AFSHIN 20

Fantasy Completed 7262

Serentak dengan jeritan Rycca, muncul sekumpulan lelaki bertopeng bersenjatakan parang. Tengku Rayyan dan Tengku Rafan nyata terkejut dengan kehadiran tetamu yang tidak diundang di hadapan mereka sekarang. Pengawal-pengawal mula menggenggam kemas perisai dan lembing sebagai langkah berjaga-jaga. Ada juga yang sudah siap menghunuskan pedang ke arah lelaki bertopeng itu.


"Kami cuma mahu merantau ke kawasan lain dan tidak mahu berbuat masalah di sini!! Jadi lebih baik kamu semua beri laluan sebelum kami bertindak dengan lebih kasar!!" Tengku Rayyan menempik tegas.


Namun tempikkan itu nyata tidak menggentarkan pemuda-pemuda tersebut walau sedikit pun. Malah mereka lebih berani untuk melangkah dengan lebih dekat bersama mata yang tidak lepas dari mengawasi pengawal-pengawal yang mengelilingi Tengku Rayyan dan Tengku Rafan.


"Bagaimana ini kakanda? Mereka kelihatan bukan orang baik-baik." Tengku Rafan mula cemas. Dia bukanlah seseorang yang mahir apabila diajak berlawan. Dia hanya tahu serba sedikit, itupun sekadar untuk mempertahankan diri sahaja.


"Jika mereka mahu memulakan kekecohan, kita lawan sahaja. Kita juga perlu tahu apa yang mereka mahukan dari Kautsar!!" Tengku Rayyan kuat bersuara. Bukan ditujukan kepada Tengku Rafan, tetapi seluruh pengawal yang sudah bersiap siaga di sekelilingnya.


"Cara mereka berpakaian persis pemuda yang menyerang Tengku pada malam itu. Tidak lain dan tidak bukan, mereka datang dengan tujuan yang sama!" Rycca mengecilkan matanya merenung tajam ke arah musuh. Pandangannya bagaikan boleh menembusi topeng yang melitupi separuh wajah mereka. Sangat tajam dan berani.


"Seranggg!!!!!" Salah seorang daripada kumpulan itu mula menjerit nyaring. Serentak dengan teriakan itu, mereka mara kehadapan bersama parang yang sudah bersiap sedia untuk merobek daging manusia di pihak lawan.


"Pergi!!!" Tengku Rayyan juga tidak terlepas untuk memberi arahan kepada pengawal-pengawalnya.


"Arghhhh!!!" Semua pengawal menjerit membalas sahutan perlawanan dari pihak musuh. Mereka juga tidak kalah untuk maju bersama semangat adiwira yang mengalir kuat di dalam diri.


Pertempuran berlaku dengan sangat hebat. Pedang dan parang bertemu bersilih ganti menghasilkan bunyi yang amat menggerunkan bagi sesiapa sahaja yang mendengarnya. Mereka bagaikan berada di medan perang. Darah memercik di sana sini menyebabkan kawasan hutan yang secara semula jadinya berwarna hijau, mula ditutupi cecair pekat itu menghasilkan corak yang tidak sekata.


Tengku Rayyan dan Tengku Rafan yang mengawal dari belakang masih memegang utuh keris di tangan. Rycca juga masih berdiri di sisi Tengku Rayyan bersama kerutan di dahi. Jujur dia ngeri melihat semua itu. Dia ngeri melihat setiap daging yang dilibas dengan senjata tajam itu. Dia ngeri dengan bau darah yang tengik di hidungnya. Dia ngeri dengan segala-galanya!


"Tengku! Berundur sahaja ke Kautsar kembali! Hamba takut pengawal kita tidak mampu bertahan lama!" Ferran datang tercungap-cungap ke arah mereka. Tangan yang sudah mula terluka sedikit tidak dipedulikan. Ferran tahu, musuh yang mereka hadapi ini bukan biasa-biasa.


"Kamu mahu saya tinggalkan kamu semua berlawan di sini?!! Jadi saya tidak layak digelar ketua jika melakukan semua itu! Saya bukan pengecut!" Tengku Rayyan mengambil pedang yang terselit di pinggang Tengku Rafan.


"Adinda pulang ke Kautsar dan minta bantuan. Terangkan keadaan di sini kepada ayahanda! Cepat!" Gesa Tengku Rayyan sambil turun daripada kudanya. Dia akan menyertai pengawalnya untuk ikut bertempur.


"Baiklah kakanda! Mari Dayang Rycca!" Tengku Rafan sudah bersedia untuk pergi dari situ. Dia menghulurkan tangan ke arah Rycca untuk menaiki kuda bersamanya.


"Tidak!! Ini semua terjadi kerana hamba! Hamba akan turut berlawan bersama Tengku Rayyan! Jika apa-apa terjadi kepadanya, hamba pasti sahaja dibunuh oleh Tengku Azman." Rycca bersuara nekad.


Tengku Rafan tidak sempat menghalang Rycca yang sudah mengutip sebatang kayu di tepi jalan. Untuk tidak membuang masa, Tengku Rafan memecut kudanya tanpa menoleh ke belakang lagi. Jika itu keputusan Rycca, dia tiada hak untuk memaksa.


Bersama dengan tarikan nafas yang panjang, Rycca cuba mengingat kembali ilmu yang dipelajarinya di dunia sana. Apabila sudah yakin, Rycca membuka kekudanya bersama kayu yang digenggam kuat di tangan. Kini, datang dua orang musuh berdiri di hadapannya.


Tanpa sempat mereka menyerang, Rycca sudah membuka langkah pertama dengan merodok kayu di genggamannya ke arah tulang rusuk dan celah kelangkang mereka. Sangat pantas pergerakan Rycca membuatkan kedua-dua musuh tersebut mengaduh sakit. Rycca tidak memberi peluang apabila sekali lagi dia menghayun kayu membanting pergelangan tangan musuh dengan kuat.


Terlepas parang yang digenggam di tangan kedua-duanya sebelum Rycca menghadiahkan sepakan ke arah rahang dan kepala mereka. Dengan sekelip mata mereka jatuh ke tanah tidak sedarkan diri.


Rycca menyambung langkahnya menuju ke arah Tengku Rayyan. Tujuannya hanya satu, iaitu melindungi Tengku Rayyan daripada dibunuh.


Serangan demi serangan di elak dan kadangkala Rycca membalas serangan tersebut apabila perlu. Setelah beberapa minit berlawan, akhirnya Rycca sampai di sisi Tengku Rayyan. Dia dapat rasakan nafas Tengku Rayyan tercungap-cungap kerana letih menghadapi musuh yang agak ramai.


"Apa kamu buat di sini?!" Tengku Rayyan sempat menyoal Rycca yang bersandar di belakang badannya. Kini mereka berdua dikelilingi lima orang musuh.


"Selamatkan Tengku." Ringkas sahaja Rycca menjawab. Mulutnya berbicara, tetapi matanya tidak lepas mengawasi pergerakkan musuh.


"Bukankah saya sudah cakap, tidak perlu masuk campur dalam perlawanan ini. Saya masih ada pengawal yang boleh lindungi saya!" Tengku Rayyan geram kerana Rycca berdegil dengan arahannya. Hatinya gusar jika berlaku perkara yang tidak diingini atas diri Rycca.


"Semua ini terjadi kerana hamba. Jadi biar hamba turut bertanggungjawab!!!" Serentak itu, Rycca memulakan serangan dahulu. Dia mengambil tiga orang musuh untuk berlawan dengannya kerana dia tahu Tengku Rayyan tidak dapat bertahan lama.


Tengku Rayyan mahupun Rycca berlawan dengan sepenuh tenaga. Kedua-duanya mempunyai kekuatan yang sama sehingga musuh tidak mudah untuk mengalahkan mereka. Namun yang berbeza hanyalah cara mereka berlawan, Tengku Rayyan akan membunuh pihak lawan dengan pedangnya sedangkan Rycca hanya mengelak dan memukul sahaja pihak lawan dengan kayu sehingga tidak sedarkan diri.


Tengku Rayyan mampu menarik nafas lega apabila pihak lawannya sudah berjaya ditumpaskan. Darah yang memercik di baju melayunya tidak dipeduli. Dia kembali mencari kelibat Rycca. Ingin membantu gadis itu yang turut menentang musuh.


Rycca menghentak leher musuh yang terakhir dengan sikunya sehingga musuh terkulai layu. Rycca mengutip kayu yang terdampar di tanah. Kepalanya didongakkan dan ketika itu matanya bersabung dengan Tengku Rayyan.


"Hamba sudah beritahu yang hamba akan lindungi Tengku." Rycca mengorakkan senyuman kepada Tengku Rayyan. Dia lega hati kerana Tengku Rayyan baik-baik sahaja.


Namun, tanpa Rycca sedari, dua orang musuh yang ditumbangkannya awal-awal tadi sudah mula sedarkan diri dan menuju ke arahnya. Kedua-duanya mula mengangkat parang untuk melibas ke arah Rycca yang membelakangi mereka ketika itu.


Tengku Rayyan perasan dengan bahaya yang bakal mendatang. Dia membulatkan mata melihat ke belakang Rycca. "Jaga-jaga!!!" Tengku Rayyan menjerit kuat memberi amaran. Langkah mula diatur untuk menyelamatkan Rycca.


Rycca menoleh ke belakang mengikut arah yang dilihat oleh Tengku Rayyan, tetapi semuanya sudah terlambat. Parang yang berkilat di sinari terik mentari itu sudah betul-betul berada di hadapannya. Rycca mengangkat kedua-dua belah tangan untuk melindungi diri sebelum...


"Tidak!!!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience