"Tak mungkin!" Sukar Tengku Rayyan untuk menerima hakikat itu. Dia tidak percaya dengan semua ini. Kepalanya didongak memandang Tengku Azman dan Tengku Rafan bersilih ganti.
"Tak mungkin ini milik Dayang Rycca. Dia kelihatan orang baik-baik sahaja. Mana mungkin orang sebegitu hadir dari Kawasan Dahak!!"
"Tetapi kenyataannya dia memiliki barang kepunyaan Dahak. Bagaimana dia dapatkan ini jika bukan miliknya?" Tengku Azman berdiri betul-betul menghadap Tengku Rayyan.
"Kamu sendiri tahukan hanya rakyat Dahak yang memiliki loket ini. Dan sekarang loket ini sudah terlepas masuk ke Kawasan Kautsar. Bukan Kautsar sahaja, tetapi kawasan pembesar!!" Berkerut dahi Tengku Azman cuba meyakinkan Tengku Rayyan dengan kenyataannya.
"Anakanda pasti loket ini kepunyaan orang lain. Pasti ada orang lain yang cuba memerangkap Rycca. Anakanda yakin sekali!" Tengku Rayyan masih tidak berputus asa untuk membela Rycca. Dia perlu menyiasat dahulu hal ini sebelum menjatuhkan hukuman.
"Mengapa anakanda mahu membela perempuan itu!! Pernahkah dia beritahu asal usulnya? Pernahkah dia beritahu dari mana dia datang? Tidak kan?! Jadi sejak awal lagi dia sengaja mahu sembunyikan perihal dirinya yang sebenar." Sakit hati Tengku Azman melihat Tengku Rayyan tidak habis-habis mahu membela Rycca. Entah apalah yang gadis itu buat sehingga mampu memperoleh kepercayaan anaknya sebegini rupa.
"Benar sekali kakanda.. Bukan adinda mahu membela sesiapa, jika betul perempuan itu hilang ingatan, mengapa dia tidak tunjukkan sahaja loket ini kepada kita? Mengapa dia sembunyikan daripada kita? Perbuatan yang dia lakukan agak mencurigakan." Tengku Rafan menyokong kenyataan ayahnya itu.
Tengku Rayyan terkelu buat kesekian kali. Hatinya mula berbelah bahagi. Dia tidak tahu siapa yang benar dan siapa yang salah sekarang.
"Kakanda sendiri tahukan Kawasan Dahak memang tertarik dengan Kawasan Essam? Dan selama ini adinda dapat melihat bagaimana Dayang Rycca menunjukkan minat apabila nama Essam disebut. Buktinya hari itu, dia meminta kakanda untuk membawanya ke Essam dengan alasan mahu mengembalikan ingatannya." Tengku Rafan memegang dagunya bersama kerutan di dahi. Cuba mengaitkan semua perkara logik berkaitan Rycca.
"Apa anakanda cakap?!!! Maksudnya perjalanan ke Kawasan Essam hari ini adalah di atas permintaan dia?!!" Suara Tengku Azman naik seoktaf. Tidak menyangka sehingga ke tahap itu gadis tersebut berani bertindak.
Tengku Rafan pantas menekup mulutnya dengan tangan. Dia tahu dia sudah terlepas cakap tentang tujuan sebenar mereka ingin ke Kawasan Essam. Anak matanya berkelip-kelip memandang Tengku Rayyan meminta pertolongan.
"Anakanda tahukan apa yang sudah anakanda lakukan!! Jika sesuatu terjadi dalam Kawasan Essam, pasti sahaja kita akan dipersalahkan kerana bertanggungjawab membawa perempuan itu masuk!! Anakanda sendiri sedia maklum dengan keadaan ketua mereka yang jatuh sakit akibat daripada perbuatan Dahak!! Jadi adakah anakanda mahu pisang berbuah dua kali dan menjatuhkan Essam serta kerajaan ini?!! Sungguh ayahanda kecewa dengan keputusan kamu!" Wajah Tengku Azman merah padam menahan marah. Dia sungguh sakit hati dengan Tengku Rayyan yang membuat keputusan tanpa berbincang dengannya.
Tengku Rayyan hanya menunduk menekur lantai. Dia tahu dia bersalah dalam hal ini. Dia tidak patut mengikut telunjuk Rycca secara membabi buta. Nasib baik hal yang terjadi tadi membuatkan perjalanan mereka ke Essam terbatal.
"Anakanda minta ampun ayahanda. Anakanda tahu tindakan itu adalah salah. Tetapi, anakanda mohon untuk ayahanda membenarkan anakanda menyiasat perkara ini. Anakanda berjanji untuk membongkar segalanya sehingga ke titik akhir. Tolong bagi anakanda masa." Tengku Rayyan bertindak melutut di hadapan Tengku Azman. Dia berharap tindakannya itu mampu meraih simpati ayahnya.
"Anakanda juga mohon ampun ayahanda. Anakanda turut bersalah kerana terlibat sekali dalam rancangan ini. Tetapi, betul apa yang dikatakan Kakanda Rayyan. Biarlah kami siasat perkara sebenar supaya hukuman yang bakal dijatuhkan nanti adalah kepada orang yang tepat." Tengku Rafan juga turut berlutut di sisi Tengku Rayyan. Dia cuba menunjukkan reaksi muka sesedih yang boleh buat ayahnya.
Tengku Azman mengeluh berat. Lama dia merenung kedua-dua puteranya. Sudah lumrah seorang ayah yang mudah tersentuh dengan pujuk rayu anaknya. Tengku Azman mengangguk tanda bersetuju dengan cadangan Tengku Rayyan dan Tengku Rafan.
"Baiklah. Ayahanda bagi kamu berdua peluang untuk bertanya kepada Rycca sendiri. Jika benar dia bersalah dan menipu kita, jatuhkan hukuman ke atasnya dengan segera. Tetapi jika dia seorang yang naif dan baik hati, kamu boleh membebaskannya." Tengku Azman akhirnya memberi kata putus. Setelah itu dia memalingkan muka meninggalkan kawasan itu.
"Tetapi ingat! Buat keputusan dengan adil dan amanah! " Tegas Tengku Azman lagi.
Setelah melihat kelibat Tengku Azman menghilang, Tengku Rafan menarik nafas lega. Dia bingkas bangun berdiri sambil menyapu debu-debu yang melekat di seluarnya.
"Bagaimana sekarang?" Tengku Rafan menyoal abangnya yang masih berlutut di tanah. Dia dapat melihat abangnya ralit merenung loket yang terletak di telapak tangan.
"Jika benar dia adalah orang jahat, mengapa dia bermati-matian melindungi aku daripada musuh?" Tengku Rayyan bersuara perlahan. Dia lebih menujukan soalan itu kepada dirinya. Fikiran kembali teringatkan bagaimana Rycca bersusah payah menumpaskan musuh yang ingin membunuhnya sebentar tadi. Bagaimana gadis itu sanggup mengambil risiko membahayakan diri deminya. Adakah Rycca hanya berpura-pura atau itu semua dilakukan dengan ikhlas? Sungguh Tengku Rayyan buntu!
Share this novel