"Macam ma.. mana kau tahu sia.. pa aku sebenarnya?!" Tertahan-tahan suara Tengku Rafan menyoal Rycca sambil melawan kesakitan akibat cengkaman perempuan itu.
"Tak mungkin budak yang sudah berumur 5 tahun masih tidak merasai erti kehilangan. Sedangkan orang yang mati dihadapannya tika itu adalah darah dagingnya sendiri. Dan tidak mungkin bagi seseorang yang terkenal dengan sifat sopan, lemah lembutnya tidak terkesan langsung dengan kematian itu..." Rycca memberikan pandangan sayu ke arah Tengku Rafan. Dia tidak bodoh untuk menilai insan yang berada di dalam genggamannya ini. Umur 5 tahun walaupun masih dianggap kanak-kanak tetapi, mereka sudah boleh memahami apa yang berlaku di sekeliling mereka kerana dahulu dia juga mempunyai rasa yang sama iaitu... kehilangan!
"Heh! Tak sangka perkara sekecil itu mampu buat kau teka siapa aku sebenarnya." Keluhan sinis yang dilepaskan Tengku Rafan mengembalikan lamunan Rycca.
"Dan kejadian serangan pertama yang berlaku dalam kawasan pembesar. Aku nampak sendiri kau mengambus lubang berdekatan dengan pagar kawasan belakang. Disebabkan itu tiada seorang pun pengawal yang curiga dan menganggap semuanya selamat. Cuma aku yang tidak mahu menyimpan sebarang prasangka buruk terhadap kau pada waktu itu memilih untuk mendiamkan diri dan menganggap semua itu hanya perkara biasa. Tidak mungkin kau sejahat itu." Fikiran Rycca kembali menerawang pada peristiwa dia terserempak dengan Tengku Rafan setelah menyelamatkan seekor kucing oren di atas pokok. Dia melihat lelaki itu mengangkat daun dan dikumpulkan pada satu kawasan. Siapa sangka di bawah timbunan daun kering itu terdapat satu lubang yang dihubungkan dengan kawasan luar. Lubang untuk membawa masuk musuh yang menyerang Tengku Rayyan malam itu.
"Ad.. Adinda Raf.. Rafan?" Penuh emosi nada itu menyeru sang adik yang bagaikan terlupa akan kehadirannya. Dua wajah kini mula terpusing ke arah suara itu berbunyi.
Dapat dilihat Tengku Rayyan sedang mencengkam tanah dengan kuat seperti melepaskan perasaan. Kepalanya kelihatan tergeleng-geleng menidakkan kebenaran yang terbentang di hadapan mata.
"Apa yang adinda lakukan sekarang?" Akhirnya terluah juga soalan itu dari bibir Tengku Rayyan. Jelas sedang cuba menahan amarah yang akan meletus bila-bila masa sahaja.
Tengku Rafan tersenyum jengkel melihat perubahan abangnya. Kalau semuanya sudah terbongkar, jadi tiada guna dia cuba berdalih lagi. "Aku buat semua ini demi ib..." Belum sempat Tengku Rafan menghabiskan ayat, Tengku Rayyan sudah menerkam ke arahnya.
Leher baju Tengku Rafan dicengkam kuat sehingga tubuh itu terangkat menghadapnya. Terpelanting Rycca yang berada di belakang Tengku Rafan sejak tadi. "Apa yang kau buat sekarang?!!!" Tengku Rayyan menjerkah kuat di hadapan wajah adiknya. Sudah hilang panggilan adinda yang digunakan selama ini.
"Aku buat apa yang aku rasa betul. Aku bukan bodoh macam kau. Berjuang di samping orang yang membunuh bonda." Cukup perlahan suara itu melantun ke arah Tengku Rayyan. Perlahan tetapi mampu menghancur lumatkan sekeping hati.
"Sudah banyak kali aku dan ayahanda beritahu kau! Bukan Essam yang membunuh bonda tetapi Dahak! Kau faham tak, DAHAK!!" Naik turun dada Tengku Rayyan mengucapkan hal itu.
"Dahak cuma alasan untuk Maanika melepaskan diri. Perempuan tua itu boleh sahaja menyerah diri kepada Dahak sejak awal demi keamanan Afshin. Tetapi apa yang dia buat? Disebabkan kuasa yang mengalir dalam diri dia, dia pentingkan diri sendiri. Mahu mempertahankan kerajaan konon.. Sedangkan dia sudah mengorbankan banyak rakyat. Dia yang patut mampus, bukannya bonda!!" Lantang sekali Tengku Rafan membidas.
Serentak itu sebiji penumbuk melayang ke muka Tengku Rafan. "Sungguh aku tidak menyangka kau menyimpan dendam buat Maanika selama ini... Kenapa? Kenapa kau tidak dapat menerima hakikat bahawa bonda mati disebabkan tugasnya sebagai pejuang? Kenapa Rafan?" Lirih suara Tengku Rayyan kedengaran. Rycca hanya mendiamkan diri memerhati dua beradik itu beragu bicara.
"Aku tak sekuat kau dan ayahanda yang mampu maafkan semua orang! Aku akan tebus keadilan di atas kematian bonda!"
"Dengan cara begini? Menyertai Dahak membuat kekacauan dan kau sebagai pemimpin mereka? Membunuh sana sini! Ini yang kau panggil keadilan?!"
"Ini sahaja cara untuk aku balas dendam pada Maanika! Maanika ada banyak peluang untuk selamatkan bonda! Dia ada kekuatan dan kuasa. Tetapi... Apa yang akhirnya jadi?! Dia menjadikan bonda sebagai kambing hitam untuk dia terus hidup! Sedangkan bonda hanya insan lemah yang bergantung pada usaha diri sendiri!" Setitis air mata jantan mula menuruni lekuk pipi Tengku Rafan. Tengku Rayyan terkedu melihat mutiara jernih itu.
"Tiada siapa sangka Tengku Sari akan berdiri menghadang pedang yang ingin merobek tubuh Tengku Maanika pada waktu itu! Jika bonda aku dapat mengagak apa yang bakal berlaku, aku jamin dia tidak akan biarkan Tengku Sari berbuat demikian. Kau tidak patut balas dendam kepada siapa yang Tengku Sari ingin lindungi, tetapi kau patut balas dendam kepada orang yang telah mencabut nyawa ibunda kau! Iaitu Dahak sendiri! Kau menyertai kumpulan mereka ibarat kau berkawan dengan pembunuh ibu kau... Tengku Rafan!!" Rycca akhirnya bersuara. Langkah kaki dibawa mendekati dua lelaki yang penuh emosi itu.
"Diam!!! Kau tiada hak untuk berbicara tentang ibunda aku! Jangan cuba memanipulasikan aku. Aku tahu apa yang aku buat." Jari telunjuk Tengku Rafan mengarah tepat pada wajah Rycca. Kemudian, dia membawa pandangan semula kepada Tengku Rayyan.
"Aku akan kuasai Afshin dan dapatkan kekuatan dalam tubuh perempuan ini! Hapuskan Essam! Dan selepas Afshin jatuh dalam tangan aku, tiada sesiapapun yang berani untuk mencederakan keluarga kita lagi selepas ini! Tiada sesiapapun yang berkuasa selain Dahak selepas ini. Kita yang akan pegang dan terajui seluruh rakyat Afshin! Kau tidak mahu semua itu berlaku?!" Tengku Rafan dengan selamba bertanya kepada abangnya. Seperti seseorang yang menawarkan hadiah istimewa kepada insan lain. Penuh sarkastik.
Perlahan Tengku Rayyan melonggarkan cengkaman tangannya. Tangan itu mula jatuh terkulai di sisi. Dia menebarkan pandangan kosong kepada Tengku Rafan bersama bibir terketap.
Tengku Rafan mengambil peluang tersebut untuk memujuk abangnya lagi. "Kau tidak mahu? Jika Afshin menjadi milik kita, kita tidak perlu mengorbankan diri untuk berlawan seperti ini. Kita akan duduk di istana, hidup dalam kemewahan yang berlipat ganda, tidak perlu fikir tentang status kawasan. Bukankah itu menyoronokkan?" Seperti orang hilang akal Tengku Rafan berbicara. Kadang kala tercetus gelak tawa dari bibir itu seperti membayangkan segala ucapannya sebentar tadi.
Tengku Rayyan masih tidak memberi sebarang reaksi. Dia tidak menggeleng mahupun mengangguk. Hanya memandang segala perilaku adiknya di hadapan mata.
Rycca perasan akan perubahan emosi Tengku Rayyan. Pasti Tengku Rayyan sangat terkejut hari ini sampaikan mulut lelaki tersebut ibarat terkunci rapat mahu membidas segala kata. Rycca menarik nafas panjang sebelum mula fokus kepada Tengku Rafan kembali. Ada perkara yang ingin dia tanya kepada pengkhianat itu.
"Selama ini... Serangan yang berlaku pada aku.. pada Tengku Rayyan.. Semuanya asbab untuk kau membunuh aku?"
"Hahahahahaha!!!" Tengku Rafan mengundur beberapa tapak ke belakang bersama hilaian tawanya. Geli hatinya mendengar soalan itu.
"Kau memang bijak Rycca. Aku kagum dengan kebolehan kau berfikir." Tawa Tengku Rafan berhenti tiba-tiba. Dia mula mempamerkan wajah serius.
"Sudah tentu itu semua dirancang oleh aku! Selepas aku mengumpan kau masuk ke alam ini, aku perlu menguji sama ada betul atau tak kau pewaris sebenar Tengku Maanika. Apabila aku mendengar dari anak buah aku betapa hebatnya kau berlawan dengan mereka dan selamatkan Tengku Rayyan malam itu, aku yakin bahawa kaulah orang yang aku cari selama ini!"
Rycca terngadah mendengar kenyataan tersebut. Jadi, malam dia menyelamatkan Tengku Rayyan dari serangan hendap adalah jerat semata-mata? Untuk menguji kekuatan yang ada dalam dirinya dan lelaki ini juga sanggup mencederakan abang kandungnya sendiri. Sudah gilakah Tengku Rafan?!
Share this novel