AFSHIN 35

Fantasy Completed 7262

"Rycca.. Rycca.. " Rycca tidak tahu mahu memulakan ceritanya dari mana. Dia bagaikan mati kata kerana terlalu keliru sekarang.


Melihat Rycca yang bagaikan temangu dengan soalannya, Tengku Maanika bersuara. "Tinggalkan saya dengan Rycca bersendirian." Tengku Maanika memberi arahan kepada semua pelayan yang berada di situ. Setelah memastikan semuanya telah beredar, Tengku Maanika kembali mentunakkan pandangan ke arah Rycca.


"Jangan risau. Hanya kita berdua yang berada di sini. Rycca tak perlu berbicara mengikut ideologi Afshin. Ibu faham bahasa dari alam sana." Tangan Rycca yang sejuk dibawa ke dalam genggamannya.


"Rycca tak tahu nak mula dari mana. Banyak sangat perkara yang ada dalam kepala otak Rycca." Rycca mengelap sisa air matanya di pipi.


"Ok, sekarang Rycca cerita dulu macam mana Rycca boleh tahu keberadaan ibu di sini." Tengku Maanika mengangguk cuba memberikan semangat kepada Rycca untuk memulakan kata. Rycca menarik nafas panjang sebelum membuka bicara.


"Semuanya bermula selepas kematian ayah.. Rycca terjumpa buku tentang kerajaan ini dalam bilik kerja ayah."


"Tunggu! A.. yah dah tak ada? Ayah Harun dah tak ada?!" Kenyataan itu bagai merentap setangkai hati Tengku Maanika. Matanya kembali memerah kerana tidak menyangka ada lagi kejutan yang menyapa halwa telinganya.


"Iya ibu. Ayah dah tak ada. Ayah meninggal akibat sakit jantung. Ayah dah tinggalkan kita ibu." Tubuh ibunya ditarik ke dalam dakapan dan dia mengusap belakang ibunya lembut. Dia faham perasaan ibunya pada saat ini.


"Abangg.. Ika minta ampun bang.. Ika mungkir janji.. Ika mungkir janji.." Tengku Maanika mula merintih di bahu Rycca. Lelaki yang berjaya mencuri hatinya itu sudah pergi buat selama-lamanya. Lama mereka berkeadaan begitu.


"Dan kerana kematian ayah itulah Rycca mempunyai hasrat untuk mencari ibu. Tak sangka pula Rycca terjumpa gambar ibu dalam buku tersebut berserta lokasi yang ditulis dibelakang gambar itu." Rycca meneruskan cerita.


"Tetapi malam itu juga Rycca ternampak ada lelaki misteri muncul di rumah kita secara tiba-tiba. Pada awalnya Rycca takut tapi bila Rycca nampak bentuk rantai yang dipakai sama dengan lambang yang ada pada buku itu, Rycca terdetik hati untuk bersemuka dengan dia. Dan dialah yang memberitahu Rycca untuk mengikut lokasi yang ditulis di gambar ibu itu."


"Lelaki?" Tengku Maanika mula menyoal pelik.


"Ya, ibu. Rycca ingat lelaki itu orang baik, rupa-rupanya dia nak bunuh Rycca selama ini. Rycca baru dapat tahu yang dia datang dari golongan Dahak. Hampir je Rycca dan Tengku Rayyan kena bunuh dengan dia beberapa hari lepas."


Tengku Maanika menutup mulutnya kerana terlalu terkejut. 'Kenapa golongan Dahak memburu Rycca? Adakah mereka tahu bahawa Rycca anak aku?' Tengku Maanika bermonolog sendiri.


Rycca kembali meneruskan ceritanya bagaimana dia menjalani kehidupan di sini sehinggalah dia memilih untuk datang sendiri ke Kawasan Essam pada hari ini. Semua diceritakan sebutir-sebutir tanpa ada satu pun yang tertinggal.


"Kalaulah ibu tahu kamu berada di alam ini dan diburu oleh golongan Dahak, ibu tak akan sesekali biarkan Rycca dalam bahaya. Maafkan ibu. Ini semua terjadi berpunca dari ibu. Kalau ibu balik rumah dari dulu lagi, pasti Rycca tak terlepas masuk ke dunia yang penuh dendam dan diselubungi kejahatan ini." Tengku Maanika bersuara kesal. Dia menundukkan wajahnya penuh rasa bersalah.


"Ish, ibu nih! Ada pulak cakap macam tu. Tiada sesiapa yang salah dalam hal ini. Lagipun Rycca sendiri yang memilih untuk datang ke sini. Jadi, Rycca kenalah berani tanggung akibatnya. Ibu jangan risau, Rycca dah bagi amaran dekat lelaki itu untuk tak kacau Rycca lagi lepas ni." Rycca mengucup kedua-dua belah pipi ibunya mesra. Dia cuba menghiburkan hati ibunya semula.


"Tak Rycca. Mereka kejam dari yang kita bayangkan. Kalau mereka mahukan sesuatu, mereka akan cuba pelbagai cara untuk mendapatkannya. Dan ibu yakin kekecohan yang mereka buat sekarang pasti ada sebabnya. Mungkin mereka sudah menjumpai sumber kekuatan mereka, oleh sebab itulah mereka memulakan kekacauan ini." Mata Rycca dipandang penuh risau. Cuba menzahirkan rasa yang terbuku di hati.


"Rycca masih tak faham ibu. Apa kaitan Rycca dengan masalah yang dihadapi oleh kerajaan ini sekarang? Kenapa lelaki tu nak bunuh Rycca sangat-sangat? Rycca betul-betul nak tahu." Rycca bagaikan mendesak Tengku Maanika untuk memberikan jawapan kepada persoalannya selama ini. Kepalanya rasa ingin pecah memikirkan hal itu.


Tengku Maanika mengambil tongkatnya sebelum mula berdiri. Rycca yang melihat terus sahaja membantu dan memimpin ibunya untuk duduk di sofa empuk yang terletak di singgahsana.


"Rycca.. Kita datang dari alam lain pasti mempunyai kelebihan yang lain berbanding rakyat di sini. Rycca perasan tak dengan semua itu?" Tangan Rycca diusap perlahan.


"Badan Rycca kebal dengan benda tajam. Itukah maksud ibu?" Rycca menyoal polos.


"Bukan itu sahaja Rycca... Badan Rycca mempunyai kekuatan luar biasa dan tidak mudah diserang penyakit. Makin lama kamu hidup, kekuatan dalam badan kamu makin bertambah. Kamu tak akan rasa penat walaupun kamu berlari sehari semalam, kamu tak akan rasa sakit apabila dicederakan, dan jika kamu dicederakan sekalipun badan kamu akan pulih dengan cepat. Kamu juga boleh meramal bahaya dari keadaan sekeliling. Sehingga sampai satu tahap, jika kamu melepaskan hanya satu tumbukan sahaja, kamu sudah boleh membunuh pihak lawan. Kamu perasan semua itu?" Tengku Maanika menyoal kembali anaknya.


Rycca terngadah di tempat duduknya. Memori mula teringat kembali perjalanan hidupnya selama ini. 'Patutlah aku boleh melihat dan merasai bahaya yang bakal menyerang. Patutlah aku masih boleh meneruskan perjalanan ke sini walaupun tak makan beberapa hari. Patutlah aku boleh kalahkan semua pengawal bilik tahanan semalam. Patutlah.. '


"Patutlah Rycca boleh kalahkan lelaki misteri itu tadi walaupun hanya dengan dua serangan! Rycca baru sedar ibu! Rycca baru sedar!" Rycca membelek-belek tangannya dengan wajah tidak percaya. Tidak percaya dia boleh menjadi sekuat ini.


"Semua ini terjadi kerana Rycca merupakan keturunan ibu. Darah ibu turut mengalir dalam badan Rycca. Dan itulah yang Dahak mahukan. Semangat perwira dan kuasa kekebalan yang ada dalam darah Rycca! Aura itu dapat membantu mereka untuk menguasai Kerajaan Afshin!" Mata bundar Rycca direnung tajam. Memberi amaran tentang apa yang dicari oleh Dahak selama ini.


"Da... Darahh?" Terasa pahit air liur yang ditelan Rycca sekarang. Rupanya bukan jasad yang mereka mahu, tetapi lebih ngeri lagi adalah darahnya!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience