AFSHIN 40

Fantasy Completed 7268

"Benarlah apa yang ayahanda dengar dari orang sekeliling, Kerajaan Afshin bagaikan telur di hujung tanduk sekarang. Jika tidak diselamatkan pasti akan jatuh dan hancur, tetapi jika diselamatkan sekalipun kita masih tidak tahu sama ada telur itu akan retak atau baik-baik sahaja!" Tengku Azman mengeluh sambil memegang surat yang dihantar dari Kawasan Essam. Surat untuk meminta pertolongan bagi menghadapi peperangan nanti.


"Ayahanda masih memikirkan perihal ibunda?" Tengku Rafan bertanya lembut apabila dilihat wajah Tengku Azman bertukar mendung.


"Bohonglah jikalau ayahanda katakan bahawa ayahanda tidak memikirkan tentang ibunda kamu. Setiap saat ayah rindukan dia..." Segaris senyuman manis cuba diukir di wajah tuanya. Cuba mengusir rasa sedih di hati.


Tanpa mereka berdua sedar, ada sekujur tubuh berbaring lesu mendengar perbualan mereka sejak tadi. Lambat-lambat tubuh itu bangun duduk bersandar di kepala katil.


"Jadi.. Essam sudah mula mencari kelengkapan perang sekarang?" Tengku Rayyan mencelah perbualan ayahanda dan adindanya. Jadi, betullah apa yang dia dengar dari Nek Galyn. Pasti Rycca sudah berada di Essam.


"Rayyan.." Kepala Tengku Azman pantas berpusing melihat anaknya itu.


"Kakanda sudah sedar?" Tengku Rafan pula menyoal. Dia bertindak pantas menyuakan segelas air kosong kepada abangnya. Hanya sekali teguk sahaja, kosong gelas tersebut.


"Kamu nampak lemah Rayyan. Ayahanda tidak pernah melihat keadaan kamu begini sejak... " Kata-kata Tengku Azman terhenti sendiri.


"Sejak kematian ibunda? Itu apa yang ayahanda mahu katakan?" Pantas Tengku Rayyan menyambung. Nafas berat dihembus perlahan sebelum dia bangun dari pembaringannya.


"Ayahanda... anakanda minta maaf kerana tidak dapat mengawal emosi sebentar tadi dan membuatkan ayahanda risau. Tetapi sekarang anakanda sudah berfikir masak-masak..." Tangan Tengku Azman digenggam erat.


"Jika anakanda terus lari dari kelemahan diri sendiri, sampai bila-bila pun hidup anakanda akan dihantui. Jadi, anakanda mahu meminta izin dari ayahanda untuk berhadapan dengan kelemahan ini!" Tajam anak mata Tengku Rayyan menikam mata Tengku Azman tanpa berkelip.


"Mak.. Maksud Ka.. Kakanda?" Tengku Rafan mula bersuara cemas. Dia sepertinya tahu apa yang ingin disampaikan Tengku Rayyan.


"Anakanda mahu turut serta dalam peperangan ini! Anakanda mahu menjadi pahlawan seperti ibunda dahulu!" Lancar dan jelas Tengku Rayyan melafazkan semua itu.


Terpejam mata Tengku Azman mendengar bait-bait bicara yang menyapa pendengarannya. Dia tahu dan sangat pasti bahawa saat ini akan tiba. Semangat perjuangan dan tanggungjawab yang tinggi dalam diri anaknya yang satu itu sudah cukup dia kenal dari kecil. Dan dia tidak terkejut apabila hal itu yang diminta kerana dia sudah mengagak dari awal.


"Kamu sedar apa yang kamu bakal hadapi nanti? Keputusan kamu mungkin memakan diri kamu sendiri! Perang kali ini boleh jadi lebih dahsyat daripada apa yang ibunda kamu hadapi! Kamu sudah cukup bersediakah Rayyan?!" Bergetar mata Tengku Azman membalas renungan anaknya. Hati mula berbelah bahagi sama ada membiarkan anaknya berjuang demi negara atau memilih untuk pentingkan diri sendiri.


"Ini sahaja cara untuk kita membalas perbuatan mereka! Anggaplah apa yang anakanda lakukan adalah demi menuntut bela atas kematian bonda! Anggaplah ini semua demi menebus kesakitan yang bonda hadapi sebelum ajal menjelma!! Anggaplah ini sebagai karma yang mereka perlu hadapi kerana mengambil nyawa seseorang yang kita sayang dan kasihi!!! Kakanda akan pastikan mereka menerima nasib yang sama sepertimana mereka lakukan pada bonda!" Nekad Tengku Rayyan dengan semnagat amarah penuh di dada.


"Tetapi, selangkah kamu masuk ke medan perang, nyawa kamu bakal menjadi taruhan. Hanya kekuatan yang dapat melindungi kamu Rayyan... Kamu pasti?" Berat hati Tengku Azman mahu melepaskan Tengku Rayyan berpergian dalam keadaan begini.


"Pasti ayahanda! Dahulu ibunda lakukan demi melindungi kita semua. Sekarang biarlah anakanda pula yang menggalas tanggungjawab itu!" Setitis air mata jantan Tengku Rayyan mula menitis. Dia mengaku tadi dirinya umpama orang gila yang masih diselimuti dengan kisah silam. Namun sekarang, dia tidak mahu terus selesa berada di dalam selimut itu. Kalau bukan dirinya, siapa lagi yang Kautsar dan Essam mahu harapkan?


Tengku Azman mula tersenyum bangga. Demi Kautsar, dia juga harus membuat keputusan demi rakyatnya. Jika anaknya mampu menggalas semua beban itu, kenapa dia tidak boleh? "Sebagai ketua Kautsar, ayahanda mewakilkan kamu pergi ke Essam! Bawalah pengawal yang dirasakan layak untuk berjuang bersama kamu! Dan pulanglah membawa kemenangan dan keamanan untuk Afshin kembali!!" Ujar Tengku Azman dengan penuh semangat. Dia dapat rasakan perjuangan kali ini pasti membuahkan hasil yang lumayan. Jujur dikatakan perasaan takut itu masih ada. Takut anaknya bakal menerima nasib yang sama seperti isterinya. Namun, dia tidak peduli kerana dapat dilihat bagaikan ada aura isterinya hidup dalam badan Tengku Rayyan.


Setelah mendengar arahan itu, Tubuh Tengku Azman dibawa ke dalam dakapan. Tengku Rayyan sungguh gembira apabila impiannya menjadi pahlawan tercapai.


Tidak bagi Tengku Rafan yang hanya menjadi penonton dari tadi. Dia mula menggeleng-gelengkan kepalanya tanda tidak setuju dengan semua itu. Dia tidak setuju langsung!


"Tidak! Adinda tidak suka kakanda mengambil risiko sebegini! Adinda tidak suka!" Suara Tengku Rafan bergetar hebat. Dia tidak mampu bayangkan bagaimana hidupnya tanpa abang di sisi nanti.


Dua pasang mata itu mula menoleh ke arahnya. Tengku Rayyan mendekati adiknya dengan senyuman manis. Cuba menyedapkan hati Tengku Rafan bahawa semuanya baik-baik sahaja.


"Adinda jangan risau. Kakanda pergi sekejap sahaja. Kakanda janji akan pulang dengan selamat. Selama kakanda berperang, kakanda amanahkan adinda untuk menjaga ayahanda bagi pihak kakanda, boleh?" Tengku Rayyan mengusap bahu Tengku Rafan. Dia masih tidak perasan dengan perubahan pada diri Tengku Rafan. Badan Tengku Rafan sedang bergetar hebat.


"Kita sudah berjanji mahu menjaga ayahanda berasama-sama... Mengapa tiba-tiba kakanda membuat keputusan begini?!" Tengku Rafan menyoal lagi.


"Kakanda minta maaf kerana mungkir janji. Tetapi kakanda janji selepas semuanya selesai, kakanda akan pulang untuk menjaga adinda dan ayahanda kembali. Jaga diri elok-elok adinda. Kakanda sayang adinda." Tengku Rayyan memeluk erat badan adiknya. Setelah agak lama di mula merungkaikan pelukan dan menapak pergi bagi menyiapkan segala perkakas yang ingin dibawa nanti.


"Adinda tak nak kakanda mati seperti ibunda! Kita tak boleh percayakan Essam! Essam yang membunuh bonda! Essam yang membunuh bonda!! Kakanda tidak boleh menerima nasib yang sama seperti ibunda.. Adinda tak benarkan!!!" Tengku Rafan menjerit kuat. Sangat kuat sehingga mampu membuatkan Tengku Rayyan dan Tengku Azman terkaku.


Ini kali pertama mereka melihat Tengku Rafan yang terkenal dengan sifat lembutnya menjadi panas baran dan tidak tentu arah. Dia terlihat seperti orang lain.


"Apa yang adinda mengarut ni? Kita semua tahu hal tersebut terjadi kerana Dahak? Bukannya Essam." Tengku Azman menegur Tengku Rafan lembut. Dia tidak suka mendengar tohmahan yang keluar dari mulut anaknya itu.


Tengku Rafan bagaikan tersedar dari amarahnya. Dia menggengam tangan kuat cuba menahan rasa amarah yang menguasai diri. Kepala diangkat melihat Tengku Azman dan Tengku Rayyan yang sedang memandangnya dengan pandangan tidak percaya.


"Ma.. maaf ayahanda.. kakanda. Adinda terlalu takut sehingga bercakap perkara yang bukan-bukan. Adinda minta diri dahulu." Langkah kaki laju dibawa meninggalkan ruangan itu. Tengku Rafan pergi dengan wajah yang memerah.


Kejadian itu mampu membuatkan hati Tengku Rayyan menjadi risau dan gundah. Selama dia hidup bersama Tengku Rafan, itu adalah kali pertama Tengku Rafan menunjukkan emosi berkaitan dengan kematian ibunda mereka. Adakah selama ini Tengku Rafan berfikir ibunda mereka meninggal kerana Essam?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience