Setelah beberapa detik berlalu, Tengku Rayyan kembali mencelikkan mata. Pelik kerana badannya tidak merasa sakit dengan libasan itu. Tetapi perasaan pelik perlahan-lahan bertukar menjadi terkejut apabila matanya melihat tubuh Rycca yang sedang menahan parang itu menggunakan kayu yang terlepas dari tangan musuh yang melawannya tadi. Terlihat urat-urat hijau mula timbul dari tangan Rycca dan juga wajahnya.
Dengan kekuatan yang ada, Rycca berjaya menolak parang itu menjauhi Tengku Rayyan. Dia mengawasi keempat-empat pemuda di hadapannya dengan pandangan tajam. Tidak ubah seperti seekor helang yang bersedia untuk menerkam mangsanya.
Pemuda yang berdiam diri di atas titi merah itu juga jelas kelihatan terkejut dengan kehadiran Rycca.
Tanpa amaran Rycca merampas gugusan kunci yang terselit di celah sampin Tengku Rayyan lalu disimpannya di dalam poket seluar.
Tengku Rayyan jelas terkedu dengan perbuatan Rycca. Dia dapat melihat sisi lain Rycca pada malam ini. Rycca kelihatan bengis dan marah memandang pemuda-pemuda itu.
"Kau orang nak sangat kan kunci ini?!" Rycca memusing-musingkan kayu di tangan. Lagaknya seperti dia sudah biasa bermain dan memegang kayu itu sebelum ini.
"Ambillah kalau berani.." Rycca mula mengorak senyuman sinis bagaikan mencabar pesaingnya. Batang kayu dilurut dengan genggaman tangan dari hujung kanan ke hujung kiri, seperti memberikan kekuatan kepada kayu itu untuk beraksi bersamanya.
"Serang dia. Walau apa pun terjadi, dapatkan kunci itu dari genggamannya!" Ketua mereka mula mengarah.
Tengku Rayyan sudah mula cemas di tempat duduknya. Dia risau Rycca tidak mampu menangkis serangan dan bakal mencederakan tubuhnya sendiri. Tetapi dia tidak dapat membantu Rycca kerana badannya sangat sakit sekarang.
Ferran juga beberapa kali cuba untuk berdiri dari pembaringannya. Tetapi dia kembali jatuh terduduk bersama darah yang mula keluar dari perutnya. Rasa mencucuk-cucuk seperti belati.
Rycca mengelak ke kiri apabila parang mula terhunus ke perutnya. Tangan kanannya menggenggam kuat pergelangan tangan musuh sebelum kakinya diangkat tinggi menyepak kepala musuh dengan kuat sehingga musuh jatuh tidak sedarkan diri. Parang yang dipegang dirampas dan dibuang ke arah Tengku Rayyan. Bagaikan mengerti, Tengku Rayyan mengutip parang itu kerana takut pemuda yang lain mengambilnya semula.
Seorang lagi pemuda memegang parang menyerang Rycca selepas itu. Dia melibas membabi buta ke arah Rycca. Rycca mengundurkan kaki beberapa langkah ke belakang sambil cuba mencari ruang untuk melumpuhkan serangan itu. Tangannya terluka sedikit akibat daripada libasan itu, tetapi dia tidak peduli. Dengan tenaga yang masih bersisa, Rycca mengangkat tinggi kayu di tangan sebelum dihayun ke tangan pemuda itu.
Berdecit pemuda itu menahan sakit. Setelah itu, dengan pantas Rycca mengilaskan tangan pemuda itu ke belakang. Dalam masa yang sama dirinya diserang dengan pemuda ketiga. Rycca terus menghadiahkan sepakan ke arah dada pemuda ketiga itu sebelum membanting pemuda yang masih dipegangnya tadi ke tanah.
Kayu dikutip semula dan dia berjalan penuh berani ke arah dua lagi musuh yang masih tersisa. Tanpa rasa takut, Rycca menyerang kedua-duanya serentak. Serangannya sangat pantas dan cekap. Kayu dihentak kuat ke kepala, sikunya merengkuh dagu dan mata mereka tanpa belas dan tumbukan demi tumbukan dihadiahkan sehingga tersembur darah pekat dari mulut mereka. Sekejap sahaja dua orang pemuda itu sudah baring kesakitan di tanah.
Rycca mengelap darah yang mengalir di pinggir bibir dengan belakang telapak tangan. Kini dia berjalan menuju ke arah ketua mereka yang masih berdiri di atas titi.
"Siapa engkau?!" Pemuda itu mencerlung tajam ke arahnya.
"Sepatutnya aku yang tanya. Apa yang kau nak dari kawasan pembesar?!!" Rycca menjerit nyaring. Dadanya turun naik menahan marah.
"Engkau.. Engkau bukan orang Kautsar!" pemuda itu menggelengkan kepala berkali-kali. Dia mengetap giginya menahan marah kerana anak buahnya habis dikerjakan Rycca
"Aku akan kembali! Tunggu sahaja nasib kau selepas ini." Serentak itu, pemuda itu membaling sebilah pisau kecil ke arah Rycca sebelum mula melarikan diri ke kawasan belakang pembesar. Dia tahu dengan kehandalan Rycca berlawan tadi pasti sahaja dapat mengalahkannya dalam sekelip mata.
Rycca berjaya mengelak daripada serangan itu. Dia mula mengatur langkah untuk mengejar pemuda itu yang sudah menjauh tetapi dimatikan niatnya apabila terdengar erangan daripada Ferran. Dapat dilihat keadaan Ferran dan Tengku Rayyan yang sudah cedera parah. Dengan cemas, Rycca mendapatkan mereka semula.
Share this novel