Ferran membawa langkah meninjau-ninjau kawasan sekeliling. Begitulah rutin malam yang sering dilakukannya. Memastikan kawasan pagar pembesar terjaga dan tiada kerosakkan yang membolehkan orang luar menceroboh masuk ke dalam. Setelah berpuas hati dengan segalanya, barulah Ferran akan kembali ke tempatnya semula.
"Huwaahh.. " Suara keluhan halus menampar gegendang telinga Ferran. Pantas sahaja lembing di tangan digenggam rapat sambil kakinya mula melangkah mengampiri sumber suara itu.
Dalam kesamaran cahaya pelita, Ferran dapat melihat seorang gadis atau lebih tepat seorang dayang sedang duduk termenung di atas batu yang terdapat di tepi kolam ikan kawasan pembesar itu.
Ferran menarik nafas lega kerana suara itu bukannya datang dari orang merbahaya. Dia kembali meletakkan lembing di sisi. Dirinya berpusing mahu melangkah pergi dari situ.
Rycca berpaling apabila dia mendengar derapan tapak kaki seseorang dari arah belakang. Bulu romanya mula berdiri tegak memikirkan segala kemungkinan. Namun, muka yang pucat bertukar riang apabila dia mengenali gerangan itu.
"Ferran? Awak ke?" Rycca menegur tanpa segan silu.
Automatik Ferran berkalih kembali. Bagaikan pernah mendengar suara itu sebelum ini. Semakin dia mendekat dengan gadis itu, semakin kuat jantungnya berdetak.
"Rycca? Apa kamu lakukan di sini?" Ferran tidak menyangka dirinya bakal bertemu dengan Rycca kembali. Dan lebih mengejutkan apabila wajah Rycca kelihatan lain dari sebelum ini. Wajah itu yang disimbahi cahaya bulan menaikkan lagi pesona dan kecantikannya.
"Saya tengah ambik angin malam." Rycca menjawab sambil tangan sibuk mengetuk-ngetuk kakinya yang terasa sengal. Seingatnya baru sekarang dia boleh merehatkan diri setelah seharian bertugas sebagai seorang dayang. Tambahan pula, dirinya yang baru bertatih belajar membuatkan keletihan yang dirasakan amat luar biasa sekali.
"Kamu kelihatan lain. Terlihat semakin kemas dari sebelum ini." Komen Ferran jujur. Dia tidak sedar bila masa dirinya sudah berdiri di sisi Rycca yang sedang duduk.
"Awak nak cakap muka saya macam hantulah sebelum ni?" Rycca menjegilkan matanya ke arah Ferran.
Terlepas tawa Ferran mendengarkan hal itu. Berhinggut bahunya ketawa sambil memandang Rycca.
"Kamu tidak patut berada di sini sekarang. Angin malam bisa membuatkan kamu jatuh sakit." Ferran mula menunjukkan riak risau setelah tawanya reda.
Tetapi kebisuan Rycca membuatkan Ferran pelik. Pelik kerana Rycca hanya memandang dan merenung ke arahnya.
"Hei.. " Ferran mengawangkan tangannya di hadapan Rycca.
Tersedar Rycca dari lamunannya. Dia tersengih seperti kerang busuk kepada Ferran.
"Sorry. Saya terkejut tadi." Rycca bersuara.
"Sorry? Terkejut?" Ferran menyoal kebingungan. Tidak faham apa yang dicakapkan Rycca.
"Sorry tu maksudnya maaf. Saya minta maaf sebab mengelamun tadi. Saya cuma terkejut sebab pertama kali saya nampak awak ketawa di hadapan saya." Rycca menjelaskan situasi sebentar tadi.
"Kenapa? Kamu tidak pernah melihat orang ketawa?" Ferran mengulum senyum.
"Bukan saya tak pernah, tapi awakkan selalu tayang muka masam depan saya sampaikan saya takut nak bercakap dengan awak. Tapi tak sangka pula malam ini awak boleh bergelak ketawa dengan saya sampaikan saya lupa yang awak pernah tangkap saya hari tu." Rycca kembali teringatkan peristiwa pertama kali dia bertemu Ferran. Muka Ferran yang ketat dan penuh ketegasan sedikit sebanyak menakutkan hatinya.
"Saya minta maaf. Saya hanya mengikut arahan tengku dan Azzan." Ferran bersuara kesal. Bukan niatnya mahu mengasari Rycca, tetapi dia hanya menurut arahan majikannya.
"Tak apalah. Saya tak ambil hati pun. Lagipun saya rasa seronok sekarang sebab saya dah dapat kawan baru." Rycca berdiri di sisi Ferran bersama senyuman manis.
Semakin berdebar Ferran jadinya apabila Rycca berdiri agak hampir dengannya. Senyuman Rycca menggetarkan hatinya. Ferran sendiri pelik dengan perubahan dirinya sekarang.
"Kawan? Kamu sudi berkawan dengan saya sedangkan saya pernah mengasari kamu sebelum ini?" Ferran bagaikan tidak percaya dengan ucapan Rycca. Baginya hubungan kawan perlulah dimulai dengan satu perkenalan yang baik. Bukannya dengan kekasaran yang diberikan pada Rycca sebelum ini.
"Yup, awak kawan saya sekarang. Lagipun awak seorang sahaja yang sudi mendengar segala masalah saya. Saya tak ada siapa-siapa dekat sini." Rycca mula membuat suara sedih. Sedih memikirkan nasib diri yang bagaikan jatuh ditimpa tangga.
"Jangan berkata begitu. Saya pasti keluarga kamu sedang berusaha mencari kamu sekarang. Lambat-laun mereka akan datang menuntut bela ke atas kamu. Kamu hanya perlu menunggu hari itu tiba." Ferran memberikan kata-kata semangat kepada Rycca. Dia tidak suka melihat wajah masam Rycca.
"Saya tak rasa mereka akan datang. Jika betul mereka sedang mencari saya sekalipun, tetapi untuk menjumpai saya dekat sini adalah sesuatu yang mustahil." Rycca membalas bersama senyuman hambar. Dia dapat rasakan semua itu. Dapat rasakan yang telahannya sebelum ini adalah betul.
Ferran tidak memberi sebarang reaksi. Dia tidak mengerti maksud di sebalik ucapan Rycca namun, untuk bertanya lebih lanjut adalah tidak sama sekali. Tidak mahu menambah kesedihan Rycca.
Rycca mendongak memandang bulan yang bersinar megah di atas sana. Sungguh cantik sehingga mampu mengusir gundah yang bertamu di hati sebentar tadi. Cuma pelik kerana cahayanya bukan bewarna putih, tetapi agak kemerahan.
"Awak tahu tak? Saya terfikir, adakah bulan yang sedang saya tenung sekarang merupakan bulan yang sama di tempat tinggal saya? Adakah matahari yang bakal muncul esok hari merupakan matahari yang sama? Dan apa yang saya lakukan sekarang.. adakah semuanya imaginasi atau realiti yang perlu saya hadapi?" Rycca berkalih memandang Ferran di sisi. Mengharapkan jawapan daripada lelaki itu walaupun dia tahu Ferran pasti tidak mengerti dengan apa yang cuba disampaikan.
Ferran hanya mendiamkan diri membalas pandangan Rycca. Sejujurnya, otak Ferran sedang bekerja keras mentafsir setiap bait bicara Rycca, tetapi akhirnya menemui jalan buntu. Jadi Ferran mengambil keputusan untuk tidak mengulas pertanyaan itu dengan lebih lanjut.
Setelah itu kedua-dunya diam menikmati angin malam yang berhembus lembut menampar wajah.
"Adakah kamu sudah mengetahui serba sedikit tentang Kawasan Essam?" Ferran kembali menyoal memecahkan suasana.
"Tak.. Saya cuma tahu yang pembesar di sana sakit dan puncanya mungkin terkena buatan rakyat Dahak." Jujur Rycca memberitahu Ferran maklumat yang dia tahu setakat Ini. Itupun daripada berbuatannya yang mencuri dengar pebualan Tengku Rayyan dan Tengku Rafan petang tadi.
"Pasti kamu mendengarnya dari Tengku Rayyan."
Rycca mengerutkan dahi memandang Ferran. Pelik bagaimana Ferran tahu bahawa semuanya keluar dari mulut Tengku Rayyan.
"Hanya Tengku Rayyan yang tahu letak duduk Kawasan Essam. Selepas pembesar Kawasan Essam jatuh sakit, pengunjung yang bertandang dari kawasan lain tidak dibenarkan masuk sekiranya tiada hal kecemasan. Dan Tengku Rayyan adalah insan yang kerap kali ke sana atas urusan jual beli. Hanya beliau yang lebih tahu." Jelas Ferran bagaikan mengerti dengan pandangan Rycca terhadapnya.
Rycca meneguk air liur. Jika dia ingin mencari ibunya di Kawasan Essam, jadi dia perlukan khidmat Tengku Rayyan. Tetapi untuk mendapatkan khidmat lelaki itu ibarat seperti menempah maut sendiri. Sudah tentu lelaki itu tidak akan menceritakan apa-apa kepadanya. Rycca buntu memikirkan hal itu.
Share this novel