"Kalau betullah mereka benar-benar mahu Rycca mati, kenapa mereka tak bunuh sahaja Rycca pada malam itu? Malam Rycca bersemuka dengan lelaki itu di alam sana." Rycca mengerutkan dahinya memikirkan hal itu.
"Kerana kuasa kamu hanya berkesan di alam sini. Jadi, mereka sengaja mengumpan kamu untuk masuk ke sini dahulu dengan menggunakan nama ibu barulah mereka akan mambunuh Rycca. Kalau kamu dibunuh di sana, maka kuasa kamu akan hilang begitu sahaja." Jelas Tengku Maanika. Sesekali kedengaran dia menyedut hingus yang mula merembes keluar akibat terlalu banyak menangis.
"Oh! Senangnya Rycca diperbodohkan. Tetapi kalau Rycca tidak mengikut kata lelaki itu, pasti sampai bila-bila Rycca tak dapat berjumpa dengan ibu." Rycca sedikit sebanyak berterima kasih kepada lelaki misteri itu.
"Kenapa Raja Dayyan tidak membunuh sahaja semua rakyat golongan Dahak selepas kejadian? Bukankah itu lebih baik demi keamanan rakyat?" Ha! Perkara itulah yang menjadi tanda tanya kepada Rycca sejak dahulu. Kalau betul rakyat Dahak sudah terkenal dengan sikap kejam mereka, jadi hapuskan sahaja semua. Raja Dayyan kan berkuasa pada kerajaan ini.
"Bukan mudah mahu masuk ke kawasan mereka. Dengan status rendah yang dipegang, mereka sudah tidak peduli dengan amaran yang diberi oleh Raja Dayyan. Malah, dahulu pernah Raja Dayyan mengirim ramai pengawal istana untuk menghapuskan Dahak, tetapi semua pengawal yang dikirim hilang begitu sahaja."
"Ada desas-desus mengatakan semua pengawal dibunuh, ada juga yang mengatakan mereka menyertai pasukan Dahak. Golongan Dahak sangat licik kerana mereka punya pengetahuan yang luas dalam peralatan moden. Sepanjang perjalanan untuk ke kawasan mereka, banyak perangkap yang dipasang dan dibuat disekeliling tembok sehingga tiada satu pun rakyat yang berani mendekat." Beritahu Tengku Maanika. Dia tidak menafikan kehebatan ilmu dari golongan Dahak itu, mereka sangat handal dalam bab tersebut.
"Tetapi mereka menggunakan ilmu dan pengetahuan itu untuk perkara yang salah. Kan lebih senang kalau ilmu itu digunakan untuk menaikkan status mereka dari rendah kepada tinggi. Itu lebih baik." Rycca mengeluh buat kesekian kali. Akhirnya persoalannya terjawab jua.
"Dan ibu juga ada terdengar bahawa kawasan mereka mempunyai lambakan emas. Boleh jadi pengawal-pengawal yang hilang sudahpun dirasuah oleh mereka."
"Semuanya boleh terjadi ibu." Rycca bersetuju dengan andaian ibunya. Apabila mata sudah dibutakan dengan harta, pasti amanah akan dipersia. Rycca tidak menafikan semua itu.
"Ibu.. Tengku Rayyan pernah cerita pada Rycca bahawa Essam sudah tidak sekuat dulu. Betulkah ibu?" Kali ini Rycca bertanya dengan berhati-hati. Tidak mahu Tengku Maanika berkecil hati dengan soalannya.
Tengku Maanika tidak terus menjawab. Dia mengambil tongkat yang disandarkan di kerusi lalu cuba bangun dengan bersusah-payah. Rycca membantu dengan sehabis boleh. Benarlah kata ibunya, kesakitan yang ditinggalkan oleh golongan Dahak membuatkan ibunya hanya boleh berjalan setapak demi setapak. Setelah beberapa minit berlalu, barulah mereka berdua tiba di balkoni luar.
Dari kejauhan Rycca dapat melihat rakyat Essam masih berlatih dengan bersungguh-sungguh seperti tadi. 'Mereka tidak penatkah?'
"Peperangan itu meragut banyak nyawa rakyat Essam di barisan hadapan. Barisan yang agak handal dalam berperang. Hanya tersisa lima, enam orang sahaja. Jadi sukar untuk mereka mengajar dan membangunkan semula semangat perwira kepada rakyat Essam yang lain. Dengan keadaan ibu yang sakit teruk, sedikit sebanyak merudumkan lagi semangat mereka." Tengku Maanika membuka bicara semula. Pandangannya dibawa merenung jauh ke hadapan.
"Kamu tahu tak? Keadaan menjadi makin teruk apabila mereka mengetahui ibu sudah kehilangan kuasa dan kekebalan. Ada rakyat yang membunuh diri kerana takut kawasan ini diserbu oleh golongan Dahak apatah lagi Dahak memang berdendam dengan Essam. Mereka takut disiksa dan dibunuh dengan kejam. Waktu itu, kawasan ini tidak terkawal dan tiada satu pun pengawal yang berjaga. Untung Tengku Azman menghantar pengawalnya ke sini sebagai bantuan buat sementara. Jika tidak pasti hanya kubur ibu yang menjadi tatapan Rycca sekarang." Wajah Tengku Maanika mula memekar dengan senyuman sayu. Dia terimbau dengan peristiwa itu kembali. Dia sangat berterima kasih dengan Tengku Azman.
"Dan kami juga bernasib baik kerana ramai rakyat Dahak yang cedera waktu itu. Jadi mereka tidak membuat serangan balas dan mendiamkan diri selama bertahun-tahun sehinggalah kekacauan yang terjadi sekarang."
"Ibu.. Adakah kekecohan ini disebabkan Rycca. Kerana mereka mahu mengumpan Rycca keluar untuk dibunuh sepertimana mereka lakukan pada ibu dahulu?" Bergetar suara Rycca menyoalkan hal itu.
Diam Tengku Maanika membuatkan Rycca pasti. Pasti yang semua ini terjadi disebabkannya.
"Jika Rycca tidak munculkan diri, mereka akan hancurkan kerajaan ini kan ibu? Dan akhirnya Kerajaan Afshin menjadi milik mereka." Rycca meneruskan andaiannya lagi. Dia yakin dengan apa yang dikatakannya.
"Rycca tak perlu pening-pening fikirkan hal ini. Biar ibu uruskan hal tentang Afshin dan Rycca pulanglah ke dunia sana semula." Tengku Maanika menoleh cemas ke arah Rycca.
"Tidak ibu! Ibu sendiri yang cakap rakyat Essam bukan macam dulu lagi. Mereka tak ada semangat berjuang kerana ketua mereka yang gagah berlawan dahulu, berjuang bermati-matian melawan musuh, ketua yang selalu memberikan kata-kata semangat kepada mereka sudah terbaring lesu sekarang! Jadi bagaimana ibu nak kawal kekecohan yang terjadi? Dahulu mungkin ibu yang Dahak mahukan, tetapi sekarang Ryccalah yang mereka cari!" Rycca memandang yakin ke arah Tengku Maanika. Dia faham perasaan ibunya tetapi nyawa berjuta-juta rakyat lebih penting.
"Ibu tak izinkan Rycca! Cukuplah ibu kehilangan ayah, ibu tak nak kehilangan kamu pula!" Tengku Maanika menggoncangkan bahu Rycca dengan perasaan berbaur. Tidak mahu anaknya turut serta dalam peperangan ini.
"Dan Rycca juga tak nak kehilangan ibu! Jangan pentingkan diri, ibu! Sebagai seorang pembesar dan ketua, ibu juga harus berkorban perasaan. Ibu lebih tahu tanggungjawab ibu berbanding Rycca sendiri!" Mata Rycca berona merah. Dia mula berlutut di hadapan ibunya.
"Izinkan hamba menyertai peperangan ini, Tengku!" Rycca menunduk sedikit ke arah Tengku Maanika meminta izin. Suasana menjadi sepi. Tengku Maanika jelas terkedu di tempatnya berdiri.
Share this novel