AFSHIN 09

Fantasy Completed 7268

Dulang di tangan ditatang dengan penuh berhati-hati. Risau jikalau tersilap langkah, pasti sahaja semua kuih yang disusun cantik jatuh menyembah bumi. Rycca hanya membontoti dua orang lagi dayang juga menatang dulang yang sama sepertinya. Tugas pertamanya hari ini adalah untuk menghidangkan minum petang kepada Tengku Rayyan dan Tengku Rafan.


"Kenapalah nak kena berhidang bagai? Minum petang sahaja pun." Rycca membebel perlahan. Badannya sudah terasa penat dan lenguh dek kerana belajar membuat kuih-muih bersama Mama Dayang sejak pagi. Leceh sungguh dirasakan.


Mereka menghidangkan makanan di atas meja kecil yang terdapat di ruangan kutub khanah. Begitulah rutin harian Tengku Rayyan dan Tengku Rafan. Jika mereka tidak menghabiskan masa di bilik bacaan ini pada waktu petang, pasti mereka berada di dalam rumah penyambut tetamu. Bermain dan bercerita tentang aset negara dan hal-hal berkaitan Kautsar.


Gelak ketawa Tengku Rayyan dan Tengku Rafan hanya dipandang sekilas dengan ekor mata. Rycca yang berdiri dekat dinding hanya menyumpah seranah di dalam hati. Mengutuk kerana tidak puas hati dengan peraturan kawasan ini. Bak kata Mama Dayang, mereka harus menunggu sehingga tengku habiskan santapan dan tidak boleh meninggalkan ruangan itu sesuka hati.


'Kenapalah nak kena tunggu? Nanti kalau sudah habis makan panggil sahajalah dayang untuk datang kutip. Bukan susah pun. Dahlah tunggu sambil berdiri, kalau bagi kerusi aku duduk tak apalah juga.' Rycca menggerutu geram.


"Betulkah adinda mendengar desas-desus mengatakan Kawasan Dahak sudah mula membuat kekacauan di atas kawasan sekitar?" Tengku Rafan bertanya sambil menghirup teh panas di dalam cawan.


"Benar sekali apa yang dikatakan adindaku, Rafan. Kakanda sendiri melihat rakyat mereka membuat kecoh di pasar semalam. Entah bagaimana mereka boleh begitu berani bertindak sedemikian. Sudah lupakah mereka natijah yang bakal diterima jika terus-terusan membuat kacau di kawasan lain?" Tengku Rayyan bersuara tegas. Terlihat urat-urat di wajahnya bersama rahang yang diketapkan.


"Bisa jadi mereka melakukan semua itu untuk menarik perhatian kita. Kerana mereka tahu susah untuk masuk ke dalam kawasan pembesar, jadi mereka membuatkan kita sendiri keluar bersemuka dengan mereka." Tengku Rafan cuba menyuarakan firasatnya. Jika terdapat masalah yang berkaitan rakyat Kautsar, mereka hanya menghantar pengawal untuk menguruskan hal itu, untuk turun tangan secara langsung adalah tidak sama sekali. Hal ini kerana selangkah mereka mengambil keputusan untuk keluar dari kawasan pembesar, pasti ada bahaya yang menanti.


Jadi mereka perlu mengurangkan atau mengelak daripada melakukan aktiviti di luar kawasan pembesar. Jika keadaan terlalu memaksa, barulah mereka akan bertindak tetapi haruslah berteman ramai pengawal.


Rycca hanya menadah telinga mendengar perbualan Tengku Rayyan dan Tengku Rafan. Dilihatnya dua lagi dayang yang berdiri di sisi hanya berdiri tegak tanpa menunjukkan sebarang reaksi. Hanya dirinya yang bagaikan cacing kepanasan berada di situ.

"Hmm.. Rasanya betul apa yang disangkakan adinda Rafan. Kakanda juga pernah mendengar, penyakit pelik yang dihadapi pembesar di Kawasan Essam adalah disebabkan oleh rakyat Dahak. Rasanya sudah dua puluh tahun berlalu, tetapi penyakitnya masih tidak dapat diubati." Tengku Rayyan memegang dagunya. Cuba mengingat kembali kejadian lama yang terjadi di Kawasan Essam.


Rycca yang mendengar perkataan 'Essam' disebut terus sahaja memasang telinga. Dia berminat tentang nama itu. Terasa dekat di hatinya apabila nama itu disebut. Seperti sudah sebati dengan dirinya.


"Sungguh kasihan apabila melihat keadaannya. Semuanya terjadi berawal daripada kekecohan yang berlaku antara rakyat Essam dan Dahak sehingga melibatkan campur tangan pembesar Essam sendiri. Tetapi bala lain pula yang menimpa menyebabkan pembesar mereka jatuh sakit dan seluruh rakyat Essam bagaikan hilang semangat dan turut bersedih akan hal itu." Tengku Rafan bersuara kecewa. Kecewa kerana Kerajaan Afshin mempunyai rakyat seperti Kawasan Dahak. Kawasan yang berstatus rendah kerana ke mana sahaja rakyat Dahak merantau, pasti akan mendatangkan masalah kepada orang sekeliling.


"Sehingga kini Kawasan Essam sangat berhati-hati menerima kedatangan dari kawasan lain. Kakanda sendiri juga perlu melalui beberapa ujian sebelum bisa masuk menemui pembesarnya." Terang Tengku Rayyan pula.


Rycca mengerutkan dahi cuba memahami setiap bait kata yang keluar dari kedua-dua mulut adik-beradik itu. Nampaknya jika benar dia menemui Kawasan Essam sekalipun, pasti susah untuk dia memboloskan diri masuk ke kawasan itu untuk mencari ibunya. Rycca mengeluh perlahan. Dia memandang ke arah Tengku Rayyan dan Tengku Rafan yang masih berbincang akan hal itu.


Entah mengapa dapat dirasakan dirinya sedang diperhatikan, Tengku Rayyan menoleh ke arah Rycca. Matanya bersabung dengan anak mata hitam milik Rycca. Rycca yang menyedari hal itu pantas memandang hadapan semula.


Tengku Rayyan mengerutkan dahi sebelum mula bangun dari duduknya. Dia berjalan menghampiri Rycca. Tengku Rafan hanya membuntuti abangnya itu dari belakang.


Rycca mula cemas apabila Tengku Rayyan merenungnya lama. Dua lagi dayang yang berdiri di situ sudah mula menundukkan pandangan walaupun sesekali anak mata mereka menjeling ke arah Rycca. Seperti ingin tahu apa yang dilihat oleh Tengku Rayyan.


"Kamu.. " Tengku Rayyan menunjukkan jari ke arah Rycca. Dia rasa dia mengecam gadis itu.


"Kamu gadis yang ditangkap semalam?!" Tengku Rayyan akhirnya dapat mengingat kembali. Patutlah muka gadis itu seperti pernah dilihatnya. Tetapi disebabkan sekarang gadis itu tampil lebih kemas dari sebelum ini membuatkan Tengku Rayyan mengambil masa untuk mengenali Rycca.


Rycca menundukkan kepalanya. Walaupun dia tahu tindakannya itu tidak dapat mengubah apa-apa, tetapi dia berharap Tengku Rayyan tidak memarahinya.


Tengku Rayyan melangkah setapak menghampiri Rycca. Kini dia berdiri betul-betul di hadapan Rycca.


Rycca mengundur ke belakang. Dapat dirasakan dirinya bakal dibentak lagi oleh Tengku Rayyan. Dia masih memandang lantai kayu sambil tangannya bermain antara satu sama lain.


"Kamu mencuri dengar perbualan kami?!" Tengku Rayyan mengetap gigi. Tengku Rafan sudah mula tidak tentu arah. Tidak suka melihat abangnya marah tidak tentu pasal.


"Tak. Saya cuma.. " Rycca memanggungkan kepala cuba melihat keadaan diri Tengku Rayyan. Mata itu bagaikan belati tajam yang merenungnya seperti mahu membunuh.


"Cuma?!!" Tengku Rayyan menaikkan suaranya satu oktaf.


"Cuma saya terdengar sikit sahaja." Rycca menunjukkan gaya sedikit dengan jarinya. Dia tersengih hambar ke arah Tengku Rayyan.


"Sudahlah kakanda. Hal kecil sahaja." Tengku Rafan cuba memujuk.


"Kamu memang suka mencari masalah di sini! Saya rasa kamu patut diberikan hukuman supaya kamu takut untuk mengulangi kesalahan kamu kembali!" Tegas Tengku Rayyan bersuara. Setiap kali dia menemui gadis itu, pasti ada sahaja perkara yang tidak kena.


"Hukuman lagi. Tak cukup ke saya dah bersutuju nak jadi dayang dekat sini? lepastu nak tambah pula hukuman lain." Tanpa sedar Rycca sudah mula menyuarakan rasa tidak puas hati kepada Tengku Rayyan. Terkejut dayang-dayang yang berada di situ melihat sikap Rycca. Tengku Rafan juga sudah menepuk dahi di belakang Tengku Rayyan.


"Kamu..!!!" Tengku Rayyan mengetap bibirnya menahan marah. Sekali lagi gadis ini berani berlawan kata dengannya. Selama ini tiada seorang rakyat pun yang berani melakukan hal itu, tetapi sekarang gadis itu bagai ingin mencabar kesabarannya.


"Saya perintahkan kamu tidak boleh menyantap walau secebis roti sekalipun sehingga timbulnya matahari keesokan hari! Jika kamu berani mengingkar arahan saya, tahulah apa hukuman saya akan berikan selepas ini." Tengku Rayyan tersenyum sinis. Puas melihat muka Rycca yang bagai tercekik kulit pisang itu.


"Mari adinda. Kakanda sudah tiada rasa mahu membaca lagi." Sejurus itu Tengku Rayyan meninggalkan ruangan itu bersama Tengku Rafan.


Rycca menghentakkan kakinya tanda protes. Sudahlah dirinya tidak menjamah apa-apa sejak tengah hari tadi. 'Tak guna betul punya jantan. Dia expect aku nak berdiri sahaja macam robot tadi. Dah aku ni ada telinga, mestilah aku dengar apa yang diorang cakap.' Rycca mengutuk di dalam hati.


"Tapi kalau aku makan pun dia bukannya tahu." Rycca memuncungkan mulut sambil melangkah longlai ke arah meja kecil itu. Ingin mengemas kuih-muih yang dimakan oleh Tengku Rayyan dan Tengku Rafan sebentar tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience