AFSHIN 54

Fantasy Completed 7262

"Home sweet home!!" Rycca menjerit dengan penuh teruja sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke ruang tamu rumah. Tergeleng-geleng kepala Tengku Maanika melihat gelagat anaknya itu.


"Akak, rindunya Rycca dengan rumah ni. Rasa macam dah setahun tak balik." Kata Rycca sebelum melabuhkan punggung di atas sofa yang terdapat di ruang tamu itu.


"Apa-apa jelah Rycca. Asalkan kau bahagia. Tapi kau jangan lupa, kau masih hutang aku tentang kisah macam mana kau boleh hilang." Rissa mengecilkan matanya memandang Rycca sambil tangan memapah Tengku Maanika.


"Erk.. Aku pergi mandi dulu eh akak. Dah bau kambing. Lepas mandi aku storylah dengan kau." Sejurus itu, mencicit Rycca berlari naik ke biliknya di tingkat atas.


"Jangan lupa tau!" Sempat Rissa menjerit sebelum adiknya hilang dari pandangan. Kemudian, tumpuannya kembali kepada Tengku Maanika di sisi.


"Mari ibu. Rissa tunjukkan bilik ibu." Sopan Rissa berkata sambil tersenyum hambar.


Sejujurnya sejak Tengku Maanika sedarkan diri, Rissa tidak tahu mahu bereaksi bagaimana apabila berhadapan dengan wanita itu. Yalah, bertahun-tahun tidak bertemu tiba-tiba muncul di hadapannya dalam keadaan begini. Pastinya sangat kekok. Entahlah Rissa sendiri tidak pasti apa yang dirasakan sekarang. Marahkah dia kerana ibu sendiri meninggalkan keluarga mereka terkontang-kanting dahulu? Gembirakah dia apabila wanita itu telah kembali? Dia sendiri tidak tahu. Yang pasti dia menginginkan sebuah penjelasan terhadap semua ini.


"Tak banyak yang berubah dengan rumah ini. Nampak sama seperti dahulu." Kata Tengku Maanika cuba memecahkan kesunyian. Dia tahu apa yang bermain di fikiran Rissa sekarang. Dan dia tidak salahkan layanan yang diberikan anaknya itu.


Senyap. Tiada balasan dari Rissa sehinggalah tubuh mereka tiba di hadapan pintu bilik yang pernah dihuni sang bapa semasa hayatnya. Terasa sebak menghimpit dada Tengku Maanika setelah masuk ke dalam bilik itu. Bilik yang menjadi saksi kisah cinta mereka dahulu. Bilik yang banyak menyimpan kenangan antara mereka berdua. Walaupun kedudukan perabot sudah berubah, Tengku Maanika masih dapat merasakan kehadiran suaminya di situ.


"Ni bilik ayah. Ibu boleh tinggal dalam bilik ini." Terang Rissa tanpa dipinta.


Rissa bergerak membuka langsir bilik membiarkan cahaya menerobos masuk. Setelah itu, dia membawa langkah ke muka pintu.


"Rehatlah ibu. Rissa minta diri dahulu." Pamit Rissa sebelum mahu melangkah keluar namun ditahan dengan suara Tengku Maanika.


"Rissa marahkan ibu?"


Suasana bertukar hening. Sangat hening sehingga kedengaran bunyi detikan jam di dinding. Seketika kedengaran nafas berat dihembus oleh Rissa.


"Rissa perlukan masa untuk hadam semua ini. Bertemu semula dengan darah daging yang pernah tinggalkan Rissa bertahun dahulu bukan perkara mudah untuk diterima akal. Semuanya terlalu cepat. Tolong beli Rissa masa." Perlahan dan penuh berhemah Rissa berkata. Tidak mahu mengecilkan hati seorang ibu.


"Ibu minta maaf tentang perkara itu. Ibu faham. Ibu tak paksa nak. Mungkin setelah mendengar cerita dari Rycca nanti, kamu dapat menerima kehadiran ibu dalam rumah ni." Balas Tengku Maanika pula. Dia menghadiahkan senyuman mesra kepada Rissa.


Rissa sekadar mengangguk sebelum kembali melangkah. Beberapa detik tubuh itu hilang di sebalik pintu meninggalkan Tengku Maanika berseorang di bilik itu. Kini, dia berpeluang melepaskan rindu kepada suami yang sudah tiada.


Pintu almari pakaian dibuka. Sehelai kemeja bewarna biru lembut ditarik keluar lalu dipeluk kemas. Sangat kemas seolah-olah memeluk suaminya. Bercucuran air mata mula membasahi wajah.


"Maafkan Ika bang... Maafkan Ika..."

RYCCA mengelap rambut basahnya sambil mata meliar mencari kelibat Rissa. Sedang dia kalut mencari, matanya tiba-tiba tertancap pada pintu bilik kerja ayahnya yang pernah diceroboh masuk dahulu.


Entah apa yang merasuk dirinya, Rycca sekali lagi masuk meneroka bilik itu bersama senyuman yang tersungging di bibir. Kaki dibawa perlahan bersama ingatan mengimbau kejadian yang berlaku beberapa bulan lepas. Bilik inilah yang membawanya mencari ibu. Bilik inilah bermulanya pertemuan pertama antara dia dan Tengku Rafan. Dan bilik ini jugalah membawa dirinya memasuki alam di sebalik mata.


"Buku itu.." Desis Rycca perlahan sambil mendekati rak buku paling hujung. Dia tersenyum apabila menjumpai apa yang dicari. Buku berkulit tebal dan berwarna ungu itu diambil sebelum Rycca melabuhkan duduk di atas kerusi.


"Sebelum ni aku tak ada keinginan pun untuk baca. Tetapi setelah apa yang aku lalui dekat sana, aku rasa aku berhak tahu serba sedikit tentang Afshin." Monolog Rycca sendiri. Dia berkira buku itu menceritakan tentang sejarah kewujudan Afshin.


"Riwayat Afshin." Rycca mula membuka buku secara rawak. Saja mahu membaca suka-suka.


"Tengku Rayyan..." Namun, nama itu dahulu yang menyapa matanya. Rycca mula termenung jauh.


'Sihatkah lelaki itu? Bagaimana keadaan dia sekarang? Adakah dia akan tunggu kehadiran aku semula?' Rycca mula masuk mood sedih sebelum...


Eh?!!!


Macam mana nama Tengku Rayyan ada dalam buku ni!!


Mata Rycca terbuntang luas memandang buku di tangan semula. Setiap baris pada muka surat tersebut dibaca satu-persatu. Bukan sekali tetapi berulang-kali Rycca cuba menghadam. Halaman seterusnya dibuka dengan wajah pucat.


"Ini... Ini kejadian Tengku Rayyan diserang di kawasan pembesar... Dan... na... ma... aku juga ada?" Terketar-ketar Rycca bercakap sendiri.


"Nek Galyn? Ferran? Tengku Rafan? Tengku Azman... Apa semua ni?" Rycca bertambah gementar apabila mengetahui isi buku tersebut. Pantas halaman lain diselak kasar.


"Kejadian kami diserang semasa hendak ke Essam." Lagi halaman diselak berkali-kali sambil mata tidak berhenti membaca.


"Kebakaran di Kautsar..."


"Perang... "


Pantas Rycca terbangun dari kerusi sambil tangan menutup mulutnya yang mula terlopong. Terasa semua bulu romanya berdiri tegak. Rycca faham sekarang. Sangat faham dengan isi kandungan buku itu. Buku itu menceritakan segala apa yang berlaku di Afshin baru-baru ini. Sangat teliti dan tepat. Percakapan yang pernah berlaku antara mereka turut ditulis dalam buku tersebut.


"Macam mana?" Rycca mencengkam rambut dengan kuat cuba berfikir logik.


"Tak mungkin!! Siapa yang menulis buku ini? Bagaimana dia tahu apa yang berlaku di Afshin sedangkan... buku ini tidak berusik sejak awal?!" Rycca termangu sendiri. Dia sangat-sangat pelik sekarang.


"Rycca?" Tidak semena-mena namanya diseru seseorang.


"Oh mak kau!" Terlompat Rycca akibat terlalu terkejut. Pantas pandangan dikalih ke arah suara tersebut. Dapat dilihat Rissa sudah berada di hadapannya dengan wajah pelik.


"Apahal kau ni? Macam nampak hantu saja?"


"Kau tu yang masuk tak ketuk pintu. Terkejut aku." Rycca mengurut dadanya bagi menghilangkan rasa debar. Sudahlah dia tidak habis lagi terekjut pasal buku itu. Sekarang ditambah dengan sergahan Rissa pula.


"Dah pintu pun tak tutup, aku masuk jelah terus. Ha! Aku nak dengar cerita. Cepat bagitau aku." Gesa Rissa sambil menarik sebuah kerusi lalu didudukkan di hadapan Rycca. Dia kemudian melabuhkan duduk dengan penuh gaya.


Rycca menggigit kuku sambil memandang kakaknya dan buku tersebut bersilih ganti. Dia mula mengeluh. Biarlah dia menceritakan segalanya kepada Rissa hari ini. Persoalan tentang siapa yang menulis buku tersebut dibiarkan sahaja. Rissa lebih penting sekarang.


"Sebelum tu, aku nak bagitau kau dahulu yang segala apa yang keluar dari mulut aku walaupun kedengaran macam tak masuk akal, macam tak betul, sebenarnya adalah perkara benar yang aku lalui selama hampir empat bulan hilang." Rycca mula masuk mood serius.


Rissa mengangguk faham. Dia seperti dapat mengagak apa yang bakal diberitahu Rycca. Perlahan mulutnya dibuka. "Kau kena sorok dengan bunian kan?" Tanya Rissa terus. Dia memandang tajam si adik tanda tidak main-main.


"Kenapa kau boleh buat kesimpulan macam tu?" Soalan berbalas soalan.


"Boleh jadi. Sebab berbulan pihak polis cari kau dekat hutan tu tapi tak jumpa sedangkan diorang dapat kesan jejak kau dekat bekas tapak permainan lama tu. Kau hilang dekat situ kan?" Jelas Rissa lagi. Terdiam terus Rycca kerana apa yang dikatakan Rissa itu betul. Taman permainan itulah detik pertama dia mula menghilangkan diri dari dunia ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience