Rycca melarikan pandangan apabila anak mata hitam Tengku Rayyan sesekali memanah ke arahnya. Sekarang mereka berada di dalam kawasan rumah pembesar bersama beberapa anggota pengawal lain yang dibawa oleh Azzan. Tengku Azman dan Tengku Rafan juga turut berada di situ sambil berpeluk tubuh memerhatikan Tengku Rayyan dirawat oleh Nek Galyn.
"Bagaimana anakanda boleh diserang hendap sebegini teruk? Apa yang mereka mahukan?!" Tengku Azman bersuara risau. Jika bukan disebabkan Rycca yang meminta tolong dan mengetuk pintu rumah pembesar sehingga mahu runtuh, pasti sahaja dia tidak tahu tentang keadaan anaknya yang sudah cedera teruk.
"Anakanda diserang ketika keluar mengambil angin di halaman.." Jelas Tengku Rayyan ringkas. Mungkin rasa sakit yang dialaminya sekarang membuatkannya malas untuk bercakap.
"Anakanda tahukan sekarang kawasan pembesar tidak selamat?! Kenapa anakanda berdegil dan membahayakan diri sebegitu rupa?!" Jelas Tengku Azman menyuarakan kekecewaannya dengan tindakan Tengku Rayyan. Jika Tengku Rayyan tidak keluar malam itu, pasti sahaja anaknya tidak menerima bala sebegini kerana rumah pembesar memang sukar untuk dimasuki oleh pencuri atau perompak.
"Maafkan anakanda, ayahanda.. Anakanda cuai." Tengku Rayyan menunduk sedikit kepada Tengku Azman mengaku kesalahannya. Tangan yang sudah dibalut dengan kain anduh memegang perut yang sudah kelihatan ungu mungkin terkena sepakan atau tumbukan musuh-musuh tadi.
"Ayahanda janganlah bersikap begitu. Bukankah kakanda masih dalam keadaan sakit? Lebih baik kita uruskan perompak yang sudah bertanggungjawab mencederakan kakanda seperti ini. Mungkin ada sedikit petunjuk dari mana mereka datang." Tengku Rafan akhirnya bersuara lembut. Dia memandang wajah Tengku Azman dengan penuh pengharapan.
Tengku Azman mengeluh berat. Dia hanya mengangguk mengiyakan cadangan daripada Tengku Rafan.
"Baiklah. Mari, ayahanda juga mahu melihat keadaan Ferran di bilik sakit." Tengku Azman berjalan meninggalkan ruangan itu. Ferran bersama dua lagi pengawal yang cedera berada di dalam bilik sakit rumah pembesar. Sepatutnya bilik itu hanya dikhaskan untuk golongan pembesar sahaja, tetapi Tengku Rayyan yang meminta mereka untuk dirawat di situ. Alasannya adalah untuk membalas budi kerana mereka turut berjuang bersamanya sebentar tadi.
Tengku Rafan membontoti langkah Tengku Azman sambil melambaikan tangan kepada Tengku Rayyan persis seperti budak kecil. Tengku Rayyan hanya tersenyum nipis melihat gelagat adiknya itu. Kini tinggallah mereka bertiga di ruangan itu. Tengku Rayyan, Rycca dan juga Nek Galyn. Ruangan di mana Rycca pernah dijatuhkan hukuman sebagai seorang dayang.
Rycca tidak betah berada di situ. Dia cuba berundur beberapa langkah ke belakang. Ingin melarikan diri dari pandangan Tengku Rayyan.
"Tunggu! Saya tidak izinkan kamu meninggalkan ruangan ini." Tengku Rayyan yang perasan dengan tingkah laku Rycca segera menegah. Pandangannya tidak lepas dari memandang wajah Rycca.
"Hamba sudah selesai mengubati luka Tengku. Lebam dan luka di badan Tengku agak teruk tetapi masih boleh sembuh dalam beberapa hari. Tengku hanya perlu berehat secukupnya. " Nek Galyn bersuara. Umur yang sudah meningkat usia menyebabkan orang sekeliling yang mengenalinya membahasakan dirinya sebagai nenek. Nek Galyn merupakan rakyat dari Kawasan Syafia.
Kawasan Syafia amat terkenal dengan ilmu perubatan dan mempunyai banyak bahan-bahan yang mampu menyembuhkan pelbagai penyakit. Oleh kerana itu, Kawasan Syafia juga berstatus tinggi kerana kawasan itu banyak membantu rakyat-rakyat dari kawasan lain. Dan Nek Galyn merupakan antara rakyat yang paling mahir dalam kepakaran itu yang bertanggungjawab menjaga Kawasan Kautsar apabila berlaku hal kecemasan.
"Terima kasih Nek Galyn." Tengku Rayyan membalas seadanya.
"Jika tiada apa-apa hamba ingin meminta diri." Nek Galyn mula mengemas segala peralatan yang digunakan untuk merawat Tengku Rayyan.
"Tunggu dahulu Nek Galyn. Jika tidak keberatan, saya mahu Nek Galyn merawat luka gadis ini." Tengku Rayyan menunjuk ke arah Rycca.
Nek Galyn menoleh seketika ke arah Rycca sebelum terus bersetuju dengan arahan Tengku Rayyan. Dia menggamit Rycca untuk mendekatinya.
Rycca tahu, tidak dapat tidak dia perlu menerima rawatan daripada Nek Galyn. Air liur ditelan berkali-kali dengan perasaan cuak. Cuak kerana hanya dia yang mengetahui keadaan tubuhnya yang kebal dengan luka dan benda tajam. Cuak kerana dia tidak mahu sesiapa mengetahui rahsianya itu. Tangan Rycca sudah mula bertukar sejuk.
Nek Galyn mula membawa tangannya memegang tangan Rycca yang lebam. Sebaik sahaja dia menyentuh kulit putih gadis itu, mukanya mula berpeluh. Bagaikan terkena renjatan elektrik, automatik pegangannya pada tangan Rycca terlepas.
"Maaf Tengku, izinkan hamba melakukan pemeriksaan lebih lanjut ke atas tubuh gadis ini." Nek Galyn meminta izin dengan suara bergetar.
"Kenapa?" Tengku Rayyan menyoal pantas. Jauh di sidut hatinya, dia agak bimbang dengan permintaan Nek Galyn.
"Mungkin ada kecederaan di bahagian lain yang memerlukan rawatan dengan segera."
"Baiklah. Bawa dia ke bilik persalinan saya. Saya izinkan." Tengku Rayyan mengangguk-angguk ke arah Nek Galyn.
Tanpa menunggu lama, Nek Galyn menarik tangan Rycca menyaingi langkahnya dengan laju. Lagaknya sungguh cemas sehingga menyebabkan Rycca terpaksa berlari anak sedikit sebelum mereka tiba di satu bilik di bahagian belakang.
Bilik itu penuh dengan baju melayu, sampin dan tengkolok dari pelbagai warna. Tidak lupa juga beberapa bilah keris yang tersusun elok di atas meja bulat di tengah-tengah ruangan.
Sebaik sahaja kedua-duanya memboloskan diri ke dalam, tubuh Rycca ditarik oleh Nek Galyn ke arah dinding agak kuat. Kedua-dua bahu Rycca dicengkam erat bersama panahan mata yang tidak dapat ditafsir oleh Rycca.
"Kamu bukan dari sini! Apa yang kamu lakukan di sini?" Nek Galyn bersuara agak garang.
Rycca jelas terkejut dengan pertanyaan itu. Bagaimana wanita tua ini boleh mengetahui hal itu padahal baru tadi mereka pertama kali bertemu dan bersua muka.
"Macam mana nek tahu saya bukan orang Kautsar?" Soalan dibalas soalan.
"Bukan Kautsar yang aku maksudkan. Tetapi kerajaan ini, dunia ini!!"
Share this novel