Rycca mundar-mandir di hadapan pintu kurungannya. Dia mula menggigit kuku sambil kepala sesekali didongakkan ke arah pintu masuk yang berhadapan dengan tempat dia berada sekarang. Lagaknya seperti menunggu seseorang hadir di situ.
Pintu gerbang dibuka membuatkan Rycca pantas sahaja mengfokuskan pandangan ke arah itu. Terlihat dua orang lelaki yang menangkapnya sebentar tadi hadir bersama seorang lelaki yang tidak dikenali. Rycca hanya menunggu mereka menghampiri dirinya.
"Tengku, inilah gadis yang hamba ceritakan." Azzan menunjuk Rycca dengan ibu jarinya. Dia memberi laluan kepada Tengku Azman untuk melihat Rycca dengan lebih jelas.
"Siapakah gerangan kamu?! Asal-usulmu!" Tengku Azman memegang kepala keris yang tersemat gagah di pinggang. Sebelah tangannya lagi naik bermain-main dengan misai yang melentik di wajah.
Rycca menjongketkan sedikit hujung mulutnya. Dia cuba mentafsir perkataan yang digunakan oleh lelaki yang digelar Tengku itu. Lelaki itu juga memakai baju melayu tetapi kain yang dikenakan agak lain daripada pemuda-pemuda yang menangkapnya sebentar tadi. Kainnya nampak lebih mahal dan ada sesetengah tempat bersulamkan benang emas membuatkan baju melayunya terlihat lebih eksklusif.
"Katakan sekarang!" Tengku Azman membentak apabila dilihat Rycca hanya memandang pelik ke arahnya.
Rycca mencebik ke arah Tengku Azman. Menyampah apabila dirinya dibentak begitu. 'Aku debik juga orang tua ni. Dahlah datang sini marah-marah aku. Sepatutnya aku yang marah kerana dipaksa datang ke sini.' Rycca menjeling tajam cuba menunjukkan protes di hati.
"Berani kamu mengabaikan soalan dari Tengku!" Azzan sudah mula membuka suara. Dia tidak mengenali gadis itu. Tetapi tingkah-laku gadis itu terhadap pemimpin mereka sangat tidak sopan.
"Apa niat kamu berkelana ke sini? Dari kawasan manakah kamu bertandang?" Tengku Azman kembali menyoal dengan garang.
"Eh! Saya tak hingin pun nak datang sini!Tetapi mereka yang memaksa saya untuk mengikut arahan dan apabila saya buka mata sahaja, sedar-sedar saya sudah dikurung. Entah apa kesalahan yang saya lakukan pun saya tak tahu. Tiba-tiba sahaja nak kurung anak dara orang macam ni. Sakit tahu tak!" Rycca akhirnya meluaskan rasa tidak puas hati yang disimpan sedari tadi.
Tengku Azman sudah mencerlungkan mata mendengar segala tohmahan dari Rycca. Azzan juga terkejut kerana tidak menyangka gadis kecil molek itu berani berlawan mulut dengan Tengku Azman. Orang yang paling disanjungi di kawasan ini.
"Kamu sudah mencerobohi kawasan Kautsar! Kamu boleh dijatuhkan hukuman berat di atas ulah yang telah kamu lakukan. Jadi untuk meringankan hukuman terhadap kamu, katakan sahaja dari kawasan mana kamu bermastautin." Azzan menepuk pintu buluh itu sambil memandang tajam ke arah Rycca. Dia tidak suka melihat Rycca bercakap kasar dengan Tengku Azman.
"Kawasan Kautsar? Saya tak pernah dengar pun. Daerah mana tu?" Rycca menyoal bagaikan orang bodoh. 'Aku dekat mana sekarang? Kenapa bahasa yang diorang gunakan lain bebenor. Macam bahasa orang zaman dahulu. Pakaian pun hanya baju melayu yang tersarung. Hari ini solat Jumaat ke dah berbaju melayu siap bersampin bagai?' Rycca menilik tiga orang manusia yang berdiri di hadapannya.
"Tak usah berpura-pura tidak mengerti. Katakan tujuan asal kamu ke mari. Siapakah gerangan yang menghantar kamu mengintip kawasan Kautsar? Katakan!"
"Ok macam nilah. Saya rasa encik bertiga ni dah salah faham dengan situasi saya." Rycca mengangkat kedua-dua belah tangannya cuba menenangkan ketiga-tiga lelaki itu yang sudah menunjukkan muka bengis.
"Saya tak tahu macam mana saya boleh sampai sini, tetapi sebelum saya pengsan tak sedarkan diri, saya berada di tempat lain. Tempat lain itu maksudnya suasana hutannya tak sama dengan apa yang saya lihat sebentar tadi. Dan waktu itu hari sudah hampir malam, tetapi apabila saya sudah sedarkan diri tiba-tiba matahari pula yang terpacak atas kepala saya. Jadi saya betul-betul tak tahu bagaimana dan siapa yang membawa saya ke sini." Hanya satu nafas Rycca menerangkan segala-galanya. Dia berharap mereka akan melepaskan dirinya dari kurungan busuk itu.
Mereka bertiga mengerutkan dahi. Mungkin cuba memahami apa yang cuba disampaikan Rycca. Azzan mula berbisik-bisik dengan Ferran sebelum kembali mentunakkan pandangan pada Tengku Azman.
"Apakah benar kamu tidak melihat sesiapa selain gadis ini sebentar tadi?" Tengku Azman menyoal kepada Azzan.
"Betul tengku. Hanya gadis ini yang terbujur tidak sedarkan diri. Hamba dan anak buah hamba tidak pula mandapati perkara lain yang mencurigakan di kawasan sekitar." Azzan menunduk sedikit ke arah Tengku Azman.
"Hmm.. Beginilah. Kita biarkan sahaja gadis ini di sini selama beberapa hari. Jika benar ada dalang di sebalik kehadiran gadis ini, pasti sahaja mereka bakal kemari untuk mendapatkannya semula." Tengku Azman akhirnya memberikan cadangan.
Membuntang mata Rycca mendengar perkara itu. Dia menggelengkan kepala tidak bersetuju dengan cadangan itu.
"Apa sahaja rancangan tengku, hamba menyokong dengan sepenuh hati." Azzan menunduk hormat. Begitu juga Ferran yang berdiri di belakang.
"Hello?! Sejak bila aku bersetuju dengan rancangan tak masuk akal tu. Aku tak setuju pun. Lepaskan aku dari sini. Aku nak balik!" Rycca menghentak kedua-dua belah kakinya. Geram kerana mereka membuat keputusan di atas dirinya.
"Mari tengku." Azzan menunjukkan jalan dengan tangan kirinya. Tengku Azman mengangguk sebelum mula berjalan ke arah pintu gerbang yang menutupi bilik kurungan bawah tanah itu. Mereka berdua berlalu pergi tanpa mempedulikan Rycca yang sudah menjerit-jerit sehingga bergema ruangan itu.
"Hey! Keluarkan aku dari sini. Kau tunggulah nanti bila aku keluar, aku heret sekor-sekor pergi balai polis." Rycca mengawang-awangkan tangannya di celahan buluh pintu. Sakit sungguh hatinya apabila dilayan tidak wujud sebentar tadi.
Ferran yang masih setia berdiri di sisi kurungan itu hanya diam memerhati tingkah Rycca. Tugasnya adalah untuk memastikan Rycca tidak dapat melepaskan diri dari kurungan itu.
"Kau pun sama. Perangai dua kali lima macam diorang. Jahat!" Rycca memukul bahu Ferran dengan kuat melalui celahan pintu itu. Puas hatinya kerana dapat melampiaskan amarah kepada lelaki itu.
Ferran mengaduh sedikit sebelum mula menggosok bahu kanannya. Dia menjeling sekilas ke arah Rycca yang sudah kembali duduk di penjuru ruangan. Dapat dilihat mulut Rycca yang terkumat kamit berkata sesuatu seperti sedang menyumpah kepadanya. Tanpa sedar Ferran mengorak senyuman melihat telatah Rycca.
"Kau senyum-senyum apahal? Seronok tengok aku macam ni?!" Rycca membaling beberapa helai daun kering ke arah Ferran. Matanya sengaja dijengilkan sebagai tanda amaran.
Ferran pantas kembali mengalihkan pandangan ke arah lain. Posisinya dibetulkan kembali dan dia mula berdiri tegak mengawal kawasan sekitar. Namun bibirnya masih mengorak senyuman. Senyuman yang dia sendiri tidak pasti maksud disebaliknya.
Share this novel