"Nek Galyn.. " Tengku Rayyan menyapa Nek Galyn di hadapan pintu bilik tahanan. Semenjak kejadian malam itu, Tengku Rayyan menyuruh Nek Galyn menetap di Kautsar buat sementara waktu. Dia tidak mahu Nek Galyn pulang ke Kawasan Syafia kerana kawasan itu juga sedang diserang sekarang. Jadi, lebih selamat Nek Galyn menunggu dahulu keadaan semakin reda sebelum kembali ke kawasannya semula.
"Tengku! Maaf. Hamba tidak perasan Tengku berada di sini." Nek Galyn menunduk sedikit kepada Tengku Rayyan.
"Tidak mengapa. Saya mahu melihat keadaan Rycca." Segaris senyuman diberikan kepada Nek Galyn.
"Baguslah Tengku datang sekarang. Hamba baru sahaja lepas mencuci lukanya, dan hamba perasan terdapat kesan lebam yang baru di tangan. Hamba rasa Dayang Rycca cuba melepaskan diri dengan mematahkan pintu buluh bilik tahanan semasa tiada pengawal yang berjaga. Hamba takut jika keadaan ini berterusan akan memudaratkan kesihatannya Tengku." Jelas Nek Galyn panjang lebar. Dia berharap Tengku Rayyan membebaskan sahaja Rycca dari situ.
Tengku Rayyan meraup rambutnya ke belakang. Bukan niatnya ingin menyiksa Rycca, tetapi dia cuma ingin melindungi gadis itu. Tidak menyangka sampai begini sekali Rycca sanggup bertindak.
"Baiklah Nek Galyn. Terima kasih." Tengku Rayyan pantas menghilangkan diri di balik pintu kurungan. Kaki dihayun menuju ke ruangan yang menempatkan Rycca.
Dilihat Rycca sedang duduk memeluk lutut di sudut ruangan. Tengku Rayyan jatuh simpati melihat perkara itu tetapi dia cuba membuang perasaan itu jauh-jauh.
"Beginikah cara kamu ingin membebaskan diri? Dengan tidak makan dan mencederakan diri sendiri?!" Tengku Rayyan menguatkan suaranya untuk menarik perhatian Rycca.
Rycca mengangkat kepalanya melihat gerangan yang bertanya itu. Jelas kelihatan wajahnya lesu dan tidak bermaya. Namun di balik itu terdapat aura kemarahan yang boleh dirasakan Tengku Rayyan.
"Jangan ingat dengan cara kamu begini saya akan jatuh kasihan dan melepaskan kamu."
"Adakah semasa tubuh hamba berubah kaku baru Tengku mahu bersimpati? Apabila terpisahnya roh dari jasad baru hamba mendapat keampunan Tengku?" Rycca menyoal sinis. Dia sempat ketawa kecil seperti mengejek Tengku Rayyan.
"Rycca Aulia!!!" Tengku Rayyan mengetap rahangnya sebelum menyepak pintu buluh itu. Dia sangat marah mendengar segala bahasan yang keluar dari mulut Rycca.
"Saya lakukan ini semua demi kebaikan kamu! Kamu sedar atau tidak bahawa ada orang yang menginginkan kamu mati di luar sana?! Jika saya tidak melakukan ini kamu pasti akan terbunuh sebelum sempat sampai ke Essam!" Tengku Rayyan menjerkah kuat cuba menyedarkan Rycca dari kedegilannya.
"Percayakan saya Rycca. Saya berjanji akan membantu kamu tetapi bukan sekarang. Kamu hanya perlu bersabar dan tunggu hari itu tiba."
Rycca bingkas bangun dan mendekati Tengku Rayyan di muka pintu. Matanya memerah dan kedua-dua tangan gadis itu sudah mengepal penumbuk.
"Sampai bila?! Sampai bila hamba harus dikurung begini? Tiada apa pun yang berubah Tengku! Nih.. luka ni hamba dapat semasa masih berada dalam Kawasan Kautsar. Hamba tidak menapak keluar dari daerah ini, tetapi nyawa hamba tetap dalam bahaya! Kenyataannya, walau hamba dikurung sekalipun nyawa hamba masih dalam bahaya!"
"Sekurang-kurangnya nyawa kamu lebih terjamin di sini." Tengku Rayyan tidak mengalah. Dia tidak akan termakan dengan kata-kata Rycca.
"Lebih baik hamba mati sahaja daripada terkurung di sini. Hamba tidak mahu lari dari masalah!"
"Kamu ingat selepas kamu ke sana masalah kamu akan selesai?! Semua persoalan kamu akan terjawab?!" Tengku Rayyan mencengkam pintu buluh itu.
"Dan jika hamba terkurung di sini sekalipun masalah hamba tidak akan selesai juga! Tengku mampu membongkarkan segala kekusutan hamba? Siapa ibu hamba?! Mengapa mereka ingin membunuh hamba?! Apa kaitan hamba dengan kerajaan ini?! Bagaimana hamba boleh ke sini?! Dan siapa lelaki misteri itu?! Tengku boleh jawab?!! Dan berapa lama lagi saya harus tunggu untuk Tengku menjawab semua itu?!" Rycca menjerit nyaring.
Tengku Rayyan terpana dengan segala soalan yang diasak oleh Rycca. Sungguh dia terkelu mahu membalas apa kerana tiada satu pun yang dia tahu.
Rycca tersenyum jengkel melihat kebisuan Tengku Rayyan. Hatinya sedih apabila diperlakukan begini sedangkan sudah jelas lelaki itu mengetahui bahawa dia seorang yang baik.
"Usah berjanji jika Tengku tidak dapat tepati! Usah berjanji perkara yang tidak pasti! Hamba mahu melihat tindakan lebih daripada omongan kosong semata-mata." Sejurus itu Rycca kembali memusingkan badannya dan kembali duduk di sudut ruangan. Buang masa sahaja dia bertikam lidah dengan lelaki itu.
Tengku Rayyan mendengus garang melihat sikap keras kepala Rycca. Selagi Rycca bertekad mahu ke Essam, dia akan tetap mengurung gadis itu di sini. Tengku Rayyan berjalan meninggalkan bilik tahanan itu dengan perasaan yang mendongkol marah.
"Jika sesuatu terjadi kepadanya, sakit atau pengsan, bawa terus ke rumah sakit dan maklumkan pada saya!" Sempat Tengku Rayyan berpesan kepada Azzan yang mengawal di situ.
Share this novel