hari ini. Kau layak... digelar ketua!" Kata salah seorang lagi pejuang Essam di belakang. Lelaki itu terus berlutut sebelah kaki di atas tanah sebagai tanda ucapan terima kasih kepada Rycca.


Kemudian, satu persatu pasukan Essam berbuat perkara yang sama. Mereka turut berlutut di atas tanah dan menunduk ke arah Rycca. Rycca yang melihat perkara itu tidak mampu menahan sebak sebelum mula menitiskan air mata. Sebak melihat wajah setiap orang yang berlawan bersamanya tadi.


Guruh berdentum di langit mengalih perhatian mereka. Mendung mula menutupi cahaya matahari sebelum titis-titis hujan turun membasahi kawasan. Seolah-olah ingin mencuci darah kotor yang sudah mencemari bumi tempat Afshin berdiri.


"Cepat!! Kamu semua uruskan mayat-mayat ini. Biar aku dan yang lain hantar mereka kepada Raja Dayyan." Kedengaran Khabir memberi arahan. Rycca hanya memerhati dari jauh.


Rintik hujan yang jatuh tepat pada bahu Rycca membuatkannya berdecit sakit. Tangan naik memegang bahu yang cedera. Tidak perasan darah masih mengalir keluar dari luka itu.


Seketika, ada tangan lain mula membalut lukanya menggunakan serpihan kain yang dikoyak entah dari mana. Tangan kekar itu cekap sekali melilit kain tersebut menutupi keseluruhan luka daripada terkena hujan.


Rycca mengambil kesempatan merenung wajah Tengku Rayyan. Lelaki itu diam tidak menunjukkan sebarang reaksi. Hanya tangan yang bergerak sedangkan muka tidak berperasaan.


"Aku tahu apa yang kau rasa. Menangislah jika itu mampu merawat luka kau."


Bicara itu nyata mampu membuat tubuh Tengku Rayyan mengeras. Anak mata dibawa memanah tepat ke arah Rycca.


"Tiada apa yang perlu ditangisi lagi... Aku yang membunuh dia. Mengapa aku perlu menangis dengan tindakan yang aku ambil?" Bergetar suara Tengku Rayyan membidas. Dia memusingkan badan membelakangi Rycca.


"Walau seteruk apapun dia lakukan, dia tetap darah daging kau. Bukan setahun, bukan sepuluh tahun kau hidup bersama dia, tetapi hampir tiga puluh tahun Rayyan." Rycca bersuara lagi.


"Jadi, kau mahu aku lakukan apa? Berasa menyesal kerana telah membunuh adik aku sendiri?!" Nada suara Tengku Rayyan berubah kasar. Tubuh kembali dihadap tepat ke arah Rycca.


"Kau tidak perlu menyesal jika apa yang kau lakukan itu adalah betul Rayyan... Cuma kadang-kadang, walau sejahat apapun yang dilakukan darah daging kita, kau pasti akan merasa kehilangan. Jangan simpan. Aku takut lama-kelamaan kesedihan itu bertukar menjadi duri dan memakan diri sendiri. Sepertimana Tengku Rafan lakukan selama ini. Memendam perasaan sehingga menjadi racun." Lembut Rycca memujuk.


"Menjeritlah kalau itu mampu tenangkan hati kau. Mengangislah kalau kau sedih dengan kematian dia. Aku tahu kau sedang tahan perasaan kau sekarang. Kerana kau... Tidak langsung menoleh ke arah mayat adik kau sedari tadi..." Rycca memegang kedua-dua belah bahu Tengku Rayyan lalu dicengkam kuat. Mahu memberitahu Tengku Rayyan bahawa apa yang dilakukan lelaki itu tidak salah. Dan lelaki itu berhak merasa kehilangan walaupun diri sendiri yang mencabut nyawa Tengku Rafan demi Afshin.


Bergetar mata Tengku Rayyan merenung Rycca. Mulut yang ingin membidas seperti terkunci seribu bahasa. Dadanya jelas berombak menahan perasaan.


Melihat keadaan Tengku Rayyan sebegitu, segaris senyuman manis dihadiahkan. Tidak lama, sebelum Rycca memalingkan badan dan perlahan-lahan berlalu dari situ. Setelah beberapa langkah, sayup-sayup dia terdengar bunyi esakan. Esakan seorang abang yang kecewa dengan adiknya. Esakan seorang abang yang rindukan sikap adiknya yang dulu. Dan Rycca pasti tangisan itu akan menjadi memori hitam dalam kamus hidup lelaki itu!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience