"Sejujurnya memang aku hilang dekat situ. Aku masuk dunia lain. Dunia yang bertentangan waktu dengan kita. Dunia yang menggunakan bahasa baku sebagai perbualan harian. Dan aku tak tahu itu dunia bunian atau bukan. Apa yang aku tahu dunia itu dipanggil Afshin." Rycca menolak buku ungu di atas meja kepada Rissa.
Rissa agak terkejut mendengar perkhabaran itu. Ini pertama kali dia mendengar nama pelik disebut oleh Rycca. Rissa menatap buku di atas meja.
"Sekarang akak dengar cerita aku baik-baik. Semuanya bermula... " Serentak Rycca membuka helaian pertama lalu diceritakan kepada Rissa satu-persatu bersama buku tersebut menjadi saksi. Sesekali tangan Rycca naik terawang-awang di udara. Sesekali wajah Rissa bertukar terkejut, tergamam, sedih. Semua perasaan itu ditunjukkan apabila mendengar cerita si adik.
Seharian itu, mereka berdua menghabiskan masa di bilik bacaan. Rycca bercerita dengan penuh semangat sementara Rissa mendengar dengan penuh tekun. Tiada langsung suara yang keluar dari mulut Rissa, diam membenarkan Rycca menghabiskan cerita kehilangannya.
"Begitulah kisahnya." Kata Rycca menutup bicara. Lega dapat meluahkan segalanya kepada kakak tersayang. Terasa beban di bahu sudah hilang dibawa angin lalu.
"Jadi, siapa yang tulis buku ni?" Rissa bertanya dengan kening terjongket.
"Aku tak tahu. Aku baru sampai pagi tadi. Bila aku buka sahaja buku ni, semuanya dah tertulis lengkap."
Rissa mengerutkan dahi mendengar penerangan adiknya itu. Sejujurnya dia mula percaya dengan kisah yang dihadapi Rycca. Melihat kesan tikamam di bahu adiknya itu, penemuan ibu dan kemunculan mereka secara tiba-tiba sedangkan kawasan tersebut sudah dicari oleh pihak berkuasa sebelum ini. Semuanya kelihatan masuk akal.
"Biarlah siapa yang tulis pun. Yang penting sekarang aku, akak dan ibu dah bersatu kembali." Putus Rycca akhirnya. Dia bertindak menggenggam tangan Rissa yang ada di atas meja.
"Sekarang kau fahamkan kenapa ibu tinggalkan kita dahulu? Disebabkan tanggungjawab dan kemusnahan kerajaan sana. Dia terpaksa pergi. Aku harap akak dapat terima ibu selepas ini." Pujuk Rycca lembut.
"Betul tu Rissa. Kalau ada orang yang lebih kuat dari ibu waktu tu, ibu tak mungkin tinggalkan kamu berdua yang masih kecil. Tetapi Afshin sangat-sangat perlukan ibu. Untuk selamatkan beratus-ratus rakyat, ibu kena pergi juga." Suara Tengku Maanika menerpa di belakang. Entah sejak bila Tengku Maanika berada di situ mereka tidak sedar.
"Ibu... " Rissa pantas bangun berlari memeluk Tengku Maanika.
"Rissa minta maaf ibu. Rissa sepatutnya mendengar dahulu perkara sebenar sebelum menjatuhkan hukuman. Ibu sudah banyak terluka sebelum ini. Jadi, Rissa tak nak tambah kedukaan itu lagi." Tangisan sayu mula kedengaran dari bibir merah Rissa. Rycca hanya tersenyum memerhati dari belakang. Dia gembira melihat penerimaan kakaknya itu.
"Tak apa. Bukan salah Rissa. Bukan juga salah sesiapa. Cuma keadaan yang memaksa kita untuk berpisah dan mensia-siakan waktu bertahun-tahun. Sekarang kita sudah bersatu kembali sebagai satu keluarga. Ibu gembira sangat." Kata Tengku Maanika sambil mengusap belakang badan Rissa.
"Betul. Tugas kami berdua adalah untuk jaga ibu sekarang sampai gemuk." Tambah Rycca lagi. Dia datang memeluk kedua-dua tubuh insan yang disayanginya itu. Akhirnya ketawa mereka pecah juga meriuhkan rumah dua tingkat tersebut.
Inilah kebahagiaan yang dicari Rycca selama ini. Walaupun tanpa kehadiran seorang ayah di sisi, Rycca tetap gembira. Sekurang-kurangnya kehadiran ibu bagaikan mengisi kekosongan ayah. Biarlah dia mengecapi kebahagian ini buat selama-lamanya.
TAMAT
Share this novel