AFSHIN 26

Fantasy Completed 7262

Sungguh mereka terkesima melihat kekecohan yang berlaku di hadapan mata. Dilihat beberapa deretan rumah kayu milik rakyat Kautsar sudah terbakar hangus. Orang ramai mula berlari ke hulu ke hilir sambil membawa sebaldi air cuba memadamkan api yang masih marak di rumah masing-masing. Rycca amat-amat terkejut apabila berhadapan dengan situasi seperti itu.


"Katakan apa yang sudah berlaku di sini?!" Tengku Rayyan sempat menarik tangan salah seorang lelaki yang berlari dihadapannya.


"Ini semua angkara kumpulan Dahak si bedebah itu!! Mereka yang memulakan kebakaran di sini. Habis semua rumah dibakarnya! Tengku harus lebih berwaspada. Mereka sudah bertindak dengan lebih ganas sekarang!" Pesan orang itu sebelum kembali mengangkut baldi untuk membantu memadamkan kebakaran.


"Bagaimana ini semua boleh terjadi Azzan? Bagaimana dengan kawasan lain?!" Tengku Rayyan menyoal cemas pada Azzan dan pengawal lain yang turut serta.


"Hamba mendengar khabar berita bahawa kawasan lain turut mendapat natijah yang sama. Nampaknya Dahak betul-betul sudah menunjukkan taring mereka." Jelas Azzan.


"Adakah Raja Dayyan sudah mengetahui hal ini?!"


"Sudah Tengku. Tapi kerana terlalu banyak kawasan yang terjejas, jadi Raja Dayyan tidak mampu membantu semua kawasan dan hamba juga mendengar khabar yang.. " Azzan berjeda sejenak.


"Kenapa?" Tengku Rayyan berasa tidak sedap hati dengan berita yang bakal disampaikan Azzan.


"Kumpulan Dahak juga sudah merancang untuk menyerang istana. Jadi Raja Dayyan turut mengerahkan separuh pengawal untuk mengawasi istana kerana takut terjadi serangan mengejut dari mereka. Sebab itu hanya sedikit sahaja pengawal istana yang mempu menolong Rakyat Afshin." Azzan juga turut mempamerkan kekecewaan hatinya dengan masalah sekarang.


"Tak guna!!!" Tengku Rayyan mencengkam penumbuknya. Tidak menyangka Dahak sudah mula bertindak semula.


"Jadi ini rancangan mereka selama ini.. Jika mereka dapat menguasai istana dan menangkap Raja Dayyan, maknanya mereka yang akan menakluki Kerajaan Afshin selepas ini. Dan jika Raja Dayyan tidak menyerah diri, maka mereka akan memberontak seperti ini.. membakar dan memusnahkan rakyat Afshin!" Rycca bermonolog sendiri. Nampaknya dia sudah mula faham dengan apa yang terjadi. Keadaan Raja Dayyan sekarang tidak ubah seperti ditelan mati emak diluah mati bapa!


"Azzan, bawa pengawal yang lain untuk membantu apa yang patut! Jika ada sesiapa yang cedera hantarkan mereka di sini untuk dirawat! Pergi sekarang!" Tengku Rayyan memberi arahan. Dia perlu membantu rakyat Kautsar yang dalam kesusahan sekarang.


"Tetapi Tengku, bagaimana jika Tengku diserang nanti? Tiada siapa yang mengawal Tengku. Kita masih tidak tahu di mana keberadaan kumpulan Dahak yang memulakan kekecohan ini." Azzan menyuarakan kegelisahannya.


"Tidak usah kamu peduli dengan keselamatan saya! Sekarang rakyat Kautsar lebih memerlukan pertolongan!"


"Tapi Tengku.. "


"Pergi!!!" Tengku Rayyan bersuara tegas.


Tidak dapat tidak Azzan terpaksa meninggalkan Tengku Rayyan bersama Rycca dan Nek Galyn. Dia membawa pasukannya membantu deretan rumah yang terbakar itu.


"Apa yang bakal terjadi jika Kerajaan Afshin jatuh dalam genggaman Dahak?" Rycca akhirnya bersuara setelah semenjak tadi dia hanya melihat sahaja arahan yang diberi Tengku Rayyan.


Tengku Rayyan tidak terus menjawab. Dia membawa diri ke salah sebuah rumah yang sudah hangus terbakar yang terletak jauh di sebelah kanan. Ada sesuatu menarik perhatiannya di situ. Setibanya di kawasan rumah itu, Tengku Rayyan tunduk mengutip sesuatu. Lama dia membelek 'benda' di dalam genggamannya bersama kerutan di dahi. Inilah pertama kali dia melihat 'benda' seperti itu.


"Ohh.. Jadi inilah alat yang mereka gunakan untuk membakar rumah di sini. Sungguh kejam." Suara Rycca mengejutkan Tengku Rayyan. Dia menoleh memandang Rycca dengan satu persolan.


"Kamu kenal benda ini?" Tengku Rayyan menunjukkan 'benda' itu kepada Rycca.


"Mestilah... pemetik api. Kenapa? Tengku tidak tahu?" Rycca agak terkejut dengan soalan Tengku Rayyan. Takkanlah pemetik api pun tak kenal. Duduk dalam gua ke apa mamat nih? Rycca mengomel sendiri.


"Tak. Saya tidak pernah melihatnya. Apa kegunaannya di sini?" Tengku Rayyan merenung Rycca menginginkan jawapan.


Wajah Rycca mula berubah pucat. Daripada gaya Tengku Rayyan, dia sangat pasti lelaki itu tidak main-main. Pemetik api yang dikutip juga dipegang terbalik. Rycca terpana seketika.


"Mak.. Maksudnya rakyat di sini hanya meng.. menggunakan gobek api sahaja?" Rycca menyoal gugup. Dia tidak menyangka gobek api satu-satunya alat yang digunakan untuk menghidupkan api di sini. Itupun dia tahu kerana pernah menggunakannya di dapur selama ini.


Tengku Rayyan mengangguk menjawab pertanyaan Rycca. Pantas Rycca merampas pemetik itu dari tangan Tengku Rayyan. Dia mula meliarkan pandangannya ke sekeliling.


"Alat ini fungsinya untuk menghidupkan api. Andai benar alat ini tidak pernah wujud di alam ini, pasti ia telah dibawa dari dunia hamba. Dan.. jika bukan hamba yang membawanya ke sini, pasti lelaki itu!" Rycca menerangkan situasi sebenar kepada Tengku Rayyan.


"Keluar!! Aku tahu kau berada di sini! KELUAR KAU!!" Rycca menjerit nyaring. Dia berpusing-pusing di kawasan rumah itu sambil tidak lepas memandang sekeliling. Tengku Rayyan yang mula faham dengan isyarat dari Rycca bertindak mengeluarkan pedangnya.


"Keluarlah pengecut!!!" Sengaja Rycca mencabar lelaki itu. Dia amat yakin, lelaki itu mampu mendengar segala jeritannya.


"Hahahahaha!" Suara garau yang kedengaran cukup membuatkan Rycca dan Tengku Rayyan berpusing tiga ratus enam puluh darjah ke belakang.


Dapat dilihat seorang lelaki berpakaian serba hitam dan bertopeng muka berdiri di hadapan mereka sekarang. Terselit sebilah keris di pinggangnya.


"Rycca.. Rycca.. Tak sangka kau ni bijak juga." Lelaki itu bersuara penuh jengkel. Matanya tidak lepas langsung dari merenung tajam ke arah Rycca.


"Akhirnya.. Aku bertemu empat mata dengan kau di sini!" Rycca tersenyum sinis. Ya! Inilah lelaki misteri yang muncul di halaman rumahnya dahulu. Dia kenal renungan mata itu. Renungan seakan-akan ingin membunuh! Penuh dengan kebencian!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience