AFSHIN 53

Fantasy Completed 7268

"Ingat pesan saya. Kalau terjadi apa-apa kepada Essam mahupun Afshin, kamu perlu segera khabarkan kepada saya di dunia sana." Tengku Maanika bersuara tegas kepada dua dayangnya. Mereka berdua hanya mengangguk faham akan arahan itu.


"Sampai sini sahaja kamu berdua iringi saya dan Rycca. Pulanglah ke Essam kembali. Jika ada sesiapa menyoal tentang kami, cakap sahaja kamu tidak tahu apa-apa." Jelas Tengku Maanika lagi. Kedua-dua tubuh dayangnya didakap erat.


"Hati-hati Tengku." Salah seorang dari mereka berpesan. Wajahnya jelas menunjukkan riak risau seperti berat untuk melepaskan Tengku Maanika pergi.


Tengku Maanika hanya menganggukkan kepala sebagai balasan. Dia kemudian menggenggam erat tangan Rycca sebelum mereka berdua berjalan mendekati pintu gua yang terletak beberapa langkah sahaja di hadapan.


Sebaik sahaja bolos ke dalam, Rycca pantas meliarkan pandangan melihat keadaan sekeliling. Berkat cahaya matahari yang mula berganjak tinggi dan lubang-lubang kecil di dinding gua membolehkan Rycca melihat dengan jelas jalan yang mereka bakal lalui.


"Mari Rycca. Kita hanya perlu menyelusuri jalan kecil itu sebelum bertemu dengan perigi Akhsansh." Gamit Tengku Maanika apabila melihat Rycca seperti ragu-ragu.


"Perigi Akhsansh? Apa pelik sangat nama perigi itu." Rycca tertanya sendiri. Melihat ibunya sudah melangkah ke depan, Rycca memilih untuk membontoti sahaja langkah Tengku Maanika dari belakang kerana laluan tersebut agak kecil.


"Perigi itu akan membawa kita pulang ke sana." Terang tengku Maanika lagi tanpa dipinta.


Beberapa minit berlalu. Akhirnya mereka sampai di kawasan yang agak luas. Rycca menarik nafas lega kerana dia rasa agak semput apabila menyelusuri laluan sempit itu tadi.


"Kamu dah bersedia?" Soalan Tengku Maanika menghentikan lamunan Rycca.


"Erk... Dah lama Rycca bersedia ibu. Tapi..." Rycca melerekkan suaranya sambil mendekati perigi Akhsansh. Agak besar dan semestinya dalam kerana hanya kegelapan yang dapat dilihat apabila kepalanya menjenguk ke dalam perigi tersebut.


Rycca mula menelan air liur sebelum mengundur beberapa langkah ke belakang. Dia mula memandang wajah ibunya dengan pandangan cemas.


"Tapi?" Tengku Maanika menjongketkan sebelah kening menunggu Rycca menghabiskan ayatnya.


"Tapi nampak seramlah ibu. Rycca takut." Tangan Tengku Maanika mula dipeluk.


Tercetus ketawa besar dari mulut sang ibu. "Rycca... Rycca... " Kepala digeleng berkali-kali melihat keletah Rycca yang dirasakan mencuit hati.


"Jangan risau. Ibu kan ada." Tangan Rycca ditarik sehingga mereka berdiri betul-betul di tepi perigi itu.


"Sekarang lompat." Arah Tengku Maanika selamba.


"Ha?!"


"Lompat." Ulang Tengku Maanika lagi.


Rycca menggeleng tanda tidak mahu mengikut arahan ibunya. 'Gila ka apa lompat dalam perigi yang dia sendiri tidak tahu sampai mana kedalamannya. Bagaimana kalau ada air di dasar nanti? Mesti dia akan mati kelemasan.' Rycca bermonolog sendiri.


Sedang asyik dia berperang dengan perasaan takutnya, terasa tubuh ditolak seseorang dari belakang. Dia pasti insan tersebut adalah Tengku Maanika. Tanpa sempat Rycca berpaut pada apa-apa, tubuhnya terjatuh ke dalam perigi.


"Argghhh!!" Rycca hanya mampu menjerit pasrah seiring tubuh yang menggelongsor laju ke bawah.


"Jumpa kamu di sana!" Sayup-sayup kedengaran suara Tengku Maanika menjerit dari atas sebelum pandangan Rycca bertukar gelap dan dia tidak sedarkan diri selepas itu.

BUNYI mesin dan bau yang menyengat deria hidungnya membuatkan Rycca terjaga. Apabila terasa terik cahaya lampu siling menusuk ke dalam mata, Rycca memejamkan matanya semula untuk menghilangkan rasa perit tersebut. Setelah agak reda, pandangan dibawa memerhati suasana sekeliling sebelum terhenti kepada insan yang terlentok elok di katil yang ditidurinya sekarang. Tahulah Rycca bahawa dia berada di hospital dan sudah keluar dari dunia 'tersebut'.


Mungkin terasa ada pergerakkan di atas katil membangunkan Rissa dari tidur nyenyaknya. Terpisat-pisat dia menggonyoh mata sebelum pandangannya bertukar terkejut memandang Rycca yang sudah tersenyum manis.


"Rycca!" Pantas tubuh Rycca diraih ke dalam pelukan. Sangat erat.


Rycca yang bingung dengan reaksi kakaknya itu hanya membiarkan. Lagipun dia juga sudah lama tidak menemui sang kakak akibat terperangkap di dunia Afshin.


Setelah beberapa detik, pelukkan dileraikan. Rissa mengelap rembesan air mata yang bertamu di pipi sebelum memandang Rycca dengan tajam. Tangan kanannya naik menampar bahu adiknya dengan kuat.


"Kau pergi mana ha? Kau tahu tak dah macam orang gila akak cari kau. Kau nih memanglah. Aku pergi kerja kejap sahaja pun, kau dah hilang. Memang tak reti duduk diamlah kau ni." Lagi tangan Rycca dicubit geram. Melepaskan rasa sebu dan risau yang mengulit dirinya selama hampir empat bulan kehilangan Rycca tanpa khabar.


"Tak baik membebel. Nanti cepat tua." Sempat Rycca berseloroh cuba menceriakan galau dalam hati kakaknya.


"Sempat eh kau buat lawak sekarang? Kau tahu tak kau tuh hilang nak dekat empat bulan dah? Hilang dalam hutan pulak tu. Kau ingat aku nak sambut kau dengan welcoming party? Yang kau gatal sangat pergi masuk hutan sorang-sorang kenapa ha?" Sekali lagi mulut becok Rissa tidak berhenti memarahi adiknya. Bukan apa, Rissa cuma mahu adiknya tahu betapa tidak senang duduk dirinya apabila mengetahui kehilangan Rycca.


Bayangkan setelah dia pulang dari outstation beberapa bulan lepas, kehadiran Rycca tiada di rumah. Sangkanya Rycca pergi tidur di rumah kawan tetapi, setelah hampir dua hari adiknya tidak dapat dihubungi, Rissa mula gelabah. Habis semua rumah kawan Rycca dia pergi serbu untuk bertanya, namun jawapan yang diterima adalah hampa. Akhirnya Rissa memilih untuk membuat report polis dan tidak sampai dua hari pihak polis telah menjumpai kereta milik Rycca yang tersadai di tepi hutan tebal. Betapa terkejutnya perasaan dia waktu itu.


Rycca hanya mampu tersengih sambil menggosok kesan cubitan di tangan. Dia tidak tahu mahu memberi jawapan yang bagaimana kepada Rissa. Biarlah kakaknya itu bertenang dahulu barulah dia akan menceritakan segalanya.


"Rasa gugur jantung akak ni bila polis jumpa kau pengsan dalam hutan tu semalam. Dengan keadaan kau yang cedera sana sini, nih muka cengkung, badan pun kurus mcm orang tak makan." Lagi tangan Rissa naik memegang dan membelek tubuh badan Rycca. Keadaan Rycca sekarang seperti mayat hidup sahaja. Wajah pucat dan bagaikan tiada tenaga.


"Wait!" Rycca mengangkat telapak tangan dihadapan muka kakaknya untuk memberi isyarat supaya Rissa menghentikan perbuatannya itu. Dia mula teringatkan sesuatu.


"Polis jumpa aku seorang sahajakah dalam hutan tu?" Tanya Rycca dengan wajah gusar. Berharap jawapan yang diberikan Rissa bertentangan dengan apa yang ada di benaknya.


"Tak.. Dengan... Ibu." Lambat-lambat Rissa menjawab sambil menundukkan wajahnya. Sesungguhnya, kejutan demi kejutan yang diterimanya semalam memang dia akan ingat sampai bila-bila. Sangkanya pihak polis menjumpai Rycca bersama kawannya, tetapi rupa-rupanya bersama ibunya sendiri, Maanika!

Rycca menghela nafas lega mendengarkan hal itu. Dia ingatkan ibunya memilih untuk tidak pulang bersama. Menurut dari cerita Rissa sebentar tadi, nampaknya sudah semalaman dia terbaring tidak sedarkan diri di hospital melihatkan jarum jam yang tergantung di dinding mendekati pukul empat pagi. Rycca tidak hairan mereka ditemui pada malam hari kerana waktu di dunia ini dan Afshin memang bertentangan. Jika malam di sini, maka sianglah di sana.


"Jadi, ibu dekat mana sekarang?" Soal Rycca penuh tanda tanya apabila kelibat Tengku Maanika tidak kelihatan.


"Ibu ada dekat bilik sebelah. Macam kau tadi. Terbaring tidak sedarkan diri." Jelas Rissa lagi.


Rycca hanya mengangguk tanda faham. Dia pasti ibunya baik-baik sahaja. Cuma mungkin perubahan tempat atau waktu yang membuatkan mereka pengsan dan kehilangan banyak tenaga.


"Rycca... " Seruan sang kakak mematikan lamunan Rycca. Rycca memandang Rissa dengan dahi berkerut. Pelik apabila namanya dipanggil lembut begitu secara tiba-tiba.


Rissa mula melabuhkan duduk di atas katil. Kakinya dibiarkan berjuntai ke bawah. Dia mula memasang wajah serius memandang sang adik. "Apa yang sebenarnya berlaku Rycca? Kau hilang sepenuhnya dari radar, tup tup muncul bersama ibu. Dan lebih pelik jasad kau dan ibu dijumpai dalam hutan yang tak pernah orang pergi. Sangat pelik! Cerita dekat akak semuanya. Akak nak tahu." Tegas nada suara Rissa berkata. Matanya tidak berkelip merenung wajah Rycca menandakan dia serius dengan ucapannya itu.

Sekali lagi Rycca hanya mempu mendiamkan diri sambil menelan air liur. 'Aku takut akak sendiri yang tak percaya dan tak boleh hadam cerita aku.' Gumam Rycca perlahan bersama wajah cuak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience