AFSHIN 24

Fantasy Completed 7262

Tengku Rayyan melangkah perlahan menuju bilik kurungan yang paling hujung. Setelah dia menguruskan segala hal berkaitan pengawalnya, dia memilih untuk menghadirkan diri di situ melihat keadaan Rycca.


Terasa angin malam bertiup lembut mendinginkan kulit putih Tengku Rayyan. Wajahnya yang sembap dan lesu tidak dipedulikan. Hatinya meronta-ronta mahu melihat keadaan Rycca dan terdapat pelbagai persoalan yang memaksanya untuk datang ke sini.


Setelah dirinya kian hampir dengan bilik kurungan itu, Tengku Rayyan dapat melihat Rycca sedang duduk menyandar di pintu bilik kurungan sambil memeluk lutut. Rycca hanya terduduk diam sambil merenung dinding di hadapannya tanpa perasaan. Tahulah dia bahawa Rycca sudah sedar dari pengsannya.


"Kamu sudah sedar?" Tengku Rayyan cuba memecahkan suasana sepi itu.


Namun suara itu nyata tidak mampu menarik perhatian Rycca. Rycca tidak berkalih walau sedikit pun memandang Tengku Rayyan. Dia lebih suka membuang pandang ke arah dinding itu tanpa ingin mahu berbicara dengan Tengku Rayyan.


Tengku Rayyan berasa marah dengan tindakan Rycca. Rycca seperti mengabaikan dirinya dan menganggapnya seperti tidak wujud sahaja. Ego lelaki Tengku Rayyan tercabar. Dia sendiri tidak pasti mengapa dia berasa marah apabila Rycca tidak memberi perhatian kepadanya.


"Adakah kamu tahu mengapa kamu dibawa dan dikurung di sini?" Tengku Rayyan berjeda seketika. Kalung di dalam genggaman dikeluarkan dan dilempar tepat di hadapan Rycca.


Rycca mula menunjukkan reaksi. Dia memandang kalung itu tanpa sebarang kata.


"Kalung ini! Milik kamu kan?!!" Tengku Rayyan menyoal tegas. Dia masih cuba untuk mengawal suaranya.


Rycca bertindak mengutip kalung itu lalu dibeleknya buat kesekian kali. Soalan dari Tengku Rayyan sekali lagi dipandang sepi.


"Jawab!!! " Tengku Rayyan menepuk kuat pintu bilik kurungan. Dia sudah tidak mampu bersabar dengan kebisuan Rycca.


"Kalau hamba katakan yang ia kepunyaan hamba, apa yang Tengku mahu lakukan?" Rycca berdiri bertentang mata dengan Tengku Rayyan.


"Jadi, kamu adalah orang jahat! Kalung ini hanya dimiliki oleh rakyat Dahak. Jika benar ia milik kamu, jadi selama ini kamu sudah menipu kami semua!!" Tengku Rayyan mendekatkan dirinya pada pintu kurungan bersama wajah yang merah padam.


"Da.. Dahak?"


Nafas Rycca mula tidak teratur. Dia mencengkam kuat rantai tersebut dalam genggamannya. 'Maksudnya lelaki itu datang dari alam ini! Tetapi! Mengapa dia mencariku? Apa kaitan aku dengan Kawasan Dahak? Apa yang dia mahukan? Adakah kehadiran aku di sini memang sudah dinanti-nantikan oleh mereka?' Rycca berperang dengan perasaannnya sendiri. Sungguh dia buntu.


"Penipuan apa lagi yang kamu mahu ciptakan? Sudah terang lagi bersuluh barang ini dijumpai di tempat tidur kamu! Ceritakan sahaja perkara sebenar!!" Tengku Rayyan mengetap gigi. Dia tidak lepas dari merenung tajam ke arah Rycca. Walaupun tahu kebenaran yang bakal didengarinya nanti pasti pahit untuk ditelan, tetapi demi menjaga keamanan Kautsar, Tengku Rayyan perlu mengetahui duduk perkara sebenar.


"Ini bukan kepunyaan hamba.. " Rycca akhirnya memberitahu hal sebenar.


"Jangan berdusta!!" Tengku Rayyan menempik nyaring. Dia sudah tidak mampu menahan kemaharan apabila berulang kali dihadapkan dengan pembohongan dari Rycca.


"Rupa-rupanya kamu hanya berpura-pura melindungi saya dari marabahaya. Tetapi kenyataannya kamu dalang di sebalik semua ini." Tengku Rayyan tergelak sinis. Dia rasa bodoh kerana percayakan Rycca selama ini sehingga sanggup bersetuju dengan rancangan Rycca ke Kawasan Essam. Sehingga menyebabkan ramai pengawalnya yang tekorban.


Amarah Tengku Rayyan kembali memuncak apabila teringatkan kematian Ferran. Dia mengeluarkan pedang yang terselit di sampin lalu dihunus ke bahu Rycca di balik celahan pintu tahanan.


"Kamu penyebab Ferran mati!! Kamu pembunuh dia yang sebenar!!" Merah saga mata Tengku Rayyan seperti ingin menerkam dan membunuh Rycca.


Sejurus mendengar kalimat yang keluar dari mulut Tengku Rayyan, mata Rycca bergetar dan terasa panas. Hatinya bagai disiat-siat belati. Dia mengetap rahangnya kuat.


"Ya! Aku penyebab Ferran mati! Jika bukan kerana sifat pentingkan diri aku yang mahu ke Essam, tentu semua ini tidak akan terjadi! Bunuh sahaja aku! Aku ingin pergi mengikutnya daripada terus berhadapan dengan realiti yang menyakitkan ini!!" Tangan Rycca bertindak mencengkam mata pedang. Air mata sayu sudah menuruni lekuk pipinya. Hilang segala adab sopan ketika bercakap dengan lelaki itu.


Tengku Rayyan terpana seketika. Tidak menyangka Rycca boleh berubah senekad itu. Tetapi dia cepat-cepat menyedarkan diri. Dia tahu Rycca hanya berpura-pura berlakon sahaja di hadapannya. Tengku Rayyan ketawa sinis ke arah Rycca.


"Kalau betul kamu rasa bersalah dengan kematian Ferran, mengapa tidak ambil sahaja nyawa kamu sendiri? Itu lebih cepat daripada menunggu dijatuhkan hukuman." Tengku Rayyan sengaja mencabar Rycca. Dia tahu Rycca hanya pandai bermain kata tetapi tidak mungkin melakukannya. Tetapi sangkaan Tengku Rayyan meleset sama sekali.


"Seandainya aku bisa.. " Sejurus itu, Rycca menekan kuat mata pedang di bahunya. Maka tertikamlah pedang itu menembusi kulit daging bersama darah yang membuak-buak keluar. Matanya masih tidak berganjak dari memandang Tengku Rayyan.


Jelas Tengku Rayyan terbeliak melihat perihal itu. Mulutnya sudah terlopong tidak percaya. Tangannya mula bergetar hebat bersama detak jantungnya yang turun naik.


"Sudah lama aku lakukan!" Rycca menyambung ayatnya. Kali ini dia mencabut semula pedang itu dari bahu. Terduduk Rycca di atas lantai sambil tangan mencengkam kuat pintu buluh cuba menahan kesakitan. Berpeluh dahinya dan serta merta wajah Rycca bertukar pucat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience