"Setakat ini hanya lima buah kawasan sahaja yang menghantar bantuan. Yang lain menolak mentah-mentah dengan alasan mereka tidak percayakan Essam dan takut ramai rakyat mereka mati semasa berperang." Jelas terpancar kekecewaan di wajah Khabir ketika menyampaikan berita tersebut kepada ketua baru mereka, Rycca.
Tengku Maanika telah melewarkan kepada seluruh rakyat Essam bahawa Rycca merupakan keturunannya dan akan menjadi ketua menggantikan tempatnya di barisan hadapan. Semua rakyat diminta untuk patuh dengan Rycca sepertimana mereka patuh kepada Tengku Maanika. Nyata berita tersebut mampu membuatkan rakyat Essam terlopong tidak terkata. Mereka tidak percaya bahawa Tengku Maanika sudahpun mempunyai zuriat.
"Nampaknya otak mereka sudah digula-gulakan dengan sejarah lama. Memilih untuk mempercayai khabar yang tiada bukti lebih dari punca sebenar!" Kesal sungguh Rycca dengan pemikiran rakyat Afshin.
"Tidak apa Khabir, ini pun sudah cukup asalkan mereka mempunyai semangat juang yang tinggi. Mari kita berjumpa dengan bantuan yang dihantar oleh lima kawasan itu."
Khabir mengangguk sebelum membawa Rycca bersamanya. Walaupun Rycca merupakan keturunan pembesar, tetapi gadis itu tidak mahu dilayan seperti orang terhormat. Jadi Khabir terpaksa menghormati keputusan gadis itu.
MEREKA menunduk hormat ke arah Rycca yang muncul bersama Khabir. Hanya sekitar 30 orang yang berbaris di hadapan Rycca. Satu persatu wajah diperhati sebelum mata Rycca tertunak pada satu tubuh yang tidak asing baginya. Tidak lama sebelum dia mula kembali fokus dengan tujuan asal.
"Terima kasih kerana sudi menghulurkan bantuan kepada kami! Saya sebagai ketua di sini sangat berbesar hati dengan keberanian kamu semua! Pergilah berlatih bersama yang lain. Tugas kamu sebagai pejuang bermula hari ini!" Tegas dan dalam Rycca memberikan arahan.
Sejurus menyatakan hal itu, mereka semua terus menyertai kumpulan yang lain. Rycca memerhati dengan perasaan sedikit gementar. Jujur dia katakan dirinya masih gugup mahu mengetuai perang kali ini. Takut kemenangan tidak berpihak pada mereka.
"Rycca.. " Suara garau itu tiba-tiba menyapa gegendang telinga Rycca. Tanpa berkalih, dia sudahpun tahu siapa gerangan yang menegurnya.
"Saya minta maaf kerana tidak percayakan kamu selama ini. Saya minta maaf Rycca.. " Tengku Rayyan bertindak berdiri di hadapan Rycca. Mata diliarkan ke segenap wajah yang terlihat bersih tanpa cela. Akhirnya, dia dapat menatap wajah cantik itu setelah beberapa hari memendam rindu.
"Hamba tidak menyalahkan Tengku sepenuhnya. Jika hamba di tempat Tengku pasti hamba akan membuat perkara yang sama. Jadi Tengku jangan risau.. hamba sudahpun maafkan Tengku." Rycca tersenyum manis ke arah Tengku Rayyan. Dia tahu Tengku Rayyan melakukan semua itu demi keselamatannya. Dan dia sangat terharu apabila Tengku Rayyan sendiri yang datang membantu kali ini.
"Terima kasih kerana memahami apa yang saya lakukan selama ini. Terima kasih juga kerana sudi menjadi pelindung saya dari serangan musuh. Sekarang, kamu sudah bebas dan bukan di bawah tahanan saya lagi Rycca..." Agak sayu kedengaran suara Tengku Rayyan kerana berat hatinya mahu berjauhan dengan Rycca selepas ini. Entah dirinya kekal hidup atau tidak dia sendiri pun tidak pasti.
"Hamba sudah temui apa yang hamba cari di sini. Terima kasih juga kepada Tengku kerana mempercayai dan menjaga hamba selama menetap di Kautsar. Jasa Tengku akan hamba kenang sampai bila-bila." Rycca menepuk bahu Tengku Rayyan persis seorang sahabat. Lama mereka berbalas pandangan sebelum Rycca kembali bersuara.
"Tengku Azman tidak marah Tengku mahu ke sini setelah apa yang terjadi kepada ibunda Tengku dahulu?" Soal Rycca lambat-lambat. Takut soalannya mengguris perasaan Tengku Rayyan.
"Tidak... Malah dia kelihatan gembira kerana saya mahu meneruskan perjuangan bonda." Jelas Tengku Rayyan penuh yakin.
"Bagaimana dengan Tengku Rafan?" Kali ini renungan Rycca agak dalam. Setelah mendengar cerita dari ibunya tentang kematian Tengku Sari, ada perkara yang mahu Rycca pastikan.
Tengku Rayyan berjeda seketika. Terdengar keluhan berat keluar dari mulutnya. "Tengku Rafan membentak keras dengan tindakan saya ini. Dia nampak takut dan marah. Ini pertama kali saya melihat dia membentak sebegitu rupa."
"Pertama kali?" Rycca menyoal lagi.
"Ya... Itu pertama kali dia menunjukkan emosi dan meluah perasaan tentang kematian bonda. Malah sewaktu jasad bonda kaku pun dia tidak menangis dan tidak menyalahkan sesiapa. Hanya melemparkan pandangan kosong seperti orang yang tiada perasaan. Tetapi hari ini dia akhirnya berbicara tentang kematian bonda." Terdapat nada risau di setiap luahan Tengku Rayyan.
"Apa yang dia katakan?" Setapak Rycca mendekati Tengku Rayyan.
Tengku Rayyan serba salah mahu memberitahu Rycca. Takut Rycca terasa dengan jawapannya kerana hal itu berkaitan dengan Tengku Maanika.
"Dia menyalahkan Tengku Maanika di atas kematian Tengku Sari. Bukan Dahak tetapi Essam yang dipersalahkan. Betul kan tekaan hamba?"
Tengku Rayyan pantas mengangkat muka memandang Rycca. Tidak menyangka Rycca dapat membaca isi hatinya. Lambat-lambat kepala dianggukkan untuk menjawab pertanyaan Rycca.
Rycca mengetap gigi kuat. Dia berharap tekaannya itu salah kerana Tengku Rafan merupakan insan yang baik pada pandangannya. Tetapi jawapan yang diberikan Tengku Rayyan malah sebaliknya. Kini Rycca faham. Faham dengan situasi sebenar. Faham dengan apa yang berlaku selama ini. Nyata jawapan itu telah menjawab segala teka-teki yang bermain di kepalanya sejak semalam.
Share this novel