"Aduh.." Pisau yang dipegang terlepas dari genggaman. Telunjuk jari Rycca mula berdarah terhiris pisau. Rycca palingkan badan cuba melihat insan yang melanggarnya tadi.
"Maaf, saya tidak perasan kamu berada di situ." Dayang Siti tersenyum jengkel ke arah Rycca. Puas kerana dapat meyakitkan Rycca.
Rycca menjulingkan mata ke atas, menunjukkan rasa menyampahnya tika itu. Sejak dia menjadi dayang di sini, Dayang Siti selalu sahaja mencari masalah dengannya. Entah apa yang didengki oleh perempuan itu dia sendiri tidak tahu.
"Oh! Lupa pula. Ni bawang yang kamu perlu potong untuk masakan tengah hari nanti. Saya ada hal lain perlu diuruskan. Jadi maaf kerana tidak dapat membantu." Dayang Siti meletakkan sebakul bawang merah di hadapan Rycca. Hatinya tergelak senang melihat muka cemberut Rycca. Terus sahaja dia menghilangkan diri dari kawasan dapur setelah itu.
Rycca tidak sempat menahan Dayang Siti yang laju sahaja berjalan keluar. Sudahlah Dayang Siti sengaja merempuh bahunya sekali lagi. Nasib tangannya sempat berpaut pada meja untuk mengimbangi badan semula.
Rycca mengeluh memandang bawang yang bagaikan tersenyum ke arahnya minta dikupas. Dia tahu Dayang Siti sengaja mengenakannya dan ingin menambahkan lagi kesakitan terkena pisau tadi. Rycca kembali membelek jarinya untuk melihat kesan luka.
"Eh?" Terkejut Rycca memandang jari. Bukan terkejut kerana luka itu dalam, tetapi terkejut kerana jarinya kelihatan baik-baik sahaja. Tiada sebarang luka terkoyak di situ.
"Sumpah tadi aku nampak tangan aku berdarah. Tapi kenapa..?" Rycca membelek-belek jarinya berkali-kali. Masih tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
"Adakah..?" Bergetar suara Rycca memikirkan kemungkinan itu. Dirasakan wajahnya sudah bertukar pucat. 'Adakah luka itu sembuh sendiri? Atau aku yang perasan sahaja tadi?' Rycca mula berperang dengan perasaan sendiri. Lama dia berteleku merenung jari sendiri.
"Dayang Rycca? Sudah tiba masanya kamu menghantar makanan tengah hari." Suara Mama Dayang mengejutkan Rycca.
"Baiklah Mama Dayang." Rycca menjawab ringkas sebelum kalut-kalut mencedok makanan ke dalam pinggan. Minggu ini memang dia bertugas untuk menghidangkan makanan bersama dua lagi dayang yang sama seperti semalam. Kata Mama Dayang, mereka perlu mengikut jadual pekerjaan masing-masing dan setiap minggu jadual mereka akan berubah.
Seperti biasa Rycca menatang dulang untuk dibawa ke ruangan makan di rumah pembesar. Bukannya kawasan dalam rumah, tetapi ruangan luar yang seakan-akan gazebo yang terletak di sebelah kolam ikan. Sungguh teliti rekaan rumah pembesar itu sehingga mereka tidak berkesempatan memijak ruang dalam rumah pembesar. Pasti banyak rahsia yang tersimpan di situ.
Walaupun kaki melangkah mengikut dayang yang lain, tetapi fikiran Rycca masih menerawang memikirkan tentang luka di jarinya. Sesekali matanya membelek jari di tangan.
Tanpa disangka, sebelum Rycca sempat membelok ke kiri, tiba-tiba dirinya dirempuh sesuatu dari arah bertentangan. Kuat sehingga membuatkan dia terundur sedikit ke belakang. Tangannya memegang kepala yang terasa sakit kerana mencium objek itu. Nasib baik tidak tumpah makanan yang dibawanya.
Rycca mendongakkan kepala dengan muka tidak puas hati, ingin melihat objek yang melanggarnya. Berdirilah satu tubuh tegap di hadapannya kini. Setelah matanya melihat raut wajah itu, Rycca mengeluh perlahan. Tahulah dia bahawa Tengku Rayyan yang merempuhnya tadi. Bala apa lagi kali ini?
"Kamu tidak melihat saya berjalan di sini?! Di mana kamu meletakkan mata sedangkan kaki kamu melangkah ke hadapan?!!" Tengku Rayyan menggosok bajunya. Membuang kekotoran yang mungkin melekat di baju melayu ketika melanggar Rycca.
"Dia nak cakap aku buta ka apa? Eh! Tolong sikit, dia yang muncul entah dari mana tiba-tiba nak marah aku." Rycca bersuara jengkel. Cukup perlahan dia mengutuk Tengku Rayyan.
"Apa kamu cakap?!" Tengku Rayyan mendekati Rycca. Seraut wajah Rycca ditenung sepenuhnya. Dia seperti mendengar Rycca berkata sesuatu, tetapi tidak jelas.
"Saya cakap maaf. Maaf sebab dah langgar tengku. Maaf sebab mata saya memang letak dekat belakang bila berjalan. Puas hati?" Sinis Rycca bersuara. Puas hatinya dapat memerli Tengku Rayyan yang bongkak itu. Dahlah dia tengah kusut sekarang, Tengku Rayyan pula bagaikan ingin menambah lagi kekusutannya.
"Berani kamu!!" Bagaikan guruh berdentum membelah langit Tengku Rayyan bersuara. Sakit hatinya kerana Rycca masih lagi berani berbalas kata dengannya. Tengku Rayyan bertindak mencengkam sebelah bahu Rycca kuat.
"Bawa bertenang kakanda. Kita bahas cara baik. Mungkin dia tidak perasan kehadiran kita sebentar tadi." Lagi dan lagi Tengku Rafan cuba meredakan keadaan. Dia takut abangnya mengapa-apakan gadis itu.
"Tengku!" Mama Dayang berjalan pantas ke arah mereka. Setelah berdiri betul-betul di sisi Rycca, Mama Dayang menunduk hormat ke arah Tengku Rayyan.
"Hamba minta maaf bagi pihak Dayang Rycca. Dia belum tahu-menahu tentang adab sopan santun di kawasan pembesar. Hamba harap tengku bersimpati dengan keadaannya yang masih hilang ingatan." Mama Dayang bersuara lembut. Cuba memujuk Tengku Rayyan yang sudah menyinga.
"Adab dan perlakuan diri tidak perlu diajar. Jika dia mempunyai akal fikiran, sudah pasti dia sedar bahawa sikapnya kini adalah sangat tidak sopan!" Tengku Rayyan masih tidak melepaskan pandangan dari Rycca.
"Hamba akan cuba memperingatinya lagi selepas ini." Mama Dayang masih berkeadaan tadi membuatkan Rycca pula yang menjadi serba salah. Dia tidak suka Mama Dayang meminta maaf di atas kesalahannya. Nafas panjang ditarik cuba menyabarkan hati.
"Saya minta maaf tengku. Saya tahu saya bersalah dalam hal ini." Rycca melembutkan suara meminta maaf. Walaupun agak tidak ikhlas, tetapi Rycca berharap perkataan itu mampu membuatkan Tengku Rayyan melepaskan cengkaman di tangannya. Siap pakej dengan senyuman manis lagi dia berikan kepada Tengku Rayyan.
Entah apa yang merasuk Tengku Rayyan, dia terkesima melihat senyuman Rycca. Mata Rycca yang sepet dan bersinar itu sangat comel pada pandangannya. lesung pipit yang terbentuk elok di pipi menambahkan lagi seri pada senyuman itu. Perlahan tangannya yang mencengkam bahu Rycca terlepas begitu sahaja.
Rycca berundur beberapa tapak ke belakang. Akhirnya Tengku Rayyan mahu juga melepaskannya.
"Hamba minta maaf sekali lagi. Hamba janji hamba akan beri hukuman yang setimpal ke atas kesalahannya." Mama Dayang kembali bersuara. Dia menjeling Rycca sekilas dengan ekor mata. Seperti ingin memberi amaran kepada gadis itu.
Rycca hanya mampu diam di tempatnya berdiri. Memang sudah nasib dirinya pasti melakukan masalah apabila berjumpa dengan lelaki itu.
Tengku Rayyan masih asyik merenung Rycca. Dia seperti tenggelam dalam dunianya sendiri sehingga bahunya dicuit oleh adindanya, Tengku Rafan.
"Kakanda maafkan mereka ya?" Tengku Rafan tersengih ke arah abangnya.
Tengku Rayyan berdehem cuba mengusir perasaan halus yang mula memasuki ruang hati. Tumpuannya sekarang kembali pada Mama Dayang.
"Baiklah. Kali ini saya serahkan dia kepada kamu. Pastikan kamu memberi pengajaran kepadanya. Saya tidak mahu melihat sikapnya yang begini lagi." Tengku Rayyan bersuara tegas kepada Mama Dayang. Setelah itu, Tengku Rayyan kembali menyambung langkahnya bersama Tengku Rafan.
"Mentang-mentang dia orang kaya, semuanya salah aku. Aku ingat perempuan sahaja nak betul, tapi dia pun dua kali lima sahaja." Rycca memandang jengkel ke arah Tengku Rayyan yang semakin menjauh. Kepalanya dipusingkan kembali ke arah Mama Dayang yang masih setia di situ.
Melihat sahaja Mama Dayang yang tajam merenungnya, Rycca kembali menundukkan kepala memandang kaki. 'Mampus aku.'
Share this novel