AFSHIN 39

Fantasy Completed 7268

"Uhuk!! Uhuk!!" Tengku Maanika memegang dadanya yang terasa perit.


Rycca pantas bangkit mendapatkan ibunya. "Ibu tak apa-apa?" Belakang badan Tengku Maanika diusap perlahan cuba mengurangkan perit akibat terbatuk tadi.


Tangan Rycca dibawa ke dalam genggaman. Tengku Maanika tahu Rycca membuat keputusan demi dirinya. Dia tahu anaknya itu lebih kuat dari dirinya yang sudah kehilangan kuasa dahulu, tetapi dia tak sanggup untuk biarkan anaknya pergi berperang dengan musuh yang nyata kejam dan tiada belas.


"Peperangan ini bukan seperti apa yang kamu bayangkan. Ibu takut kamu tak kuat dan trauma nanti." Wajah tua itu memandang penuh pengharapan kepada Rycca.


"Tak apa ibu.. Rycca sudah pernah menghadapinya. Rycca pernah melihat orang dibunuh depan mata Rycca sendiri dan tangan ini juga pernah mengambil nyawa mereka." Rycca yakin peristiwa yang dilalui sebelum ini sedikit sebanyak dapat memberi kekuatan kepadanya untuk menghadapi hari yang mendatang.


Lama Tengku Maanika mendiamkan diri. Memikirkan kewajaran keputusan Rycca. Memikirkan baik buruk yang bakal dihadapi Rycca. Akhirnya Tengku Maanika mengangguk setuju.


"Baiklah kalau itu kehendak kamu, ibu izinkan." Keputusan yang dibuat Tengku Maanika menzahirkan rasa gembira dalam hati Rycca. Rycca lantas mengucup tangan ibunya beserta ucapan terima kasih yang tidak putus-putus.


"Tetapi kamu mesti ingat Rycca! Dalam peperangan bukan nyawa kamu sahaja yang penting, tetapi seluruh angkatan yang kamu bawa. Tanggungjawab kamu adalah untuk melindungi diri kamu dan juga orang lain. Jangan biarkan sejarah lama berulang kembali!" Pesan Tengku Maanika tegas.


"Apa maksud ibu? Ibu nampak terkilan seperti rindukan seseorang." Rycca sabar menanti ibunya membuka cerita.


"Jika benar perang adalah penyelesaian terakhir untuk amankan kerajaan ini, kita harus uarkan berita tersebut kepada semua kawasan. Meminta pertolongan dari mereka dalam semua hal. Makanan, pertolongan cemas, pengawal untuk turut berlawan atau kenderaan serta alatan perang. Terpulang kepada mereka sama ada mahu membantu atau tidak." Tengku Maanika tidak terus menjawab soalan Rycca sebaliknya dia bercerita pengalamannya menguruskan perang.


"Ramai ka yang tolong ibu dahulu?" Soalan demi soalan ditanya kepada ibunya.


"Agak ramai. Semakin ramai yang datang membantu maka semakin besar tanggungjawab ibu. Dan salah satu insan yang banyak menolong adalah Tengku Sari, isteri kepada Tengku Azman..." Wajah Tengku Maanika berubah sayu apabila nama itu meniti di bibirnya.


"Ibu Tengku Rayyan?"


"Ya! Tengku Sari adalah kawan karib ibu sejak kecil. Kami selalu berlatih bersama-sama sehingga pada hari berperang dia adalah salah seorang yang berada di barisan hadapan. Pada waktu itu Tengku Rayyan masih berumur 7 tahun dan Tengku Rafan 5 tahun ditinggalkan bawah pengawasan Tengku Azman." Tengku Maanika berjeda seketika.


"Seperti yang ibu cakap sebelum ni, ramai pejuang barisan hadapan terkorban termasuklah Tengku Sari... Kami bergelut berdua menyerang musuh sambil menyelamatkan tebusan yang ada. Dan Tengku Sari mati kerana cuba melindungi ibu. Badannya ditikam berkali-kali dan tangan kirinya dipotong tanpa belas. Sedangkan ibu yang patut melindunginya tetapi ibu gagal Rycca.. Ibu gagal selamatkan kawan ibu sendiri.." Setitis air mata Tengku Maanika mulai turun. Dia masih ingat kejadian itu satu-persatu.


"Ibu mungkir janji pada keluarga Sari. Saat jasadnya dibawa pulang, ibu dapat melihat betapa sedihnya Tengku Azman dan Tengku Rayyan meratapi Sari. Cuma Tengku Rafan yang kelihatan tenang seperti tiada apa yang berlaku. Mungkin dia masih tidak faham bahawa ibunya sudah mati." Jelas Tengku Maanika lagi.


"Ibu.. Ibu.. Teng.. Tengku Rayyan? Ibu Tengku Rayyan sudah tiada?" Sukar Rycca menerima hakikat yang diceritakan ibunya. Selama dia tinggal di Kawasan Kautsar, tiada seorang pun yang membuka mulut tentang Tengku Sari. Kerana kalut memikirkan masalah peribadi, Rycca tidak ingat langsung untuk bertanya tentang ibu Tengku Rayyan.


"Patutlah Tengku Rayyan nampak berdendam dengan golongan Dahak. Rupanya ada kisah sedih disebalik semua itu." Monolog Rycca dapat didengari Tengku Maanika.


"Tidak semua fikir Tengku Sari mati dibunuh Dahak! Sejak kejadian itu, ada desas-desus menyatakan bahawa pembesar Essam yang membunuh Tengku Sari sendiri untuk melepaskan diri, Tengku Maanika meninggalkan Tengku Sari keseorangan menentang musuh, Tengku Maanika kejam kerana tidak tolong sahabat perjuangannya... Dan banyak lagi Rycca. Tambahan pula dengan ramai pejuang yang terkorban dari banyak kawasan membuatkan mereka lebih menyalahkan ibu dari Dahak. Ibu terpaksa menerima tohmahan itu tanpa mereka mengetahui perkara sebenar. Nasib baik banyak keluarga yang terkorban sudi memaafkan ibu dan menganggap kematian itu adalah takdir termasuk keluarga Tengku Azman." Tengku Maanika mula memusingkan badan menghadap Rycca.


"Sekarang kamu fahamkan kenapa ibu tak nak kamu turut serta dalam peperangan ini? Sebab ibu tak nak kamu kehilangan orang yang kamu sayang. Ibu tak nak kamu dikeji dan dicaci oleh rakyat di sini. Ibu tak nak kamu dihantui rasa bersalah dan berdosa seumur hidup. Ibu takut kamu tak kuat hadapinya Rycca..."


Helaan nafas dihembus panjang. Rycca mengukirkan senyuman manis cuba menenteramkan hati ibunya. "Jangan risau ibu, fokus Rycca sekarang adalah untuk selamatkan ibu dan juga kerajaan ini. Dan setelah semuanya selesai, kita boleh pulang ke dunia sana dan hidup bersama. Rycca akan jaga ibu sebaik mungkin. Tiada lagi cacian, makian dan suara-suara sumbang bercakap belakang kita. Hanya ada ibu, Rycca dan kakak." Suara Rycca yakin.


"Sepatutnya mereka yang suka bercakap kotor itu sedar bahawa tindakan ibu adalah untuk selamatkan Afshin! Bukannya ibu pergi berperang saja-saja. Mereka juga yang nak hidup dalam suasana aman damai nanti. Kerja menunding jari ke sana sini tetapi satu tindakan pun tiada." Sempat Rycca mencela insan-insan yang tak kenang budi itu. Geram sungguh! Orang bermati-matian melawan musuh, tetapi mereka duduk dan kritik ikut sedap hati.


"Mulut dan hati manusia Rycca.. Tak semua kita boleh puaskan.. Yang penting sekarang Rycca perlu sediakan mental dan fizikal Rycca secukupnya. Kamu ketua untuk perang kali ini! Naikkan semangat mereka balik dan selamatkan Afshin! Masa depan Afshin dalam genggaman kamu sekarang!" Tengku Maanika merenung Rycca tajam. Walaupun tidak sampai dua puluh empat jam bertemu anak kandungnya, mereka sudah berbahas banyak hal dan sekarang anaknya pula mengambil alih tugasnya sebagai seorang ketua di Essam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience