Kreakk!!!
Pintu pagar kawasan pembesar Kautsar yang terbuka membuatkan tubuh Tengku Azman berpaling seratus lapan puluh darjah ke belakang. Sejak tadi dia tidak senang duduk menunggu khabar berita tentang anaknya dan keputusan peperangan itu. Apabila mendengar sahaja daripada pengawal bahawa anaknya sudah pulang, dia pantas berlari untuk menyambut Tengku Rayyan di muka pintu pembesar Kautsar.
"Anakandaku Rayyan..." Tengku Azman menghadiahkan satu senyuman manis sebaik sahaja terpandangkan wajah Tengku Rayyan yang muncul. Namun, perlahan senyuman itu sirna tatkala melihat apa yang berada di dalam dukungan anaknya itu.
Dengan wajah cuba ditenangkan sebaik mungkin, Tengku Rayyan melangkah setapak demi setapak ke arah Tengku Azman. Air mata jantan yang mengalir sedari tadi tidak diseka malah dibiarkan menitik membasahi baju melayu yang dipakai. Rycca dan pengawal-pengawal yang setia mengiringnya sejak tadi hanya membatukan diri di muka pintu.
Sesampainya di hadapan Tengku Azman, tubuh yang berada didalam dukungan dibaringkan perlahan di atas tanah. Kemudian, dibukanya kain hitam yang menutupi wajah tubuh kaku itu bersama getaran hebat di dada.
Sebaik sahaja kornea mata Tengku Azman menjamah wajah itu, tubuhnya melurut jatuh ke bawah. Rycca yang melihat sejak tadi pantas mendapatkan Tengku Azman untuk menenangkannya.
"Raf... Rafan..." Nama itu diseru bagai tidak percaya. Mata mula memandang Tengku Rayyan dan Tengku Rafan bersilih ganti.
"Tengku... Tengku tidak apa-apa?" Rycca bertindak memegang bahu Tengku Azman untuk membantu lelaki tua itu berdiri semula namun, tidak diendahkan oleh Tengku Azman. Dia masih memandang tepat ke arah Tengku Rayyan yang sedang berlutut sambil menundukkan wajah disisi sang adik.
"Rafan... anakandaku Rafan!" Akhirnya nama itu dipanggil kuat. Bersama kekuatan yang tersisa, Tengku Azman mengengsot mendekati tubuh tersebut. Tangan naik memegang kedua-dua belah pipi Tengku Rafan untuk memastikan sama ada betul wajah tersebut merupakan anaknya atau bukan.
"Ap... Apa dah jadi? Apa dah jadi?!!" Apabila pasti wajah itu milik Tengku Rafan, tubuh sang anak mula digoncang perlahan. Tangisan Tengku Azman turut kedengaran mengiringi tindakannya itu.
"Bangun Rafan. Bangun! Bangun nak!" Semakin lama semakin laju tubuh itu digoncang. Dengan harapan bahawa anaknya membuka mata.
"Rayyan! Apa yang terjadi kepada adik kau?! Apa yang terjadi?" Lagi dan lagi Tengku Azman menggoncang. Sesekali tangan naik memegang bahu Tengku Rayyan menagih jawapan.
"Beritahu ayahanda apa yang terjadi Rayyan? Jangan berdiam begini!!" Buat pertama kali Tengku Azman menjerkah anak sulungnya demi sebuah jawapan. Diam yang diciptakan Tengku Rayyan membuatkan Tengku Azman hilang sabar.
Tengku Rayyan masih jua berkeadaan seperti tadi. Tertunduk lemah di tepi mayat adiknya. Bukannya Tengku Rayyan tidak mahu menyahut soalan itu, tetapi lidahnya seakan kelu untuk bersuara. Tidak tahu mahu memulakan bicara dari mana. Sudahnya hanya tangisan yang mampu dihadiahkan buat sang bapa.
"Apa yang terjadi Rayyan...? Apa yang jadi..." Rintihan Tengku Azman yang semakin mendayu-dayu membuatkan beberapa pengawal termasuk Rycca sudah mula mengalirkan air mata. Dengan hembusan nafas berat, Rycca berjalan ke arah Tengku Azman sebelum berlutut di hadapan lelaki itu.
"Tengku Rafan... Dia tewas dalam pertempuran sebentar tadi." Penuh berhati-hati Rycca membuka suara. Mata Tengku Azman ditatap dalam cuba memberi kekuatan.
"Tidak! Tidak mungkin! Rafan tidak sukakan peperangan! Malah dia juga tidak tahu berlawan, jadi bagaimana dia boleh berada di sana bersama kamu semua?!!" Kuat suara Tengku Azman membidas. Baru semalam dia berselisih dengan anaknya yang mahu keluar ke pekan mencari barang, tetapi hari ini tubuh itu pulang tidak bernyawa ke pangkuannya.
Serba salah Rycca mahu menjawab pertanyaan itu. Dia juga buntu mahu memberikan jawapan yang bagaimana supaya tidak mengecilkan hati Tengku Azman sebagai seorang ayah.
"Kita gagal ayahanda..." Akhirnya suara itu mula mencelah setelah sekian lama mendiamkan diri.
"Kita gagal." Tengku Rayyan mengangkat kepala memandang Tengku Azman bersama wajah yang sudah memerah akibat terlalu banyak menangis.
"Selama ini, kita berfikir bahawa dia dapat menerima kematian bonda. Kita berfikir bahawa dia tidak berasa sakit dengan kehilangan bonda. Tetapi kita lupa ayahanda, kita lupa bahawa dia juga manusia biasa. Ada hati. Ada perasaan. Hanya kita berdua yang menganggap bahawa semuanya baik-baik sahaja, sampaikan kita mengabaikan perasaannya. Sampaikan kita terlupa bertanya khabarnya dari hari ke hari. Sehingga lama kelamaan perasaan itu disemai menjadi dendam." Sambung Tengku Rayyan lagi dengan penuh emosi.
Wajah tanda tanya Tengku Azman direnung penuh kasih. "Kita gagal membesarkannya menjadi seseorang yang baik."
"Beritahu ayahanda, apa sebenarnya yang terjadi Rayyan?" Kali ini Tengku Azman menumpukan sepenuh perhatian pada Tengku Rayyan bersama esakan perlahan.
"Seperti apa yang Rycca beritahu tadi. Adinda Rafan mati sewaktu bertempur di medan perang tetapi..." Tengku Rayyan berjeda seketika.
Tangan di sisi dibawa menggenggam tangan Tengku Azman dengan erat. Cuba menyalurkan perasaan sakit yang tersimpan dalam hatinya kini.
"Bukan bertempur bersama Essam, malah bersama... Dahak." Mata Tengku Azman dicari Tengku Rayyan. Ingin melihat penerimaan bapanya itu. Dapat dilihat mata itu sedikit membesar memandangnya. Apabila tiada kata yang keluar dari dua ulas bibir bapanya, Tengku Rayyan menerus kata.
"Adinda Rafan mengetuai pasukan Dahak melawan kami. Serangan dalam kawasan pembesar dahulu, serangan sewaktu mahu ke Essam, kebakaran dan peperangan ini, semuanya ayahanda. Semuanya diketuai dan diarah oleh Rafan sendiri." Satu nafas Tengku Rayyan menceritakan semuanya.
Bagaikan petir menyambar telinganya mendengar kenyataan dari Tengku Rayyan. Dada Tengku Azman mula berombak laju. Dia terkejut. Sungguh terkejut dengan hakikat itu. Tidak menyangka anak yang ditatang bagai minyak yang penuh sebelum ini sanggup membuat onar dibelakangnya sebegitu rupa.
"Kamu jangan main-main Rayyan. Tidak mungkin Rafan sanggup melakukan semua itu!"
"Sanggup jikalau semua itu dilakukan demi bonda! Sanggup kerana dia ingin membalas dendam pada Tengku Maanika!" Penafian Tengku Azman pantas dipintas oleh Tengku Rayyan.
"Anakanda mendengar sendiri dari mulutnya. Anakanda sendiri yang menjadi saksi di atas segala pengakuan yang dibuat oleh Rafan. Dan anakanda sendiri melihat betapa nekadnya dia untuk menguasai kerajaan ini demi dendam dan juga kemewahan." Bahu Tengku Azman dicengkam sedikit kuat. Dia mahu ayahnya tahu bahawa dia tidak berbohong sekarang.
Makin lebat tangisan Tengku Azman tika itu. Kepala mula digelengkan tidak percaya. Tidak percaya wajah lembut Tengku Rafan hanya topeng semata-mata.
"Maafkan anakanda, ayahanda. Maafkan anakanda... Anakanda terpaksa mencabut nyawa adik kandung sendiri demi keselamatan Afshin. Jika anakanda tidak berbuat demikian, dia akan membunuh dan meminum darah Rycca dan seterusnya mengetuai Afshin dengan kejam. Mungkin akan lebih banyak nyawa yang bakal terkorban selepas ini." Tubuh Tengku Azman diraih ke dalam dakapan. Erat sekali. Lama Tengku Azman mendiamkan diri sebelum terdengar pukulan lembut di bahu Tengku Rayyan.
"Mengapa dia boleh berubah seperti ini Rayyan? Mengapa dia boleh jadi begini? Bukankah kita hidup baik-baik sahaja selama ini? Kenapa? Kenapa dia memilih jalan seperti ini?" Tengku Azman mula memukul-mukul bahu Tengku Rayyan meminta jawapan sambil mengongoi. Dia tidak boleh menerima anaknya mati sebegini. Bukan ini yang dia harapkan dari peperangan kali ini. Bukan ini!
"Kerana dia tidak cuba untuk berkongsi kemarahan dan kesedihan dia bersama kita. Memilih untuk memendam perasaan. Memilih untuk merawat luka seorang diri. Sehingga perasaan itu bertukar menjadi racun dan akhirnya racun itulah yang membunuh kebaikan dalam dirinya sendiri." Tengku Rayyan bersuara tenang sambil memandang Rycca. Kata-kata gadis itu memujuknya sebentar tadi diulang semula buat sang bapa. Kemudian, tangan dibawa menepuk belakang Tengku Azman penuh lembut. Cuba memujuk kesedihan yang bertamu di hati ayahnya.
"Pulanglah ke Essam. Tengku Maanika pasti sedang risaukan kau. Aku akan uruskan segalanya di sini." Ucap Tengku Rayyan kepada Rycca.
"Tetapi..." Rycca mahu membantah tetapi pantas dipotong oleh Tengku Rayyan.
"Jangan risau tentang kami. Lagipun aku mahu berdua bersama ayahanda. Pulang sahaja." Tegas Tengku Rayyan lagi. Dia memandang tepat ke arah Rycca sambil tangan tidak berhenti mengusap belakang Tengku Azman.
Tidak dapat tidak, Rycca bangun beredar ke muka pintu kawasan pembesar. Setelah agak hampir, dia menoleh semula ke belakang. Kepada Tengku Rayyan dan Tengku Azman yang masih berdakapan.
Bagaikan mengerti dengan pandang itu, Tengku Rayyan mengangguk yakin ke arah Rycca. Memberitahu gadis itu bahawa mereka tidak apa-apa dan tiada apa yang perlu dirisaukan. Ryca membalas anggukan itu sebelum hilang dibalik pintu bersama pengawal yang lain. Meninggalkan keluarga Tengku Rayyan dengan seribu kesedihan.
Share this novel