"Kurung gadis ini di ruangan bawah tanah!" Suara kasar itu membuatkan tidur Rycca terganggu. Bahunya terasa ditolak-tolak kasar dengan tangan entah siapa-siapa. Matanya perlahan-lahan dibuka sebelum terkatup kembali kerana terpanah dengan terikan mentari yang betul-betul memancar bebola matanya. Eh! Mentari? Rycca bingkas bangun daripada pembaringannya sebelum mata mula terbuka luas. Cuba mencerna apa yang berlaku.
"Usah kau beranjak dari dudukmu!" Suara yang sama masih kedengaran.
Sedarlah Rycca bahawa dirinya tidak berseorangan sekarang. Dia dapat melihat enam orang pemuda yang mengenakan baju melayu siap bersampin elok sedang mengelilinginya. Keenam-enam pemuda tersebut memakai tengkolok ungu dan terselit kemas sebilah keris di pinggang masing-masing. Tetapi yang lebih menarik perhatian Rycca sekarang adalah lembing-lembing yang terhunus tepat ke arahnya.
"Erk.." Bagai tercekik air liur Rycca melihat hujung lembing tajam yang berkilau disinar matahari.
"Bangkit dari dudukmu!" Salah seorang dari mereka mula mengarah. Mungkin dia yang mengetuai kumpulan itu.
Rycca yang masih belum dapat berfikir dengan waras hanya diam di tempat duduknya. Dia mula mengingat kembali apa yang berlaku sebelum dirinya tidak sedarkan diri.
"Aku rasa tadi aku tengah naik Merry-Go-Round sebelum aku pengsan. Dan waktu tu hutan dia bukan macam ni." Rycca meliarkan pandangan ke sekitar kawasan. Hutan yang lebat tadi kini bertukar menjadi pohon-pohon menghijau dipenuhi bunga bewarna-warni. Sangat lain dan sangat cantik sekali.
Azzan yang melihat gelagat gadis itu bercakap sendiri, mula berfikir bukan-bukan. 'Gadis ini kelihatan tidak siuman sahaja. Lebih baik aku segera bawa ke kurungan bawah tanah sebelum dia beraksi bukan-bukan.' Wajahnya kembali serius.
"Turuti kami! Nescaya kau tidak akan diapa-apakan." Azzan kembali bersuara. Suaranya masih dikeraskan seperti tadi.
"Aku dekat mana sekarang? Kalau betul aku pengsan, takkanlah aku boleh pengsan sampai pagi? Tapi siapa yang bawa aku ke sini? Apa yang terjadi sepanjang aku pengsan?" Rycca masih belum berhenti menggumam memikirkan segala persoalan. Wajahnya sudah bertukar cemas dan manik-manik peluh kelihatan membasahi ruang dahinya.
"Ferran, bawa gadis ini sekarang!" Azzan sudah malas mahu melayani kerenah gadis itu.
Kelihatan salah seorang anak buahnya yang bernama Ferran terus mendekati Rycca. Tangan Rycca dikilaskan ke belakang sebelum diikat dengan tali. Kemas sekali ikatannya sehingga membuatkan Rycca mendecit sedikit menahan sakit. Rycca tidak berani melawan kerana saat itu dia tidak punya apa-apa alat untuk mempertahankan diri sedangkan mereka memegang senjata tajam yang boleh merobek dagingnya bila-bila masa sahaja.
"Hei! Apa ni! Lepaslah! Korang nak bawa aku ke mana ha?" Rycca meronta-rinta dengan kuat. Dia tidak rela dirinya dibawa pergi oleh lelaki-lelaki asing ini. 'Bagaimana kalau mereka merupakan perogol bersiri. Habislah aku.' Rycca mula memikirkan segala kemungkinan.
"Lepaskan aku! Tolong! Tolong! Ada orang cuba culik saya!" Rycca sudah menjerit-jerit tidak tentu arah. Walau apa pun yang terjadi, dia harus melepaskan diri dari cengkaman pemuda-pemuda itu.
Baru sahaja Rycca mahu memberontak kembali, terasa lehernya bersentuh dengan objek sejuk. Rycca mengerling sekilas ke sisi. Tubuhnya diam tidak berkutik.
"Usah membantah! Lebih baik diam daripada memberontak begini!" Suara garau itu betul-betul berada di telinga kirinya. Azzan terpaksa mengugut Rycca dengan kerisnya untuk mendiamkan perbuatan gadis itu.
Rycca serasa mahu menangis. Badannya sudah menggigil takut dan tangannya juga berasa sejuk sekarang. Tidak dapat tidak, dia terpaksa mengikut segala kemahuan lelaki itu sebelum dirinya diapa-apakan.
Setelah memastikan bahawa Rycca sudah mula mendengar kata, Azzan menyelitkan kerisnya di pinggang kembali. Dia mengeluarkan satu sarung hitam di belakang badannya kemudian disarungkan di kepala Rycca. Dia tidak mahu gadis itu melihat jalan yang mereka akan lalui nanti.
Rycca hanya mampu tawakal ketika pandangannya ditutupi oleh Azzan. Kaki mula mengorak langkah mengikut derapan pemuda-pemuda di sekelilingnya. Jika mereka menolaknya ke kiri, maka dirinya akan berpusing ke kiri, jika badannya ditolak ke kanan, maka ke kananlah dia mengorak langkah. Sepanjang perjalanan, dia dapat mendengar suara orang ramai di sekelilingnya. Setelah agak lama berkeadaan begitu, Rycca dapat merasakan dia mula memasuki satu ruangan yang tertutup dan bergema seakan-akan gua.
"Aku dekat mana sekarang?!" Rycca bertanya dengan cemas. Kepalanya ditoleh ke kiri dan kanan menantikan jawapan daripada sesiapa sahaja yang mendengarnya.
Azzan hanya membiarkan soalan itu sepi berlalu. Dia membawa Rycca ke salah satu ruangan yang paling hujung. Pintu ruangan itu diperbuat daripada buluh dan terdapat ruang-ruang di antara buluh-buluh tersebut persis seperti pintu penjara.
Kain hitam yang menutupi wajah Rycca dibuka dan tali yang mengikat tangannya sejak tadi dipotong dengan keris. Tanpa sempat menghadam apa-apa, tubuh Rycca ditolak masuk ke ruangan itu sebelum pintu buluh tersebut dikunci dengan mangga.
"Tak guna punya jantan! Main tolak-tolak pula!" Rycca sempat memaki sebelum kembali berdiri tegak ke arah mereka.
"Lepaskan akulah! Hei! Kau tunggu aku report polis bila keluar dari sini nanti! Lepaslah gila!" Pintu buluh itu digoncang kuat. Berharap dengan cara itu Rycca dapat melepaskan diri.
"Hoi jantan! Buka kunci ni. Aku nak keluar!" Rycca mencerlung tajam ke arah mereka.
Azzan tidak memberi sebarang reaksi melihat perangai Rycca yang sudah naik hantu. Dia berpusing dan mula meninggalkan kawasan kurungan itu bersama-sama anak buahnya. Hal ini harus dilaporkan pada Tengku Azman. Pemerintah kawasan mereka.
Share this novel