"Tengku! Tengku! Dayang Rycca terlepas!" Azzan berlari terhinjut-hinjut ke arah Tengku Rayyan. Dia berdecit sakit sambil tangan kiri memegang perut yang terasa senak. Sampai sahaja di hadapan Tengku Rayyan, Azzan jatuh terduduk.
"Apa kamu cakap?!!" Tengku Rayyan yang belum sempat menjamah makan malamnya sudah bangun berdiri.
"Bagaimana boleh jadi begini Azzan? Apa yang berlaku?" Tengku Rafan yang turut berada di situ menyoal cemas.
"Dayang Rycca pengsan di dalam bilik kurungan sebentar tadi, jadi hamba mengarahkan seorang pengawal untuk masuk melihat keadaannya. Tetapi hamba tidak menyangka semua itu helah semata-mata. Tanpa sempat hamba bersedia membuka buah kuda, Dayang Rycca sudah bersiap siaga dengan serangannya." Jelas Azzan dalam satu nafas.
"Takkanlah bilangan pengawal yang ramai di situ tidak mampu mengalahkan seorang gadis yang tidak menjamah walau sebutir makanan pun selama dua hari?! Apa yang kamu semua lakukan?!" Tengku Rayyan berang. Dia mencerlung tajam ke arah Azzan.
Azzan menunduk menekur lantai. "Maafkan hamba dan pasukan hamba Tengku. Serangannya pantas dan sukar dipatahkan. Kelima-lima pengawal yang menghentikannya turut cedera termasuk hamba."
"Kamu sudah mengarahkan orang untuk mencarinya? Dalam keadaan tubuhnya yang lemah begitu pasti dia tidak boleh pergi jauh." Tengku Rafan menyoal lembut. Dia mahu meredakan sedikit suasana tegang itu. Tengku Rayyan dilihat sudah mundar-mandir di hadapannya.
"Sudah Tengku. Kita hanya perlu menunggu khabar berita dari mereka."
"Arahkan pengawal pintu gerbang untuk tidak membenarkan sesiapa keluar dari Kawasan Kautsar malam ini! Saya sendiri akan turut mencari Rycca bersama pengawal yang lain! Mari Azzan." Tengku Rayyan bergegas pergi mengambil kelengkapannya di dalam rumah pembesar. Dia akan mencari gadis itu sehingga jumpa malam ini!
RYCCA berlari pantas melalui lorong-lorong kecil di celahan rumah yang berada di situ. Dia tiada arah tuju tetapi apa yang pasti dia mahu jauh dari pandangan Tengku Rayyan serta pengawalnya. Tiba-tiba kaki yang laju membuka langkah berhenti mendadak.
"Aku perlu membuat rancangan untuk keluar dari Kautsar." Rycca berbisik perlahan.
'Hanya satu jalan yang aku tahu untuk keluar dari sini. Pintu gerbang! Tetapi aku yakin pasti pengawal di situ sudah dimaklumkan dengan kehilangan aku.' Rycca bermonolog sendiri. Dia mengetuk-ngetuk dagunya memikirkan cara lain supaya dia boleh bebas dari dinding yang mengelilingi Kautsar ini.
Sedang dia asyik memikirkan cara membebaskan diri, Rycca mula teringat kata-kata Mama Dayang dahulu. 'Air ini merupakan tali air dari kawasan gunung dan sudah pasti bersih untuk dijadikan bahan basuhan.' Gunung!
"Jika aku melawan arus air itu pasti akan berjumpa gunung yang terletak di kawasan luar. Bijak sekali!" Rycca tersenyum puas. Dia tahu apa yang perlu dilakukannya sekarang.
Sebelum Rycca meneruskan perjalanannya, dia ternampak sebakul buah pear yang terletak di sebelah sebuah rumah kayu. Tanpa membuang masa, Rycca mengambil beberapa biji buah tersebut lalu membungkusnya di dalam kain batik yang turut berada di situ. Satu biji lagi digigit sebagai alas perut. Sempat juga dia menggapai sebatang kayu panjang setebal genggamannya lalu diikat dengan tali sebelum digalas silang di badan. Cukup sebagai alat untuk mempertahankan diri.
Setelah memastikan semua keperluan sudah dibawa, Rycca mula mencari tali air untuk melaksanakan rancangannya. Hampir satu jam dia melawan arus akhirnya dia sampai di dinding yang memisahkan Kawasan Kautsar dengan kawasan luar. Rycca menarik nafas lega.
Rycca menundukkan kepalanya untuk melihat ke mana arah sambungan longkang tersebut. Betullah longkang itu dihubungkan dari luar dan mereka hanya membina dinding di atas longkang itu. Jika dia mahu keluar, dia perlu menyelam di dalam air dan berjalan melepasi dinding yang agak tebal.
Tanpa berlengah, Rycca melompat masuk ke dalam longkang tali air itu. Paras air agak dalam separa dengan lehernya. Rycca sedaya-upaya menahan kesejukan apabila air itu mula membasahi tubuh. Dia menarik nafas panjang sebelum mula menyelam dan berjalan untuk melepasi dinding tersebut. Arus air yang agak deras menerpa wajahnya menyebabkan Rycca terpaksa memejamkan mata dan mengerahkan tenaga yang banyak untuk terus berjalan.
Tangan dibawa meraba-raba di permukaan air untuk memastikan bahawa dia sudah melepasi tembok. Apabila hanya angin yang menyapa tangannya tahulah Rycca bahawa dia sudah berjaya meloloskan diri. Rycca bangun dari longkang tersebut dengan nafas yang tercungap-cungap. Hampir dua minit lebih dia menahan nafas membuatkan Rycca rasa separuh mati. Dia meloncat keluar dari longkang itu dan baring menelentang untuk melepaskan lelah.
"Akhirnya.. Aku be.. Uhuk! Uhuk! Bebas.." Rycca bersuara girang bersama batukan yang mengiringi suaranya akibat tersedak air. Walaupun sekarang dirinya diulit dengan kegelapan malam, tetapi dia tidak peduli. Mata dibawa merenung bintang-bintang yang berkerlipan di dada langit.
"Ibu.. Rycca datang.. Sikit sahaja lagi ibu." Rycca bersuara lirih sebelum perlahan-lahan matanya tertutup rapat. Damainya kedengaran angin malam yang bertiup lembut membuatkan sekujur tubuh gadis itu mudah sahaja diulit mimpi yang panjang.
Share this novel