AFSHIN 06

Fantasy Completed 7262

Bunyi kicauan burung menyedarkan Rycca dari lenanya yang hanya beralaskan lengan. Rycca lekas bangun menuju ke muka pintu berharap agar dirinya sudah dibebaskan. Namun harapannya hanya tinggal harapan apabila dilihat mangga sebesar tapak tangan itu masih lagi tersarung elok di kunci pintu.


"Tak sangka aku boleh bermalam dekat sini. Apalah nasib aku." Rycca mengeluh perlahan. Dia menunduk memandang keadaan dirinya yang tidak terurus. Pasti rambutnya sudah berserabai seperti orang gila. Bajunya juga terdapat kesan kotor dan debu kerana berbaring di lantai tanpa alas.


Grr.. Grr.. Rycca memegang perutnya yang berbunyi minta diisi. Seingatnya sejak pagi semalam dia tidak menjamah sebarang makanan hatta minuman sekalipun. Makanan yang dihantar hanya dipandang sepi sehingga pengawal yang menjaganya mengambil kembali makanan tersebut untuk dibawa pergi.


"Laparnya. Itulah kau Rycca, semalam berlagak sangat tak nak makanlah, tak berseleralah, sekarang padan muka kau. Duduklah kau dekat sini sampai mati kering." Rycca memarahi diri sendiri. Dia mula mengusap perut yang masih berbunyi.


Kreaakk! Bunyi pintu gerbang dibuka menarik perhatian Rycca. Dia terpandangkan lelaki yang menjaga kurungannya semalam. Lelaki itu yang menyedari renungan Rycca hanya menayang muka tanpa perasaan. Rycca tidak peduli dengan semua itu kerana sekarang tumpuannya lebih kepada roti buku yang dipegang oleh lelaki itu. Walaupun hanya roti kering, itu sudah mampu membuatkan Rycca meleleh air liur.


Walaupun tahu Rycca masih memandangnya, tetapi Ferran hanya buat tidak tahu sahaja. Dia ingin cepat-cepat menghabiskan sarapannya sebelum kembali mengawal penjara tersebut. Ferran duduk di hadapan kurungan Rycca sambil menyandarkan badannya pada pintu buluh itu. Ingin menjamah roti di tangan.


"Erk.. " Rycca mencuit sedikit bahu Ferran. Terhenti perbuatan Ferran kerana sedikit terganggu dengan perbuatan Rycca. Dia menoleh ke arah Rycca bersama kening yang terjongket.


"Saya lapar." Rycca berkata perlahan. Terasa pipinya sudah merah menahan malu apabila mengatakan hal itu.


Ferran mengerutkan dahi kerana kurang faham dengan apa yang ingin dikatakan Rycca.


"Boleh saya minta roti tu separuh? Sikit sahaja." Rycca mengelipkan matanya memohon simpati. Berharap lelaki itu mengotakan permintaannya.


"Ini hanya roti kosong, sudikah kamu menjamahnya? Sedangkan semalam kamu dihidangkan dengan makanan yang lebih baik, tetapi tidak sedikitpun berusik." Ferran menayangkan muka tidak percaya. Tidak menyangka roti kosong itu lebih berselera daripada makanan semalam yang dirasakan lebih enak dan sedap.


"Tapi saya lapar sekarang bukannya semalam. Tak apalah kalau awak tak bagi." Rycca berura-ura mahu melangkah pergi dari situ.


"Tunggu." Ferran menahan. Roti ditangan dihulur pada Rycca. Dia dapat melihat wajah muram Rycca bertukar ceria sekelip mata. Entah mengapa hatinya juga turut tercuit melihat senyuman Rycca.


"Terima kasih." Rycca pantas mengambil roti tersebut sebelum duduk bersila di hadapan Ferran. Tanpa segan silu dia menjamah roti di tangan dengan penuh berselera.


"Siapa nama awak?" Rycca menyoal.


Ferran tidak terus menjawab. Dia diam sebentar memikirkan kewajaran dia menjawab soalan itu. Takut Rycca berniat jahat terhadap mereka.


"Jangan risau, saya bukan orang jahat. Nama saya Rycca. Awak?" Rycca masih tidak berputus asa. Entah mengapa dia menjadi peramah pula hari ini.


"Ferran." Hanya itu yang dijawab Ferran. Dia malas mengulas lebih.


"Sedap nama awak." Rycca tersenyum manis membuatkan Ferran terpana seketika.


"Boleh saya tanya sesuatu?" Rycca mula masuk mood serius.


"Semalam dua orang kawan awak tu ada cakap tentang kawasan Kautsar. Tetapi saya tak pernah dengar pun sebelum ni. Dan sekarang pun saya tak tahu berada di mana. Boleh awak bagitahu saya nama tempat ini?" Rycca memerhati sekeliling.


Ferran hanya membuang pandang ke arah Rycca. Wajah gadis itu jelas menunjukkan tanda tanya bahawa dia betul-betul tidak mengetahui keberadaannya sekarang.


"Sekarang kamu berada di kurungan bawah tanah milik Kautsar. Kamu diperintah ke sini kerana sudah mencerobohi kawasan Kautsar." Jelas Ferran. Dia hanya menceritakan serba sedikit tentang kejadian semalam supaya Rycca lebih faham.


"Kawasan Kautsar? Maksudnya daerah Kautsar? Ish! Saya masih tak berapa faham lagi dengan jawapan awak." Rycca mendengus geram. Dia rasa Ferran menggunakan bahasa Melayu apabila bercakap, tetapi satu habuk pun dia tidak faham.


"Ya. Kawasan di bawah satu nanungan Kerajaan Afshin."


"Afshin?" Rycca terkaku sebentar. Dia teringatkan kembali buku yang dijumpai di bilik kerja ayahnya. 'Riwayat Afshin'. Adakah Afshin yang sama ataupun berbeza? Apa sebenarnya yang berlaku?


"Afshin merupakan pemerintah terbesar ataupun ibu kepada semua kawasan. Kamu tidak tahu?" Ferran tersentak dengan kebenaran itu. Jika Rycca tidak mengetahui tentang Kerajaan Afshin, jadi dari mana dia datang sebenarnya? Ferran mula sangsi.

"Ok kejap-kejap. Saya dah mula rasa pening sekarang." Rycca bangun dari duduknya. Dia mula teringatkan perjalanannya datang ke mari. Ingatannya terhenti pada peristiwa dia pengsan di atas platform Merry-Go-Round.


Semuanya terjadi setelah dia membaca ukiran di kepala kuda emas itu. Lampu terpasang sedangkan kawasan itu sudah lama ditinggalkan. Sedar sahaja dari pengsan, badannya sudah berada di sini. Sangat tidak masuk akal sedangkan waktu itu gelap bertemankan senja. Mungkinkah? Wajah Rycca mula bertukar pucat memikirkan hal itu.


"Kalau saya cakap saya betul-betul tak tahu tentang Kerajaan Afshin, awak percaya?" Rycca kembali menyoal. Tangannya bermain antara satu sama lain.


"Mustahil, melainkan kamu hilang ingatan ataupun hilang akal. Setiap rakyat dan pembesar disini hadir dari Kerajaan Afshin. Tiada kerajaan lain yang bernaung di sini." Ferran juga mula bangun dari duduknya.


"Jadi anggap sahaja saya hilang ingatan. Mungkin kepala saya terhantuk di mana-mana membuatkan kotak memori saya hilang separuh." Rycca bersuara perlahan setelah agak lama mendiamkan diri. Cuba mengusir rasa cuak yang mula bertapa di hati. Dirasakan itulah alasan terbaik yang boleh diberi sekarang.


"Memori?" Ferran menyoal hairan. Pertama kali dia mendengar perkataan pelik itu.


"Maksudnya ingatan. Jadi ceritakan kepada saya semua tentang Kerajaan Afshin." Rycca mendekatkan diri ke arah Ferran yang berdiri di luar kurungan. Jika benar dia ditakdirkan ke sini, jadi dia perlu mengetahui dengan lebih lanjut tentang Kerajaan Afshin. Mungkin ibunya juga berada di sini!


Ferran menayangkan muka risau. Pertama kali dia berjumpa dengan insan yang tidak mengetahui tentang hal negara mereka sendiri. Mungkin betul Rycca hilang ingatan dan tidak sedarkan diri semalam.


"Kerajaan Afshin adalah satu-satunya kerajaan besar di sini. Diperintah oleh seorang raja yang bernama Dayyan. Mempunyai hak kekal atau hak batin ke atas sesuatu perkara. Apa yang diperintahnya harus dituruti walau sesukar mana sekalipun tugas yang diberi." Ferran berjeda seketika.


"Di bawah Afshin, terdirinya pelbagai kawasan diperintah oleh pembesar dari keturunan raja sendiri. Dan setiap kawasan yang wujud mempunyai kelebihan dan kedudukan lain-lain."


"Maksudnya kawasan Kautsar salah satu darinya?" Rycca menyoal. Dia rasa dia mula faham akan ideologi kerajaan ini.


"Ya. Kawasan Kautsar terkenal dengan kemahirannya dalam membuat alatan perang dan tergolong dalam kedudukan tinggi." Ferran kembali bercerita. Dia berharap ceritanya sedikit sebanyak dapat mengembalikan ingatan Rycca.


"Kedudukan? Setiap kawasan yang ada diberi kedudukan?" Rycca mula menunjukkan minat dengan cerita yang disampaikan.


"Benar sekali. terdapat tiga kedudukan berbeza. Tinggi, sederhana dan rendah. Setiap kawasan dianugerahi kedudukan mengikut keupayaan kawasan itu sendiri. Andai sesebuah kawasan mampu menghasilkan untung yang lebih banyak, maka tarafnya akan semakin tinggi. Dan jika sesebuah kawasan kurang menyumbang kepada kerajaan dan mempunyai rakyat yang bermasalah, kedudukannya adalah rendah. Semuanya terpulang kepada titah raja yang menentukannya." Ferran memandang Rycca yang hanya mengangguk-angguk mendengar ceritanya.


"Kamu tidak ingat dari kawasan mana kamu bertandang?" Ferran menyoal secara tiba-tiba. Rycca agak tersentak mendengar soalan itu.


"Maaf, saya tak ingat langsung." Rycca menggaru kepalanya yang tidak terasa gatal.


"Jadi sukar untuk kamu melepaskan diri dari sini kerana pembesar kawasan mahu mengetahui asal usul dan tujuan kamu ke mari." Ferran berkata dalam nada kesal. Entah mengapa dia juga kasihan melihat nasib Rycca.


"Pembesar?" Sekali lagi Rycca menyoal hairan.


"Pembesar kawasan. Orang tertinggi yang memimpin sesebuah kawasan. Dan semalam kamu berjumpa dengan pembesar kawasan ini sendiri. Tengku Azman." Ferran menerangkan tanpa dipinta.


Rycca tidak tahu mahu memberi reaksi yang bagaimana. Tidak menyangka lelaki yang dimarahinya semalam merupakan orang yang perlu dihormati. Patutlah mereka kelihatan tidak percaya apabila mendengar mulutnya lancang sahaja melawan cakap.


"Kamu ingat?" Ferran menyoal lagi apabila dilihat Rycca hanya membatukan diri. Terasa hampa apabila Rycca menggelengkan kepala menjawab pertanyaannya.


"Oh! ya. Kawasan Essam. Saya rasa pernah dengar nama itu. Awak tahu kawasan Essam di mana? Mungkin saya dari kawasan itu." Rycca mula teringatkan lokasi yang tertulis di belakang potret ibunya. Dia sangat pasti ibunya berada di kawasan itu.


Ferran terkedu seketika. Tidak menyangka kawasan itu yang disebut Rycca. Jika benar gadis itu hadir dari kawasan Essam, pasti semalam gadis itu tidak berseorangan kerana rakyat Essam tidak pernah berjalan seorang diri.


"Awak tahu kan? Awak tahukan kawasan Essam dekat mana? " Rycca mendesak apabila melihat kebisuan Ferran. Dia dapat mengagak lelaki itu mengetahui kedudukan kawasan Essam.


"Apa tujuan kamu bertanya perihal kawasan Essam?!!" Suara garang yang tiba-tiba muncul mengejutkan dua insan di bilik kurungan itu.

Pantas Ferran berpusing ke belakang untuk melihat gerangan itu.

"Teng.. Tengku Rayyan!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience