Khabir bersama anak buahnya yang lain mula maju ke hadapan membuat benteng di hadapan Rycca. Masing-masing sudah bersedia dengan alatan mereka. Rycca merenung musuh yang datang satu-persatu. Matanya terhenti pada musuh yang berdiri paling hadapan. Lelaki misteri itu!
"Apa tujuan kamu semua datang kemari?!" Khabir bertanya garang. Dia tahu kedatangan lima orang lelaki dihadapannya ini bukan satu petanda yang baik kerana mereka semua memiliki senjata tajam.
"Urusan aku bukan dengan kau tetapi dengan perempuan itu! Berikan dia kepadaku dan kamu semua tidak akan diserang." Lelaki misteri itu mula membuat sesi tawar-menawar. Rycca dapat melihat dengan jelas lelaki itu tersenyum kemenangan di sebalik mask yang dipakai.
"Kamu kenal dengan mereka?" Khabir memandang Rycca menantikan jawapan.
"Ya! Mereka datang dari golongan Dahak dan memusnahkan Kawasan Kautsar baru-baru ini. Dan hampir sahaja membunuh hamba dan pembesar Kautsar!" Lancar sahaja Rycca memberitahu satu persatu perlakuan lelaki itu.
"Aku tidak mahu memulakan pergaduhan ini Khabir! Kau serahkan sahaja perempuan itu kepada aku dan urusan kita selesai! Jika tidak kau akan menerima nasib yang sama seperti pembesar Essam. Sakit dan tidak bermaya." Lelaki itu masih lagi cuba memancing Khabir beserta dengan ugutan dan hinaan.
Entah mengapa hinaan dari lelaki itu tentang pembesar Essam membuatkan hati Rycca menggelegak. Kerana mahukan dirinya, lelaki itu sanggup menghina orang lain dan mengugut pengawal di sini. Rycca menggenggam kayu di tangan dengan sangat erat.
Khabir memandang anak buahnya satu-persatu. Mereka semua mengangguk yakin kepada Khabir seperti memberikan semangat kepada sang jejaka itu.
"Selagi pembesar tidak memberikan kata putus, wanita ini merupakan tetamu Essam dan perlu dijaga! Andai kau mahu, berhadapan dengan kami dahulu!" Khabir menjawab yakin.
"Nampaknya kau buat pilihan yang salah Khabir!"
"Pengawal! Lindungi tetamu!" Sejurus Khabir memberi arahan, anak buahnya mula merapatkan kedudukan di hadapan Rycca. Tetapi Rycca tidak mungkin membiarkan orang lain cedera disebabkannya lagi. Dia perlahan-lahan bergerak ke hadapan tanpa disedari sesiapa.
"Serang!!" Lelaki misteri itu mula menjerit. Serentak itu mereka mula mara ke hadapan dan menyerang Khabir dan pasukannya.
Belum sempat lelaki itu menghayunkan parang, dadanya dihentak sesuatu dengan kuat dan wajahnya dilibas dengan kayu sehingga dia terduduk menjerit kesakitan. Mulut dan hidung lelaki itu mula mengeluarkan cecair merah. Semua yang berada di situ terdiam menyaksikan hal itu.
"Kamu betul-betul sudah melampau!!! Aku tak akan biarkan sesiapa cedera disebabkan aku lagi!!" Rycca bersuara garang. Matanya mencerlung tajam ke arah lelaki misteri yang masih tertunduk itu dengan penuh kebencian. Dirinya umpama harimau yang bersedia untuk melapah bangkai yang terhidang di hadapan mata bila-bila masa sahaja.
Khabir dan pengawal yang lain berpandangan sesama sendiri. Anak buah kumpulan Dahak juga berhenti menyerang dan turut terpana melihat ketua mereka ditumpaskan dengan hanya beberapa serangan.
Seorang lelaki dari kumpulan Dahak melangkah ke arah Rycca untuk kembali menyerang. Tanpa menoleh seinci pun kepada lelaki itu, Rycca mengangkat kayu tepat ke arah sang lelaki.
"Setapak kau maju, aku berjanji roh kau bercerai dari badan! Dan jasad kau akan kucincang lumat sehingga tiada satu pun yang tersisa!!" Rycca bersuara garang sebelum memberikan pandangan maut ke arah lelaki itu. Terhenti terus langkah sang lelaki daripada mendekati. Terus terkaku di tempatnya berdiri.
Pintu gerbang terbuka semula sebelum Azzim muncul bersama kudanya. "Bawa gadis itu bersemuka dengan pembesar. Pembesar membenarkannya masuk menghadap." Azzim mendekati rakan pengawalnya yang lain. Dia turun dari kuda dengan wajah hairan.
"Apa yang berlaku di sini Tuan Khabir?" Azzim menyoal polos.
"Mereka mahu menyerang gadis ini." Terang Khabir ringkas.
Azzim terkejut dengan kenyataan itu. "Kita mesti lindungi gadis itu. Pembesar mahu tetamu ini dibawa dalam keadaan yang sempurna sifatnya tanpa sebarang kecederaan. Jika tidak kita yang bakal berdepan hukuman!" Azzim bersuara cemas. Khabir tidak memberi respon.
Rycca yang mendengar semua perbualan itu mampu menarik nafas lega. Akhirnya penantiannya selama ini berakhir. Dia menjatuhkan tangan ke sisi.
"Jangan pernah menguji kesabaran aku! Aku tak ganggu hidup kau dan aku minta kau tidak ganggu hidup aku lagi selepas ni!" Rycca terus memalingkan muka dan meninggalkan lelaki misteri itu.
Tercetus ketawa kecil dari Khabir dan anak buahnya yang lain. "Itulah, lain kali jangan jadi seperti paku sebatang, kuat bunyinya bertalu-talu..." Seorang anak buah Khabir mengejek.
"Jangan sesekali berlagak lantang, baru dua serangan sudah mendapat malu." Sambut anak buahnya yang lain sebelum mereka mula ketawa terbahak-bahak. Khabir menggeleng-gelengkan kepalanya melihat telatah mereka sebelum mula mengiringi Rycca masuk ke Kawasan Essam.
Nyata ada pandangan penuh dendam mengiringi pemergian Rycca. Pandangan yang tidak gentar dengan amaran yang diterimanya tadi. Insan itu mula mengepal penumbuk bersama hati yang membara dan penuh muslihat.
Share this novel