Tombol pintu dipulas perlahan sebelum pintu kayu itu terbuka luas memaparkan keadaan bilik kerja ayahnya yang kemas dan teratur. Rycca memboloskan diri ke dalam dan tubuhnya dibawa mendekati rak buku yang agak besar di penjuru kanan bilik itu.
Tangan Rycca mula menyentuh satu-persatu buku yang tersusun cantik di atas rak. Ingatannya kembali teringatkan momen-momen bahagia dirinya bersama ayahnya ketika berada di bilik itu.
Sudah seminggu ayahnya pergi meninggalkan dunia ini akibat daripada serangan jantung secara tiba-tiba. Meninggalkan dirinya yang masih terkapai-kapai meneruskan perjuangan hidup lantaran hidupnya sebelum ini hanya bergantung pada ayahnya dan juga Rissa, kakaknya.
Ibunya pula entah berada di mana sekarang. Sejak Rycca mula mengenali dunia lagi, dia tidak pernah menatap wajah ibunya secara berdepan. Hanya gambar yang menjadi panduan tentang bentuk rupa wajah ibunya. Bukan dia dan kakaknya tidak pernah bertanya pada ayah, tetapi apabila soal ibu dibangkitkan pasti sahaja mereka akan dimarahi dengan teruk. Seolah-olah nama ibu haram disebut di hadapan ayahnya.
Langkah Rycca terhenti apabila matanya tertarik pada satu buku berkulit tebal yang terletak pada tingkat rak paling atas. Tingkat di mana ayahnya melarang keras dirinya dan Rissa untuk membaca bahkan menyentuh buku di situ sekalipun. Acap kali juga dia melepak di bilik kerja ayahnya sebelum ini, tetapi tidak pernah pula hatinya teringin membelek buku-buku itu. Mungkin kerana ayahnya sudah tiada, jadi dia berasa bebas untuk menyentuh mana-mana buku tanpa rasa risau.
Keinginan yang membuak-buak dalam diri tidak mampu dihalang. Pantas sahaja Rycca menjongketkan kaki untuk cuba mencapai buku kulit ungu tersebut. Setelah beberapa kali berusaha akhirnya buku itu berjaya ditarik keluar. Langkah kaki kembali diatur dan Rycca membawa diri sambil memegang kemas buku ungu tersebut ke kerusi empuk yang terletak berhadapan dengan cermin kaca menghadap hutan belakang rumahnya.
"Riwayat Afshin." Rycca mula menyapu habuk yang melekat pada permukaan buku itu sambil bibirnya membaca tajuk buku yang dirasakan agak menarik.
"Afshin? Apakah?" Nama itu kedengaran pelik pada pendengarannya kerana belum pernah dia mendengar sesiapa pun menyebut perkataan itu.
Dia hanya menyelak helaian demi helaian buku itu tanpa ada niat mahu membaca. Hanya sekadar melihat-lihat sahaja. Tangan yang ligat menyelak tiba-tiba terhenti apabila satu potret wajah menjamah matanya. Potret ibu!
"Rupa-rupanya ayah juga rindukan ibu, cuma dia memilih untuk menyembunyikan perasaannya di hadapan kami." Rycca tersenyum sehingga terlihat lesung pipit di kedua-dua belah pipinya.
"Rycca juga rindukan ibu. Dimanalah ibu berada sekarang? Andai suatu hari nanti ditakdirkan Rycca dapat bertemu dengan ibu, pasti Rycca tak akan lepaskan peluang itu." Rycca mengangkat potret ibunya yang terselit di celah buku. Dia mengusap wajah ibunya menzahirkan rasa rindu yang bersarang di hati.
Rycca mengerutkan dahi apabila matanya dapat menangkap tulisan yang samar-samar di belakang potret wajah ibunya. Pantas gambar itu diterbalikkan untuk melihat dengan lebih jelas.
"Kawasan Essam.." Kemudian Rycca dapat melihat beberapa nombor yang ditulis di penjuru kanan potret itu. Nombor yang tidak dapat difahami dan ditebak tafsirannya. Nombor tersebut seperti menunjukkan koordinat sesuatu tempat.
"Mungkinkah.." Rycca menekup mulut memikirkan andaian itu. 'Mungkinkah ayah mengetahui keberadaan ibu selama ini? Mungkin ini lokasi di mana ibu berada sekarang.' Terdetik hal itu dalam hati Rycca. Jika benar tekaannya selama ini, pasti dirinya dapat bertemu dengan ibu tidak lama lagi.
"Tapi mengapa ayah rahsiakan perkara ini dari aku dan kakak? Adakah dia tidak mahu kami bertemu dengan ibu? Mungkin ada perkara yang membuatkan ayah membenci ibu sehingga ayah sanggup menyembunyikan lokasi ibu dari kami?" Rycca membuang pandang ke luar tingkap kaca cuba memikirkan hal itu.
Tidak lama Rycca berkeadaan begitu, sebelum tubuhnya berdiri mendadak dari kerusi. Dari luar tingkap, matanya dapat melihat figura seorang lelaki berhoodie yang berdiri statik menghadapnya. Hanya mata lelaki itu yang terlihat kerana separuh lagi wajahnya terlindung dengan mask. Dalam samar-samar cahaya, Rycca dapat melihat dengan jelas mata lelaki tersebut yang tajam merenungnya. Tangan lelaki itu juga dapat dilihat mengepalkan penumbuk. Dia sungguh terkejut dengan kehadiran orang asing itu yang muncul di kawasan rumahnya pada waktu malam begini. Badan mula menggigil memikirkan segala kemungkinan. Setelah berjaya mengumpulkan sedikit kekuatan, Rycca membuka tingkap kaca itu sebelum menjerit.
"Siapa?" Kasar suara Rycca menjerit pada lelaki misteri itu. Lelaki itu kelihatan terkejut sebelum mula melajukan langkah pergi dari situ.
"Tunggu! Siapa kau?!" Rycca masih tidak berhenti menjerit. Hatinya sedikit bersyukur melihat lelaki itu mula beredar. Lama-kelamaan, lelaki misteri itu hilang di balik kepekatan malam. Rycca laju menutup kembali tingkap kaca dan menguncinya. Buku yang diambil diletakkan di rak semula. Potret ibunya ynag dijumpai sebentar tadi disimpan di dalam poket. Rycca keluar dari bilik itu dengan perasaan cemas.
"Aku harap dia tak berniat jahat dengan kami." Rycca berbisik perlahan sebelum mula memastikan segala tingkap dan pintu rumahnya dikunci. Dia takut lelaki itu muncul kembali dan mengapa-apakan dia dan kakaknya yang hanya tinggal berdua. Rycca masuk membawa diri ke dalam bilik tidur dengan perasaan takut yang masih bersisa.
Share this novel