AFSHIN 29

Fantasy Completed 7262

"Hamba mahu berkelana ke Kawasan Essam!" Satu nafas Rycca bersuara dengan penuh nekad kepada Tengku Rayyan.


"Tidak!!! Saya tidak izinkan kamu ke sana! Saya tak izinkan!!" Tengku Rayyan menggeleng-gelengkan kepalanya tanda tidak bersetuju dengan rancangan Rycca.


"Hamba tidak meminta izin dari Tengku, tetapi hamba menyatakan hasrat hamba ingin ke sana. Suka atau tidak hamba tetap dengan keputusan hamba!" Rycca membalas berani. Kali ini walau apa pun halangan yang bakal ditempuhi semasa perjalanan nanti dia akan cuba bertahan asalkan dirinya sampai ke sana.


"Saya pembesar di kawasan ini! Semua rakyat yang menetap di sini perlu mengikut arahan saya. Jika saya tidak izinkan sesuatu, maka kamu tidak boleh melakukannya!" Tengku Rayyan merenung Rycca tajam. Dia tak akan sesekali benarkan Rycca melangkah keluar dari pintu pagar Kawasan Essam.


"Tetapi.." Belum sempat Rycca membalas Tengku Rayyan memotong percakapannya.


"Dan jangan lupa kamu masih ada hukuman yang perlu dijalani. Selagi saya belum pastikan rantai tersebut kepunyaan kamu atau bukan, kamu akan dikurung selama itu! Saya juga belum yakin kamu masih orang baik atau sebaliknya!"


"Azzan! Azzan!" Tengku Rayyan memanggil nyaring. Tergopoh-gapah Azzan berlari menghampiri apabila namanya diseru.


"Ya Tengku."


"Bawa Dayang Rycca ke bilik kurungan semula. Jangan bebaskannya tanpa arahan saya." Tengku Rayyan memberi arahan dengan tegas.


Azzan jelas bingung mendengar arahan itu. Bukankah tadi mereka baik-baik sahaja? Apa yang terjadi? Tetapi untuk bertanyakan itu kepada Tengku Rayyan adalah tidak sama sekali. Lebih baik dia ikut sahaja apa yang diperintahkan sebelum dia sendiri yang dikurung.


Baru sahaja Azzan mahu mengikat tangan Rycca, tangannya ditepis kasar oleh gadis itu. Terjongket sebelah kening Azzan kepada Rycca.


"Tidak cukupkah apa yang terjadi sebentar tadi?! Adakah itu semua tidak membuktikan yang hamba cuma mangsa keadaan?! Ini.. Lihat!" Rycca mengunjukkan kedua-dua belah tangannya kepada Tengku Rayyan.


"Luka yang hamba dapat, apakah ini semua masih tidak membuktikan yang hamba tidak bersalah sama sekali! Apa lagi bukti yang Tengku cari sebenarnya?!" Rycca menyoal garang. Dada Tengku Rayyan dipukul untuk menunjukkan betapa sakit hati perempuannya menghadapi sikap tidak bertimbang rasa lelaki itu.


Tengku Rayyan mengalihkan pandangannya ke arah lain. Dia takut hatinya berubah lembut apabila terus-terusan berhadapan dengan kemarahan Rycca. Tindakannya mengurung Rycca semula adalah tindakan yang paling selamat supaya gadis itu tidak berdepan dengan bahaya. Dia sungguh risau jika Rycca bermastautin ke Essam dalam keadaan Kerajaan Afshin yang huru hara sekarang. Apa-apa sahaja boleh terjadi.


"Baiklah kalau itu keputusan Tengku. Tetapi hamba tidak akan mengalah begitu sahaja! walau hamba dikurung jauh nun ufuk langit, atau di celah deretan lembaran bumi, hamba akan mencari jalan untuk ke sana jua! Itu sahaja cara hamba untuk menyingkap segala persoalan yang hamba lalui selama ini!." Rycca mengetap giginya kuat.


"Bawa dia sekarang Azzan!" Sejurus itu Tengku Rayyan berpaling dan meninggalkan Rycca. Amaran yang diberi tidak dipedulikan. Apa yang pasti selagi Rycca dikurung, gadis itu tidak boleh bertindak sesuka hati.


Azzan kembali menggapai tangan Rycca sebelum mengikatnya dengan tali. Kali ini Rycca membiarkan sahaja dirinya diikat tanpa niat ingin melawan.


"Sabarlah Rycca. Mungkin Tengku lakukan ini semua demi kebaikkan kamu. Kerajaan berada dalam bahaya sekarang. Jadi Tengku takut ada perkara buruk terjadi ke atas kamu nanti." Nek Galyn memegang bahu Rycca cuba memujuk.


"Terima kasih nek.." Akhirnya Rycca dibawa pergi oleh Azzan separuh rela.

"HAMPIR separuh rumah yang terbakar sudah diperbaiki Tengku." Azzan menunduk hormat kepada Tengku Rayyan dan Tengku Rafan.


"Bagaimana dengan musuh yang menyerang pada malam itu?" Tengku Rafan menyoal. Dia mengetahui perkara itu daripada kakandanya sendiri.


"Hamba dan anak buah yang lain masih cuba mencari jejak mereka. Tetapi agak sukar berikutan hari hujan dan hampir seluruh kesan tapak kaki mereka hilang begitu sahaja. Dan hamba agak yakin yang mereka sudah meninggalkan kawasan ini."


"Baiklah kalau begitu, kamu boleh pergi." Tengku Rafan membuat isyarat tangan menyuruh Azzan pergi meninggalkan mereka dari singgahsana itu.


"Tunggu! Saya mahu bertanya tentang Dayang Rycca." Tengku Rayyan yang berdiam sejak tadi mula bersuara. Dia tidak senang duduk apabila tiada khabar berita perihal gadis itu.


"Ada apa-apa perkara pelik yang dia lakukan selama dua hari ini?" Tengku Rayyan menyoal dengan wajah serius.


"Tidak tengku. Dayang Rycca lebih banyak termenung dan berdiam diri di sana. Tidak seperti sebelum ini." Azzan melaporkan apa yang dilihatnya selama dua hari mengawal Rycca.


"Lagi?" Tengku Rayyan masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang diterima.


"Makanan juga tidak dijamahnya. Hanya air kosong yang menjadi bekalannya selama dua hari. Itu sahaja apa yang hamba lihat Tengku."


Tengku Rayyan mengangguk lemah memberi isyarat supaya Azzan bersurai. Nampaknya Rycca melancarkan mogok dengan sebegitu rupa.


"Kakanda nampak sangat mengambil berat tentang gadis itu." Tengku Rafan bersuara mengejutkan lamunan abangnya.


"Susah untuk kakanda percaya bahawa dia dalang di sebalik semua ini. Sedangkan sebelum ini dia yang berkorban nyawa untuk kakanda berkali-kali." Tanpa segan silu Tengku Rayyan meluahkan kegusarannya.


"Jadi mengapa kakanda memilih untuk mengurungnya? Lepaskan sahaja dia dari sini. Biar dia kembali ke tempat asal-usulnya semula." Tengku Rafan memberi cadangan.


"Kerana kakanda risau ada perkara buruk yang akan terjadi kepadanya. Sementelah kejadian pada malam itu membuktikan ada seseorang yang menginginkan dia mati. Entah mengapa hati kakanda tidak boleh membiarkan perkara itu terjadi." Tengku Rayyan mengeluh. Tengku Rafan tersenyum nipis mendengar luahan abangnya. Dia tahu abangnya mula menyayangi gadis yang bernama Rycca itu.


"Jika betul kakanda ingin melindungi orang yang kakanda sayang, bukan begini sahaja caranya. Sampai bila kakanda mahu mengurungnya di situ? Dia juga berhak mendapat kebebasan seperti orang lain. Adinda tidak mahu kakanda menyesal di kemudian hari." Nasihat Tengku Rafan lembut. Dia menepuk-nepuk bahu abngnya sebelum pergi meninggalkan ruangan itu. Biarlah abangnya itu memikirkan kewajaran kata-katanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience